Followers

Friday, September 28, 2012

[Ikatan Cinta Kita] 02

Assalamualaikum semua.. Terlebih dahulu Z nak memohon maaf sebab lambat bagi en3 untuk minggu ni.... Sebenarnya Z keluar pergi shopping tadi, then balik tu baru terperasaan yang kunci bilik hilang.. N kebetulan gila roomate tertinggal kunci dalam bilik. 2 orang lagi roomate Z balik umah pulak... So memang tak boleh nak masuk dalam bilik n update [ICK] ni... Ni pun Z baru je dapat masuk dalam bilik setelah kakak-kakak senior bersusah payah meng"hack" pintu bilik... So korang enjoy la dengan en3 baru yg saya update dengan penuh cobaan ini.... Terima Kasih kerana menyokong blog kami dan enjoy tauuuu.... :)


Cik Sharifah Izreen Zahnita!

                                                                         
                                                                             .::02::.


             “Reen…  Sedar pun kau. Risau aku dibuatnya.” Farah menerpa ke arah Izreen. Rindu benar dia dengan rakannya yang seorang ini, sudah lama mereka tidak bersua muka walaupun mereka masih berhubung antara satu sama lain.

“Farah…? Apa kau buat dekat sini?” Izreen menyoal kebingungan namun tangannya tetap didepakan untuk memeluk sahabatnya yang sudah lama tidak ditemuinya itu.

“Kau dah lupa ke? Aku kan kerja dekat hospital ni sekarang. Mestilah aku ada dekat sini” Jelas Farah sambil tangannya membalas pelukan rakannya itu.

“Ohhh... Aku masuk hospital yang kau kerja ke? Eh tapi bagus juga…” Ujar Izreen selepas meleraikan pelukan mereka. Senyuman di bibirnya melebar.

“Bagus? Apa yang bagus?” Soal Farah, tidak memahami sepenuhnya bicara Izreen yang kedengaran aneh itu.

“Hmmm, baguslah... Sebab kita kan dah lama tak jumpa, kalau aku tak masuk hospital ni entah bilalah kita nak jumpa balik.” Balas Izreen menjelaskan maksud sebenar kata-katanya sebentar tadi.

Terlopong sedikit mulut Farah apabila mendengar alasan rakannya itu. Adoyaii… Boleh pula dia berfikiran seperti itu.

“Apa lah kau ni Reen... Boleh kau cakap masuk hospital ni bagus? Ni sebab kau nak diet lagi ke yang sampai pengsan-pengsan masuk hospital?” Farah sudah mula untuk membebel, pada waktu yang sama dia melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia di tepi katil.

“Kau ni… Aku dah lama tak jumpa kau, patutnya kau puji lah aku makin cantik ke, makin comel ke… Ini tak, terus aje membebel dekat aku. Bila lah kau nak ubah perangai buruk kau tu hah?” Sengaja Izreen mahu menyakat rakannya itu.

Lantas sebuah tamparan hinggap di lengan kanan Izreen.

“Kau tu yang tak ubah perangai buruk sampai pengsan, ada hati nak kenakan aku pula.” Ucap Farah tidak berpuas hati.

“Aduiii... Doktor apa ni pukul pesakit..?” Terjerit Izreen. Matanya dijegilkan tanda tidak puas hati.
“Tak ada maknanya. Kau jangan nak mengada-ngada. Baru kena sikit dah terjerit-jerit.” Farah memarahi Izreen.

“Tak adalah... Aku ni sibuk sangat, sampai kadang-kadang terlupa nak makan. Tu yang jadi macam ni... Tapi dah alang-alang masuk hospital ni lagi bagus, boleh aku cuti.”  Izreen menjelaskan keadaan sebenar. Hakikatnya Izreen sendiri sudah terlalu penat dengan kerjanya yang tidak putus-putus itu. Selepas satu, satu lagi yang hadir. Sehinggakan waktu rehatnya benar-benar terhad.

Tiba- tiba Izreen teringat tentang kejadian sebentar tadi yang dianggap aneh, lantas dia mengubah topik dan membicarakan tentang kemusykilannya itu.

“Farah... Kau nak tahu tak? Tadi kan masa aku pengsan, aku rasa macam ternampak Daniel lah...”

“Aku pun pelik, dia tu dah lama tak muncul dalam otak aku ni. Ni tiba-tiba datang balik kenapa entah? Aku tak suka lah...” Jelas ketidakpuasan hati terpancar di wajah Izreen.

Aikkk? Ini sudah aneh ni… Ada apa-apa yang dia tidak tahu kah?

“Dulu kau bukan minat dekat dia ke?” Soal Farah kehairanan.

Setahunya Izreen paling menggilai Daniel walaupun Daniel bukanlah satu-satunya lelaki yang diminati Izreen sepanjang mereka menuntut di Kolej Matrikulasi dahulu. Biasa lah kawannya yang seorang ni bukan reti nak suka seorang lelaki dalam satu masa. Nampak aje yang handsome semua pun dia suka. Bila mereka cakap dia tak setia selamba dia bidas balik. Katanya, alah crush aje pun… Bukan boyfriend aku, so tak salah kan…?

“Cisss... Tak ada maknanya aku nak suka dekat orang yang berlagak nak mampus macam tu. Hmmm, lantak lah dengan dia tu… Malas aku nak ambik tahu. Buang masa aje.” Ujar Izreen dengan marahnya.

“Eh Farah... Kau ke doktor yang rawat aku?” Izreen mengubah topik, sudah malas mahu berbicara berkenaan hal lelaki yang dia benci itu. Menaikkan darah sahaja.

“Tak. Bukan aku, tapi doktor lain.” Sedikit ragu-ragu Farah menuturkan kata-katanya selepas melihat reaksi negatif yang ditunjukkan Izreen apabila berbicara tentang Daniel. Tidak berani pula Farah mahu memberitahu yang sebenarnya Daniel lah doktor yang bertanggungjawab merawat Izreen. Biarlah dia tahu sendiri.

