Followers

Sunday, April 28, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 20

Sampai bila pun sayang





20
Danisa merenggangkan otot badannya, kemudian dia mematah-matahkan jarinya sehingga mengeluarkan bunyi, matanya terpaku pada blok Jenga yang sudah berlubang di sana sini. Yang mana harus ditarik, di mana lebih kukuh?

            “Jatuh, jatuh, jatuh.” Faez menyumpah Jenga itu. Sudah dua puluh minit mereka berdua bermain permainan Jenga di kafe ini. Mulanya mereka bercadang hendak menonton wayang, tetapi kerana tiada filem yang menarik minat mereka akhirnya mereka berdua terkandas di kafe ini kerana tidak tahu hendak buat apa. Danisa dan Faez, dua-dua tidak tahu ke mana hendak mereka tuju, tak sepeti pasangan muda mudi yang lain, ada sahaja aktiviti mereka bila keluar dating.

            “Hah!!” Gempak Faez bila jari Danisa hampir-hampir menyentuh satu blok Jenga itu. Suara Faez yang memecah kesunyian di kafe itu mengejutkan Danisa, mujur jarinya tidak tertolak jatuh blok kayu Jenga itu. Faez tergelak-gelak melihat Danisa yang terkejut. Beberapa orang remaja perempuan berhampiran meja mereka memandang ke arah Danisa dan Faez dengan mata cemburu, mesranya mereka.

            “Faez!!! Awak ni jahatlah, terkejut tau. Janganlah kacau.” Marah Danisa. Faez hanya terus tertawa.

            “Kenapa pulak tak boleh.” Faez membidas bila tawanya reda. Merah wajah Danisa geramkan teman lelakinya itu.

            “Saya tak kacau awak pun.”

            “Siapa suruh tak kacau.” Faez membalas. Danisa mengepal tangan kegeraman, Dia bersandar pada kerusi semula, tangan menarik gelas air cuppocino ais yang berbaki separuh lalu menghirup air itu penuh nikmat. Faez yang duduk di hadapannya menongkat dagu sambil merenung Danisa, ada senyuman tipis di bibirnya. Bahagia rasanya dapat meluangkan masa bersama Danisa, walaupun hanya duduk bermain permainan yang tak sesuai dengan usia mereka, minum di kafe ini berjam-jam tanpa buat apa-apa sudah cukup menggembirakan bagi Faez.

            Danisa meletak kembali gelas yang sudah kosong di atas meja dengan hati-hati, supaya blok Jenga yang sudah kurang kestabilannya tidak runtuh. Danisa kembali duduk tegak tanpa bersandar.

            “Jangan kacau!” Danisa memberi amaran kepada Faez, Faez mengangguk perlahan. Danisa kembali ke mood seriusnya, fokusnya hanya pada Jenga di depan mata. Aksi Danisa yang bersungguh-sungguh mencuit hati Faez, Danisa pantang dicabar, walaupun hanya bermain Jenga tetapi perasaan mahu menangnya amat tinggi.

            Perlahan-lahan jari Danisa menolak salah satu kayu Jenga itu supaya mudah untuk Danisa menarik keluar kayu itu dari belakang. Dengan berhati-hati kayu Jenga itu ditarik dari belakang dan dipisahkan dari blok Jenga yang semakin kehilangan kestabilan itu.

            “Woah…” Suara Faez kagum. Danisa menarik nafas lega, hanya kerana bermain Jenga pun boleh membuatkan Danisa gementar seperti sedang menyertai perlawanan besar pula. Sedangkan lawannya hanyalah Faez, teman lelaki sendiri. Faez tersenyum, salah satu tangan yang asyik menongkat dagu tadi pula mengambil giliran untuk mengeluarkan salah satu kayu Jenga itu.

            Dengan tenang dan berhati-hati Faez berjaya mengeluarkan satu lagi kayu Jenga itu. Danisa menggigit bibir geram, Faez sedikit pun tidak cemas sebagai mana dia rasakan sekarang, tenang sahaja dia bermain Jenga ini.

            ‘Permainan apa yang Faez ni tak reti main? Jenga pun tak kasi can langsung!’ Bentak Danisa di dalam hatinya.

            “Marah nampak.” Suara Faez lalu dia tersenyum dan buat muka tidak bersalah, makin geram Danisa dibuatnya. Walaupun tidak terucap di bibir tapi riak geram jelas tertulis di wajah Danisa. Danisa mencebik.

            “Mana ada marah.” Suara Danisa dengan nada marah. Sudah terang lagi bersuluh yang dia memang sedang marah tapi masih nak menafikan. Faez tersenyum sinis, merajuk pula buah hatinya ini. Danisa tidak menghiraukan senyuman sinis teman lelakinya itu, tapi dia terus bersedia untuk gilirannya. Jari-jemari Danisa yang runcing kembali menghampiri blok Jenga yang berlubang-lubang di atas meja itu. Setelah membuat keputusan, jari terunjuk Danisa menyentuh blok Jenga itu. Sebaik sahaja jari Danisa mendarat di atas blok kayu Jenga itu, ianya berayun lalu runtuh berkecai. Hati Danisa juga hancur berkecai seperti Jenga itu, akhirnya kemenangan tetap berpihak kepada Faez walau bagaimana kuat Danisa cuba untuk menang kali ini.

