Followers

Sunday, May 19, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 25

Sampai bila pun sayang



25
Sekarang

“Sampai bila-bila pun Danish tak akan maafkan dia.” Suara Danish dengan nada tegas. Tersentak Danisa mendengar suara Danish yang keras, tak sangka Danish masih berdendam pada Ameer. Sedangkan Danisa sudah lama memaafkan Ameer, dia tidak mahu mengenang kisah lalu. Sebaik sahaja bangkit dari kesakitan dahulu, dia sudah berjanji untuk memaafkan Ameer, tiada guna berdendam memaafkan lebih baik dari menyimpan dendam. Luka yang ditinggalkan Ameer sembuh perlahan-lahan dengan bantuan dan sokongan Aisyah dan Danish, manakala parutnya pula dilindungi oleh cinta yang Faez taburkan kepadanya. Sekarang dia langsung tidak sedih dengan kenangan yang sudah lama ditinggalkan.

“Dan Danish tak akan benarkan sesiapa lukakan kakak.” Janji Danish buat kakaknya, itu sumpah yang dia pegang sejak malam dia mendengar perbualan kakaknya dengan Aisyah. Danisa meletakkan tangannya pada bahu Danish, dia memberikan senyuman buat Danish tetapi Danish langsung tidak memandang, dia masih melemparkan pandangan pada pemandangan kota Kuala Lumpur.

“Danish, tak ada siapa akan lukakan kakak. Abang Faez tu baik, dia sayangkan akak dan hormat akak.” Danisa memujuk Danish dengan harapan adiknya akan berlembut hati dan menerima kenyataan yang hati Danisa sudah terpaut pada insan bernama Faez.

“Itulah kakak, mudah sangat percaya kat orang. Kalau dia depan je nampak baik tapi sebenarnya tak macam mana pulak? Dulu laki tu pun bukan main lagi lagak baik depan kita tapi belakang kita siap buntingkan perempuan lagi.” Danish tidak habis-habis mengungkit mengenai itu. Danisa kecewa…kenapa Danish tidak boleh nampak betapa gembiranya dia sekarang, dia sudah tidak dibayangi dengan kegagalan cinta pertamanya itu kerana Faez. Kenapa Danish tidak boleh memberi dirinya peluang untuk mengecap bahagia ini?

“Dia baik Danish, tak pernah sekali pun dia ambil kesempatan ke atas kakak. Walaupun bukanlah alim seperti ustaz tetapi dia bukanlah bodoh agama, sekurang-kurangnya solat dia terjaga. Dia hormati kakak, bila kakak cakap kakak rahsiakan hubungan kami dari Danish dia hormat pendirian kakak. Kakak tak tahu mana lagi kakak boleh cari lelaki sebaik dia, dan kalau kakak kena tipu lagi, kakak redha sebab kakak memang sayang pada dia.” Danisa cuba meraih kepercayaan Danish, Danish memandang ke wajah Danisa tidak percaya. Redha? Danisa sanggup ditipu lagi? Gila…nampaknya tamparan hebat dari peristiwa lalu sudah buat kakaknya sewel kot, boleh redha macam tu je kalau kena tipu lagi.

“Redha kakak kata? Gila apa Danisa?” Tanya Danish dengan nada sedikit meninggi. Rimas pulak dengan sikap kakaknya ini, kenapa mudah sangat percayakan orang. Dari luar nampak bukan main lagi berkarisma, matang dengan penampilannya, serius dan boyish sedikit kadang-kadang tetapi sebenarnya dalaman Danisa lemah, mudah percayakan orang, cepat cair dengan mulut manis, cepat sangat maafkan orang.

“Danish, jodoh, kalau Allah kata bukan milik kita, tetap bukan milik kita. Jodoh Allah dah tetapkan Danish, tak kira berapa kali kita bercinta, kecewa, menangis, jodoh kita tak berubah Danish. Dan kita kena cari sampai jumpa jodoh tu..”

“Kakak dah mula balik cakap pasal kahwin, Danish tak suka.” Pintas Danish sebelum Danisa menjelaskan soal jodoh lebih mendalam. Bukan dia tidak tahu mengenai itu, tetapi cuma dia tidak sanggup melihat peristiwa dulu berulang lagi, sebelum pisang berbuah dua kali baik dia cepat-cepat cantas pokok pisang itu.

“Danish, kakak cakap pasal kahwin tak bermaksud kakak nak kahwin sekarang. Kakak cuma nak Danish faham yang kakak, Danish, kita tetap kena melalui, menempuhi semua ni sebelum kita bertemu dengan jodoh kita. Kalau Danish asyik jaga kakak macam ni bila Danish nak ada girlfriend?” Pandai-pandai sahaja Danisa mengubah topik, terus Danish mencebik.

