Followers

Thursday, December 20, 2012

[Ikatan Cinta Kita] 14 & 15

Salam semua... 
Hari nie Z rasa macam baik hati lah pulak.... 
hahahahaha (x malu puji diri sendiri!!!) LOL

Double entries special utk korang semuaaaa!!! Enjoy... :D



.:14:.

Farah bangun awal hari ini untuk membantu kakak iparnya menyediakan sarapan pagi. Awal-awal lagi mereka berdua sudah sibuk di dapur menyediakan pelbagai juadah untuk pagi itu. Setelah selesai, Farah menjemput seisi keluarga mereka untuk menjamu selera. Mereka makan dengan begitu berselera sekali pagi itu. Maklumlah sudah lama tidak berkunpul begitu.

“Farah, kejap lagi jom ikut mak jumpa kawan mak.” Puan Naini membuka mulut mengajak Farah ketika dia sedang mengemas meja makan.

“Jumpa kawan mak? Buat apa?” Soal Farah. Selalunya tidak pernah pun emaknya mengajaknya ikut sekali jika mahu berjumpa kawan-kawan, kenapa pula kali ini emaknya mahu dia turut serta?

“Kan kamu cakap nak suruh mak carikan calon?”

“Apa kena mengena cari calon dengan jumpa kawan mak tu?” Soal Farah lagi, kurang memahami apa yang cuba disampaikan oleh maknya itu.

“Yelah, calon dia anak kawan mak tu lah.”

Terbuntang mata Farah. Tidak sangka tindakan emaknya secepat itu. Farah sangkakan emaknya hanya main-main sahaja tentang mahu carikan calon suami untuknya. Baru semalam cakap hari ini sudah ada calon terpacul di depan mata.

“Cepatnya mak cari? Ingatkan mak main-main.”

“Hesy! Benda macam ni mana boleh main-main.” Jawab Puan Naini tidak berpuas-hati.

Farah sudah kehilangan bicara. Nampaknya emaknya itu memang serius kali ini. Mati lah dia…

“Boleh tak ni?” Puan Naini bertanya lagi melihatkan anaknya itu hanya mendiamkan diri tanpa reaksi.

“Errr… Errr… Farah ada janji nak keluar dengan kawan lah kejap lagi.” Farah memberikan alasan. Dia langsung tidak bersedia untuk bertemu sesiapa sahaja yang emaknya pilih untuk menjadi calon suaminya ataupun bakal ibu mertuanya. Memikirkannya sahaja pun sudah seram sejuk rasanya.

“Lah… Cancel je tak boleh ke?” Pinta Puan Naini penuh berharap.

“Tak boleh!!!” Hampir terjerit Farah menjawab. Terkejut Puan Naini dengan reaksi anaknya itu. Tiba-tiba sahaja menjerit tidak tentu pasal.

“Errr… Maksud Farah, kan dah janji dengan kawan Farah tu. Tak baik kalau mungkir janji kan?” Farah menjelaskan dan cuba membuat muka kesian.

“Hmmm… Dah kamu dah berjanji, nak buat macam mana? Lain kali je lah.” Hampa saja suara yang keluar daripada mulut Puan Naini.

Sorry mak…” Farah memohon maaf. Memang dia rasa bersalah kerana menghampakan emaknya, tetapi dia tidak bersedia langsung. Semalam itu dia hanya lah bercakap suka-suka sahaja tentang mahu emaknya mencari calon untuknya, mana tahu yang emaknya serius. Terpaksalah dia mereka-reka pertemuan yang tidak dirancang itu. Dia akan berjumpa dengan Ain sahaja, mahu menceritakan semua idea gila emaknya itu. Farah perlukan seseorang untuk meluahkan perasaannya yang gundah-gelana ketika ini.

*~*~*~*~*~*

Farah memulas tombol pintu rumah sewanya selepas membuka kunci, dia melangkah masuk dan terus merebahkan badannya ke atas sofa. Matanya dipejamkan. Dia betul-betul pening memikirkan masalah yang datang berduyun-duyun ke dalam hidupnya semenjak dua menjak ini.