            Danisa terus menyembamkan wajah pada tangannya, posturnya seperti orang patah semangat, kecewa sungguh rasanya. Faez pula bertepuk tangan gembira bukan main, lebar senyuman di bibirnya cantik memperagakan barisan gigi yang tersusun cantik dan putih.

            “Seriously, kenapa saya kalah lagi.” Rungut Danisa, ah…baru sahaja semalam dia kalah pada Faez dalam perlawanan tenis, hari ini kalah dalam perlawanan Jenga pula. Danisa mengangkat wajah, wajah kekalahan Danisa itu buat Faez terasa sayu, kesian pula rasanya. Tak sangka Danisa akan kecewa sampai begini sedangkan ini hanya satu permainan budak-budak.

           “Okey, im sorry sayang. Lain kali Faez bagi Danisa menang ye.” Pujuk Faez, Danisa paksa diri untuk senyum. Senget senyumannya, nampak sangat tidak ikhlas.

            “No way. I’ll look pathetic bila you sengaja bagi I menang. Tak mahu.” Bantah Danisa, dia mahu menang dengan usaha sendiri bukan kerana Faez sengaja memberi peluang dia menang dengan mudah. Danisa membetulkan kedudukannya sambil jari jemari membetulkan tudung yang mula lari dari keadaan asal. Mata Faez menyoroti pergerakan Danisa yang dianggapnya menarik dan mempersonakan. Lelaki, kalau pandang perempuan dia suka memang tak lepas.

            “Kakak…Ami nak main pulak.” Tegur seorang kanak-kanak lima tahun yang muncul secara tiba-tiba di meja mereka. Serentak Danisa dan Faez berpaling memandang kakak-kanak itu yang membahasakan dirinya Ami. Wajah comel Ami membuatkan Danisa lupa kekecewaannya tadi, terus sahaja senyuman manis lekat di bibirnya. Faez juga turut tersenyuman, terpikat dengan kecomelan Ami yang berambut pendek itu.

            “Apa dia sayang?” Tanya Danisa sekali lagi kepada Ami.

            “Ami nak main ni dengan ayah dengan ibu.” Suara kanak-kanak itu sambil menunjukkan Jenga yang berterabur di atas meja. Lancar sungguh tutur katanya, pasti cerdik budaknya.

            “Oh..nak main ni ye, tunggu kejap ye sayang.” Balas Danisa sambil mengusap kepala Ami dengan lembut. Danisa kemudian memandang sekeliling mencari kelibat ibu bapa Ami, sehinggalah dia terlihat sepasang suami isteri sedang melambai dan tersenyum kepadanya lalu Danisa membalas dengan anggukan dan senyuman. Faez menarik lembut Ami untuk duduk di ribaannya sementara Danisa mula menyusun semula Jenga itu untuk dimasukkan ke dalam kotaknya semula. Faez mengesat lembut kesan aiskrim yang melekat di pipi Ami, Danisa tersenyum melihat lagak bersahaja Faez itu.

            “Nah, kakak dah masukkan. Bawak kat ayah ibu ye.” Kata Danisa sambil menghulurkan bakul yang telah dia masukkan kotak Jenga tadi. Ami menyambutnya dengan berhati-hati.

            “Terima kasih.” Ucap kanak-kanak comel itu.

         “Sama-sama.” Balas Danisa sebelum Ami berpaling dan kembali semula ke pangkuan ibu dan ayahnya dengan ceria. Faez dan Danisa masing-masing tidak dapat melepaskan pandangan pada Ami, suka benar mereka kepada kanak-kanak itu.

            “Cute kan?” Tanya Danisa tanpa sedar.

            “Ummm..” Faez terus menjawab.

            “Kalau ada anak cute macam tu kan best.” Sambung Faez tiba-tiba, terus Danisa tersedar. Merona merah wajahnya bila mendengar Faez berkata begitu, segan, malu. Faez juga malu bila dia tidak mendapat balasan dari Danisa yang mendiamkan diri, lantas Faez menolak jauh soal itu.

            “Jom gerak. Dah lama kita kat sini.” Kata Faez menarik perhatian Danisa yang tertunduk sahaja.

            “Danisa kalah, Danisa bayar.” Sambung Faez lagi. Cepat sahaja muka Danisa berkerut.

            “Ehhhhh…?”

            Faez diam.

          “Kata boyfriend pay for everything.” Rungut Danisa, pertama kali Faez mahu dia membayar, selama ini tak pernah. Walaupun Danisa menawarkan untuk membayar, Faez tetap tidak mahu. Faez tergelak melihat riaksi Danisa itu.

            “Ini terkecuali.” Kata Faez, Danisa bangun lalu bergerak ke kaunter untuk membayar harga minuman dan snek yang mereka makan tadi. Faez membontotti Danisa dekat di belakangnya, sebaik tiba di kaunter Faez yang dahulu mengeluarkan duit. Sebenarnya dia sengaja mengusik Danisa tadi, dia masih memegang prinsip ‘lelaki bayar semua’ tak mungkin dia biar Danisa keluarkan duit walaupun hanya sepuluh ringgit.

            “Alih-alih awak juga yang bayar.” Suara Danisa sambil merenung ke wajah Faez yang tersenyum, Faez menghulurkan not dua puluh ringgit yang berwarna kuning kepada gadis yang menjaga kaunter itu.

            “Baki tiga ringgit lapan puluh sen.” Suara gadis yang menjaga kaunter itu ketika memulangkan baki. Faez mencapai duit itu lalu disumbatnya ke dalam tabung derma yang ada di atas kaunter itu.