“Ish kakak ni, kita tengah bincang pasal kakak bukan Danish. Saje je nak naikkan darah orang.” Marah Danish, tetapi Danisa buat tak tahu sahaja. Dibalunnya tawa kepada Danish, Danish terus mencekak pinggang.

“Kakak!”

Danisa terdiam, okey sekarang masa untuk serius balik. Masa untuk ketawa dah tamat, Danish dah marah sangat dah tu.

“Danish kenal dengan dia dululah. Kalau Danish approve baru kakak serius dengan dia, boleh?” Tanya Danisa, tangannya melingkari bahu tegap Danish. Dia menepuk-nepuk bahu adiknya itu memohon persetujuan Danish.

“Sekarang ni main-mainlah dengan dia?” Tanya Danish dengan mimik tak puas hati.

“Bukan main-main tapi kakak belum cakap kat dia yang kakak dah jatuh hati kat dia.” Terus terang Danisa kepada Danish. Sekarang Danisa lebih berani bila dia faham mengapa Danish bertindak mengongkong pergaulannya, dia perlu pertingkatkan komunikasi antara mereka dua adik beradik kerana masalah komunikasi boleh membawa kepada pelbagai masalah lain terutamanya salah faham. Jadi biarlah dia lebih banyak berterus-terang, lama-lama pasti Danish juga akan lebih terbuka dengan Danisa dari sekarang.

“Kakak ni…main jatuh-jatuh hati pulak. Nanti kalau kecewa, hati tu jugak yang jatuh berkecai.” Sambung Danish sambil menguis rambutnya yang ditiup angin lalu menyapa pipinya.

“Danish tak jumpa dia lagi macam mana Danish tahu dia akan kecewakan akak ke tak. Jumpa dia dulu okey?” Ajak Danisa lagi. Danish akhirnya mengangguk dalam terpaksa, dia mahu memantau hubungan kakaknya dengan lelaki itu. Kalau lelaki itu tak layak buat kakaknya, dia sendiri akan beri amaran kepada lelaki itu supaya tidak mendekati kakaknya itu. 

“Bagus, jom balik. Nyamuk dah mula gigit kakak tau tak. Jom.” Danisa menolak Danish, memaksanya bangun dari bersandar di hood kereta Satria Neo itu. Dalam perjalanan balik sengaja Danish menakut-nakutkan Danisa dengan melakukan aksi drift di lereng-lereng bukit itu sebagai balasan kerana berbohong dengannya. Memandangkan jalan raya di bukit itu memang lengang terutamanya setelah masa menginjak ke tengah malam, oleh itu Danish berani melakukan aksi merbahaya itu.

Kalau menaikki kereta yang di drift di jalan raya yang rata sudah cukup menakutkan bagi Danisa ini kan pula drift menuruni bukit, hendak putus anak tekak Danisa menjerit. Takutnya hanya Allah yang tahu, nasiblah Danish sememangnya handal dalam aksi drift ini, setidak-tidaknya Danisa percaya yang Danish tidak akan buat mereka terbabas entah mana-mana.

Longlai tubuh Danisa sebaik sahaja tiba di rumah, lembik lutut Danisa melangkah masuk ke rumahnya. Ini semua gara-gara aksi drift berani mati Danish, Danisa terus ke dapur untuk mengambil air untuk meredakan jantung yang berdegup kencang. Danish macam suka pula mengenakan kakaknya begitu, meleret sahaja senyumannya puas dengan idea bernasnya untuk menakut-nakutkan kakaknya. Jahat dan nakal.

“Siaplah Danish, tahulah apa kakak nak buat untuk balas dendam. Siap kau Syed Danish Syed Iskandar.” Danish meluru masuk ke dalam biliknya bila mendengar nama penuhnya disebut kakaknya itu, marah betul Danisa nampaknya baik dia melarikan diri dulu. 

*~*

“Syed Danish Syed Iskandar, dua puluh lima tahun, single. Saya bagi masa limit untuk awak copy details dia.” Suara Danisa lalu dia meletakkan jarinya dibawah hidungnya, cuba untuk menyembunyikan senyuman yang terlirik kerana melihat aksi pelajar-pelajarnya terutamanya pelajar perempuan kalut menyalin maklumat Danish yang terpampang di skrin.