Mengapalah emaknya tiba-tiba sahaja mahukan dia untuk berkahwin? Selama ini tidak pernah pun emaknya bertanya tentang kehidupan peribadinya. Sepanjang dia hidup solo, tidak pernah pun emaknya mahu bising-bising menyuruhnya mencari teman lelaki segala. Kenapa pula sekarang? Buntu fikiran Farah memikirkannya.

“Oiii... Bila sampai?” Soal Ain.

Terkejut juga Ain melihat kelibat Farah yang sudah terbaring di atas sofa ketika dia turun dari tingkat atas. Tadi dia seperti terdengar bunyi kereta, jadi dia pun turunlah ke bawah, tengok-tengok Farah sudah terbaring di atas sofa. Farah tidak berminat menjawab soalan Ain itu. Masalahnya memonopoli fikirannya. Dia hanya berbaring dengan lengannya menutup matanya.

“Woi... Yang diam je ni kenapa? Tadi kau cakap ada benda nak cerita dekat aku.” Ain menyoal lagi setelah melihat Farah yang seolah-olah tidak berminat untuk berbicara itu.

Farah mengeluh sebelum membuka mulut.

“Ain kau kena tolong aku. Kepala aku dah nak pecah dah ni.” Terus dia bangun dan duduk di sebelah rakannya itu.

“Kenapa pula kali ni?” Ain bertanya prihatin.

Pelik juga dia kali ini Farah muram sahaja walaupun emak dan ayahnya berada di sini, selalunya mode cerianya akan bertahan berminggu-minggu jika emak dan ayahnya datang ke Kuala Lumpur. Farah mula menceritakan segala-galanya tentang apa yang telah dirancang oleh emaknya. Tiada satu pun yang tertinggal, dari A sampai Z semua dia ceritakan pada Ain.

So kau ni kena kahwin paksalah ni?” Ain membuat konklusi setelah habis Farah bercerita.

“Iyalah kut… Hesy… Aku tensionlah, kenapa tiba-tiba je mak aku nak aku kahwin ni?” Hampir sahaja Farah mahu menjerit kegeraman.

“Aku rasa kalau kau ikut cadangan mak kau tu pun, tak salah.” Ujar Ain tenang.

Farah menjegilkan matanya tanda tidak berpuas hati. Dia fikir bercerita pada Ain boleh meringankan bebannya, tapi boleh pula Ain menyokong cadangan emaknya itu. Farah terasa seperti dikhianati sahaja.

“Eh… Kau dengar dulu…” Pujuk Ain.

“Sekarang ni kau pun tak ada boyfriend kan? Apa salahnya kalau kau cuba kenal-kenal dulu dengan lelaki tu, mana tahu kau suka dekat dia nanti…”

Farah hanya mendiamkan diri.

“Mak kau cuma nak tengok kau kahwin dan hidup bahagia.” Sambung Ain lagi setelah melihat Farah hanya mendiamkan diri tidak  berkutik.

Padanya, memang patut pun emak Farah bertindak begitu. Farah bukannya mahu mencari teman lelaki sendiri. Rimas katanya. Jadi tidak salahlah jika emak Farah mahu membantu dia mencari teman hidup. Sampai bila Farah mahu hidup bersendirian begitu.

“Lagipun bukannya mak kau paksa kau, mak kau ada je tanya kau ada boyfriend ke tak kan? Dah memang realiti pun kau sekarang single, nak kata kau ada nak cari boyfriend sendiri pun tak.” Ain menambah hujahnya.

“Ada yang nak dekat kau pun kau tak nak…”Ain bersuara lagi, tetapi suaranya cukup perlahan.

Namun begitu masih lagi dapat didengari oleh Farah. Farah memberikan jelingan maut buat Ain. Rakannya itu bukan sahaja tidak membantu meringankan fikirannya, malah mahu menyindir-nyindirnya lagi. Geram sungguh dia.

“Kau nak tunggu apa Farah? Aku rasa orang yang kau tunggu tu pun dah muncul balik, tapi hati kau tetap jugak tak terbuka-terbuka juga?” Ain bertanya.