            “Tengok ni, saya suruh bayar dia merungut, saya yang bayar pun merungut.” Kata Faez seolah-olah mengadu kepada gadis di kaunter itu. Memang dasar muka tak reti nak malu, dengan siapa-siapa pun boleh diajak berbual. Gadis itu tertawa kecil, Danisa pula menjegil matanya geram. 

            “Abang dengan akak ni nampak sweetlah. Baru kahwin ke?” Tanya gadis itu tiba-tiba. Pipi Danisa serta merta memerah lagi, Faez tersenyum.

            “Yeke nampak macam baru kahwin?” Tanya Faez, nada tidak percaya dan gembira berbaur. Tak sangka pada pandangan orang lain mereka nampak seperti pasangan suami isteri, sedangkan mereka tidaklah seperti pasangan yang bukan main lagi berpegangan tangan, ada juga yang berani berpeluk sakan di tempat awam.

            “Hurm…tadi mula-mula ternampak abang dengan akak dengan budak tu, ingatkan anak abang akak, tapi rupanya anak orang lain. Sebab tu nampak macam suami isteri.” Jelas gadis itu lagi. Danisa dan Faez nampak sangat mesra terutamanya cara Faez memandang Danisa nampak sangat yang dia terlalu kasihkan Danisa, dan senyuman malu-malu Danisa menunjukkan yang dia ada perasaan yang sama terhadap Faez. Selain itu Faez dan Danisa juga memang nampak sepadan secara luaran, Faez tinggi, Danisa pun tinggi. Sama kacak sama cantik, sama segak, sama bergaya, bagai pinang dibelah dua bak kata orang dulu-dulu. 

            Danisa diam seribu bahasa, dia tidak tahu hendak berkata apa. Lidahnya kelu.

            “Yang, Cik Kay ni cakap kita nampak macam baru kahwinlah.” Usik Faez kepada Danisa, Danisa tertunduk malu. Tak berani nak buat eye contact lagi.

           “Tak adalah, kami belum kahwin pun. Anyway, thanks for the sweet comment. Bye.” Ucap Faez dengan ikhlas.

            “Terima kasih, datang lagi.”

            Danisa dan Faez sama-sama beriringan keluar dari kafe itu. Danisa mengipas-ngipas wajahnya yang terasa panas dek malu. Faez memandang ke wajah Danisa, Danisa pula melarikan anak mata tidak mahu bertembung mata dengan Faez.

            “Nampaknya Danisa kena panggil Faez abanglah lepas ni.”

            “Ish…kenapa pulak? Tak nak lah.” Rengus Danisa kecil.

            “Orang dah kata kita macam suami isteri, apa salahnya. Dah naik tarat, dulu kita belum bercinta orang kata kita kekasih, bila dah betul-betul bercinta orang kata kita suami isteri pula. Apa salahnya, lagipun memang abang lagi tua dari Danisa kan?” Faez dengan sendirinya membahasakan diri sebagai abang dengan spontan. Dahi Danisa berkerut, aduh…mana nak sorok muka ni. Terasa janggal dan segan pula bila ada dalam keadaan macam ni. Selama ni tak pernah seteruk ni, sampai langsung tak boleh tengok muka Faez sebab malu.

            “Sekali je, sekali je….”

            Danisa memanjangkan langkah untuk berjalan lebih pantas. Faez mengejar teman wanitanya, sambil diri tidak berputus asa untuk memujuk Danisa memanggilnya dengan panggilan ‘abang’.

            “Sekali je…’abang’..please..”
*~*~*
~bersambung~

an: Ildan...sorry sbb lambat, saya terlupa nak update malam tadi. Maaf ye semua!!!
Lagi 2 hari saya akan ke pesta buku, ada ke yang datang nak jmpa saya?? ada ke??? ada?? 
huhu...

Thursday, April 25, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 19

Sampai bila pun sayang



19
Bro, thank you sebab bagi I pinjam kereta you.” Faez mengucapkan terima kasih sambil memulangkan kunci kereta kepada Leo. Dia menepuk belakang bahu Leo.

“Tak da apa punya. Hal kecik saja, small matter.” Leo membalas, dia memulangkan kunci kereta Audi Q5 milik Faez. Sudah menjadi kebiasaan Leo meminjamkan kereta kepada Faez, selepas ini lebih keraplah Faez akan meminjam keretanya setiap kali dia keluar bersama Danisa. Kerana Faez tidak mahu Danisa tahu yang dia orang senang, dia mahu dikenali sebagai seseorang yang ada kehidupan yang biasa. Faez hanya akan berterus terang bila Danisa benar-benar ikhlas sukakan dirinya, cintakan dirinya.

So, how was your date?” Sibuk sahaja Leo bertanya.

Great. She seriously makes me fall for her more and more everyday. I tak boleh bayangkan I boleh cari perempuan lebih baik dari dia.” Faez memberitahu rakannya itu. Tiada riak terkejut di wajah Leo, dari apa yang sudah Faez ceritakan padanya dia boleh membayangkan Danisa sebagai gadis yang hebat, bijak, berkarisma dan juga cantik.

Good, bila mau kahwin?” Tanya Leo kepada Faez. Faez tersengih.