Inilah misi membalas dendam Danisa, ah…biarkan Danish kena kacau. Berani dia takutkan kakaknya, dia ingat dia siapa? Berdekah-dekah Danisa tertawa di dalam hatinya, dia amat puas hati dengan hasil kerjanya. Danisa memilih gambar Danish yang paling kacak baginya, sudahlah kacak tinggi lampai pulak tu…genetik mereka memang tinggi. Nombor telefon, alamat e-mail, i.d twitter, url profil facebooknya semua bentuk komunikasi yang boleh sampai ke Danish telah dimasukkan pada gambar yang ditayangkan untuk keseluruhan kelasnya. Sudah tiga kelas yang berbeza rajin menyalin maklumat Danish, budak-budak sekarang…gatal betul!!

Five minutes up..ini antara kita je ye..rahsia, jangan sampai cikgu lain tahu okey. Hai la korang ni…kecik-kecik dah miang…” Selamba ja Danisa mengata pelajarnya, sekadar bergurau bukan dia sengaja menjatuhkan maruah mereka. Bersorak pelajar-pelajar lelaki di dalam kelas itu, ada yang tertawakan mereka pun ada. Danisa menutup gambar Danish tadi dan dia mula untuk serius untuk memulakan kelas setelah lima minit dia melanggar etika sebagai seorang pensyarah.

“Saya pun dulu…urg…first year dah nak bercinta. Bukan main lagi, bila dah kecewa baru meraung-raung menyesal, PADAN MUKA.” Tanpa dia sedar lidahnya mengutuk dirinya sendiri, tercengang anak muridnya, senyap mereka semua. Diam mereka membuatkan Danisa tersedar yang dia sudah terlanjur kata…oppss..

“Eh…saya cakap apa ni? Tutup kes tadi. Silalah concentrate pada kelas kita.”

Laju Danisa menutup malu, dia tersengih sambil mengipas-ngipas wajahnya yang panas kerana malu.

*~*~*
~bersambung~

an: sudah balik kepada timeline asal.. harap anda semua terhibur. 

Thursday, May 16, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 24


Sampai bila pun sayang






24
“Kau buat apa kat sini?” Tengking Aisyah. Jijik sungguh dia melihat wajah Ameer sekarang, kalau diikutkan hati mahu sahaja dia meludah wajah Ameer sekarang. Dia keluar tadi kerana terdengar bunyi enjin kereta, sangkanya Hakim datang menjemput tetapi rupa-rupanya orang lain yang datang bertandang tanpa dijemput, meluap-luap kemarahan Aisyah kepada tetamu tidak diundang ini. Emosi sungguh Aisyah, senyap-senyap Aisyah menarik nafas panjang bagi meredakan kemarahannya sedikit, tiada guna marah-marah semuanya sudah terlambat, Ameer bakal bergelar suami orang dalam masa tiga hari lagi.

“Aisyah…Danisa ada kat dalam Aisyah? Aku nak jumpa dia. Tolong panggil dia keluar, aku telefon dia asyik tak dapat je.” Suara Ameer tanpa rasa bersalah. Dia sungguh terdesak untuk bertemu Danisa, walaupun bakal memperisterikan orang lain tetapi dia nak Danisa tahu yang hatinya untuk Danisa.

“Kau memang tak malu kan? Ada hati lagi nak jumpa dia lepas apa yang kau buat kat dia? Berani sungguh. Dah nak bernikah pun berani datang rumah anak dara, patutlah boleh buntingkan budak tu.” Perli Aisyah sepedas-pedasnya tanpa mempedulikan perasaan Ameer. Marahnya pada Ameer susah betul untuk ditahan, tetapi dari menengking Aisyah memilih untuk bercakap dengan nada yang biasa.

“Kenapa Danisa berhenti kerja? Aku kahwin tak ada kena mengena dengan kerjaya dia…”

“Tapi dia kena menghadap muka kau yang bukan miliknya lagi setiap hari? Kau rasa boleh ke? Kalau kau sukalah, memang dari dulu dah biasa main kayu tiga, tapi Danisa? Jangan sesekali terlintas di fikiran kau nak balik dengan Danisa, aku takkan benarkan.” Pedih Ameer mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Aisyah yang mencatas kata-katanya. Siapa sangka Aisyah yang dia kenal sebagai gadis yang ayu dan santun boleh mengeluarkan kata-kata setajam belati. Menusuk terus ke jantungnya, sakit.

Ameer malas hendak berbicara dengan Aisyah, dia datang ke sini hendak bertemu dengan Danisa bukan bertekak dengan Aisyah. Dengan selamba Ameer membuka pintu pagar yang tidak berkunci, dia menerjah masuk ke kawasan rumah Danisa. Aisyah terkejut dengan tindakan berani Ameer, berundur dua tapak ke belakang sambil didepangkan tangannya bagi menghalang langkah Ameer.

