Followers

Thursday, May 9, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 22

Sampai bila pun sayang




22
“Danish, tadi masa aku keluar wayang aku nampak ada sorang awek ni sebijik macam kakak kau.” Fadil memberitahu Danish yang sedang menunggunya di bangku berhampiran dengan tangga escalator. Fadil duduk di sebelah Danish, Danish buat-buat tak dengar apa yang Fadil memberitahunya tadi.

“Yang kau suruh aku datang ambik kau ni kenapa?” Danish buat tak tahu sahaja mengenai kenyataan Fadil tadi, dia menghirup air chocolate milk tea Coolblog sebaik sahaja bertanyakan soalan itu. Fadil mengeluh.

“Kau tak kesian ke kat aku ni? Dah la baru break, tengok wayang pun sorang-sorang. Kalau kau bagi can kat aku dengan kakak kau dulu mesti aku tak jadi macam ni..” Fadil mengadu. Mengada-ngada pulak dia, yelah dah putus dengan kekasih Danish ni lah tempat dia ‘bermanja’, Danish dah kenal sangat perangai Fadil ni. Ada awek tak pernah lekat, paling lama enam bulan je lepas tu cari Danishlah nak mengadu. Sebab itu Danish awal-awal lagi menghalang niat Fadil. Macam manalah Danish nak benarkan dia mengayat kakaknya yang dikawal ketat tu.

“Lelaki macam kau, no way. Kau carilah awek lain jangan nak kacau kakak aku.” Pesan Danish kepada Fadil. Fadil berlakon seperti kanak-kanak yang dimarahi, mencebik merajuk.

“Jangan nak buat perangai manja, aku datang sini ambik kau pun dah cukup baik. Kalau orang lain tak adanya nak layan perangai manja kau ni, mengada-ngada macam perempuan. Siapa hantar kau tadi?” Tak putus-putus kritikan Danish kepada Fadil. Sebenarnya bukan sekali dia mengulang ayat ini, dah banyak kali. Tetapi Fadil tetap begitu dan dia sendiri pun tetap melayan, dah kawan baik…layan jelah, tak jadi kudis pun melayan bromance Fadil ni.

“Kalau aku cakap mesti kau gelak..actually mak aku. Dia kata dia rimas tengok aku berkurung dalam bilik sebab putus cinta, dia paksa aku datang sini tengok wayang.” Cerita Fadil kepada Danish, apa lagi ketawalah Danish sekuat-kuatnya. Lawak sungguh, umur dah dua puluh lima tapi mak hantar tengok wayang sebab putus cinta? Ape kes tu? Danish memegang perutnya yang senak kerana terlebih ketawa.

“Mak memang cool.” Puji Danish dalam tawanya. Dia memang sudah biasa memanggil mak Fadil dengan panggilan itu. Selalu sangat dia bertandang ke rumah Fadil untuk menyiapkan assignment mereka, keluarga Fadil sudah melayan Danish seperti ahli keluarga mereka juga. Bolehlah juga Danish menumpang kasih sayang sebuah keluarga yang lengkap, ada ibu bapa, ada abang adik.

“Sampai hati kau gelakkan aku, kau memang tak kesian kat aku kan.” Fadil memeluk bahu Danish sambil menyangkut dagunya pada bahu kanan Danish. Danish terus berhenti gelak dan cuba menolak Fadil yang memeluknya erat.

“Woi..janganlah peluk aku nanti orang ingat aku gay jatuhlah saham aku.” Kata Danish dengan geram, makin kuat Danish menolak makin erat Fadil memeluknya. Mujurlah tempat itu agak tersorok, kalau tempat ramai orang lalu lalang tak tahulah mana Danish hendak menyorokkan mukanya, Fadil ni manja sangat, ge-geh.

“Tu..tu..tu..awek yang aku cakap muka sebijik kakak kau.” Fadil tiba-tiba mengangkat kepalanya bila terpandang gadis yang dia nampak tadi sedang menuruni tangga escalator. Mereka berdua perhatikan gadis itu turun, Danish yang tadi sibuk menolak badan Fadil terus berhenti menolak, kaku tubuhnya hanya matanya sahaja yang menyoroti langkah gadis itu. 

“Tapi sayang…dah ada orang punya.” Sambung Fadil lagi bila ternampak lelaki yang berdiri rapat dengan gadis itu.

“Itu memang kakak aku.” Kata Danish tiba-tiba, dia bangun dari bangku itu. Fadil terpinga-pinga melihat Danish, lain macam je sahabatnya itu. Danish memberi cawan air yang dipegangnya tadi kepada Fadil, Fadil cuma menyambutnya dengan wajah penuh tanda tanya. Danish terus melangkah meninggalkan Fadil, biarkan dia tertanya-tanya apa yang sudah terjadi pada Danish, serius sahaja wajah Danish itu.