“Awal lagilah Leo. Still need to know her better, I tahu dia terbaik tapi kena tahu pasal diri dia jugak. Dia pun tak sedia lagi. Okeylah Leo, I gerak dulu. Nak balik mandilah. Thanks again okay.” Kata Faez. Cepat sahaja Leo membalas.

Sure, no problem. Just come see me if you want to borrow my car but make sure you sms me first, don’t come knock my door at dawn again.” Pesan Leo kepada Faez yang sudah melangkah ke keretanya. Faez tergelak teringat apa yang berlaku subuh tadi, kalut dia mengetuk pintu rumah Leo untuk meminjam kereta, Leo yang mamai memberi sahaja kunci keretanya itu. Mujurlah Faez yang minta, kalau orang lain entah ke mana hilangnya kereta Leo itu.

Faez memandu pulang ke rumah, terus ke rumah banglo milik keluarganya tanpa singgah ke mana-mana, dia sudah tidak tahan dengan rasa melekit di badan. Dia mahu cepat-cepat mandi, membersihkan diri. Sebaik sahaja memakir keretanya Faez terus sahaja mematikan enjin dan keluar dari keretanya, kakinya melangkah ke arah pintu utama rumah itu.

“Faez pergi mana awal-awal pagi ni? Dah dua minggu Faez keluar awal pagi, selama ni tak pernah pun.” Faez disapa dengan soalan itu sebaik sahaja melangkah masuk ke rumahnya. Dia cepat-cepat menyimpan kasut sukannya ke dalam rak kasut, dia menoleh ke arah mamanya yang muncul dari ruang tamu rumah.

“Main tenis dengan kawan kat luar,” balas Faez. Dia menunjukkan beg raket tenis yang digalas dibahunya. Mama Faez memandang anaknya dengan pandangan tidak percaya, kenapa tiba-tiba suka bermain tenis?

“Tenis? Selalu Faez swimming je, or exercise kat gym rumah. Tak pernah pun Faez main tenis kat luar.” Suara mamanya dengan tegas. Baru-baru ini dia menyedari anaknya seperti berubah, dia lebih ceria dari selalu. Sebelum ini Faez hanya mementingkan kerja sahaja, seorang yang amat serius tetapi baru-baru ini seringkali dia melihat wajah Faez dengan pelbagai mimik menggambarkan perasaannya, terutamanya bila dia gembira Faez tidak pernah dapat menyembunyikan keceriannya di wajahnya.

“Faez still swimming ma, cuma sekarang nak main tenis pulak. Bukan selalu, seminggu sekali je.” Balas Faez sambil menghampiri mamanya, tangannya melingkari bahu wanita itu. Mereka bergerak beriringan bergerak menuju ke ruang dapur, reda sedikit ketegangan di wajah mama Faez itu.

“Alah nak main tenis kat rumah pun boleh, bukan tak ada gelanggang tenis.”

“Nak main dengan siapa kalau semua pun membuta sampai tengah hari, kalau hari cuti mana ada yang bangun awal, mesti bangun lambat.” Balas Faez lantas dia mencebik. Manja betul dengan mamanya itu, dah berusia pun masih nak bermanja.

“Mama kan ada, mama bangun awal tiap-tiap hari.”

“Mama main tenis ke?” Soal Faez kepada mamanya. Tak pernah pula dia nampak mamanya bermain tenis, selama ini hanya dia dan adik beradiknya yang lain menggunakan gelanggang tenis itu, itu pun tak selalu kerana jarang sekali mereka akan berkumpul dan bersukan bersama.

“Hey, jangan pandang rendah pada mama okey. Walaupun mama dah tua mama masih kuat tau, mama selalu main tenis dulu-dulu. Faez je yang tak tahu.” Faez tersengih mendengar kata-kata mamanya itu.

“Mana ada mama dah tua, muda lagi. Sweet pulak tu.” Puji Faez kepada mamanya. Berseri-seri wajah wanita itu bila dipuji.

“Mama, Faez nak mandi, naik dulu lah.”

Faez cepat-cepat beredar setelah mengucup pipi mamanya, dia mahu cepat melarikan diri dari mamanya terus bertanya dan mengesyaki dirinya. Disebalik itu Faez berasa bersalah kerana berbohong kepada mamanya, tak patut dia buat begitu tetapi mamanya amat tegas mengenai perempuan bukan mudah untuknya mendapat persetujuan mamanya bila dia berkasih dengan seseorang. Mamanya lebih tegas dalam memilih gadis yang boleh dekat dengannya berbanding dahulu ketika dia muda remaja, mamanya tidak ambil kisah sangat sewaktu itu kerana yakin anaknya hanya main-main tetapi sekarang Faez sudah mencapai umur untuk serius dan mencari isteri, oleh itu semua gadis yang mahu dekat dengan Faez akan ditapis dahulu.

Sudah banyak hubungan cinta yang baru berputik gagal sebelum ia berkembang, hanya kerana mamanya tidak merestui. Selalunya kerana alasan ‘gadis itu tidak sesuai untuknya’, tetapi kali ini Faez agak berkeyakinan yang Danisa akan lepas penilaian dari mamanya kerana Danisa seorang gadis yang hebat, bukan calang-calang orangnya. Namun begitu, masih terlalu awal untuk dia berterus terang, dia mahu menikmati cinta tanpa risau mengenai pandangan mamanya dahulu. Biar dia dan Danisa sama-sama mengenali hati budi masing-masing barulah dia memperkenalkan Danisa kepada orang tuanya.

