Followers

Saturday, November 10, 2012

[Ikatan Cinta Kita] 08

Assalamualaikum semua... Z nak mintak maaf sangat sangat sebab update kali ni lambat... Sebenarnya Z dah start cuti mid sem ni, so dah balik rumah susah pulak nak gagau internet... Ni pun dapat update atas ihsan Oldtown sebab pakai wifi free dia... Weeeeeee.... :DD
Buat semua yang tertunggu-tunggu update dari hari jumaat tadi, sekali lagi Z mintak maaf sebab buat korang tertunggu... Enjoy lah entry kali ni... :)


Brrrr.... That Smileeeeeeeeeeee!!!
I'm melting here!!! 


.:08:.

                Izreen berjalan mundar mandir di hadapan kolam renang di villa mereka. Dia benar-benar bosan ketika ini. Mummynya langsung tidak membenarkan dia keluar ke mana-mana. Dia dikehendaki berehat sahaja di rumah.


Tetapi dia sudah penat dan bosan asyik terperap sahaja. Sudah lah terperap di rumah, ditinggal seorang diri pula. Abangnya pagi-pagi lagi sudah keluar. Ke mana tidak pula dia tahu. Kelakuan abangnya memang benar-benar aneh sejak dua tiga hari ini. Pergi ke mana-mana pun tidak langsung memberitahunya. Mummy pun sama. Mengarahkan orang duduk di rumah tapi bukannya nak temankan. Mummy juga keluar ke restoran miliknya. Ada yang perlu diuruskan katanya.

Terasa mahu seperti meraung sahaja ketika ini. Dia ingin pulang ke kondominiumnya pun mummy tidak benarkan kerana Qalesya juga sudah terbang ke luar negara atas tuntutan tugasnya sebagai pramugari, mummynya risau jika dia tinggal seorang diri. Jika dia pulang ke kondominiumnya, dapatlah dia keluar tanpa pengetahuan mummynya. Di sini banyak mata yang memerhatikan tindak tanduknya. Mana mungkin dia dapat keluar dari villa ini.

Izreen melangkah pula ke kamarnya setelah penat bermundar-mandir di tepi kolam renang. Semasa dia melintasi rak bukunya, dia terpandangkan album-album gambar yang bersusun di rak tersebut. Pantas hatinya tergerak untuk mengambil salah satu daripada album gambar tersebut. Kakinya dihayunkan ke arah sofa yang berada di sudut biliknya.

Rupa-rupanya Izreen telah mengambil album gambar yang memuatkan gambarnya semasa dia menuntut di kolej matrikulasi dahulu. Selepas tamat pengajian di kolej matrikulasi dulu, dia telah membuat diari bergambar ini kerana kebosanan.

Pantas dia menyelak satu persatu helaian album tersebut. Tersenyum Izreen melihat gambar-gambar di dalam album tersebut. Pelbagai gaya yang dipamerkannya dan juga rakan-rakannya. Album itu memuatkan gambarnya bersama-sama rakan-rakannya dari mula dia menuntut di kolej matrikulasi itu sehinggalah mereka tamat belajar. Mereka memang suka mengambil gambar, lebih-lebih lagi dia dan abangnya ada membawa kamera DSLR masing-masing ke sana memandangkan mereka merupakan ahli kelab penyiaran di kolej itu. Jadi setiap event yang berlaku di kolej mereka, mereka pasti ada menyimpan gambar event tersebut.

Dia masih teringat lagi dia dan rakan-rakan sekelasnya memang suka mengambil gambar lebih-lebih lagi ketika di dalam makmal. Tidak kira lah makmal kimia, fizik ataupun biologi. Jika minggu itu mereka ada experiment yang dijalankan mereka, lebih galak lah mereka bergambar dengan experiment mereka. Paling teruk sekali ialah semasa experiment membedah tikus dijalankan, habis tikus itu dikerjakan mereka. Pensyarah mereka pun hanya boleh menggeleng sahaja melihat keletah mereka.

Izreen ketawa sendiri apabila melihat gambar-gambar tersebut. Gambar-gambar itu semua menjadi bukti betapa nakalnya dia semasa menjadi pelajar di kolej matrikulasi itu, beberapa kali juga Izreen dan rakan-rakannya lari daripada “mak guard” kerana melanggar peraturan.Tidak pernah dalam sejarah orang menyambut hari jadi di dalam kolam ikan. Hanya Izreen dan rakan-rakannya sahaja membuat perkara gila seperti itu.

