Followers

Thursday, December 13, 2012

[Ikatan Cinta Kita] 13

Salam semua... Minggu nie bosan laa.. Z try nak sambung ICK ni tapi macam terkena writter block pulak.. dah laa stock ICK dah nak habis dah.. Kalau tak leh nak sambung jugak korang kena tunggu laa jawabnye.. Lepas final nanti, masa sem break Insyaallah Z akan sambung tulis.. Tapi korang tak yah risau, simpanan dekat Z ni masih cukup sampai lah Z habis final nanti....... :)




.:13:.


Meriah sungguh keadaan di rumah abang sulung Farah. Hari ini dia  pulang ke rumah abangnya di Damansara kerana ibu bapanya ada di sana. Terlerai sudah rindunya pada ibu bapanya itu, sudah lama mereka tidak bersua-muka kerana Farah sangat sibuk dengan tugasnya di hospital. Itu pun sudah hari kedua ibu bapanya ada di sini barulah dia berkesempatan untuk berjumpa mereka kerana dia bertugas sehingga lewat malam semalam.

“Esok kamu cuti ke Farah?” Encik Yahya membuka mulut bertanya kepada anak bongsunya itu yang sedang menghidangkan kopi di atas meja. Mereka sekeluarga berkumpul di ruang tamu sesudah selesai makan malam. Ini sahajalah pun masa yang ada untuk mereka bersembang-sembang. Pada waktu siang, ada sahaja kerja yang perlu dilakukan.

“Ha’ah… Esok cuti, so Farah stay rumah abang je lah, lagipun mak dengan ayah pun ada dekat sini kan.” Farah menjawab soalan ayahnya tapi tangannya tetap tidak berhenti daripada menuang kopi ke dalam cawan-cawan yang disediakan.

Farah mengambil tempat di sebelah ibunya setelah selesai kerjanya. Hanya dia, ibu bapanya dan abangnya sahaja berada di ruang tamu itu. Kakak iparnya ada di atas menemani anak saudaranya menelaah pelajaran.

“Mak dengan ayah buat apa semalam? Ada pergi mana-mana?” Soal Farah pada ibu bapanya.

“Semalam sampai pun dah tengahari, penat pula jalan jauh. Kami rehat je dekat rumah, tak ada pergi mana-mana pun. Petang tadi baru mak keluar jumpa kawan mak.” Puan Naini menjawab soalan anaknya itu.

Farah tidak bertanya lanjut tentang pertemuan ibunya dan temannya itu. Yang lain pun hanya mendiamkan diri, masing-masing menumpukan perhatian pada rancangan yang ditayangkan di kaca televisyen.

“Majlis kahwin Adam bila ayah?” Abang sulung Farah, Farid bersuara memecahkan keheningan di antara mereka. Mahu memastikan tarikh majlis perkahwinan sepupu mereka itu, senang mahu mohon cuti nanti.

“Bulan depan, 7 haribulan kalau tak silap ayah.” Encik Yahya menjawab pertanyaan anaknya itu, matanya masih tidak lepas daripada skrin kaca televisyen.

“Kamu boleh balik tak nanti Farah?” Puan Naini menyoal Farah.

“Entah lah mak, tapi nanti Farah cuba minta cuti.” Farah tidak mahu berjanji. Kerjanya tidak tentu masa, takut pula nanti jika sudah berjanji tapi dia tidak dapat cuti.

“Anak Mak Long semua dah selamat dah. Anak mak pula macam mana?” Puan Naini bersuara. Soalan itu sememangnya ditujukan khas buat Farah, anak-anak Puan Naini yang lain semuanya sudah berumah-tangga, yang tinggal pun cuma anak bongsunya sahaja, iaitu Farah.

“Ha’ah adik, bila adik nak kahwin?” Farid pula bersuara.

Dia memang bersemangat kalau berbicara tentang soal jodoh adik bongsunya itu. Adik perempuannya hanya ada dua orang, dia memang sentiasa risaukan adik-adiknya itu. Lega kerana kakak Farah telah pun berkahwin, dia hanya perlu tengok-tengokkan adiknya yang seorang ini sahaja. Jarak umur antara Farah dan kakaknya memang agak jauh, jadi memang lama lah mereka menunggu Farah untuk berkahwin selepas kakaknya. Jika Farah juga sudah selamat berumah-tangga, barulah Farid benar-benar lega.