 “Emmm… Reen aku ada kerja sikit ni, nanti aku suruh nurse hantarkan makanan untuk kau. Perut tu kena jaga. Nanti aku dah habis kerja aku datang lagi, okey?” Farah meminta diri disebabkan ada tanggungjawab lain yang perlu dia selesaikan.

Dalam hatinya berharap agar Izreen boleh menerima hakikat yang sebenarnya Daniel lah yang merawatnya sekarang ini. Perempuan seorang tu bukan boleh sangat, nanti ada yang mengamuk nanti! Tak pasal-pasal haru satu hospital ni!
*~*~*~*~*~*

Semasa Izreen sedang berehat sendiri, seorang doktor masuk untuk memeriksa keadaannya. Izreen yang sedang leka itu tidak perasan akan kehadiran doktor itu. Apabila terdengar panggilan jururawat barulah dia membuka matanya dan bukan kepalang lagi terkejutnya Izreen kerana doktor itu ialah tidak lain dan tidak bukan adalah orang yang dibencinya. Lelaki yang telah menghancurkan hatinya beberapa tahun lepas. Masih segar di ingatannya akan kenangan yang pahit itu.

Izreen terasa seperti ingin menangis di saat itu juga. Tetapi dia menguatkan semangatnya kerana tidak mahu dilihat sebagai insan yang lemah di depan lelaki ini.  Izreen berpura-pura seperti tidak mengenali lelaki tersebut. Dia benar-benar mengotakan tekadnya yang pernah dibuat dihadapan Qalesya dahulu.

“Macam mana dengan awak Cik Izreen? Dah rasa better sikit?” Ramah Daniel bertanya sedangkan dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Tadi sebelum melangkah masuk ke bilik ini, jantungnya berdegup kencang seakan-akan gendang yang dipalu. Dia menguatkan semangatnya untuk berjalan masuk ke dalam bilik yang menempatkan Izreen, dia tahu dia tidak boleh mengelak lagi kerana Izreen adalah pesakitnya. Walau apa pun yang pernah terjadi antara mereka berdua, bila tiba waktu memeriksa pesakit, Daniel sebagai seorang doktor perlu juga menghadapi kenyataan sebenar dan perlu menjalankan tugasnya.

Hmmm, I’m okay.”Acuh tidak acuh sahaja bunyi yang keluar dari mulut Izreen. Tetapi di dalam hati dia rasa seperti mahu saja melenyapkan diri serta-merta!

“Makanan tadi awak dah makan? Awak kena jaga waktu makan awak, tak boleh skip-skip waktu makan ye Cik Izreen.” Daniel memberikan nasihatnya. Lembut saja tuturnya.

“Hmmm...” Malas sahaja dia membalas.

Daniel yang tadinya tersenyum, terus mati senyumannya. Sedikit tersinggung dengan balasan dingin Izreen. Mungkinkah Reen dah tak kenal aku? Daniel tertanya-tanya sendiri.

“Kalau tak ada apa-apa saya keluar dulu lah Cik Izreen.” Lantas Daniel meminta diri setelah menulis laporan perkembangan kesihatan Izreen.

Daniel tidak sanggup lagi berlama-lama di dalam bilik itu. Izreen langsung tidak mengenalinya. Tepat seperti sangkaannya sebelum ini. Dan kenyataan seperti ini yang ditakutinya dan tidak mahu dihadapinya. Tetapi sekarang perkara ini memang betul-betul berlaku dan sangat menyakitkan hatinya.

“Okey.” Hanya itu sahaja yang keluar dari mulut Izreen.

Daniel melangkah dengan hati yang sebal. Sedih kerana Izreen tidak lagi mengingatinya.
“Doktor.” Izreen tiba-tiba memanggil Daniel.

Daniel yang tadinya bermuram durja terus bercahaya wajahnya apabila mendengarkan Izreen memanggilnya. Mungkin sahaja Izreen telah mengingatinya semula. Tersenyum lebar Daniel seraya berpaling ke arah Izreen. Tetapi sangkaannya meleset apabila Izreen hanya mahu bertanya bila dirinya boleh keluar dari hospital.

“Kita tengok lah esok macam mana....”

“Kena stay hospital juga ke doktor? Saya macam dah okey je ni?” Izreen membantah lagi, kalau boleh memang dia mahu pulang sekarang juga!

“Kalau awak nak keluar cepat, baik awak ikut cakap saya dan nurse semua. Makan ubat tepat pada waktunya dan jangan skip waktu makan. Kalau awak cepat sembuh, cepatlah awak boleh keluar.” Jawab Daniel seraya berlalu keluar dari bilik Izreen.

Sebaik sahaja kaki Daniel melangkah keluar daripada biliknya, Izreen tidak dapat lagi menahan beban air mata yang bertakung di tubir matanya, air jernih itu terus mengalir laju.
“Dia langsung tak ingat aku. Dia tak ingat pun yang kami ni pernah kenal. Betul keputusan yang aku ambik untuk ignore dia kalau kami jumpa balik. Lelaki berlagak macam tu tak kan pernah ingat aku.” Ngongoi Izreen sendiri.

“Memang selama ni aku je yang tergila-gila dekat dia. Macam orang bodoh je. Stop it Reen, jangan nangis sebab that stupid guy again.” Izreen mengelap sisa-sisa air mata yang meleleh di pipinya.

Memang selama ini Izreen telah membuang Daniel daripada mindanya. Dia langsung tidak mahu ambil tahu perihal lelaki itu walaupun rakan baiknya, Qalesya kerap juga memberikan maklumat terkini tentang Daniel. Dia berusaha menyematkan perasaan benci di dalam hatinya tetapi hakikatnya Izreen masih lagi mempunyai perasaan terhadap Daniel. Buktinya sekarang jika benar di dalam hatinya cuma ada benci dan tiada langsung cinta, mengapakah dia harus menangis lagi?