“Jangan macam ni Aisyah, aku tak nak cederakan kau. Aku datang sini niat aku baik.” Ameer berlembut dengan Aisyah. Aisyah langsung tidak berganjak, matanya tepat menikam ke biji mata Ameer dengan garangnya.

“Kenapa datang sini?” Danisa bersuara lemah. Tiada emosi di dalam suaranya, tiada kemesraan di suara itu hanya kekecewaan yang dapat didengari dari ton suara itu. Sebaik terdengar suara Danisa yang dirinduinya terus Ameer menerpa ke arah Danisa, dia bergerak ke tepi dari mengelak dari melanggar Aisyah yang menghalang laluannya.

“Jangan kau berani dekat dengan kakak aku.” Danish yang tiba-tiba muncul datang menolak tubuh Ameer dari mendekati Danisa. Dadanya turun naik menahan marah, walaupun Danisa tidak membuka cerita tetapi dia tahu apa yang sudah terjadi. Danisa menarik tangan Danish, Danish pula hanya menumpukan tumpuan kepada Ameer. Tajam pandangan Danish merenung lelaki tak guna ini, siapa sangka nampak baik sahaja di depan Danish tetapi boleh menduakan kakaknya. Mungkin kasih sayangnya buat Danisa selama ini yang ditonton Danish hanya pura-pura. Kalau tidak kenapa dia curang?

“Danish pandang kakak.” Panggil Danisa. Kemudian barulah Danish memandang kakaknya.

“Danish masuk dalam please. Wait for me inside.” Danisa bersuara lagi. Dia tidak mahu adiknya mendengar apa yang bakal terkeluar dari mulutnya mahu pun Ameer. Kalau boleh dia mahu Danish tidak terbabit langsung, dia malu dengan Danish. Malu sebab menunjukkan kelemahan dirinya pada adiknya itu, bagaimana dia hendak menjadi contoh buat Danish kalau dia tidak boleh menempuhi dugaan ini?

“Danish…” Pujuk Danisa lagi, redup sahaja matanya memandang Danish yang membara marahnya.

“Danisa…” Danish memanggil kakaknya dengan nama. Dia tidak mahu berganjak dari situ selagi lelaki yang sudah menghancurkan hati Danisa pergi dari rumah mereka.

“Danish…” Panggil Danisa lagi. Berkerut dahi Danish, dia tidak faham kenapa kakaknya berlagak seperti itu.

“Danisa…” Danish belum berputus asa.

Please…kejap je.” Tenggelam timbul suara Danisa memujuk. Beberapa hari ini dia seperti orang bisu, susah benar hendak bercakap.

“KAU BUAT APA-APA KAT KAKAK AKU, NAHAS KAU!” Tegas Danish sambil menuding jari kepada Ameer. Benci sungguh dia memandang lelaki itu, mahu sahaja dibunuh lelaki yang tak tahu malu itu. Tanpa kerelaan dirinya Danish melangkah masuk, tetapi dia masih berlegar-legar diruang tamu rumahnya. Tidak senang duduk Danish memikirkan tentang Danisa.

“Aku takkan tinggal Danisa sorang-sorang kat sini dengan kau.” Ucap Aisyah. Dia mengambil tempat di sebelah Danisa, memeluk tubuh sambil menikam tepat pandangannya ke wajah Ameer.

“Danisa, saya nak awak tahu yang saya sayangkan awak. Cinta saya pada awak tak pernah berubah.” Kata Ameer tanpa rasa bersalah. Riak di wajah cengkung Danisa tidak berubah, masih seperti tidak memberi riaksi apa-apa. Melihat keadaan Danisa hati Ameer resah, banyak benar Danisa susut, cengkung sungguh wajah lembut Danisa sedangkan baru empat hari berita pernikahannya sampai ke telinga Danisa.

“Cinta my ass.” Kutuk Aisyah sesuka hatinya, dia melarikan matanya ke tempat lain. Menyampah pula memandang lama lelaki ini, buat sakit hati sahaja.

“Awak kata awak cintakan saya, tapi awak curang. Sampai hati awak..” Suara Danisa lemah, jantungnya bagai dipalu. Sesaknya dadanya, rasa seperti sempit dan nafas yang ditarik terlalu padat di dada. Suara Danisa yang jelas kedengaran yang dia kecewa menyiat hati Ameer, dia kecewa dengan diri sendiri.