Danish mempercepatkan langkah bagi mengejar Danisa. Danish kenal Danisa, dia tidak mungkin tersilap, orang yang dikejarnya memang Danisa. Memang itu kakaknya, bau Danisa itu pun dia kenal. Danish terus mengekori dari belakang, matanya terpaku pada Danisa dan lelaki di sebelahnya. Danish tidak kenal lelaki itu, setakat ini Danish kenal semua kawan lelaki Danisa, rakan sekolahnya mahupun rakan-rakan yang sama-sama belajar di UK, kebanyakannya Danish kenal tetapi yang ini dia tidak pernah tahu siapakah yang sedang bersama Danisa ini.

Danish terus perhatikan Danisa berbual dengan lelaki itu, satu sahaja perkataan yang muncul di minda Danish, ‘mesra’. Danisa bukan seorang yang akan berbual dengan lelaki sambil menunjukkan emosinya di wajahnya, dalam masa tiga minit Danish perhatikan Danisa sudah banyak emosi ditunjukkan Danisa buat lelaki yang tidak dikenali itu. Senyum, cebik, geram…siapa lelaki ini yang boleh buat Danisa berlagak seperti itu?

Panas hati Danish, sudah banyak kali dia berpesan pun Danisa tetap merahsiakan hal sebegini darinya, dia cuma bimbangkan Danisa. Tanpa membuang masa Danish terus menghampiri Danisa, dia berdiri betul-betul di hadapan Danisa cuma rak majalah sahaja yang menjadi penghalang di antara mereka berdua namun Danisa langsung tidak perasan adiknya berada di situ.

“Wah…mesra nampak. Sharifah Danisa Syed Iskandar, awak buat apa kat sini?” Tanya Danish dengan suara yang tajam. Danisa terpegun, senyap tidak berkata apa. Wajahnya mulai pucat dan majalah di tangannya terlepas lalu jatuh ke lantai. Danish memandang Danisa dengan geram, sebentar kemudian dia menjeling tajam ke arah Faez. Memang dia langsung tidak pernah kenal siapa lelaki ini, Danisa belum pernah perkenalkan Faez kepadanya.

Faez juga tersenyap, dia kenal Danish. Dia pernah mengintai Danish sewaktu Danish bermain bola keranjang tetapi Danish tak pernah perasan kewujudan Faez. Faez tidak tahu apa yang perlu dia lakukan, perlukah dia perkenalkan dirinya kepada Danish sekarang? Perkenalkan dirinya sebagai apa? Teman lelaki, atau kawan? Dia tahu Danisa merahsiakan hubungan mereka dari pengetahuan Danish, adakah Danisa masih nak berselindung atau mahu berterus terang sekarang, yang manakah lebih baik? Dia buntu, dia sendiri terkejut dengan kehadiran Danish yang tiba-tiba, resah mula menyerbu ke dalam hatinya. Kalau ikutkan hati dia mahu perkenalkan diri sebagai teman lelaki Danisa, tetapi sekarang pendirian Danisa adalah menjadi keutamaan. 

Danisa sedari tadi tak berani hendak menatap wajah adiknya sendiri. Rasa nak luruh jantung bila terdengar suara Danish yang serius sahaja.

“Tipu. Penipu.” Dengan selamba Danish melemparkan kata-kata itu kepada Danisa. Marah rasanya bila ditipu kakak sendiri, dia mahukan penjelasan, Danisa perlu jelaskan semuanya.

“Aku nak ambik balik dia ni boleh? Tak..kalau tak bagi pun aku ambik jugak.” Danish bersuara begitu kepada Faez sambil menudingkan jarinya pada Danisa. Faez tidak menunjukkan riak terkejut, dia tahu Danish pasti akan buat begitu. Berdasarkan apa yang Danisa pernah ceritakan, Danish memang seorang yang sangat protective jadi tak mustahil kalau dia mengheret Danisa pergi bersamanya sekarang.

Tanpa menunggu jawapan dari Danisa mahupun Faez, Danish terus merentap lengan Danisa dan menarik kakaknya keluar dari situ. Danisa memandang Faez dengan sayu, dia rasa bersalah sangat kepada lelaki itu bila Danish berkelakuan begitu, bersikap biadap terhadap Faez. Dalam masa yang sama dia rasa bersalah kepada Danish, otaknya ligat memikirkan bagaimana hendak memohon maaf daripada Danish, sudah tiga bulan dia peram maaf yang sering kali hanya dikatakan di dalam hatinya, tetapi sudah sampai masanya dia meluahkannya. Apa-apa pun dia perlu memohon maaf, walaupun dia perlu mengulangi perkataan itu buat beribu kali demi satu kemaafan Danish. Danish segalanya yang dia ada sekarang.