“Adoyai, adik ni dah tua sangat ke nak kena kahwin sekarang?” Farah berkata, lemas dia apabila dihujani soalan-soalan berkaitan perkahwinan. Baginya dia masih muda lagi, kerja pun baru setahun dua. Belum puas lagi mahu hidup dengan duit sendiri. Lagipun dia mana ada kekasih, nak kahwin dengan siapa?

“Memanglah kamu muda lagi, tapi mak dengan ayah ni dah tak muda Farah oii…” Puan Naini bersuara lagi.

Encik Yahya dan Farid hanya mengangguk-angguk mengiyakan bicara Puan Naini itu. Memang benar pun, Encik Yahya dan Puan Naini sudah tua. Kalau boleh mereka mahu melihat anak bongsu mereka itu naik ke jinjang pelamin sebelum mereka menutup mata. Mereka mahu ada orang yang boleh dipercayai yang mampu menjaga anak bongsu kesayangan mereka dengan baik selepas mereka pergi.

“Eh, mana ada mak dah tua… Ni, awet muda berseri-seri je Farah tengok sampaikan ayah tak berkelip pandang mak.” Farah berseloroh. Cuba melarikan diri daripada topik yang dibicarakan.

Bicara yang keluar daripada mulut Farah itu hanya disambut oleh gelak tawa Encik Yahya dan Farid. Puan Naini pula mencubit lengan anak bongsunya itu, geram sungguh dia. Orang cakap betul-betul, dia boleh main-main pula.

“Ajal maut tu kita tak tahu, kalau esok lusa mak dah tak ada, kempunan mak nak tengok kamu naik pelamin.”

“Apa mak cakap macam ni… Tak suka lah…” Farah memuncungkan bibirnya. Dia memang tidak suka jika emaknya berbicara sedemikian.

“Yelah… Benda macam tu kita tak tahu kan?” Puan Naini membela dirinya.

“Adik nak tunggu bila lagi? Umur kamu tu memang sesuai pun kalau kahwin.” Farid bertanya pula, dia sangat menyokong usaha emaknya untuk melihat Farah naik pelamin.

“Hesy abang long ni… Bukannya nak back up adik.” Ujar Farah tidak berpuas hati.

“Betul cakap abang kamu tu. Kamu pun dah kerja setahun, memang masanya kamu kahwin sekarang. Nak tunggu apa lagi.” Puan Naini bersuara.

Farah mengeluh, penat betul berbicara tentang semua ini. Dia tidak pernah terfikir lagi mahu menamatkan zaman bujangnya, dia selesa dengan kehidupannya sekarang. Lagipun dia mana ada kekasih hati, macam mana nak kahwin sekarang.

“Kamu ada boyfriend tak?” Puan Naini masih lagi tidak berputus asa dengan usahanya yang inginkan Farah berkahwin itu.

“Mana ada mak oiii…” Malas sahaja tutur bicara Farah.

“Tu lah kamu asyik sibuk je dengan kerja kamu. Sampai tak ada masa nak cari boyfriend.” Bebel Puan Naini.

“Farah malas lah dengan boyfriend-boyfriend ni, memeningkan kepala aje.” Farah menjawab.

Dia memang malas mahu menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki. Melihat rakan-rakannya yang selalu sahaja ada masalah dengan teman lelaki mereka membuatkan dia yang melihat pun pening. Bayangkanlah kalau dia yang ada ditempat mereka, lagi sengsara lah hidupnya. Mana dengan tugasannya yang sentiasa sibuk di hospital itu lagi, tambah dengan masalah teman lelaki lagi? Boleh mati berdiri dia kalau macam itu!

 “Habis tu kamu tak nak kahwin ke?” Sergah Puan Naini.

“Farah nak mak carikan… Hahahaha…” Farah memberikan alasan. Malas dia mahu bertekak lagi dengan emaknya.

“Hah… Kamu yang cakap macam tu, kalau mak carikan kamu jangan menyesal pula.” Puan Naini menggertak anaknya itu. Sengaja mahu melihat reaksinya, padahal dalam hati Puan Naini memang sudah ada calon untuk Farah.