“Ameer tahu, Ameer salah. Ameer minta maaf, tapi Ameer tak pernah berniat untuk menduakan Danisa, perkara itu berlaku macam tu sahaja tanpa Ameer sedar.” Ameer cuba untuk memberi penjelasan kepada Danisa. Sungguh dia tidak berniat untuk curang, Wani hadir ke dalam dirinya secara tiba-tiba. Cepat sangat mereka rapat, senyap-senyap sahaja rasa sayang menyelinap ke dalam hatinya, dan tanpa rasa bersalah pada Danisa dia melayan perasaan sukanya itu. Dia tidak pernah terfikir itu akan melukakan hati Danisa, baginya sayang dia perempuan pada masa yang sama tidak salah.

“Tanpa sedar kau tidur dengan dia, logik ke macam tu?” Aisyah sekali lagi menyampuk. Aduh geram betul dia dengan Ameer ni, tangannya dikepal kuat-kuat bagi melepaskan geram.

“Bukan macam tu, bukan macam tu.” Sangkal Ameer.

“Habis?” Suara Danisa meninggi tiba-tiba. Dia juga turut terpengaruh dengan emosi Aisyah, dari sedih menjadi marah.

“Bila Danisa balik memang Ameer nak putus dengan dia. Ameer dah putuskan hubungan dengan dia, Ameer nak bersama Danisa seorang sebab Ameer cintakan Danisa sangat-sangat. Bila dia nampak Ameer dengan Danisa dia berang, dia datang rumah Ameer, dari bertengkar…akhirnya lain pula yang jadi, kami…” Suara Ameer tersekat di situ, tak sanggup dia terus bercerita bila ternampak air mata Danisa mengalir keluar dari tubir matanya. Terus sahaja Ameer meraih tangan Danisa lalu digenggamnya.

Tiba-tiba sahaja Danish muncul sekali lagi. Marah sungguh dia melihat Ameer yang berani memegang tangan kakaknya, terus Danish menyambar tangan Danisa dari pegangan Ameer.

“Berani kau pegang tangan kakak aku!” Marah Danish sebelum penumbuknya melayang ke wajah Ameer, terlayang Ameer ke belakang. Danisa pula terduduk menangis, dia langsung tidak perasan yang Danish sedang membelasah Ameer secukup-cukupnya. Kata-kata Ameer tadi memberi tamparan yang kuat buat Danisa, dia tidak percaya begitu mudah Ameer mengkhianati cinta mereka. Aisyah memeluk Danisa, tangannya mengusap-ngusap bahu Danisa cuba untuk meredakan tangisan Danisa itu. Dia mahu menghentikan Danish yang galak membelasah Ameer tanpa belas kasihan tetapi dia perlu berada di sisi Danisa, Danisa lebih penting baginya dari Ameer. Lagipun dia memang patut dibelasah…tanpa rasa bersalah Aisyah menghukum.

“Kau hancurkan hati dia, ada hati lagi nak datang dekat dengan kakak aku.” Danish melampiaskan amaranya kepada Ameer bersama tumbukan padu di wajah Ameer semahu-mahunya. Amukan Danish berakhir bila Hakim datang dan menghentikan Danish dari terus menumbuk muka bakal pengantin baru itu. Pasti bengkak wajah Ameer di hari pernikahannya, kesian…tapi siapa suruh cari penyakit?

“Sebelum kau mati kena belasah dengan Danish, dengan aku, baik kau blah.” Hakim menghalau Ameer. Walaupun Ameer juga kawannya tetapi dia mahu berpihak pada yang benar.

“Ameer, kau baliklah ke tempat kau. Dari kau datang sini cari Danisa baik kau balik prepare diri kau untuk jadi suami dan ayah yang berguna. Move on, teruskan hidup pada jalan yang kau sendiri pilih. Jangan kacau Danisa lagi. Aku warning kau, jangan cuba dekat dengan Danisa lagi, kau tahu apa yang aku boleh buat.” Tegas Hakim kepada Ameer. Dia tidak akan teragak-agak menggunakan kedudukannya sebagai seorang peguam untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Ameer kalau dia berani datang mencari Danisa lagi.

Ameer yang tadi terduduk di tanah kerana tumbukan Danish bertalu-talu bangun perlahan-lahan. Dia memandang Danisa buat kali terakhir, nak luruh jantungnya memikirkan yang dia perlu meninggalkan Danisa buat selamanya. Segalanya sudah terlambat, dia dan Danisa tidak mungkin dapat bersatu lagi, semuanya kerana kesilapan dan kebodohan sendiri.
*~*~*
~bersambung~

an: flashback belum habes...tapi ini last.. next update kita akan balik pada timeline asal~~~ ^^
semoga terhibur~~~ 
click2 la reaction tu.. kalau nak komen lagi bagus.. <--dah lama saya tak minta org klik or komen.