“Kunci kereta.” Danish meminta kunci kereta Danisa, Danisa kaku tidak memberi respons akhirnya Danish sendiri menarik beg tangan Danisa lalu menyelongkarnya untuk mengambil kunci kereta milik Danisa.

“Hai Kak Danisa,” tegur Fadil yang langsung tidak tahu menahu apa yang sudah terjadi antara Danish dan Danisa. Seram sejuk melihat wajah Danish yang serius dan tegang, nak tanya takut, jadi dia tegur sahaja Danisa di hadapannya itu. Danisa hanya menelan liur tanpa memberi jawapan kepada Fadil, dia perhatikan Danish yang kalut menarik kunci kereta Honda Accord dari beg tangannya itu. 

“Fadil, kau tolong bawak balik kereta kakak aku. Pandai-pandailah kau cari kat parking lot, aku bawa balik kakak aku. Esok lusa kau hantar kereta tu kat rumah.” Arah Danish kepada Fadil sambil menyerahkan kunci kereta itu kepada Fadil. Tercengang-cengang Fadil memproses arahan Danish itu di dalam mindanya. Gila…macam mana nak cari kereta itu dalam parking lot? Banyak kot…!! Namun belum sempat Fadil bertanya di mana Danisa memakirkan keretanya, Danish dan Danisa sudah lenyap hilang entah ke mana.

*~*
“Siapa laki tadi?”

Akhirnya Danish bersuara setelah sepuluh minit dia diam di sini, dia cuba bertenang dan tidak memarahi kakaknya. Danisa dan Danish bersandar pada Satria Neo Danish sambil melihat pemandangan Bandar Kuala Lumpur.

Danisa diam sahaja tidak menjawab.

Boyfriend?” Tanya Danish lagi, mendatar sahaja suaranya. Setidak-tidaknya Danish tidak menengkingnya, itu sudah cukup baik buat Danisa. Danisa memberi respons, dia mengangguk.

“Bila kenal? Kenapa tak kenalkan kat Danish?” Danish terus bertanya, tiada emosi dalam kata-katanya, mendatar sahaja suara Danish.

Plus minus empat bulan lepas. Kakak mintak maaf sebab tak kenalkan Danish dengan dia awal-awal. Masa kami kenal, kami ada konflik sikit, kalau Danish tahu mesti Danish tak bagi akak kawan dengan dia.” Kata Danisa akhirnya, dia perhatikan Danish yang asyik memandang pemandangan suasana malam Kuala Lumpur. Riak di wajah Danish tidak berubah, masih seperti tadi, tak ada perasaan, marah sangatlah tu.

Tetapi Danish sendiri tak sangka dia masih boleh bercakap baik-baik dengan kakaknya, sangkanya dia akan memekik menengking kakaknya. Sudah berjela-jela ayat tersusun di dalam otaknya disediakan sepanjang perjalanan tadi untuk dihamburkan kepada Danisa sebaik sahaja sampai ke sini, memang sengaja dia membawa Danisa ke sini, atas bukit yang tak ada sesiapa. Senang nak marah, senang nak tengking, tak ada siapa dengar atau ambil peduli.

“Wow…cepatnya kakak dah boleh rapat dengan dia. Empat bulan kenal dah boleh couple, apa yang dia janji dengan kakak? Patutlah kakak dah lain sekarang.” Laju sahaja lidah Danish memperli Danisa tanpa sedikit pun rasa bersalah.

“Kakak dah kenal dia cukup ke nak bercinta dengan dia?” Soalan Danish itu menembak tepat hati Danisa, dia berfikir sejenak. Kenapa Danish bertanyakan begitu?

“Orang yang dah kenal kakak bertahun-tahun pun sanggup mengkhianati kakak, ini kan pulak lelaki yang kenal kakak empat bulan.” Sambung Danish lagi. Dia tidak mungkin akan lupa bagaimana kesakitan yang Danisa rasakan setahun setengah yang lalu, kalau kuasa menghukum ada padanya mahu sahaja dia membunuh manusia bernama Ameer Hafiz bin Mohd. Nor.

Mata Danish menyepet mengingati peristiwa itu.

*~*~*
~bersambung~

an: Hai....sapa yang rindu abang faez?? hehehe..tp update kali ni banyak danish la~~~~ weeeee... ^^ i love them both!!! 
Anyway, maaf sebab tak update ahad tadi, mood pilihan raya buat mood saya kacau...urg...dunia politik mmg tak sesuai dengan saya..*sigh* 

ps: btw, nak cakap tahniah kepada yang teka tepat (siapa yang sebenarnya muncul) minggu lepas yer ^^ hehehehehe...


2 comments:

  1. Nak gugur jantung bila time mendebarkan tu.Huh,nak nangis lah,walaupun Danish tak wujud,tapi dapat rasa dia wujud and dapat rasa perasaan dia yang marah and sebak.

    ReplyDelete