Faez mahu hubungan ini berjaya, dia tidak mahu menjadi seperti abang longnya yang dikahwinkan dengan perempuan yang tidak dicintainya, berkahwin dengan anak kepada sahabat mamanya tanpa rela. Sehingga sekarang setelah dua tahun berkahwin, abang longnya dan kakak iparnya masih belum menemui sinar bahagia. Hubungan mereka dingin, sedingin ais di kutub utara.

Setelah siap mandi dan berpakaian lengkap, Faez menghabiskan masanya di balkoni biliknya menghirup udara segar. Dia menikmati pemandangan dari situ, rumahnya yang berada di atas bukit membolehkan dia melihat sebahagian besar pemandangan bandar dan pemandangan hijau disekitar kawasan rumahnya. Faez memandang ke bawah, dia tersenyum. Sudah lama tidak berenang di kolam renang itu, Faez suka berenang oleh kerana itu dia memilih bilik yang menghadap kolam renang di rumah mereka. Pernah sekali dua Faez buat kerja gila, terjun ke kolam renang itu dari balkoni bilik tidurnya, tiga hari tiga malam dia dileteri mamanya, bahaya kerana kolam itu bukanlah sedalam kolam khas untuk terjun platform sepuluh meter. Tetapi leteran mamanya itu hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri, Faez tetap berdegil kerana dia belum pernah cedera ketika melakukan aksi berani itu.

Faez merasakan hidupnya sudah lengkap, ada kerjaya yang kukuh, keluarganya yang amat disayangi dan teman wanita yang amat dicintai. Jika nanti ada jodoh antara dia dan Danisa, dan gadis pujaannya itu sudah bergelar isterinya pasti hidupnya sempurna, perfect. Terkenangkan Danisa membuatkan perasaan rindu menerjah di hati, ingin sahaja Faez mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Danisa berbual-bual untuk menghilangkan rasa rindu. Tetapi dia bukan lagi di zaman mudanya, orang seusianya tidak berkasih dengan menghibungi kekasih sehingga berjam-jam, yang menghabiskan masa bersama sepanjang hari, berkepit asal ada masa yang terluang. Dia perlu memberikan masa buat diri mereka berdua untuk kehidupan masing-masing juga, mereka ada tanggungjawab masing-masing.

Sedang asyik Faez termenung di balkoni itu, kedengaran bunyi telefon berbunyi dari iMac miliknya. Seseorang menghubunginya melalui akaun Skype Faez, cepat sahaja Faez masuk ke dalam untuk menjawab panggilan itu.

“Abang Faez. Hello.” Syifa bersuara sebaik sahaja talian bersambung. Faez belum pun sempat duduk di kerusinya, tetapi Syifa sudah terlebih dahulu menegurnya.

“Hai Syifa, how are you?” Tanya Faez ceria kepada Syifa, senang hatinya melihat Syifa yang tersenyum ceria walau dia jauh di perantauan.

Great, just great. Abang macam mana? Macam tengah happy je.” Tegur Syifa, Faez tersenyum. Pandai sahaja Syifa membaca riaknya, Faez berpuas hati dengan hidupnya sekarang, mana mungkin dia tidak gembira?

“Abang baru balik dating.”

“Ah…i knew it. Eh..dating apa pagi-pagi?” Tanya Syifa dengan nada curiga. Kalau diikutkan sekarang baru pukul sebelas setengah pagi di Malaysia, pukul berapa abangnya pergi dating? Ke mana abangnya membawa teman wanitanya keluar?

“Abang keluar pergi main tenis dengan Kak Danisa. She’s really good you know, she beat me once. Seriously hurt my pride.” Cerita Faez kepada Syifa, berdekah-dekah Syifa ketawa. Abangnya dikalahkan girlfriend sendiri dalam perlawanan tenis? Hahaha…selalunya dia sibuk kalahkan orang lain bila bermain tenis bersama adik beradiknya, sekarang ada orang lain yang boleh kalahkan Faez, Syifa puas. Syifa semakin suka dengan bakal kakak iparnya.

“Haha…ada juga yang boleh kalahkan abang. Yeah..”

“Abang bagi can kat dia mula-mula, tapi rupa-rupanya dia memang dasyatlah jugak, menyesal bagi can awal-awal. Tak pasal-pasal tak dapat kejar mata.” Faez menambah. Hampir menitis air mata Syifa kerana ketawa kuat, lawak sungguh.

“Okey okey, cukup dengan cerita abang. Syifa macam mana?” Faez bertanya, Syifa menekan-nekan pipinya yang kebas sebelum menjawab pertanyaan itu.

“Okey, semua okey.”

Boyfriend dah jumpa?” Soal Faez kepada Syifa, ingin juga dia tahu perkembangan Syifa, adakah dia menerima idea Faez atau dia menolak begitu sahaja atau dia masih pertimbangkan idea itu.

“Abang ni, Syifa baru je balik tiga hari, abang tanya pasal tu.” Syifa separuh menjerit membalas soalan itu. Ah…segan betul bila Faez sibuk bertanya mengenai itu, Syifa mula melentok ke kiri dan kanan dengan mimiknya nampak seperti sedang berfikir.

“Ala…releks ah. Abang nak tahu je.”

“Okey, i got a few candidates.” Syifa membuka cerita. Semalam dia asyik menjadi pemerhati sahaja, usha lelaki sana sini. Dah macam dijangkiti penyakit mata keranjang pula, ini semua gara-gara cadangan tidak masuk akal abangnya tetapi entah mengapa dia mengikut sahaja.