“Siapa cakap aku tunggu Izzan?” Farah bersuara tidak puas hati.

“Ada aku cakap Izzan ke?” Ain sengaja mahu mengenakan Farah.

Farah hanya mampu menjeling Ain apabila menyedari dia sudah terkena.

Don’t deny lah sayang oiii… Aku tahu, selama ni hati kau tak terbuka pada mana-mana lelaki sebab dalam hati kau masih lagi ada Izzan. Sebab tu kau tak pernah terima mana-mana lelaki yang pikat kau kan?”

And aku juga tahu, kau tak boleh nak terima dia sekarang sebab kau masih lagi sakit hati dengan apa yang dia buat dulu, kan?” Ain menambah.

“Aku bukan nak cakap pasal Izzan sekarang ni…” Farah bersuara geram.

“Eh, dia pun termasuk sekali lah dalam topik ni.” Ain membantah.

Look, kau tak nak dengan calon mak kau tu. So meaning that kau kena cari calon sendiri. Tak kan kau nak pakai tangkap aci muat je lelaki nak dibuat boyfriend kau, kalau macam tu tak ada beza lah, kalau kau terima pilihan mak kau pun sama je. Dah sekarang Izzan tu memang suka gila kat kau, kalau kau terima dia jadi boyfriend semua masalah selesai.” Ain menjelaskan apa yang difikirnya sekarang ini.

“Apa yang selesainya? Mak aku nak suruh aku kahwin wei… Kalau aku cakap aku ada boyfriend pun, mesti dia suruh aku kahwin cepat-cepat.” Farah masih lagi tidak bersetuju dengan apa yang dicadangkan Ain.

At least kau kenal Izzan tu and yang paling penting kau suka dia.” Ain berkata selamba.

“Aku bukan tak boleh terima langsung calon yang mak aku carikan tu… Aku cuma tak bersedia nak berkahwin kau faham tak?”

So maknanya kau tak kisah lah kalau kena kahwin dengan orang yang langsung kau tak kenal?” Soal Ain seperti kurang percaya. Farah mengangguk perlahan sebelum bersuara.

I don’t think I have problem with that, aku yakin mak aku tak akan cari calon yang bukan-bukan untuk aku… Masalah sekarang ni aku tak nak kahwin lagi, I’m not ready!”

“Hesy, kau ni memang keras kepala lah. Apalah salahnya kalau kau cuba terima Izzan tu.” Soal Ain tidak berpuas hati.

“Aku tak bolehlah dengan dia tu, tengok muka dia pun aku dah geram!” Ujar Farah dan mengetap giginya kejap.

“Hmmm, kalau kau dah cakap tak kisah, kau terima aje lah cadangan mak kau tu. Mak kau tu kalau dah buat keputusan memang dah tak boleh nak ubah dah, macam lah kau tak kenal dia. So bersedialah untuk jadi pengantin baru ye…” Ain berkata sambil menepuk bahu Farah.

Farah mengeluh berat.

“Weh, kau ni macam mana boleh jadi cikgu hah? Jawapan kau tak menepati soalan!” Bengang Farah lagi.

“Aku bagi cadangan lah tadi… Kau terima aje Izzan jadi boyfriend kau. Selesai.”

“Cadangan apa macam tu?” Dahi Farah berkerut. Rasa macam nak aje dia cekik-cekik Ain sebab bagi idea yang sangat ‘bernas’ macam tu!

“Iyalah, kalau kau cakap kau ada boyfriend mak kau mesti tak paksa kau dah… Pasal kahwin tu pandai-pandai lah kau mengelak. Yang penting mak kau dah tahu yang kau dah ada seseorang, tak ada lah dia risau lagi.” Ain menjelaskan cadangannya.

Farah sudah juling mata ke atas. Itu sahaja kah jalan yang ada? Tak kan tiada jalan keluar lain? Untuk mengikut opsyen pertama, memang dia tidak sanggup! Tetapi untuk mengikut opsyen kedua… Huh, lagi lah dia tak rela!!! Sepuluh tahun akan datang pun tidak tentu dia sanggup terima Izzan sebagai kekasihnya! Tak mungkin!!!