Wednesday, May 15, 2013

Review Bukan Kerana Aku Tak Cinta by E-man Sufi- Z


Hello readers… Yes I’m back with some review now. :DDD 

So kali ni Z nak bincangkan pasal novel yang Z baru habis baca, novel Bukan Kerana Aku Tak Cinta by kak Eman-Sufi. Basically this novel is about a girl, Hannah Mastura yang memang sukaaaaaaaaaaaa gila-gila dekat sorang mamat ni, mamat ni pun nak kata hebat, tak lah hebat mana (ni lelaki tu yg cakap ea. Bukan Z. hahaha). Dia cuma pekerja abang ipar Mastura, tidak punya rupa dan harta. Tapi Mastura tak kisah pun semua tu, yang dia tahu hati dia dah terpaut. Mastura ni memang berusaha keras nak pikat Jebat yang memang berhati kering ni, dan akhirnya dia berjaya menjadi isteri Jebat. Tetapi ada satu rahsia besar masa silam Jebat yang dia langsung tidak tahu. Lepas kahwin baru lah dia tahu… And of course dia terkejut. Selebihnya anda boleh dapatkan senaskah novel ni dan baca yaa… Seriously for me, memang tak rugi beli…!!! I loikeee…. :DD

Okaylah, kali ni pun cerita pasal seorang yang ingin berubah dan kembali kepada jalan Allah setelah melakukan sangat sangat sangat banyak kejahatan. Dan sekali lagi isu orang jahat mahu berubah tetapi masyarakat sekeliling tetap juga mempunyai pandangan negatif dan tak percaya yang mereka ni boleh berubah. Entah lah Z pun tak faham, masyarakat kita memang suka sangat ‘judging’ orang. Semua orang pun diorang nak judge without knowing much about him/her. Memang dah jadi hobi agaknya. Kesian dekat orang yang nak berubah ni. Dalam mereka suka-suka hati menilai perubahan seseorang tu, mereka tak sedar yang mereka secara tak langsung mungkin menggoyahkan pendirian orang yang nak berubah tu. Kalau dia tak cukup kuat mungkin dah lama dia tak jadi nak berubah. Siapalah kita ni nak judge kata taubat dia tak diterima kan. Luckily, Jebat is strong enough to change his life from the darkest side of him. Z sangat kagum dengan Jebat, walaupun dulu dia sangat berkuasa dan semua orang tunduk dengan dia, panas baran dia tak payah cakap lah kalau orang bantah cakap dia, tapi lepas dia dah bertaubat memang dia jadi seorang yang sangat-sangat sabar. Tak kisah lah orang nak cakap pasal apa pun kat dia, dia hanya bersabar. Dia langsung tak kisah pasal cakap-cakap orang, apa yang penting bagi dia Allah terima taubat dia.

Satu lagi, memang mengagumkan bila seseorang tu memang betul-betul dah bertaubat. I mean this is seriously bertaubat naa.. Jebat yang dulunya ada segala-galanya, harta bertimbun-timbun… Kereta mewah-mewah.. Siap dengan jet peribadi lagi… He can get whatever he wants in life, tapi bila dia dah betul-betul nak keluar daripada hidup gelap dia dan bertaubat, dia sanggup tinggalkan segala kemewahan dia dan hanya jadi kuli orang je. Nampak tak betapa hebatnya hati seseorang yang memang dah bertaubat dan hanya ingin mencari keredhaan Allah je. Dia memang dah tak kisah langsung pasal harta dia yang bertimbun tu, dia sanggup je kerja keras dengan tulang empat kerat dia as long as rezeki yang dia dapat tu halal.