“Wow.” Terangkat kening Faez, tak sabar dia mendengar cerita dari mulut adiknya itu.

“Dengar sini, Malaysian totally out sebab dah la sikit semua dah kena sapu pulak tu.” Faez tertawa kuat dengan kenyataan itu, tanpa menghiraukan tawa Faez Syifa terus menyambung kata-katanya.

Then ada sorang Indonesian ni, oh may handsome gila tapi macam susah nak pikatlah, sombong sikit. One Korean, perg….he looks like super star, and the other two are mat salleh. Really really good looking one, sama standard dengan One Direction.” Teruja pula Syifa bercerita, Faez yang mendengar bukan main galak lagi ketawa.

“Baru tiga hari balik dah empat candidates?” Faez bertanya, bagai tidak percaya pula adiknya mengambil serius mengenai cadangannya. Kalau sekadar hendak suka-suka, tak perlu memilih secara terperinci pun tak apa kot..

“Abang ni, tadi dia yang suruh cerita sekarang ketawakan orang pulak. Urgh…” Syifa merengus geram.

Sorry, sorry. Tapi jangan kawan dengan yang jenis terlalu main-main tak ambil serius pasal studi. Nanti result teruk mama tahu pulak, abang pun tadi dah cuak dah bila mama tanya pergi mana awal-awal pagi.” Faez berpesan pada adiknya itu. Teringat soalan mama pagi tadi, nasib lah Faez jenis yang pandai mengawal supaya sentiasa tenang di hadapan mamanya, kalau tidak pasti rahsianya sudah terbongkar.

“Serius? Gila…abang hati-hati sikit. Nanti tak sempat Syifa nak jumpa buah hati abang tu, mama dah serang dulu. Kalau mama okey, tak apalah…kalau mama tak okey, rugi Syifa.” Giliran Syifa pula yang berpesan kepada abangnya. Walaupun dia tidak menyatakan di bibir tetapi jauh di sudut hatinya dia mahu hubungan Faez kali ini berjaya. Sudah lama Faez bersendirian, sudah sampai masanya Faez membahagiakan diri sendiri.

“Yelah-yelah, pandai je dia bagi nasihat. Syifa abang nak tidurlah, pagi tadi bangun awal punya pasal, mengantuk.” Faez berpura-pura menguap, mengantuk memang mengantuk tetapi tak adalah sampai menguap seluas mulut naga yang lapar.

“Yiiii…dah tua bangka still sambung tidur tengah hari.”

“Bagi la can, hari sabtu kot. Abang kerja penat tau. Bye.”

“Okey bye….” Syifa melambai-lambai tangannya. Kesian pula pada abangnya itu, biarlah dia nak tidur. Syifa memutuskan talian, dia menarik buku notanya untuk menyemak senarai kerja sekolah yang diberikan gurunya. Dengan perasaan malas dia memaksa diri menyiapkan kerja sekolahnya, kalau dah siap bolehlah dia menjalankan projek mencari teman lelaki yang diusulkan oleh abangnya Faez.

Syifa menggeleng kepalanya, soal teman lelaki ditolak tepi dan fokusnya sekarang hanya pada komputer ribanya, pelajaran adalah lebih penting dari teman lelaki. Syifa terus menumpukan perhatian pada kerjanya sehinggakan dia tidak menyedari hari sudah menerjah malam.

*~*~**~*~*
~bersambung~

an: dengar kata HSHI dah ad kat kedai2, apa lagi~~~ pergilah sambar satu.. hahahaha..
btw esok start PESTA BUKU~~~~~~!!!!!!!!!!!!!!!! kyaaaaaaaaaaaaaaa...
Awesome kan??? Pergi tau...n kalau pergi singgah la booth adiwarna okey!!! ^^ 


Sunday, April 21, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 18

Sampai bila pun sayang




18
“Ah, jangan lalu situ. Court basketball.” Suara Danisa dalam nada gemuruh. Mereka mengubah haluan supaya tidak melintasi gelanggang bola keranjang, setelah sampai ke gerai, cepat sahaja mereka berdua beredar dari situ. Risau sungguh Danisa kalau dia bertembung dengan Danish, atau kawan-kawan Danish yang lain. Walaupun tidak rapat tetapi rakan-rakan yang sama-sama bermain bola keranjang dengannya kenal Danisa.

Setelah lima minit berjalan di sekitar taman rekreasi itu, Danisa dan Faez duduk di sebuah bangku panjang. Faez menolong Danisa membuka botol air yang dibeli tadi, dan botol air itu berubah tangan, setelah mengucapkan terima kasih Danisa meneguk air yang sejuk itu dengan perlahan-lahan.

“Boleh saya tanya sesuatu?” Suara Faez sebaik sahaja Danisa menutup botol air itu. Dia menanti jawapan Danisa dengan sabar.

“Apa dia?”

“Kenapa Danisa takut sangat dengan adik Danisa?” Tanya Faez, dia berasa pelik pula kenapa Danisa terlalu takut pada Danish. Selama ini belum pernah situasi ini berlaku di dalam keluarganya. Selalunnya adiklah yang takut dengan kakak, bukan kakak takut dengan adik, ini terbalik pula mereka ini.