Tidak, pantas mindanya menyangkal kata hatinya. Dia menangis bukan kerana dia masih menyintai Daniel. Dia menangis kerana dia berasa egonya tercabar apabila Daniel tidak mengenalinya. Izreen memang terkenal sebagai seorang yang mempunyai ego yang tinggi dan keras kepala.

“Qalesya... Where are you? Kenapa lah saat kau tak ada ni juga lelaki tu nak muncul. Aku nak mengadu dekat siapa kali ni?”

Ketika itu Farah kebetulan masuk untuk melawat rakannya itu. Terkejut dia melihat Izreen yang teresak-esak seorang diri. Farah pantas mendapatkan Izreen dan memeluknya erat.

“Reen... Kenapa ni? Kau sakit lagi ke?” Penuh prihatin Farah bertanya.

“Daniel.... Daniel… Farah. Dia ada dekat sini. Aku jumpa dia tapi dia tak kenal aku... Dia masih lagi berlagak macam dulu juga... Aku benci dia! Aku benci dia!” Izreen masih lagi teresak-esak.

“Shhh... Jangan lah macam ni Reen… “ Farah cuba memujuk Izreen.  Buntu dia melihat keadaan rakannya yang teresak-esak seperti itu. Nampaknya kebimbangan dia berasas, lihatlah keadaaan Izreen sekarang selepas berjumpa dengan Daniel.

Tiba-tiba pintu bilik dikuak, Izzan muncul dengan membawa sejambak bunga tulip. Izzan terkesima melihat adiknya menangis teresak-esak sambil dipeluk oleh seorang doktor. Hatinya mula dipagut rasa bimbang, takut jika adiknya terkena sebarang penyakit yang berbahaya.

Tadi sebaik sahaja dia sampai ke KLIA, dia dikejutkan dengan panggilan daripada pengurus adiknya yang menyatakan adiknya dimasukkan ke wad kerana pengsan. Kalut langkah kakinya dibawa menuju ke hospital. Memang adiknya ada berpesan supaya membelikan bunga tulip dari Holland tetapi dia tidak menyangka pula yang dia bakal membawa bunga itu sebagai buah tangan untuk adiknya di hospital.

Patutlah sejak pagi lagi dia berasa lain macam sahaja. Rupa-rupanya adik kembarnya ditimpa sesuatu. Hatinya yang sememangnya dipagut rasa resah semakin resah tatkala melihat adiknya teresak-esak di bahu seorang doktor.

“Reen...” Lembut Izzan memanggil.

Mendengarkan suara lelaki tersebut Farah spontan terbangun dari duduknya dan melepaskan rangkulan Izreen. Lantas dia berdiri tegak seperti tiang bendera. Sudah lama dia tidak bertemu dengan lelaki yang telah menghancurkan hatinya itu, tetapi suaranya mana mungkin dilupakan Farah.

Dia seakan-akan lupa pula akan kehadiran lelaki itu dalam hidup Izreen, ada Izreen maknanya ada lah Izzan. Akibat terlalu seronok berjumpa kembali dengan sahabat lamanya itu, dia langsung tidak terfikirkan akibat berjumpa kembali dengan Izreen. Dia langsung tidak menyedari kemungkinan yang dia juga akan bertemu dengan Izzan jika dia berjumpa dengan Izreen. Dia lupa tentang itu. Mana mungkin abang kembar Izreen tidak datang menjenguknya jika dia dimasukkan ke hospital. Dia tidak ingat langsung dan tidak mengambil langkah berjaga-jaga, akibatnya sekarang... Izzan sudah pun tercongok di belakangnya.

“Izzan...” Suara Farah seakan-akan tidak terkeluar. Dia terpaku disitu.

*~*~*~*~*~*
(flashback)

“Reen! Tunggu lah kejap. Weh, aku tiba-tiba cuak ni.” Farah menahan Izreen daripada terus berjalan. Memang tadi dia teruja dan rasa tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan Izzan, tetapi sekarang hatinya makin berdebar-debar pula.

“Hesy, kau ni kenapa? Macam lah sebelum ni tak pernah jumpa abang aku tu. Jom lah cepat. Nanti mengamuk pula orang tua tu.” Izreen menarik Farah untuk terus berjalan. Mereka sudah terlambat setengah jam daripada waktu yang telah dijanjikan. Bila memikirkan perkara itu, kayuhan langkahnya dipercepatkan lagi. Dia sudah masak sangat dengan perangai abangnya sangat pantang menunggu orang itu.

Tetapi hari ini Izreen berasa pelik juga. Selalunya kalau dia terlambat, abangnya pasti akan menelefonnya berkali-kali untuk menggesanya, tapi lain pula hari ni, dari tadi dia tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada abangnya itu. Hmmm... Musykil juga dia.

“Sebelum ni lain, hari ni lain. Hari ni korang suruh aku bagi hadiah ni sendiri, gila apa? Mesti lah aku takut. Segan kau tau tak...” Farah menjelaskan perasaannya.

“Alah tak ada beza pun. Sebelum ni pun kau segan juga dengan abang aku tu. Bila masa yang kau tak segan dengan dia? Dah dia yang kau suka kan?” Tambah Izreen lagi.

Tanpa menunggu jawapan Farah, Izreen terus menarik rakannya itu untuk menuju ke destinasi yang ingin ditujui mereka.

Hari ini Farah yang terkenal dengan sifat pemalunya itu akan memecah rekod hidupnya. Dia akan menyerahkan sendiri hadiah kepada lelaki pujaannya. Itu pun setelah puas dipaksa oleh Izreen dan Shahirah, barulah Farah akur. Mereka berdua menggunakan alasan yang ini merupakan minggu-minggu terakhir mereka berada di kolej matrikulasi itu dan selepas itu mungkin juga susah untuk mereka bertemu kembali, jadi Farah mengagahkan dirinya untuk melakukan perkara itu. Mungkin perkara ini mudah bagi orang lain, tetapi tidak buat Farah. Dia adalah seorang gadis yang sangat pemalu. Lebih-lebih lagi dengan lelaki pujaannya itu.