“Hmmm… Betul lah, kan dari dulu lagi Farah ada cakap nak mak carikan.” Tenang sahaja Farah menjawab. Tetapi di dalam hatinya cuak juga, dibuatnya emaknya mencari calon pelik-pelik, boleh pengsan dia nanti.

“Okey, kalau kamu cakap macam tu… Nanti mak carikan…” Ujar Puan Naini ceria.

Puan Naini sebenarnya sengaja mahu bertanya anaknya itu sebenarnya sudah berpunya atau belum kerana dia memang sudah mempunyai rancangan untuk menjodohkan anaknya itu dengan anak rakan baiknya. Sebelum ini memang Farah memberitahunya yang dia serahkan pada Puan Naini sahaja untuk mencari jodoh untuknya. Tetapi Puan Naini mahu bertanya lanjut terlebih dahulu, tidak mahu terburu-buru walaupun dia memang sudah berkenan dengan anak rakannya itu. Takut pula jika Farah sudah mempunyai pilihan hatinya sendiri. Dia tidak mahu memaksa anaknya itu.

Jika anaknya itu tidak mempunyai teman lelaki lagi, bolehlah dia melancarkan misinya dengan rakannya untuk menjodohkan anak mereka. Puan Naini berkenan sangat dengan anak rakannya itu walaupun baru pertama kali bersua muka. Orangnya segak bergaya, sangat berbudi bahasa. Puan Naini tidak ragu-ragu kerana itu adalah anak rakannya, memang mereka dari keluarga yang baik-baik.

Idea ini timbul apabila dia berjumpa dengan rakannya, Datin Zahlea petang tadi. Apabila sudah lama tidak berjumpa, habis semua perkara dibicarakan mereka. Sampai lah soal anak-anak pun keluar sekali. Datin Zahlea bimbang tentang anak lelakinya yang tidak lagi mempunyai teman hidup. Tidak sangka pula Puan Naini juga mempunyai masalah yang sama. Jadi timbullah idea untuk menjodohkan anak-anak mereka.

Namun Puan Naini mahu bertanya pada anaknya dahulu, tidak mahu pula memandai-mandai. Tapi kini, Puan Naini boleh tersenyum lebar kerana Farah sendiri sudah memberikan keizinan untuk dia mencarikan jodoh buat anaknya itu. Tercapailah impian Puan Naini untuk berbesan dengan rakannya itu nampaknya.

*~*~*~*~*~*

Farah berbaring dia atas katil, matanya kosong merenung siling. Fikirannya kusut memikirkan apa yang dibicarakan dengan keluarganya sebentar tadi. Baru sahaja dia menamatkan kekalutan yang telah Izzan timbulkan, kini muncul pula masalah lain.

Izzan. Tiba-tiba Farah teringatkan lelaki itu. Sudah dua hari lelaki itu berhenti daripada mengganggunya, tidak terhingga ucap syukur dilafazkan oleh Farah kerana akhirnya Izzan faham juga Bahasa Melayu.

Farah mengeluh. Dia lega kerana Izzan tidak lagi mengganggunya, tetapi hidupnya terasa kosong pula. Bosan apabila tiada lagi Izzan muncul di dalam hidupnya. Rindukah dia? Farah juga buntu dengan perasaannya. Rimas jika Izzan ada di depannya, tetapi rindu pula jika tiada di depan mata. Aneh benar perasaannya itu.

Farah mengubah posisinya, dia baring mengiring pula setelah penat merenung siling yang kosong itu, sekosong hatinya. Dia kembali memikirkan perbualannya dengan keluarganya sebentar tadi. Serius langsung tidak pernah terlintas di fikirannya, dia langsung tidak bersedia untuk semua itu.

Farah benar-benar bingung sebentar tadi apabila emaknya menggasaknya dengan persoalan tentang teman lelaki dan perkahwinan. Memang dia tidak mempunyai teman lelaki. Entahlah, sejak dulu lagi hatinya tidak terbuka pada mana-mana lelaki. Sepanjang zaman belajar dahulu, Farah menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pelajaran. Dia tidak mahu kerana sibuk bercinta dia terkandas dalam pelajaran. Jadi dia menolak semua lelaki yang ingin menjalinkan hubungan dengannya. Semasa bekerja pula, dia begitu sibuk sehingga tiada masa memikirkan perkara itu semua.