Tidak semena-mena dia menghela nafas berat. Mengapalah semua ini timbul untuk mengucar-kacirkan hidupnya? Farah menjerit di dalam hati.

“Wei, jom main tenis petang ni. Aku stress lah, nak pukul orang tak boleh. So pukul bola aje lah jawabnya.” Farah mengajak Ain untuk bermain tenis setelah perbincangan selama sejam lebih itu masih lagi tidak ada jalan penyelesaian.

“Hmmm… Kau call Reen, tanya dia free tak? Aku dah lama tak jumpa dia, ajak dia sekali kalau dia free.” Ain mengusulkan untuk mengajak Izreen sekali. Sudah lama benar mereka tidak berjumpa.

“Kejap lagi aku call, kalau dia free boleh lah. Dia tu sibuk sentiasa. Macam lah kau tak tahu.”

Farah berlalu ke tingkat atas untuk membersihkan diri. Resah sungguh hatinya dengan segala masalah yang melanda dirinya saat ini. Rasa seperti mahu terbang jauh sahaja untuk mengelak daripada semua ini. Tetapi dia tahu mengelakkan diri bukanlah satu jalan penyelesaian yang baik. Entah lah, biar masa sahaja menentukan segalanya. Malas sudah dia mahu memeningkan kepala otaknya.

*~*~*~*~*~*


agak2 korang, kenapa ada orang tu angau gila bayang sangat dekat Farah ni? Muahahahaha

15

Farah menggalas beg raket tenisnya sambil berjalan masuk ke dalam rumah. Dia baru pulang bermain tenis bersama Ain, Qalesya dan Izreen. Tenang sedikit fikirannya setelah puas melepaskan geram dengan bermain tenis.

Semasa melintasi ruang tamu untuk naik ke tingkat atas Farah dipanggil oleh emaknya. Berat kaki Farah untuk melangkah ke arah emaknya kerana dia tahu emaknya itu pasti mahu membicarakan tentang calon pilihannya itu lagi. Namun demi menghormati emaknya, Farah melangkah jua.
“Kenapa mak?” Farah bertanya sambil meletakkan beg raketnya di atas lantai.

“Kamu pergi mana tadi?” Soal Puan Naini.

“Farah pergi main tenis dengan kawan-kawan.”

“Oh… Hmmm, tak apa lah. Farah, minggu depan kamu pergi jumpa Zhariff ye.” Ujar Puan Naini dengan nada ceria. Berkerut dahi Farah mendengar sepotong nama yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini.

“Zhariff? Siapa tu mak?”

“Lah… Calon suami kamu lah.”

Melopong mulut Farah, cepat benar emaknya mahu dia berjumpa dengan lelaki itu. Menyesal pula dia kerana meminta emaknya menolongnya mencari calon. Mulanya semalam dia sengaja bercakap begitu kerana tidak mahu emaknya memanjangkan bicara tentang kahwin. Manalah dia jangka yang emaknya akan bertindak secepat ini!!!

“Kalau tak mak nak kamu berdua jumpa minggu ni je, tapi dia sibuk pula.” Puan Naini menambah.

“Dia kerja apa mak?” Farid membuka mulut bertanya setelah muncul dari dapur.

“Hari ni dia sibuk dengan photoshoot kata Auntie Zahlea. Esoknya kalau tak silap mak dia kena pergi luar negara pula.” Puan Naini menjelaskan.

Farid mendengar dengan penuh minat manakala Farah hanya acuh tidak acuh sahaja mendengar apa yang keluar daripada mulut emaknya itu. Dia langsung tidak berminat untuk mengambil tahu perihal lelaki tersebut.

Photoshoot? Dia photographer ke?” Farid menyoal lagi.

“Dia jadi photographer sambilan aje. Zhariff tu pilot sebenarnya.”

“Wah… Pilot tu dik…” Farid nampaknya berminat benar dengan lelaki yang mungkin bergelar bakal adik iparnya itu.