Sebelum ini pun jarang sungguh dapat melihat Farah berkawan rapat dengan mana-mana lelaki. Dia hanya berkawan baik dengan beberapa orang lelaki sahaja. Hanya dengan teman-teman sekelasnya dan juga ahli-ahli lelaki kelab penyiaran yang dianggotainya sahaja. Hubungannya dengan Izzan agak rapat pun hanyalah disebabkan mereka sama-sama ahli kelab penyiaran dan juga disebabkan Izzan merupakan abang kembar kepada teman baiknya, Izreen.

Semakin hampir kaki mereka melangkah ke tempat yang ditujui, makin tidak keruan jantung Farah berdegup. Farah merasakan kakinya tidak lagi berpijak pada bumi yang nyata. Dia ibarat melayang-layang sahaja. Kakinya melangkah hanya dengan mengikut rentak Izreen, dia hanya mengikut sahaja Izreen yang sejak tadi menarik tangannya untuk melangkah. Tetapi, akibat berhenti secara mengejut, Farah telah merempuh tubuh Izreen yang berada di hadapannya itu.

“Adui... Hey, yang kau ni langgar aku tu kenapa?” Marah Izreen kerana tubuhnya dirempuh oleh Farah. Izreen ini memang agak terkenal dengan sifat panas barannya, tak boleh diusik sikit pasti melenting!

“Yang kau tu tiba-tiba stop mengejut tu kenapa pula? Itu sebab lah aku langgar kau.” Farah membela dirinya.

“Tu kau tengok tu. Abang aku tu tengah dating dengan minah mana pula dah?” Lurus telunjuk Izreen ke arah sepasang merpati tak berapa nak sejoli yang sedang rancak berbual.

Terasa berat kepala Farah seperti dihempap oleh seketul batu besar. Matanya mula berkaca-kaca tatkala terpandang ke arah yang ditunjukkan oleh Izreen. Empangan air matanya akan pecah pada bila-bila masa sahaja apabila melihat betapa mesranya pujaan hatinya itu bercanda dengan gadis lain.

Izreen yang melihatkan situasi Farah itu pantas bertindak. Dia tidak mahu Farah membuat tayangan air mata percuma pula di depan-depan orang ramai begini. Malu wehhh!

“Kau tunggu sini. Biar aku yang buat perhitungan dengan abang aku tu.” Izreen mengarahkan Farah menunggunya di suatu sudut sementara dia pergi menyiasat apa yang terjadi.

“Patut lah tak telefon-telefon walaupun aku lambat setengah jam.  Selalunya penat aku nak menjawab panggilan dia, rupa-rupanya dia syok-syok tengah dating.” Dengus Izreen sendiri.

Laju langkahnya dihayunkan ke arah pasangan yang sedang rancak berbual itu. Tanpa diundang, Izreen terus melabuhkan punggung di sebelah abangnya.

“Abang!” Izreen menengur saudara kembarnya yang sedang rancak berbual dengan gadis di sebelahnya itu.

“Oiii... Sampai pun budak kecil ni. Kenapa lama sangat? Penat abang tunggu kut...” Izzan melahirkan rasa tidak puas hatinya pada Izreen.

“Oh ye ke... abang penat? Reen tengok macam seronok je sembang. Hmmm by the way, ni siapa?” Izreen pantas mengajukan soalan utama tanpa mahu berlengah-lengah lagi. Rupanya kelat sahaja, langsung tiada senyuman di bibirnya.

“Ni kenalkan Zaty Amira. Girlfriend abang.” Ujar Izzan sambil tersenyum lebar.

“Zaty, ni lah adik saya. Izreen.” Izzan memperkenalkan mereka berdua.

What? Girlfriend???” Terjerit sedikit Izreen apabila mendengarkan pengakuan abangnya.

Zaty Amira sudah cuak, terkejut dengan rupa Izreen yang seperti ingin menelan orang hidup-hidup sahaja lagaknya. Izzan sendiri juga agak terkejut dengan reaksi adiknya. Dia tidak menyangka adiknya akan bereaksi sebesar itu. Izzan menjangkakan pastinya adiknya berkecil hati kerana dia tidak pernah bercerita apa-apa perihal Zaty Amira, padahal mereka tidak pernah merahsiakan apa-apa daripada diri masing-masing.

Sorry Zaty, awak tunggu kejap ye. Ada hal saya nak bincang dengan adik saya ni.” Izzan pantas menarik Izreen ke suatu sudut supaya mereka boleh berbincang.

Zaty Amira hanya mampu tersenyum kelat melihat perlakuan kedua adik beradik kembar itu. Dalam hatinya terselit juga rasa bimbang di atas reaksi Izreen sebentar tadi.

“Abang! Now you tell me, apa semua ni? How come I didn’t know anything about her?” Izreen terus menghamburkan ketidakpuasan hatinya.

“Okey, okey. Abang minta maaf. Abang memang nak cerita kat Reen tapi abang nak tunggu dah confirm baru abang nak bagitahu.” Jelas Izzan.

What???” Begitu kuat jeritan Izreen, memaksa Izzan berundur sedikit. Nasib baik tak pekak telinga dia ni!

“Kenapa abang langsung tak pernah cerita pun abang suka budak tu? Apa nama dia? Zaty apa?” Soal Izreen lagi, dia sudah buat muka meluatnya.

“Zaty Amira...” Izzan menambah ayat Izreen yang tidak lengkap itu.

“Abang!!! Reen bukan nak tahu nama dia. Macam mana pula, dia boleh jadi girlfriend abang? Tiba-tiba aje?” Jerit Izreen kuat. Memang nyata dia sedang angin dengan abangnya seorang ini. Orang serius dia boleh main-main pula!

“Mana ada tiba-tiba. Abang dah suka dia lama lah juga. Reen aje yang tak tahu.” Izzan menambah tanpa ada sedikit pun rasa bersalah terbit daripada hatinya.