Akhirnya Farah memberikan kata putus untuk menyuruh emaknya sahaja yang memilih pasangannya. Dia malas untuk mendengar emaknya membebel tentang perkara itu lagi. Biarlah emaknya sahaja yang menentukan, jika sudah pilihan emaknya pastinya lelaki itu adalah yang terbaik untuknya. Lagipun buat masa sekarang memang tiada sesiapa yang dapat membuka pintu hatinya, jika emaknya sudah suka dia akan cuba terima dengan seadaanya. Farah mengeluh lagi. Dia bangun dan menutup lampu tidur di meja bersebelahan katil itu. Dia mahu tidur. Sudah penat dengan semua masalah yang datang dalam hidupnya kebelakangan ini

*~*~*~*~*~*

Izzan tersenyum lebar berjalan memasuki studio miliknya itu. Dia duduk di sebelah Imran yang sedang menghadap komputer Apple iMac yang ada di situ. Imran sedang melakukan kerja-kerja mengedit gambar untuk pelanggan mereka.

“Ni projek yang mana pula?” Izzan bertanya sambil matanya memerhati kerja rakannya itu.

“Untuk buat katalog butik pengantin tu.” Imran menjawab tanpa langsung mengangkat muka daripada skrin komputernya.

Studio gambar itu milik Izzan dan Imran. Mereka berkongsi untuk membuka studio tersebut kerana minat mereka dalam bidang fotografi. Imran lah yang menguruskan sepenuhnya studio tersebut, Izzan hanya akan pergi sekali-sekala ketika dia tidak ada jadual penerbangan.

“Apesal lama tak datang? Setahu aku dah dua hari kau balik daripada Amsterdam. Menghilang mana?” Soal Imran lagi.

Imran baru berura-ura untuk menelefon rakannya itu jika dia tidak memunculkan diri esok. Imran memerlukan Izzan esok kerana ada dua sesi pengambaran yang akan dijalankan serentak. Izzan perlu cover salah satu photoshoot tersebut, nasib baiklah rakannya itu muncul juga hari ini.

Izzan bukan sahaja menjadi rakan kongsi Imran, tetapi dia juga jurugambar di studio tersebut. Jika dia tidak ada jadual penerbangan, dia akan menjadi jurugambar di studio tersebut. Itu memang minatnya, dan dia juga bosan duduk saja di rumah ketika tiada jadual penerbangan. Jadi dia membuka studio tersebut bersama-sama Imran.

“Aku ada hal lah dua hari tu. Sorry, tak inform kau awal-awal.” Dalih Izzan. Dia tidak mahu bercerita tentang dia berkurung dua hari di dalam bilik semata-mata kerana seorang perempuan. Malu siot!

“Nasib baik kau muncul hari ni, esok ada dua photoshoot. Kau kena cover satu.” Imran memberitahu tentang pengambaran yang perlu Izzan lakukan esok.

Photoshoot apa?”

“Satu photoshoot untuk wedding, satu lagi for magazine. Kau nak yang mana?” Imran bertanya.

“Kau ambik yang magazine tu lah kut, model tu dah sibuk-sibuk tanya pasal kau.” Imran menambah sebelum Izzan memberikan keputusannya.

“Hah? Model? Siapa?” Izzan kebingungan. Sebelum ini memang sudah banyak kali dia terlibat dengan pengambaraan untuk majalah dan dia juga banyak bekerjasama dengan ramai model-model. Antara mereka ramai juga yang menunjukkan minat terhadapnya dan ingin mendekatinya, dia juga tidak pasti model manakah yang dimaksudkan oleh Imran itu.

“Alah… Si model cun melecun, Yasmin tu…” Imran cuba merungkaikan tanda tanya di kepala Izzan.

“Yang mana satu eh?” Izzan masih lagi tidak dapat mengingati model yang disebut oleh Imran itu.

“Kau ni kan, perempuan tu sikit punya cun pun kau tak ingat? Kau ingat tak yang kau pernah ambik shoot untuk majalah HiStyle. Yang baju pengantin tu…” Imran cuba mengingatkan Izzan.