“Saya pernah beritahu kan dia super protective. Dia betul-betul akan kurung saya kalau dia nampak saya dengan awak, trust me, i know my lil brother.” Danisa memberi jawapan, itu membuatkan Faez berfikir lebih jauh. Mengapa begitu? Apa yang membuatkan Danish terlalu melindungi kakaknya?

“Kenapa dia macam tu? Memang dari dulu ke macam tu?” Perasaan ingin tahu Faez semakin membuak-buak. Danish memang seseorang yang menarik untuk dikenali, interesting. Kalau dia hendak memenangi Danisa suatu hari nanti, mesti dia perlu belajar memahami Danish supaya mudah untuk dia memenangi hati lelaki itu untuk mengizinkan dia menikahi kakaknya, Danish adalah wali Danisa besar kuasanya terhadap perkahwinan Danisa nanti.

“Tak lah, dulu dia tak macam ni. Sejak setahun lepas, dia macam ni.”

“Kenapa dia jadi macam tu tiba-tiba?” Soal Faez lagi, dia langsung tidak teringat apa yang terjadi setahun lalu kepada Danisa yang membuatkan Danish berubah sikap. Danisa menghirup udara segar, dia serba salah sama ada untuk beritahu ataupun menyimpan sahaja kenangan pahitnya. Tiada apa yang perlu dikatakan lagi.

Something jadi kat saya tahun lepas, dan lepas tu…Danish just jadi macam tu.” Jawab Danisa, dia masih tidak mahu membuka keseluruhan cerita. Cukuplah setakat itu, Faez bukan sesiapa untuk tahu apa yang sudah terjadi sebenarnya.

“Saya kenal adik saya, sampai satu tahap dia akan jaga saya macam seorang ayah. Lepas kejadian tu pernah dia hantar dan ambil saya dari tempat kerja selama sebulan. Tak kira ada kuliah, dia just ponteng macam tu je semata-mata untuk hantar dan ambil saya dari tempat kerja. Nak keluar kena minta izin dia, tapi sekarang dah kurang sikit, saya dah boleh keluar sendiri, kalau lima enam bulan dulu sentiasa dia akan ikut.”  Cerita Danisa sedikit lagi. Faez mendengar dengan setia, dia tidak mahu menyampuk mahupun mendesak Danisa supaya menceritakan segalanya, mungkin bila hubungan mereka sudah lebih lama dan stabil Danisa sendiri akan menceritakan segalanya mengenai keluarganya.

“Aisyah pulak? Dia memang kawan dengan awak dari dulu ke?”

Soalan itu buat Danisa tersenyum.

“Aisyah jiran dan juga kawan satu sekolah dengan saya, then masa kami melanjutkan pelajaran sama-sama dapat belajar di UK tapi lain-lain universitilah. Kami tinggal bersama, bila balik sini dia apply jadi pensyarah, saya pulak bekerja di syarikat swasta kemudian saya apply pensyarah jugak, saya ditawarkan jawatan tu, dan sekarang kami mengajar di tempat yang sama dan duduk di bilik yang sama. Kelakar betul takdir kami, sentiasa dekat tak pernah jauh antara satu sama lain.” Cerita Danisa kepada Faez, kalau mengenai Aisyah Danisa lebih terbuka, hanya keluarganya Danisa keberatan untuk bercerita. Danisa bangga ada sahabat seperti Aisyah, dia amat baik, setia, dan ikhlas berkawan dengan Danisa. Tidak pernah Aisyah meminta, atau berkawan dengan Danisa atas sebab lain, ikhlas dan benar-benar ikhlas.

“Aisyah dengan Hakim baru kahwin ke?”

“Taklah dah nak dekat dua tahun dah.”

“Tapi cute je dia orang kan?” Suara Faez seolah-olah cemburu. Danisa tergelak.

“Awak ni bagi komen macam perempuan, tapi yeah, dia orang memang cute dan sweet sangat-sangat. Kalau tengok dia orang bersembang dua mesti suka, kelakar.” Danisa membalas, dia suka sangat Hakim menjadi suami Aisyah. Hakim dan Aisyah berjumpa di UK dahulu, Hakim datang bercuti di UK dan berjumpa rakan-rakannya yang belajar di sana. Walaupun hanya percintaan jarak jauh tetapi jodoh mereka sangat kuat, sebaik sahaja Aisyah pulang terus sahaja Hakim menghantar rombongan meminang, mereka bertunang dan dua tahun lalu mereka berkahwin.

“Saya harap satu hari nanti kita boleh jadi macam mereka.” Komen Faez lagi. Kata-kata Faez membuatkan Danisa tersentak, sebegitu jauh Faez berfikir mengenai hubungan mereka? Danisa tidak sangka Faez benar-benar serius dalam perhubungan ini, dia tidak pernah terfikir sejauh itu. Sedangkan hubungan yang bersemi bertahun-tahun pun mampu untuk runtuh sekelip mata sahaja, Danisa tidak berani lagi menaruh harapan yang tinggi walaupun dia tahu sekarang dia sudah patut bersikap serius dalam perhubungan, memandangkan usia yang semakin meningkat.

“Kenapa? Awak tak nak ke macam tu? Cute je.” Tanya Faez bila Danisa diam membisu, terkejutnya masih berbaki. Danisa menolak jauh-jauh perasaan itu, sudahlah kalau ada jodoh sehebat mana cabaran dan dugaan yang datang, hubungan mereka pasti berjaya begitu juga sebaliknya. Kalau tiada jodoh, bercinta bertahun-tahun pun tidak juga akan bersama.