“Oh my god! Seriously?” Soal Izreen dengan rasa tidak percaya, riak mukanya jelas yang dia jengkel.

 “Then baru sekarang Reen tahu? Abang ni memang melampau lah.” Izreen menumbuk bahu abangnya sekuat hati.

Pada Izreen abangnya itu memang sudah melampaui batas, masakan dia tidak diberitahu langsung. Apa yang membuatkan Izreen paling tidak berpuas hati, abangnya selalu sahaja menghalang dia daripada menerima mana-mana lelaki yang memikatnya tetapi abangnya pula yang diam-diam bercinta. Sumpah, ini tidak adil!

“Eh kejap-kejap... Abang cakap dah lama? Lama tu sejak bila?” Izreen tiba-tiba bertanya kerana ada sesuatu yang menggasak mindanya.

Dia tiba-tiba teringatkan Farah. Setahunya abangnya itu hanya rapat dengan kawan-kawannya sahaja. Dan abangnya juga melayan Farah extra baik berbanding kawan-kawannya yang lain, jadi dia mengganggap yang abangnya itu membalas perasaan Farah. Tidak pula dia menyangka yang abangnya mempunyai kawan perempuan lain yang rapat.

“Penting ke?” Izzan menyoal malas.

“Penting lah! Jawab cepat!” Izreen melenting lagi.

Tiada pilihan, Izzan menjawab juga.

Start sem dua ni, dia tu classmate abang. I fell for her since the first time I saw her…”

“Apa? Maknanya dah lama lah? Habis tu Farah tu siapa pula pada abang?” Tanya Izreen tidak berpuas hati.

“Farah? Apa kena mengena dengan Farah pula? Kan ke dia cuma kawan abang je, kawan Reen juga kan...” Izzan menjawab tanpa berfikir panjang.

“Kawan? Abang cakap kawan? Habis tu yang abang layan dia sikit punya baik tu apa pasal pula? Macam bagi harapan je pun?” Izreen masih tidak puas hati.

Baginya layanan abangnya terhadap Farah yang dianggap terlalu baik itu membuatkan dia juga fikir yang abangnya menyukai rakannya itu. Izreen tidak pernah pula melihat abangnya melayan perempuan lain seperti itu.

“Mana ada… Abang layan kawan abang sama je kan?” Izzan membela dirinya.

“Sama? Mana yang samanya? Ni Reen nak tanya. Kalau Anisa merajuk ada abang pujuk? Kalau Amy minta coklat ada abang bagi? Kalau Diana nak pegang camera abang ada abang bagi? Ada ke bang?  Ada ke?” Izreen terus menghamburkan kemarahannya.

Cara abangnya menjawab soalannya itu membuatkan darah Izreen mendidih. Izreen berasa yang abangnya itu seolah-olah mempermain-mainkan Farah. Sekarang ini, Izreen tidak kisah langsung dengan status Izzan sebagai abang kembarnya, jika benar Izzan mahu mempermainkan Farah, Izreen tidak akan memaafkan abangnya itu. Baginya tindakan abangnya itu memang benar-benar sudah melampau.

Izzan jelas nampak tidak keruan untuk menjawab pertanyaan adiknya itu. Izzan juga tahu yang adiknya itu sengaja mahu bertanya soalan sebegitu kerana sesiapa juga sudah dapat mengagak jawapan yang akan keluar daripada mulutnya. Jawapannya ialah a big NO NO. Memang sudah terang lagi bersuluh yang Izreen sebenarnya mahu membuatkan Izzan serba salah. Izzan akui yang dia memang lebih rapat dengan Farah berbanding rakan-rakan adiknya yang lain. Ini pun adalah disebabkan mereka berdua berkongsi minat yang sama dalam bidang fotografi. Mereka memang selalu bertukar-tukar pendapat tentang fotografi.

“Kenapa abang tak jawab? Tak tahu nak jawab soalan Reen yang simple tu? Apa yang susah sangat? Yes or No. Tu aje.” Makin mendidih darah Izreen apabila Izzan hanya terkulat-kulat di situ tanpa jawapan.

“Dah lah abang tak payah jawab. Reen nak tahu satu je, apa niat abang buat macam ni hah?” Izreen terus menggasak Izzan.

Jelas terpancar perasaan bersalah di raut muka Izzan.

“Abang tak ada niat apa-apa pun. Abang rasa selesa berkawan dengan dia. Abang anggap dia sama macam Reen... Kalau Reen merajuk of course lah abang pujuk kan? Sama lah macam kes ni. Mana abang tahu dia boleh salah sangka. Dah dia nak suka abang, abang tak boleh paksa. Itu hak dia. And dia pun tak boleh paksa abang suka dia. Selama ni abang anggap dia kawan aje, tapi dia yang perasan lebih-lebih.” Panjang lebar Izzan memberikan penjelasan.

Izzan memang dapat melihat perasaan Farah terhadapnya. Dan jujur dia katakan yang dia tidak langsung pernah mempunyai perasaan yang sama terhadap Farah. Apa yang dia tahu, dia selesa berkawan dengan Farah berbanding dengan kawan-kawan perempuannya yang lain. Jadi sebab itulah dia melayan Farah lebih sikit daripada kawan-kawannya yang lain.

Penjelasan Izzan yang panjang lebar itu lagi membuatkan Izreen makin berasap dibuatnya.

“Senangnya abang cakap dah dia nak suka nak buat macam mana? And dia yang perasan lebih-lebih? Seriously? Damn, you’re such a jerk! It’s really rude dude!” Izreen menjerkah Izzan.

“Tolong lah abang... Reen malu lah abang buat macam ni. Kalau ada lelaki lain buat Reen macam ni, abang suka ke?” Tempelak Izreen lagi. Izzan pula hanya terkulat-kulat menerima kemarahan adiknya itu.

“Dah lah malas Reen nak cakap dengan orang macam abang ni! Buat sakit hati je.” Pantas Izreen meninggalkan abangnya berseorangan di situ.

