Followers

Sunday, May 12, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 23

Sampai bila pun sayang





23
Setahun enam bulan lalu

Sudah letih Danisa menangis tetapi air matanya masih tidak putus-putus mengalir ke pipinya. Sampai hati..sampai hati Ameer. Danisa merasakan begitu bodoh bila dia orang terakhir yang mengetahui mengenai pernikahan Ameer yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Patutlah lelaki itu sering kelihatan tidak selesa bila dia bersama Danisa, oh..patutlah Ameer jarang menghubunginya sekarang. Ajakan Danisa untuk makan tengah hari bersama juga seringkali ditolak Ameer walaupun mereka bekerja di bawah satu bumbung.

Aisyah meramas lembut bahu Danisa lembut dengan harapan dapat mengurangkan beban perasaan yang merusuh di hatinya. Aisyah turut bersimpati dengan apa yang menimpa sahabatnya. Sebaik mendapat tahu yang perkara ini sampai ke telinga Danisa, terus sahaja Aisyah meminta izin suaminya untuk ke sini menjenguk Danisa. Hakim amat memahami persahabatan mereka, dia sendiri yang menghantar Aisyah dan membenarkan Aisyah bermalam di sini untuk menemani Danisa.

Sedikit sebanyak Hakim berasa bersalah. Hakim terbabit dalam hubungan Danisa dan Ameer bila dia datang melancong ke United Kingdom untuk melawat rakan-rakannya yang belajar di situ. Ameer adalah rakan serumah rakan-rakannya, dari situ dia berkenalan dengan Ameer dan dari Ameer dia kenal dengan isterinya sekarang, Aisyah, untuk itu dia amat berterima kasih kepada Ameer. Tetapi mengenai Danisa dia amat berasa bersalah. Cinta Ameer dan Danisa bertaut pada tahun pertama mereka di UK, semua berjalan lancar sehinggalah Ameer pulang ke Malaysia selepas tamat pengajiannya di peringkat degree. Danisa pula terus di UK untuk menyambung pengajian ke tahap master pula, pelbagai nasihat dan tips Hakim dan Aisyah berikan kepada Danisa dan Ameer bagaimana nak memastikan hubungan jarak jauh mereka bertahan.

Namun semua tips-tips itu tidak berhasil, Hakim menjadi saksi kecurangan Ameer bila dia berada di Malaysia tanpa mata Danisa yang melihat. Hakim tidak pernah membuka mulut berceritakan kepada sesiapa termasuklah Aisyah, dia terlalu mengambil ringan hal ini, pada mulanya Hakim sangkakan Ameer hanya berkawan dengan gadis itu tetapi kalau sudah selalu sangat terserampak dia dengan gadis yang sama Hakim dapat menghidu yang Ameer bermain kayu tiga. Tetapi jaga tepi kain orang bukanlah kerja yang Hakim suka buat, dia diamkan sahaja, menegur tidak memberi tahu Danisa juga tidak, dalam kata lain dia bersubahat secara tidak langsung.

Rahsia yang disimpan oleh Hakim bagi pihak Ameer sampai ke pengetahuan Aisyah sebaik sahaja teman wanita yang dirinduinya sangat-sangat itu pulang ke tanah air. Bukan mudah hendak menyimpan rahsia bila Aisyah sudah berada di depannya, terbuka juga cerita mengenai Ameer. Aisyah sendiri berperang dengan diri sendiri, dia buntu adakah patut dia memberitahu Danisa perkara sebenar atau diamkan sahaja. Namun kerana hubungan Danisa yang semakin rapat dengan Ameer setelah dia mendapat peluang pekerjaan di tempat yang sama Ameer berkerja, Aisyah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja.

“Aisyah…kenapa semua ni jadi macam ni? Aku dah pasang bermacam-macam impian untuk bersama dengan dia. Cinta aku lebur macam tu je.” Rintih Danisa lagi, aduh pilunya hati bila kekasih hati memilih untuk berkahwin dengan perempuan lain. Sudah bertahun-tahun menyulam cinta akhirnya tersungkur juga di tengah jalan, sungguh tak sangka begini perakhiran cinta mereka.

“Sabar Danisa, dah bukan jodoh dia dengan kau.” Pujuk Aisyah dalam nada menahan sebak, dia sudah tak tahu bagaimana hendak menenangkan Danisa. Terkejut besar Aisyah bila melihat keadaan Danisa bila dia sampai tadi, matanya sembap kerana menangis terlalu lama, sedangkan Danisa bukan seorang yang mudah menangis. Keletihan jelas tertulis diwajah sahabatnya itu. Hati Aisyah dipagut rasa sedih yang teramat.

“Salah aku ke Aisyah? Salah aku ke? Apa kurangnya aku?” Tanya Danisa dengan suaranya yang sudah serak kepada Aisyah. Dia memandang ke dalam diri sendiri, apa kekurangan dirinya yang membuatkan Ameer memilih yang lain?

Aisyah menggeleng-geleng, air matanya juga sudah mengalir ke pipi. Hatinya bagai dihiris belati bila Danisa mencurigai dirinya sendiri, menyalahkan dirinya sendiri. Hatinya rasa terhiris, bagaimanalah agaknya hati Danisa? Hancur berkecai agaknya.

“Bukan, bukan salah kau Danisa. Kau sempurna di mata aku, mana mungkin salah kau Danisa, sikit pun kau tak salah.” Aisyah cuba membangkitkan semangat Danisa yang sudah pun jatuh serendah-rendahnya. Bagaimana Danisa hendak bangkit kalau dia berfikiran begini, lemah.