“Siapa yang tak mahu bahagia, sesiapa pun mahu. Cuma nak mengecap bahagia itu bukan mudah.” Suara Danisa lemah. Faez memandang ke wajah Danisa yang tertunduk sahaja, seolah-olah hilang semangat.

Stay with me and i’ll make you happy. Percayalah, saya akan membahagiakan awak Danisa.”
Kata-kata Faez memberi sinar harapan baru buat Danisa. Faez mahu Danisa yakin akan keikhlasannya. Dia bukan hendak mempermainkan Danisa, dia betul-betul sudah jatuh cinta pada gadis itu. Kalau boleh dia mahu memperisterikan Danisa kerana umurnya sudah pun mencapai ke tahap layak berkahwin. Sekarang dia cuma mahu mengenali Danisa lebih dekat dan hanya akan masuk meminang bila Danisa benar-benar sudi menjadi isterinya.

“Saya hanya tunggu awak Danisa, kalau Danisa bagi green light sekarang juga saya call mak saya sediakan rombongan untuk meminang.” Ucap Faez dengan nada ceria, dia serius tetapi tidak mahu Danisa tertekan dengan keseriusannya oleh itu dia gunakan nada begitu, biarkan ia longgar sedikit dan bunyi seperti dia sedang bergurau sedangkan dia tidak.

Danisa tersenyum, adakah ini tanda respons yang positif?

“Terima kasih Faez, saya rasa keikhlasan awak, dan saya hargai sangat-sangat. Tapi, saya belum sedia, harap awak akan bagi saya masa.” Jawab Danisa penuh sopan. Dia bukan mahu memberi alasan semata-mata tetapi dia benar-benar belum bersedia.

“Tak pa, saya boleh tunggu. Tapi….” Faez berhenti di situ. Danisa berpaling ke arah Faez, memandang Faez yang tidak menghabiskan kata-katanya. Apa yang hendak Faez katakan? Danisa benar-benar ingin tahu.

“Tapi apa?”

“Tapi…saya curious dengan hati Danisa sekarang. Setelah tiga hari bergelar girlfriend saya, berapa banyak dari hati Danisa sudah saya takluki?”

Soalan Faez membuatkan jantung Danisa menjadi laju mengepam darah, sejak dari pagi tadi jantung kecil itu tenang sahaja. Hanya mengubah rentak menjadi lebih laju bila dia bermain tenis tadi, tetapi selepas dia merehatkan diri jantungnya tenang kembali. Tetapi sekarang, bila Faez berkata begitu, mengenai hati dan perasaan jantungnya kembali tidak keruan. Danisa seolah-olah terlupa untuk bernafas, jantungnya bekerja keras untuk mempertahankan nyawanya.

‘Hati? Takluk hati aku?’

Danisa berkata di dalam hatinya, bertanya pada diri sendiri sebanyak mana sudah hatinya yang menjadi jajahan Faez.

“Danisa tak sudi jawab soalan saya ke?” Tanya Faez lembut, dia tidak sangka soalannya boleh membuatkan Danisa tidak keruan. Dia tahu..kerana jelas terpancar di wajah gadis itu, dia seolah-olah lost.

“Saya tengah buat kira-kira.” Jawab Danisa separuh sedar, apa yang keluar dari mulutnya juga dia tidak sedar. Dia cuba mengawal pernafasannya, menarik nafas perlahan-lahan untuk meredakan getaran yang maha hebat. Setelah bertenang sedikit barulah Danisa menjawab soalan Faez.

“Keikhlasan awak dah curi sepuluh percent, mulut manis awak curi lagi dua puluh percent, awak cakap nak hantar rombongan meminang dah rampas lagi sepuluh puluh percent yelah semua perempuan suka kalau ada orang ikhlas cakap macam tu kat dia, layanan baik awak terhadap saya ambil lagi sepuluh. Tapi sebab awak pernah tipu saya dah minus sepuluh percent.” Ujar Danisa berhati-hati, Faez yang mendengar dengan setia tersenyum. Baru tiga hari dia menjalinkan hubungan dengan Danisa tetapi sudah tiga puluh peratus dari keseluruhan hati gadis itu dia takluki.

“Tiga puluh peratus? Wow..”

“Kenapa wow?” Tanya Danisa.

“Wow…hebat jugak kan saya? Baru tiga hari dah tiga puluh percent. Kalau kira sekali muka saya yang handsome ni plus saya punya gentleman boleh kot dapat lima puluh percent kan? Aduh..” Faez mengaduh bila Danisa memukulnya dengan botol air yang sudah separuh kosong. Suka-suka sahaja dia hendak memberi markah untuk diri sendiri, tak tahu malu.

“Angkat bakul.” Ejek Danisa. Kemudian dia tersenyum sambil menahan diri dari tertawa. Ada-ada aje Faez ni.
*~*~*
~bersambung~

an: sy hampir2 terlupa yang saya kena update hari ni. saya dah tertidur pun, tp terjaga so saya update. anyway.. saya dah baca HSHI sampai habes 2kali.. lol.. sy mmg gelak golek2 la part yg obviously translate ke BM. lawak dowh yg kena translate tu~~ kkkkk.. sapa dah bc di blog n baca novel tu akan faham!! 


*@&)W*NGF8I87%##@%54U654#4$$@#@^
stock dah nk habes.. kena rajin2 menulis lepas ni.. TToTT