Di sebalik dinding itu rupa-rupanya Farah telah mendengar setiap patah perkataan Izzan yang telah menghancur leburkan hatinya. Terkulai dia di situ seorang diri dengan air mata jatuh berjurai-juraian, kesal dengan apa yang didengarinya sebentar tadi. Retak seribu hatinya disebabkan seorang lelaki yang bernama Syed Izzan Zhariff Bin Syed Izzhar!

                                                              *~*~*~*~*~*

                                                             ~Bersambung~

Friday, September 21, 2012

[Ikatan Cinta Kita] 01


Hehehe... Salam semua... Bila difikir- fikirkan balik, Bab 00 saya tu macam pendek sangat & tak berapa nak ada poin.. (Sorry lah ayat macam tunggang- terbalik sikit...) So, saya decide nak letak Bab 01 jugak lah.... Suka tak, suka tak??? Hehehehe.... :)



Doktor Farah Nadhiaa... :)



                                                                              .::01::.

Laju kaki Daniel Rayyan dihayunkan ke arah unit kecemasan apabila dia dipanggil berulang kali untuk kes kecemasan yang baru masuk. Tugasnya perlu dilaksanakan dengan pantas kerana melibatkan nyawa.

Sampai saja di unit kecemasan, Daniel pantas mahu memulakan kerja-kerjanya. Tetapi apabila matanya menangkap kelibat pesakit yang terlantar di katil pesakit itu, tiba-tiba sahaja tangannya kaku dan dia beku di situ.

Apa yang mengejutkannya ialah pesakit yang sedang terbaring lesu di atas katil itu. Pesakit itu ialah Sharifah Izreen Zahnita, salah seorang rakannya yang pernah sama-sama menuntut ilmu di kolej matrikulasi dahulu.

Terpaku sebentar Daniel apabila terpandangkan wajah Izreen. Lantas satu persatu memori lama kembali menerjah fikiran. Lama dia termenung sambil merenung wajah Izreen sehingga seorang jururawat di situ mengejutkannya, baru lah dia tersedar.

‘Daniel apa yang kau buat ni? Ni bukan masa untuk kenang masa lalu…. Fokus, fokus...’ Daniel bermonolog sendiri.

Daniel pantas menyambung kerjanya yang tergendala gara-gara dia terleka mengingati gadis yang sedang terbaring lemah dihadapannya itu.

*~*~*~*~*~*

Daniel yang baru selesai tugasnya merawat Izreen duduk berehat di kafeteria. Lega sedikit perasaan resahnya apabila selesai merawat Izreen dan mendapati Izreen hanya pengsan akibat gatstrik dan terlalu penat.Tidak ada apa-apa yang akan membahayakan nyawanya.

Sebentar tadi dia betul-betul terasa seperti nyawanya sendiri yang akan melayang tatkala terpandang pesakit yang terbaring di katil itu tidak lain dan tidak bukan adalah Izreen, wanita yang sentiasa dalam ingatannya sepanjang lapan tahun ini. Tidak pernah sesaat pun wajah itu lenyap dari ingatannya.

Dan sebab itu jugalah yang dia terpaku sebentar tadi semasa mahu melakukan kerjanya. Perasaan terkejutnya membuatkan dia terkesima dan terhenti daripada melakukan tugas. Masa ini barulah dia tersedar dan perasaan malu tiba-tiba menerpa dirinya. Mesti seluruh warga hospital akan bercerita tentang kesilapannya pagi tadi, bukannya dia tidak kenal dengan sikap kewartawanan jururawat-jururawat disini. Profesional sangat, tapi tak kena tempat!

“Woi... Apa kau ni? Asyik termenung je dari tadi...” Farah menegur Daniel yang dilihatnya leka dengan dunianya sendiri. Lantas Farah menarik kerusi yang terletak di hadapan Daniel dan selamba dia duduk di situ.

“Kau ni Farah... Terkejut aku, nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau tak…”

“Mesti aku dah jalan. Hmmm… tu je lah ayat yang ada, klise sangat...” Farah memotong kata-kata yang ingin disampaikan oleh Daniel. Sahaja dia ingin menyakat Daniel yang kelihatan muram sedari tadi.

“Hesy, ada juga yang nak kena sekeh dengan aku ni.” Balas Daniel geram. Tetapi dia tetap berasa sedikit terhibur dengan keletah rakannya itu.

Dia senang berkawan dengan Farah kerana sikap ceria yang ada pada gadis ini. Dulu mereka menuntut ilmu di kolej matrikulasi yang sama, tetapi mereka tidaklah serapat ini kalau nak dibandingkan dengan sekarang. Daniel memang kenal Farah, tetapi itu pun disebabkan Farah berkawan rapat dengan Izreen. Tetapi selama mereka berada di kolej matrikulasi dulu, dia dan Farah masing-masing tidak pernah bertegur sapa.

Kini, selepas dia pulang dari Ireland dan ditugaskan di hospital yang sama dengan Farah, barulah mereka menjadi rapat. Memandangkan dulu mereka kenal tapi tak pernah rapat, bila dah jumpa balik senang pula mereka jadi kawan. Yelah, bila jumpa budak sematrik dulu mesti ‘eh-kau-ni-budak-matrik-aku-kan-dulu?’ Lepas tu terus boleh sembang panjang walaupun dulu langsung tak pernah kenal sekalipun!

“Rileks lah bro...Yang sensitive sangat tu, kenapa? Eh tadi kan, aku dengar ada nurse cakap doktor Daniel yang berdedikasi ni boleh pula ‘ter’menung masa dalam ER, betul ke?” Soal Farah penuh minat.

Setahunya Daniel sangat komited dengan segala kerja yang dilakukannya. Jarang sekali dia melakukan kesilapan semasa menjalankan kerjanya. Tetapi hari ini muncul pula gosip luar biasa seperti itu, mahu dia tidak berminat?