Dia masih ingat lagi, waktu itu mereka berkumpul di laman santai pelajar. Memang menjadi tradisi mereka akan mencalit-calitkan kek hari jadi ke muka masing-masing. Tidak kiralah siapa punya hari jadi, jika berada di situ pasti menjadi mangsa. Ketika sedang mengelak daripada dicalit kek, dengan tidak sengaja birthday girl terjatuh ke dalam kolam ikan di situ. Selepas seorang terjatuh, habis semua yang berada di situ ditarik sama. Akhirnya semua orang balik ke hostel dengan keadaan basah kuyup. Dia tergelak mengenangkan kejadian lucu itu.

Tangan Izreen menyelak pula ke halaman yang berikutnya. Membulat pandangan Izreen memandang gambar itu. Gambar dia bersama…

Daniel.

Rupanya dia masih menyimpan lagi gambar tersebut. Gambar yang diambil selepas acara kebudayaan di kolej mereka. Dan kerana acara itulah dia dapat bercakap dengan Daniel buat pertama kalinya. Masih segar di ingatannya sehingga kini…

*~*~*~*~*~*

(flashback)

“Reen… Kau janganlah cakap tak nak pula. Aku dah janji dengan Fira yang kau akan join acara tarian kali ni…” Shahirah memujuk Izreen supaya mengikutinya untuk menyertai acara kebudayaan kolej mereka.

“Aku mana nak reti nak menari tarian Melayu asli ni… Memanglah aku pernah menari, tapi tu tarian India, tarian Cina, tarian moden… Ni hah, keras je pun tangan aku ni, nak menari tarian Melayu konon!” Izreen melenggokkan tangannya, tapi nampak sangat pergerakkannya kaku.

“Alah, kau try je lah dulu… Yang penting kau ada asas, senang nak ikut step. Fira cakap dia malas nak ajar orang baru yang langsung tak tahu apa-apa. Lagipun masa dah suntuk weh. Aku ni pun sama tau, lagilah first time, tapi steady je… Kau pula nak gelabah!” Shahirah masih cuba untuk memujuk Izreen.

“Hesy… Tak nak lah weh. Nanti orang gelakkan aku yang kaku ni macam mana? Tak mahu lah, buat malu je…” Izreen memang mementingkan air mukanya. Tidak mahu langsung untuk membuat perkara yang dirasakan boleh memalukannya.

“Aiyooo… Tak ada makna lah dia orang semua tu nak gelakkan kau. Lagi suka adalah aku rasa…” Shahirah menambah lagi. Bukannya dia tidak tahu kawannya yang seorang ini mempunyai ramai peminat di sini.

“Adui… Penat lah aku macam ni, kau pun tahu kan aku ada persembahan nyanyian lagi malam tu. Tak kan aku nak kena menari juga?” Izreen cuba menolak lagi.

Salah satu sebab Izreen tidak mahu bersetuju adalah kerana dia sudah ada satu persembahan untuk dilakukannya bersama Qalesya. Persembahan di mana dia bermain gitar sambil bernyanyi dan diiringi oleh Qalesya yang bermain piano.

“Alah… Bolehlah Reen, mana kau nak kami cari orang sekarang ni. Please Reen… Please… Lagipun kalau kau join sekali, mesti kau tak menyesal punya lah, for sure!” Shahirah masih tidak berputus asa.

Melihatkan Shahirah yang membuat muka kesian sebegitu, tidak sampai hati pula Izreen mahu terus-terusan menolak dan akhirnya dia bersetuju sahaja.

Apabila Izreen mengikut Shahirah untuk menjalani sesi latihan, terlopong dia melihat Daniel juga ada di situ. Habis menggelabah Izreen dibuatnya. Makin menggelabah Izreen apabila mendapat tahu yang Daniel juga merupakan salah seorang penari untuk persembahan mereka kali ini. Dan paling membuatkan Izreen mahu pengsan, boleh pula dia dipasangkan dengan Daniel!

Ketika itulah pertama kali mereka menyapa sesama sendiri. Walaupun mereka sudah lama mengenali diri masing-masing, tetapi mereka tidak pernah bertegur sapa. Dan persembahan kali inilah yang membuka peluang untuk mereka berbicara buat pertama kalinya.

Shahirah yang berdiri di suatu sudut bersama pasangan menarinya terasa seperti mahu ketawa berguling-guling sahaja melihat wajah cuak Izreen. Ketika kena kejar dengan ‘mak guard’  dulu pun wajahnya tidak secuak ini, hebat betul penangan Daniel.