“Nama dia Zhariff? Emmm… Sedap nama dia, handsome tak mak?” Farid masih lagi teruja, seolah-olah dia yang bakal dijodohkan dengan Zhariff itu. Bertanya soalan macam-macam. Farah pula masih dengan muka selambanya. Tidak langsung berminat mahu bertanya apa-apa tentang lelaki yang bernama Zhariff itu.

“Mesti lah handsome..” Puan Naini berkata sambil menunjukkan ibu jarinya tanda bagus.

“Untunglah adik. Dah lah pilot, handsome pula tu. Mesti kaya ye tak mak?” Farid menyiku lengan emaknya.

“Kalau bukan pilot pun, family dia orang tu dah memang kaya pun. Ayah dia tittle Datuk.”

“Wah, berbesan dengan Datin lah mak? Aikkk, bila masa pula mak ada kawan Datin ni?” Soal Farid lagi.

“Emmm… Dah tuah adik kamu Farid. Mak kenal Auntie Zahlea tu masa mak pergi bercuti ke Beijing dulu. Dia tu ramah, tak berlagak langsung walaupun dia tu ada pangkat Datin.” Jelas Puan Naini lagi.

“Pandai mak pilih ye…” Farid memuji.

Tetapi pujian itu hanya menimbulkan perasaan jengkel di dalam hati Farah. Ada dia kisah lelaki itu anak Datuk ke tidak. Jika anak Tan Sri, Tengku, Raja sekalipun, Farah tetap juga tidak berminat!

Farah ingin cepat-cepat menamatkan perbualan ini. Dia berasa lemas. Mendengar perbualan emak dan abang long nya itu sahaja sudah membuatkan dia panas telinga.

“Mak, Farah naik atas dulu. Nak mandi, badan melekit-lekit ni.” Farah meminta diri lalu melangkah laju ke tingkat atas.

Semasa dia memanjat tangga, dia masih dapat mendengar lagi perbualan emak dan abangnya. Semuanya masih lagi berkisar tentang lelaki yang bernama Zhariff itu. Mereka berdua begitu teruja dan seronok sekali. Nampaknya memang payah lah untuk Farah menolak kali ini melihatkan emak dan abangnya begitu beria-ia.   

*~*~*~*~*~*

Farah menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Dia mengesat air mata yang jatuh ke pipinya. Tadi dia hampir-hampir mahu menaikkan suara pada emaknya. Farah terasa amat berdosa, tapi dia tidak mahu dipaksa untuk berkahwin dengan orang yang dia langsung tidak kenal. Semasa makan malam sebentar tadi dia mengutarakan pada emaknya yang dia tidak mahu berkahwin buat masa sekarang, tetapi emaknya melenting pula.

Lama juga perbalahan mereka sebentar tadi. Farah cuma mahu emaknya mengerti perasaannya yang masih tidak bersedia apatah lagi dia terpaksa berkahwin dengan orang yang dia tidak kenal. Namun dia pula dimarahi oleh emaknya.

Farah teresak-esak di atas katil. Mengapakah semua orang tidak mahu memahami perasaannya. Sedangkan Ain yang selalu memahaminya juga menyuruhnya mengikut cadangan emaknya itu. Sungguh Farah berasa sunyi, tiada seorang pun yang menyebelahinya. Tiba-tiba pintu diketuk dari luar dan kakak ipar Farah muncul di depan pintu. Dia mengambil tempat di sisi Farah.

“Farah…”  Amani bersuara sambil memegang bahu Farah. Farah tidak bersuara sebaliknya dia terus memeluk kakak iparnya itu. Dia teresak-esak di bahu kakak iparnya. Menghamburkan semua kesedihannya.

“Menangis lah puas-puas dik… Keluarkan semuanya.” Pujuk Amani sambil membelai-belai belakang Farah. Dia bersimpati dengan apa yang menimpa adik iparnya itu. Farah menangis sepuas-puasnya di bahu kakak iparnya itu. Setelah reda sedikit barulah dia membuka mulut.

“Terima kasih Kak Amani.” Ucap Farah sambil mengesat saki baki air matanya yang masih jatuh di pipi.

“Tak apa. Farah boleh luahkan dekat Kak Amani kalau Farah nak. Kak Amani sedia mendengar.”