“Mesti mak ayah dia yang suruh dia kahwinkan Aisyah? Sebenarnya bukan salah Ameer pun, kan? Dia sayang aku Aisyah, tak mungkin dia buat aku macam ni. Mesti itu pilihan mak ayah dia.” Danisa membela Ameer, dia belum tahu lagi Ameer yang sememangnya curang dengannya. Danisa sudah berkeadaan begini, Aisyah tidak sampai hati hendak memberitahu yang Ameer punca segala-galanya, lagi kuatlah Danisa meraung kalau dia tahu hal sebenarnya.

Aisyah mengesat air matanya, lalu tangannya menyeka air mata di pipi Danisa. Sungguh mulia hati Danisa, innocent sungguh. Dalam keadaan begini pun dia boleh bersangka baik kepada Ameer yang durjana itu. Tak pernahkah Danisa terfikir kenapa Ameer berkahwin dengan keadaan tergesa-gesa? Kenapa Ameer yang semakin rancak bercinta dengan Danisa dan mula menjauhkan diri dengan bakal isterinya kembali ke sisi gadis itu dan kemudian meninggalkan Danisa terkapai-kapai secara tiba-tiba? Semuanya bersebab.

“Kalau aku tunggu dia mesti aku ada peluang lagi kan Aisyah? Aku percaya kat dia, dia sayang aku. Ameer cintakan aku bukan budak tu. Dia mesti datang cari aku balik.” Danisa bersuara penuh pengharapan, tangannya kuat mencengkam lengan Aisyah. Aisyah tersentak mendengar kenyataan itu, Danisa masih boleh maafkan Ameer? Masih nak bersama dengan Ameer? Sungguh kuat cinta Danisa buat lelaki itu, tetapi cukup kuat kah cinta itu untuk mendengar kenyataan yang sebenar?

“Tak boleh, kau tak boleh balik dengan dia. Aku takkan benarkan, dia tak jujur.” Kata Aisyah keras, dia takkan sesekali memaafkan Ameer kerana memperlakukan Danisa yang setia dengannya begini. Bedebah punya jantan, aku takkan biarkan Danisa balik kepada kau.

“Kenapa?” kata Danisa lemah, dia tak sangka sahabat yang paling rapat dengannya tidak menyebelahi keputusannya.

“Tak boleh, jangan Danisa. Aku tak suka dia dengan kau.” Ulang Aisyah sekali lagi.

“Kenapa? Dia kan kawan kau juga. Percayalah kat aku Aisyah, dia mesti balik cari aku. Paling lama, tiga bulan. Lepas tu mesti dia datang cari aku.” Bersungguh-sungguh Danisa meyakinkan Aisyah. Kuat betul kepercayaan Danisa buat Ameer, sedangkan lelaki itulah tidak menghargainya.

“Danisa!! sedarlah Ameer dah pergi dari hidup kau.” Tinggi suara Aisyah marahkan Danisa. Membulat mata Danisa yang basah mendengar suara Aisyah yang memarahinya. Salahkah dia berharap untuk bersatu kembali dengan kekasih hatinya, dia sedia memaafkan Ameer kerana cintanya yang suci.

“Wani tu dah mengandung Danisa, mereka kahwin tergesa-gesa macam ni sebab dia dah pregnant. Mungkin dia akan kembali kepada kau Danisa tetapi buat apa nak berharap pada lelaki yang tak jujur macam tu, cinta dia pada kau tak suci. Awal-awal lagi dia dah curang!!” Sambung Aisyah dengan suara yang kuat. Dia perlu menyedarkan Danisa yang Ameer bukan lelaki yang baik untuk dibuat suami.

Serentak terhenti nafas Danisa seketika. Siapa yang tak terkejut mendengar berita begini? Danisa sudah seperti manusia kehilangan roh, pandangan matanya kosong. Danisa sudah hilang rasa seluruh tubuhnya, kosong.

“Danisa, maafkan aku kalau aku terlalu menyibuk tapi aku terlalu sayangkan kau untuk lepaskan kau untuk Ameer. Aku percaya kau boleh dapat lelaki lebih baik dari dia, aku sentiasa berdoa yang terbaik untuk kau.” Pujuk Aisyah dengan bersuara lembut. Dia kemudian merangkul Danisa sekemas-kemasnya, kepala Danisa jatuh pada bahunya. Sebaik sahaja kehangatan tubuh Aisyah meresap ke tubuh Danisa baru dia kembali merasa, serta merta air matanya tumpah lagi.

Tanpa mereka sedari, disebalik pintu bilik Danisa yang renggang sedikit, berdiri di situ seorang adik yang amat bersimpati dengan nasib kakaknya itu. Danish yang menjadi pemerhati sedari tadi turut mengalirkan air matanya.

Kuatlah kakak, Danish ada di sini dan akan sentiasa menjaga kakak dan takkan biarkan sesiapa melukakan kakak lagi.
*~*~*
~bersambung~

an: ok...dah explain kenapa perangai Danish ni pelik sangat (>_<) .... Sorry kalau bab update ni boring, sbb banyak explanation pnjg2..huhu. Wah...lepas ni tinggal lagi 10 update sahaja...(-___-) cepatnya masa berlalu~~~ huhu...manuskrip byk lagi tak siap ni.. (ToT)

ps: Happy Mothers Day!! 

No comments:

Post a Comment