Memang dia sudah tahu yang Daniel turut serta dalam persembahan kali ini, tetapi tidak pula dia merancang untuk memasangkan Izreen dan Daniel. Semua pun di atas aturan Fira sebagai ketua persembahan mereka. Inilah yang dinamakan kalau jodoh pasti tak kemana…

“Woi… Aku nampak orang tu macam malu-malu kucing lah.” Shahirah menghampiri Izreen ketika sesi rehat mereka.

“Ini semua kau punya pasal kau tau tak! Jantung aku ni dah penat buat somersault. Boleh kena serangan jantung aku macam ni. Kau memang tahu kan yang dia terlibat dalam persembahan ni?” Lurus telunjuk Izreen diarahkan ke muka Shahirah.

“Aku memang tahu, tu yang ajak kau sekali.” Ucap Shahirah sambil ketawa.

“Ohhh… Jadi ni semua memang kaulah yang plan?” Tanya Izreen sambil menjegilkan matanya.

“Ehhh… Baik sikit. Aku memang dah letak nama kau sebelum Fira bagitahu yang dia pun ada sekali okey. Yang pasal kau kena pasangkan dengan dia tu lagilah aku tak tahu-menahu.” Jelas Shahirah membela dirinya.

“Tapi bagus apa… Kalau tak sampai bila pun kau tak bercakap dengan dia. Kau ni nampak aje brutal tapi penakut! Kiranya ada hikmah lah aku ajak kau join. Siap dapat jadi dancing partner dengan dia lagi, untung  tak untung? Shahirah menyimbah lagi minyak ke atas api yang sedang membakar hati Izreen.

“Banyak lah kau punya hikmah. Dah lah, pergi balik tempat kau sana, dia orang dah panggil tu, Daniel pun dah datang, shuhhh… shuhhh…” Izreen menghalau Shahirah kembali ke tempatnya semula ketika melihat Daniel berjalan menuju ke arah mereka.

“Amboi, boyfriend datang terus kawan dihalaunya! Macam ni lah kawan…” Shahirah sengaja buat ayat sentap.

“Weh, kau diam boleh tak?!!” Tertahan-tahan sahaja suara Izreen, jarinya pula laju sahaja naik dan mencubit lengan rakannya itu.

“Eleh… Suka cakap lah suka cik kak oiii…” Sakat Shahirah lalu berlari semula ke tempatnya sebelum dia dibaham oleh Izreen.

Izreen mengetapkan giginya kerana geramkan Shahirah. Tetapi cepat-cepat dia kembali tersenyum apabila melihat Daniel yang semakin mampir. Depan Daniel kena control ayu beb…

*~*~*~*~*~*

Tanpa sedar, Izreen tersenyum sendiri apabila mengingati kisah itu. Dia akui, itu adalah antara kenangan paling indah sepanjang dia berada di kolej matrikulasi dahulu. Izreen masih mengingati lagi ayat pertama yang dituturkan Daniel kepadanya ketika pertama kali Daniel menegurnya.

Hey... I am Daniel. Nice to meet you.

Ya, Izreen mengingati semuanya sekali. Sapaannya, senyumannya… Segala-galanya yang terjadi pada hari itu. Tidak pernah Izreen membuang semua itu daripada ingatannya.

Tetapi apabila terkenangkan pula sikap Daniel yang berlagak dan tidak mahu melayannya dulu, terus hatinya menjadi keras.

Bagi Izreen kes dia dengan Daniel ni boleh dikirakan sadis tetapi kelakar pada waktu yang sama. Mungkin kalau diceritakan, semua orang bakal gelak guling-guling agaknya. Kisahnya…

Pasal Facebook aje pun!

Dia yang dulunya begitu angaukan Daniel konon-kononnya memulakan langkah pertama dan menambah lelaki itu sebagai temannya di laman muka buku. Tetapi sampai yang boleh menjadi dendam berdarah dalam hatinya itu adalah kerana lelaki itu mengambil masa begitu lama untuk mengesahkan permintaannya. Lepas itu semua mesej yang dihantar ke akaun lelaki itu langsung tidak pernah dibalasnya, atau dalam bahasa lebih kasar, tak pernah dilayan!

Apa lagi, terus mengamuklah Izreen kerana dia berasa Daniel sudah menjatuhkan maruahnya dengan berkelakuan angkuh seperti itu. Dah macam orang desperate sangat gayanya waktu itu!