Another thing that really make me think a lot is about girl chasing after a guy.. Hmm Z sangat sangat sangat kagum jugak lah dengan orang macam Mastura ni. Once she likes that Jebat guy, she really determined to chase him until he is sah to be her husband. Sekali sekala Z terfikir lah jugak boleh tak kalau Z pun macam tu masa I was ‘dying’ lovin someone that I don’t know him and yes he doesn’t know me too?? Tapi apa nak buat kan, memang Z tak berani lah.. I actually hate that phrase ‘perigi cari timba’, that’s why Z akan pastikan that I won’t do such thing. Tapi… Mastura ni walaupun nampak laa dia macam dok ‘melekatkan’ diri dia dekat Jebat, tapi tak lah melampau and she knows when to stop for a while dan tak terlalu gedik. Hmm this one I loikeee.. ^__^

Lepas kahwin, Jebat berterus terang dengan Mastura pasal zaman kegelapan dia tu. Yang ni Z sangat-sangat suka sebab Jebat ni tidak melengah-lengah kan masa. Dia tahu better Mastura tahu daripada mulut dia sendiri dan bukan daripada mulut orang lain pasal hal dia tu, dia tak tunggu lama terus je dia bagitahu Mastura. Dia sangat berani menghadapi Mastura walaupun dalam hati dia cuak dan takut sebab dia tahu ada kemungkinan yang Mastura akan tinggalkan dia. Tapi dia still berani untuk berterus-terang. Ini baru lah namanya anak jantan!!! :DD

Tak macam dalam sesetengah novel, tak kiralah watak lelaki ataupun watak perempuan, dorang ni sebab takut kemungkinan yang akan jadi pada kemudian hari kalau dorang berterus terang, dorang simpan lama-lama. Once benda tu terbongkar daripada mulut orang lain. Mulalah pasangan dorang tak boleh terima dan salah faham lagi besar. Pastu mulalah nak bergaduh besar sampai nak terpisah lama-lama kan… =..=!!!  Serious tak sukaa..!! Tapi Jebat ni memang bagussssssssssss!!! Dia beraniiiii…!!!

Mastura pulak bila tahu pasal kisah silam suami dia yang sangat sangat menakutkan, memang lah dia marah dan kecewa sebab suami dia bukan seperti yang dia harapkan. Itulah pengajaran dia, lain kali sebelum kahwin selidik betul-betul latar belakang pasangan anda tu ye. Bukan apa, takut nanti kemudian hari jadi macam ni ni lah haa… Tapi apa yang bagusnya dengan Mastura ni, dia terima suami dia seadanya. Sebab rasa cinta dia mengatasi kebencian dia kat Jebat. Ini yang kita mahuuu… Kalau nak kata dia tak marah tu memang tipu lah kan, siapapun akan marah. Tapi Mastura ni terima Jebat tu sebab Jebat tu macam mana pun still husband dia and memang penting untuk dia sebagai isteri menyokong suami dia untuk berubah. Cuba bayangkan, kalau bini sendiri tamau sokong.. Siapa lagi nak sokong dia, orang sekeliling dia yang mulut cam longkang tu dah sah-sah tak… So memang respect aa dekat Mastura ni, dia tak tengok manusia daripada mata kasar sahaja.

Dalam novel ni jugak ada muncul perkataan-perkataan cina, tapi Z rasalah kan.. Bahasa cina yang digunakan agak baku jugak lah.. Hahahaha.. Selalunya dalam conversation biasa jarang jugak lah orang cakap macam tu, nak nak gangster-gangster tu… Hehehe… Lepas tu macam ada beberapa perkataan cina pendek-pendek yang keluar tapi takde translation, Z tak pe lah.. Bila baca, yang faham macam Z ni tak pe lah, kalau orang yang tak faham macam mana.. Sian dorang.. Mungkin ada tersalah pandang kat situ tapi tak pe lagi.. Tak menjejaskan sangat. :DD  Hahaha tapi pening lah jugak nak baca pinyin tu sebab dah biasa baca character bahasa cina yang betul tu. Cara yang dorang cakap tu macam orang cina Taiwan cakap, tak macam cina Malaysia.. Kak Eman-Sufi suka tengok drama Taiwan jugak ea?? hahaha

Secara overall memang Z sangat sangat sukaaaa dengan novel ni. Tahniah Z ucapkan kepada penulis kerana berjaya menghasilkan karya yang sangat hebat ni.. Ada kawan Z, dalam seminggu ulang-ulang kali dia baca novel ni.. Hahahaha… Nampak takkkk??? Okay lah, setakat ni sahaja. Z nak minta maaf jika Z ada menyinggung perasaan sesiapa secara langsung ataupun tidak langsung. Z hanya meluahkan pendapat Z setelah membaca novel ni, tiada niat langsung nak menyinggung sesiapa… J Saya budak baru belajar, no harm intended. Peace.. <3




P/SHahaha Jebat after kahwin pun dia dok beraku kau dengan Mastura, nampak cam kasar tapi I like.... He can be romantic in his own way... Wahhhhhhhhhhhhhhhhhhh… ヽ(*゚O゚)ノ  Sukaaaaa.... (*≧∀≦*)