Tepat seperti jangkaan Daniel sebentar tadi yang berita dia membuat kesilapan semasa menjalankan tugas pagi tadi akan tersebar ke seluruh hospital. Tetapi dia tidak menjangkakan secepat ini berita itu akan tersebar.

“Wah hebat jugak nurse-nurse kat sini. Mengalahkan wartawan bertauliah.” Sindir Daniel. Kadang-kadang dia berasa jengkel dengan sikap jururawat-jururawat dan kakitangan-kakitangan hospital yang suka sangat menjaga tepi kain orang lain.

“Hebat tak hebat Daniel, boleh kau buat macam tu kan, bahaya kau tahu tak?” Tegur Farah.
 Daniel mengeluh berat. Ya, dia juga tahu perbuatannya terleka pagi tadi membahayakan dan dia juga mengutuk perbuatannya. Nasib baik Izreen hanya sakit gastrik sahaja, cuba bayangkan jika masa itu pesakitnya pengsan kerana sakit jantung atau mangsa nahas jalan raya yang parah. Memang tidak boleh dibayangkan kesudahan pesakit itu. Terleka sekejap pun berkemungkinan melayang nyawa mereka.

“Aku tahu… Aku sebenarnya terkejut tadi, itu yang terkaku sekejap. Kau tahu tak siapa yang aku rawat tu?” Daniel menjawab soalan Farah dengan soalan pula.

“Dah kau tak cakap mana aku nak tahu.” Bebel Farah.

“Reen.”

            Hanya sepatah perkataan yang keluar dari mulut Daniel tetapi cukup kuat impaknya sehingga membuatkan Farah tersentak. Buat pengetahuan Farah hanya seorang Reen sahaja yang Daniel kenal. Tak lain tak bukan ialah Sharifah Izreen Zahnita, teman rapatnya semasa menuntut di kolej martrikulasi dahulu.

            “Reen?!!”

“Dia sakit apa?” Sedikit terjerit Farah bertanya.

“Tak ada apa yang serius pun, dia cuma gastrik je. Tapi gastrik dia teruk juga dan  ditambahkan dengan dia yang terlampau penat, suhu badan pun dah mula naik, demam panas pula tu, itu sebab dia pengsan. Tapi kau tak payah risaulah, tak ada apa-apa pun.” Jelas Daniel.

Lega sedikit perasaan Farah. Walaupun sudah lama tidak bersua muka tetapi mereka masih lagi ada berhubung melalui emel dan laman-laman sosial. Baru sahaja rasanya dia ber- Whatsapp dengan Izreen malam tadi, tiba-tiba dapat berita masuk hospital pula, mahu dia tak cuak!

 “Reen ni memang tau, tolong lah jaga masa makan tu. Tahulah dia sekarang ni selebriti popular, kena jaga badan. Tapi badan dia tu kan dah okey, nak diet apa lagi? Tak makan saman langsung budak ni, dari dulu tahu diri tu gastrik tapi tak pernah-pernah serik.” Panjang leteran Farah.

Daniel pula sudah terangkat sedikit keningnya apabila mendengar kenyataan Farah sebentar tadi. Selebriti popular? Okey… Satu perkara yang langsung Daniel tidak tahu sebelum ini.

“Apa kau cakap tadi? Dia sekarang selebriti? Okey… patutlah lain sangat rupa dia.” Komen Daniel.

Sebentar tadi dia agak terkejut juga melihat perubahan Izreen yang kelihatan semakin bergaya dan menawan. Dia tahu memang sejak dulu lagi Izreen terkenal sebagai seorang yang pandai bergaya, tidak kira apa sahaja pakaian yang dikenakannya pasti kelihatan menarik dan kerana itu jugalah Daniel terpikat dengan Izreen walaupun hanya pada pandangan pertama. Lenggok dan gaya Izreen yang bersahaja tetapi bergaya itu yang memikatnya.

Tetapi sekarang Izreen nampaknya kelihatan semakin cantik dan sedikit matang dalam penataan gayanya. Tubuhnya juga semakin langsing dari dulu. Kesimpulannya memang penampilan gadis itu bertambah-tambah lagi menawannya dan pastinya Daniel juga semakin tertawan.

“Hmmm, Reen tu kan pengacara tv. Kau ni tak ada tengok tv ke?” Soal Farah pelik.
Setahunya Izreen agak popular dalam bidang hiburan sekarang ini. Wajahnya selalu sahaja muncul di kaca-kaca tv. Rancangan hiburan, iklan tv, duta produk, model… Semua pun muka Izreen! Pelik juga Farah macam mana Daniel boleh tak tahu fakta yang satu ini. Malahan sudah bertahun juga Izreen menjadi pengacara tv, sejak dari zaman dia belajar di universiti lagi.

“Aku jaranglah tengok tv. Lagipun aku kan baru balik Malaysia, manalah aku nak tahu apa jadi dalam industri hiburan dalam beberapa tahun ni.” Jelas Daniel.

Memang itulah kenyataannya. Bertahun dia berada di luar negara, jadi jangan pelik lah kalau dia tidak tahu mengenai perkembangan dunia hiburan di Malaysia. Sekarang bila sudah balik, beban kerja yang banyak menjadikan masanya sangat terhad. Jikalau dia menonton pun pastinya dia menonton berita atau rancangan sukan sahaja. Lagipun Daniel memang sejak dari dulu lagi kurang mengambil tahu tentang perkembangan dunia hiburan. Banyak gosip sahaja berbanding fakta yang tepat! Annoying!

“Eh kejap, kejap. Tadi kau cakap kau tak tahu dia selebriti, muka dia dah lain sikit lah? Habis tu macam mana kau boleh cam yang tu Reen?” Farah tiba-tiba mengeluarkan soalan cepumas.

Dia tahu suatu masa dulu Daniel pernah digilai rakannya itu tapi dia tidak menyangka pula yang Daniel akan mengingati Izreen. Kalau lah Izreen dengar ni mesti melompat suka perempuan tu! Sama seperti masa lalu, masa Daniel menegur Izreen buat pertama kalinya. Tak cukup jari nak bilang hari yang dia asyik tersengih sahaja kerjanya. Sengal!