Sehingga kini marahnya terhadap Daniel masih lagi tidak surut-surut. Mungkin bagi orang lain ini adalah perkara kecil, tetapi bagi Izreen ini adalah sesuatu yang sangat besar. Kerana seumur hidupnya tidak pernah dia membuat perkara seperti itu pada sesiapa. Merayu pada seseorang hanya untuk menjadi kawan di Facebook! Memang memalukan!

Dan, yang paling penting! Buat pertama kalinya dalam sejarah dia mengejar seorang lelaki di dalam hidupnya, tapi tidak dilayan pula! Sumpah egonya tercalar dan maruahnya tercabar.

Lapan tahun… Lapan tahun sudah berlalu, marahnya tetap menggunung. Dan dia tidak tahu adakah marahnya akan reda selepas ini. Izreen tidak pasti tentang itu. Apatah lagi setelah perjumpaan semulanya dengan Daniel, mereka tidak habis-habis mahu bertekak sahaja. Perangai Daniel yang selalu menjengkelkan dan menyakitkan hati Izreen semakin menambahkan rasa bengangnya pada lelaki itu.

*~*~*~*~*~*

Izzan tidak berputus asa memanggil Farah yang berjalan laju itu. Sejak dari tadi dia ingin bercakap dengan Farah, tetapi Farah dengan dinginnya menghalaunya pergi. Awal-awal pagi tadi lagi dia sudah terpacak di hospital ini untuk menunggu Farah. Demi Farah, dia sanggup buat apa-apa sahaja!

Dengan tiga langkah besar, Izzan sudah berada di sebelah Farah. Dia menarik lengan Farah supaya tidak terus berjalan.

“Eh… Apa pegang-pegang ni? Tolong hormat sikit, ni tempat kerja saya awak tahu tak?” Farah menempelak garang seraya menepis tangan Izzan yang memegang lengannya itu. Nasib baik berlapik!

Eh, sorry…” Izzan pantas mengangkat tangannya, dia mengutuk perlakuannya yang agak lepas hari ini.

Farah merengus dan berpaling ke tepi. Izzan pula, mengeluh perlahan sebelum kembali membuka mulut.

“Saya cuma nak bercakap kejap aje dengan awak, awak yang asyik lari daripada saya.” Jelas Izzan.

“Awak ni tak faham bahasa ke? Saya kan tengah kerja sekarang, malu tau saya semua tengok. Kan saya dah cakap jangan kacau saya masa kerja!” Dengus Farah geram.

“Kalau awak tak nak saya ganggu awak masa awak kerja, boleh tak awak setuju keluar dengan saya malam ni? Kalau awak setuju saya janji tak kan kacau awak di tempat kerja awak lagi.” Izzan mengangkat tangannya seperti orang berikrar.

Farah tidak pula menyatakan dia setuju atau pun tidak, dia terus berlalu dari situ dengan hati yang mendongkol geram.  Dari jauh dia mendengar Izzan menjerit.

“Malam ni dekat Sun Café, 9 malam. Saya tunggu awak…”

Izzan terus berlalu daripada situ, tidak mahu pula terus-terusan mengejar Farah kerana sudah ramai orang yang memandang-mandangnya dengan pandangan pelik. Lagipun dia tidak mahu pula mahu mengganggu waktu kerja Farah lagi.

Farah berhenti di sebuah tong sampah dan mencampakkan jambangan bunga yang dihulurkan oleh Izzan tadi. Meluat dia melihat jambangan bunga tersebut. Jangan harap dia akan menemui Izzan malam ini. Sedangkan bunga yang dia bagi pun Farah meluat, apatah lagi tuannya. Setelah itu dia terus berlalu pergi dengan hati yang mendongkol geram!

*~*~*~*~*~*

Malam itu, awal-awal lagi Izzan sudah menunggu Farah di kafe yang telah dijanjikannya tadi. Teruja rasa hatinya. Sebelum keluar tadi sempat dia menceroboh Iphone milik adiknya dan mencuri nombor telefon Farah. Setelah itu sempat pula dia menghantar mesej kepada Farah supaya jangan lupa temu janji mereka malam ini.

Farah yang membaca mesej yang baru masuk ke dalam telefon bimbitnya itu terasa seperti darah naik ke kepalanya. Marah sungguh dia. Macam mana lah Izzan boleh mendapatkan nombor telefonnya? Mungkinkah Izreen yang memberikan nombor telefonnya kepada Izzan? Terus dia mencampakkan telefonnya ke atas sofa.