“Farah tak bersedia lagi kak… Kenapa semua orang tak nak faham?” Luah Farah. Dia masih lagi beremosi, terasa seperti air matanya mahu tumpah lagi.

“Farah… Kalau nak tunggu bersedia, sampai bila pun kita tak bersedia kalau kita tak cuba kan?” Lembut sahaja tutur Amani.

“Tapi kak, kenapa mak tiba-tiba aje timbulkan soal kahwin ni? Sebelum ni tak pernah pun. Farah tak suka lah. Lagipun siapa entah lelaki tu, bukannya Farah kenal pun!” Farah meluahkan perasaannya.

“Kak Amani tahu yang Farah tak ada pun niat nak bercinta selama ni, apa salahnya Farah cuba untuk kenal dulu dengan lelaki pilihan mak tu. Mana tahu sesuai dengan Farah.” Amani menambah lagi. Farah hanya berdiam diri. Dia cuba untuk memikirkan apa yang dikatakan oleh Amani, tidak mahu terus-terus melenting tidak tentu pasal.

“Mak tu dia bukan tak faham Farah, dia cuma nak tengok Farah bahagia. Dia tahu yang Farah mesti tak kan cari sendiri kalau dia suruh sekali pun, sebab itulah dia tolong carikan. Lagipun selalunya pilihan ibu bapa ni kan terbaik untuk kita. Tak salah kalau Farah cuba dulu kan?”

“Tapi kak…” Farah terasa ingin membantah tetapi tidak ada ayat yang keluar daripada mulutnya. Mulutnya seperti kaku sahaja.

“Semua ibu bapa dalam dunia ni nak yang terbaik untuk anak-anak mereka, mak pun nak terbaik untuk Farah. Mak dengan ayah dah tua Farah, mereka nak ada orang yang boleh jaga Farah dengan baik lepas mereka dah tak ada nanti.” Amani menambah lagi.

“Jangan lah sebab benda ni Farah nak berbalah dengan mak pula. Tak baik dik…” Nasihat Amani.

Farah menundukkan kepalanya. Dia terasa amat bersalah ketika ini. Sebentar tadi dia bukan sahaja telah membantah kata-kata emaknya, malah dia hampir-hampir menaikkan suaranya. Farah terasa berdosa sekali. Dia tidak mahu menjadi anak yang derhaka. Berkata ‘Ahh’ dengan ibu juga sudah berdosa, apatah lagi meninggikan suara di hadapan emaknya. Masyallah… Farah benar-benar menyesal.

“Apa-apa pun Farah fikirlah baik-baik apa yang kak Amani cakap tadi. Minta petunjuk Tuhan, itulah yang sebaik-baiknya.” Ujar Amani dan berlalu keluar meninggalkan Farah untuk berfikir seorang diri. Empangan air mata Farah pecah lagi setelah mendengar kata-kata Amani. Rasa bersalah, marah, bingung dan sedih bercampur menjadi satu. Teringatkan kata-kata kakak iparnya sebentar tadi, Farah bangun menuju ke bilik air. Dia mahu mengambil wuduk dan mengerjakan sembahyang istikharah dan solat sunat taubat, Farah mahu meminta petunjuk Allah dan memohon keampunan Allah.


*~*~*~*~*~*

                                                       ~Bersambung............~


Macam mana dapat double entry??? Seronokkk?? :D
Kalau korang lah jadi Farah, apa perasaan korang ea???? Hehehehe 
Ehh, dah seronok-seronok tu janganlah lupa tinggalkan komen anda dan click reaction box 
di bawah      ye.... :)
Terima Kasih di atas kunjungan anda... :D


2 comments:

  1. nasiblah farah taknk jumpa izzan kalau tak..tak tau nk cakap pe..entah2 farah ni lari dulu sebelum bertunang kalau jumpa izzan ni...Z,nak lagi..:D

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau farah nak jumpa pun izzan mesti cari idea untuk mengelak punya lahhh... hahahaha bukan entah2, tapi pastiii dia akan lari... sebab tu lah izzan ambik langkah berjaga-jaga.. hehehe tunggu ye, malam ni saya update lagi... XD

      Delete