“Ooo… Yang tu… Hesy, tak naklah aku. Tergedik-gedik aje aku tengok perempuan tu.” Izzan menjuihkan bibirnya tanda tidak suka. Dia teringat kembali perempuan yang dimaksudkan oleh Imran itu, memang dia tidak berkenan langsung dengan perangai model itu. Harapkan muka sahaja cantik.

“Kau ni peliklah, perempuan tu tergila-gila kat kau pun kau tak layan. Dah la model cun pula tu.” Imran pelik sungguh dengan perangai rakannya yang seorang ini. Ramai perempuan yang berminat dengan Izzan, tetapi seorang pun tidak dilayannya.

“Eee… Tak nak aku dengan perempuan macam tu. Kau suka kan, kau ajelah pergi tackle dia. Aku pergi shoot wedding tu. Muktamad.” Izzan memberi kata putus. Imran hanya menggelengkan kepalanya sahaja. Sudah masak dengan perangai Izzan yang tidak mahu langsung memberikan peluang kepada perempuan-perempuan yang cuba mengejarnya.

“Iyalah suka hati kau lah…”

“Pukul berapa esok?” Izzan menyoal lagi.

“Lima petang.”

“Hmmm… Okay… Lusa aku fly tau, kau jangan arrange apa-apa photoshoot untuk aku pula.” Izzan bersuara lagi.

“Berapa hari?”

“Tiga hari.” Izzan berkata sambil tersenyum.

“Kau ni kenapa? Aku tengok happy semacam je. Nak kahwin ke?” Imran sengaja mengusik Izzan. Dia memang tahu yang Izzan tidak mempunyai teman wanita, mana mungkin ceria mahu berkahwin.

Makin lebar pula Izzan tersenyum. Ya, memang dia nak kahwin. Kalau tiada aral melintang, tidak lama lagi Insha-Allah… Terngiang-ngiang perbualannya dengan mummynya sebelum dia keluar tadi.

Rupanya emak Farah juga teringin untuk melihat anak bongsunya itu berkahwin. Cuma anaknya itu tidak pernah ada ura-ura mahu memperkenalkan dengan teman lelakinya ataupun berbicara tentang kahwin. Menurut mummynya, sebentar tadi mummynya sudah masuk jarum dan Puan Naini juga seakan-akan berminat dengan rancangan untuk satukan Izzan dan Farah. Tetapi Puan Naini mahu menyelidik tentang status Farah terlebih dahulu, tidak mahu membuat keputusan melulu. Dan jika begitu, memang cerahlah peluang Izzan kerana dia tahu yang Farah memang tidak mempunyai teman lelaki buat masa ini. Izzan tersengih-sengih sendiri.

“Oiii… Berangan! Ingat dekat anak dara mana lah kawan aku ni?” Imran menepuk bahu Izzan untuk menyedarkan rakannya itu yang seakan-akan tersampuk hantu senyum itu.

“Mana ada… Jangan tuduh sembarangan okay.” Izzan menafikan tuduhan rakannya itu.

“Eh, jom teman aku makan. Dari tadi aku tak makan lagi nak menyiapkan projek ni.” Imran mengajak Izzan keluar makan kerana perutnya sudah berkeroncong minta diisi.

“Hmmm… Jom lah. Ni dah siap ke?”

“Aku bawa balik rumah ajelah, lepas makan terus balik.” Imran sudah menyimpan semua kerjanya ke dalam tumbdrive dan mengemas-ngemas barangnya untuk dibawa pulang ke rumah.


*~*~*~*~*~*







p/s: Jangan LUPA..... hehehehe macam biasalah... :D
      Reaction box dan komen...
      Terima kasih... :)


4 comments:

  1. heheheheh... agak ye kalu farah taw nie mau dia pengsan.. heeheh nakal 2 la izzan nie

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe kannn.. Izzan tu memang macam tuu.. suka hati dia je nak buat apa, yang dia tahu dia dapat... :)

      Delete
  2. habislah izzan lepas ni..mesti farrah bengang gile dgn dia..hope izzan sabar je la dgn kemarahan farrah tu..hehe..nk lagi Z..:D

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kerana drop komen dekat sini.... :)
      hahahaha of coz laa marah.. tapi Izzan pun ada cara dia sendiri nak redakan kemarahan Farah tuu... :D

      Delete