“Kenapa main baling-baling pula handphone tu?” Tegur Ain yang kebetulan lalu di situ.

“Ain... Aku ni dah naik rimas dah dengan Izzan tu. Tak habis-habis nak ganggu hidup aku.” Terus Farah mengadu pada Ain.

“Kenapa? Dia ke yang hantar mesej dekat kau tadi? Sampai telefon kesayangan pun kena baling…” Tanya Ain lagi.

“Dia lah... Siapa lagi? Hesy, entah-entah Reen yang bagi nombor aku tak?” Tebak Farah tanpa usul periksa.

“Eh, tak kan lah… Kau bukan tak kenal Reen tu, dia tak kan belot kawan-kawan punya lah.” Ain membela Izreen. Dia cukup kenal dengan rakannya itu, selama ini Izreen tahu yang Farah sudah tidak mahu ada hubungan dengan Izzan jadi dia tidak akan sesekali membelot Farah walaupun Izzan itu adalah abang kembarnya.

“Kalau Izzan tu dapat nombor kau, maybe betul daripada Reen, tapi bukan Reen yang bagi, tapi dia yang gagau sendiri. Macam lah kau tak tahu perangai dia. Licik mengalahkan musang.” Tambah Ain lagi. Perangai kawan-kawan mereka itu semua di dalam poketnya sahaja.

“Aduiii... Tak aman lah hidup aku lepas ni…” Farah menjerit sambil meraup mukanya.

“Woi, kau tak nak pergi ke jumpa dia, kesian dia tunggu kau.”

“Tak ingin aku! Aku tak ada janji pun nak jumpa dia, kalau dia tunggu pun lantak dia lah..” Farah sudah mencebik benci.

“Eh... Ada pula cakap macam tu? Alah Farah, sekarang ni dia dah syok kat kau lah tu. Bagus lah, dulu kau juga selalu cakap Reen tu adik ipar kau. Hah… Memang patut lah kalau kau kahwin dengan Izzan tu.” Usik Ain sambil ketawa.

            Dia terasa lucu pula, dulu Farah yang tergila-gila kan Izzan. Tetapi sekarang terbalik pula. Seperti mereka berdua sudah bertukar karakter sahaja.

            “Kau pun cakap dulu… DULU okey. Sekarang lain.” Tekan Farah tidak mahu kalah.

            “Kau jangan yakin sangat Farah. Kalau dah jodoh tak kemana tau! Jodoh kan rahsia Allah, mana tahu dia tu jodoh kau?” Ain tidak habis-habis mahu menyakat Farah.

            “Hesy!!! Minta dijauhkan!” Farah berdoa supaya apa yang dikatakan Ain tadi tidak menjadi kenyataan.

            “Dah lah… Malas aku bercakap dengan kau ni, menyakitkan hati je, baik aku pergi tidur.” Ucap Farah dan melangkah ke kamarnya. Malas sudah dia memikirkan Izzan yang seakan-akan tidak memahami Bahasa Melayu itu.

            Izzan pulang ke rumah dengan hati yang mendongkol geram. Berjam-jam dia menunggu Farah, tetapi gadis itu tidak juga muncul-muncul. Dia menunggu sehinggakan kafe itu mahu tutup. Walaupun diberitahu oleh pengurus kafe yang mereka sudah mahu menutup kedai, tetapi Izzan tetap juga degil mahu menunggu. Akhirnya mereka terpaksa menghalau Izzan keluar daripada kafe itu.

            “Farah ni memang mencabar kesabaran aku betul lah…” Izzan membentak marah.

            “Tak apa, aku akan buat lebih lagi dari pagi tadi, hidup kau tak kan tenang punyalah.”

            Izzan sudah merancang-rancang idea jahat dia dalam otaknya. Dia akan mengucar-kacirkan hidup Farah sehingga gadis itu setuju untuk menerimanya. Dia tidak akan berputus asa sehingga gadis itu sah menjadi miliknya. Senyuman di bibirnya melebar.

                                                                       ~Bersambung.....~

Seperti biasa... Z akan cakap benda yang sama jugak...
Jangan lupa komen dan click reaction box dekat bawah tu ye.... :DDD
Terima Kasihh!!! <3


2 comments:

  1. tak sabar nak baca entry seterusnya..apalah yg akan farrah ckp kat izzan...Z,cpt2 smbg..:D

    ReplyDelete