“Errr... Farah, aku ada kerja ni. Nanti kita sambung lain eh...” Pantas Daniel mengelak dan menamatkan perbualan mereka. Dia terus bangun dan meninggalkan Farah di situ.

Dalam hati Daniel tidak putus mengucap kata syukur kerana dapat menamatkan kisahnya dengan Izreen tersebut. Kalau tak masak juga dia hendak menjawab soalan Farah itu.

Hakikatnya apa yang terbuku di dalam hatinya itu hanya dia yang tahu. Hanya dia yang tahu perasannya terhadap Izreen. Perasaan yang selama ini dipendam seorang diri.

Jadi jangan hairan lah kalau dengan begitu senang sahaja dia dapat mengenali Izreen kerana wajah itu selalu sahaja terlayar-layar di ruang mindanya. Berubah macam mana sekali pun rupa Izreen dan walaupun orang lain sukar mahu mengenali Izreen sekali pun, tapi tidak buat Daniel, kerana tidak pernah sesaat jua wajah itu hilang dari mindanya.

*~*~*~*~*~*

Izreen yang masih dalam keadaan lemah itu bagai terpandang wajah yang dahulunya sentiasa dalam ingatannya tetapi kini wajah itu juga lah wajah yang cukup dibencinya. Dalam keadaan yang masih mamai kerana kesan ubat yang dibekalkan, Izreen kembali terlena.

Daniel yang melihat Izreen seperti perlahan-lahan membuka matanya pantas berlalu keluar dari bilik itu. Sebentar tadi selepas dia melarikan diri dari Farah, entah mengapa kakinya melencong ke bilik wad yang menempatkan Izreen. Dia yang sudah sememangnya merindui gadis itu seakan sudah tidak dapat menahan kerinduaannya lalu langkah kakinya laju sahaja mengikut kata hati dan menapak ke bilik gadis itu.

Tetapi tatkala terpandangan gadis itu seperti sedar dari lenanya, kakinya juga pantas melangkah keluar, dia seakan-akan tidak bersedia menghadapi Izreen. Memang hatinya merindui gadis ini tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan Izreen, gembira kah dia, atau dia tidak langsung mengingati Daniel? Kemungkinan itu yang membuatkan Daniel tidak bersedia dan dia takut dirinya terluka dengan kenyataan itu lalu dia tidak berani menghadapi Izreen. 

Namun sampai bila dia harus bersikap begini? Dia sedar yang lambat laun dia harus juga bertentang mata dengan Izreen lebih-lebih lagi Izreen adalah pesakit yang sedang dirawatnya. Ya, Daniel sedar tentang kenyataan itu dan dia harus bersiap-sedia kerana ini melibatkan tugasannya. Dia harus bersikap professional dan mengenepikan soal peribadinya. Tetapi buat masa kini dia betul-betul tidak bersedia. Daniel hanya mampu mengeluh dan berlalu pergi ke biliknya.

Manakala Izreen yang sudah mula sedar itu membuka matanya perlahan-lahan. Rasa seperti sudah lama dia tertidur di situ. Matanya terkebil-terkebil memandang siling. Dia rasa seperti ada sesuatu yang mencucuk-cucuk perutnya.

Izreen terdiam sejenak lalu otaknya pantas memutarkan kembali kejadian pagi tadi. Dia yang sedang bersiap-sedia untuk memulakan pengambaran tiba-tiba diserang sakit gastrik dan pengsan di studio. Riuh satu studio rakaman apabila dia terbaring lemah kerana gastriknya menyerang. Baru dia teringat sepenuhnya kejadian yang mana dia dikejarkan ke hospital kerana pengsan di studio pagi tadi.

Aduh... Pasti kecoh nanti dan dia mula pening memikirkan tentang wartawan-wartawan hiburan yang pasti akan mengejarnya untuk mengetahui sebab-sebab dia pengsan. Dan dia pasti sekarang pun berita ini sudah sampai pada pengetahuan pihak media.

Yang dia paling tidak tahan adalah pihak media suka memutar-belitkan kenyataan sebenar dan menulis cerita bukan-bukan. Cerita mereka selalu saja melencong jauh dari kenyataan asal dan kadang- kala tidak ada satu pun yang betul. Izreen sebenarnya sudah penat untuk menghadapi keletah pihak media.

Dalam lamunannya yang panjang itu, tiba-tiba otak Izreen teringatkan sesuatu. Semasa dia pengsan tadi, muncul wajah seseorang yang sudah lama dilupainya. Daniel….

 Kenapa tiba-tiba sahaja wajah lelaki yang dibencinya itu muncul kembali di mindanya? Sedangkan sudah lama wajah itu dipadamkan dari memorinya. Seingatnya selepas lelaki itu tidak mahu melayannya dulu, dia terus memutuskan semua pertalian dengan Daniel kerana terlalu geram.

Malah kerana terlalu marah, Izreen pernah berjanji yang dia akan melupakan terus lelaki tersebut dan akan berpura-pura tidak kenal andai kata suatu hari nanti mereka berjumpa kembali. Dia keliru sendiri. Otaknya tidak dapat mencerna apa yang sedang berlaku.

Sedang dia termenung sendirian, pintu biliknya dikuak dari luar. Muncul wajah yang sudah lama tidak ditatapnya menjengah masuk. Melopong luas mulut Izreen melihatkan sesusuk tubuh yang berjalan menghampirinya itu.
                                                           *~*~*~*~*~*

                                                
                                                          ~Bersambung.~


Mesti korang confius kan bila baca Bab 00 dan Bab 01 ni... Kan?? Sebenarnya yang Bab 00 tu masa zaman diaorang dekat kolej matrik tu, dan Bab 01 ni zaman sekarang, zaman diaorang dah bekerja....  So jangan confius ea...... :)

ps: Rajin- rajin lah komen... Weeeeeeeeeeeeeeee.... :)