Love,
Z, <3




  



Sunday, May 12, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 23

Sampai bila pun sayang





23
Setahun enam bulan lalu

Sudah letih Danisa menangis tetapi air matanya masih tidak putus-putus mengalir ke pipinya. Sampai hati..sampai hati Ameer. Danisa merasakan begitu bodoh bila dia orang terakhir yang mengetahui mengenai pernikahan Ameer yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Patutlah lelaki itu sering kelihatan tidak selesa bila dia bersama Danisa, oh..patutlah Ameer jarang menghubunginya sekarang. Ajakan Danisa untuk makan tengah hari bersama juga seringkali ditolak Ameer walaupun mereka bekerja di bawah satu bumbung.

Aisyah meramas lembut bahu Danisa lembut dengan harapan dapat mengurangkan beban perasaan yang merusuh di hatinya. Aisyah turut bersimpati dengan apa yang menimpa sahabatnya. Sebaik mendapat tahu yang perkara ini sampai ke telinga Danisa, terus sahaja Aisyah meminta izin suaminya untuk ke sini menjenguk Danisa. Hakim amat memahami persahabatan mereka, dia sendiri yang menghantar Aisyah dan membenarkan Aisyah bermalam di sini untuk menemani Danisa.

Sedikit sebanyak Hakim berasa bersalah. Hakim terbabit dalam hubungan Danisa dan Ameer bila dia datang melancong ke United Kingdom untuk melawat rakan-rakannya yang belajar di situ. Ameer adalah rakan serumah rakan-rakannya, dari situ dia berkenalan dengan Ameer dan dari Ameer dia kenal dengan isterinya sekarang, Aisyah, untuk itu dia amat berterima kasih kepada Ameer. Tetapi mengenai Danisa dia amat berasa bersalah. Cinta Ameer dan Danisa bertaut pada tahun pertama mereka di UK, semua berjalan lancar sehinggalah Ameer pulang ke Malaysia selepas tamat pengajiannya di peringkat degree. Danisa pula terus di UK untuk menyambung pengajian ke tahap master pula, pelbagai nasihat dan tips Hakim dan Aisyah berikan kepada Danisa dan Ameer bagaimana nak memastikan hubungan jarak jauh mereka bertahan.

Namun semua tips-tips itu tidak berhasil, Hakim menjadi saksi kecurangan Ameer bila dia berada di Malaysia tanpa mata Danisa yang melihat. Hakim tidak pernah membuka mulut berceritakan kepada sesiapa termasuklah Aisyah, dia terlalu mengambil ringan hal ini, pada mulanya Hakim sangkakan Ameer hanya berkawan dengan gadis itu tetapi kalau sudah selalu sangat terserampak dia dengan gadis yang sama Hakim dapat menghidu yang Ameer bermain kayu tiga. Tetapi jaga tepi kain orang bukanlah kerja yang Hakim suka buat, dia diamkan sahaja, menegur tidak memberi tahu Danisa juga tidak, dalam kata lain dia bersubahat secara tidak langsung.

Rahsia yang disimpan oleh Hakim bagi pihak Ameer sampai ke pengetahuan Aisyah sebaik sahaja teman wanita yang dirinduinya sangat-sangat itu pulang ke tanah air. Bukan mudah hendak menyimpan rahsia bila Aisyah sudah berada di depannya, terbuka juga cerita mengenai Ameer. Aisyah sendiri berperang dengan diri sendiri, dia buntu adakah patut dia memberitahu Danisa perkara sebenar atau diamkan sahaja. Namun kerana hubungan Danisa yang semakin rapat dengan Ameer setelah dia mendapat peluang pekerjaan di tempat yang sama Ameer berkerja, Aisyah mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja.

“Aisyah…kenapa semua ni jadi macam ni? Aku dah pasang bermacam-macam impian untuk bersama dengan dia. Cinta aku lebur macam tu je.” Rintih Danisa lagi, aduh pilunya hati bila kekasih hati memilih untuk berkahwin dengan perempuan lain. Sudah bertahun-tahun menyulam cinta akhirnya tersungkur juga di tengah jalan, sungguh tak sangka begini perakhiran cinta mereka.

“Sabar Danisa, dah bukan jodoh dia dengan kau.” Pujuk Aisyah dalam nada menahan sebak, dia sudah tak tahu bagaimana hendak menenangkan Danisa. Terkejut besar Aisyah bila melihat keadaan Danisa bila dia sampai tadi, matanya sembap kerana menangis terlalu lama, sedangkan Danisa bukan seorang yang mudah menangis. Keletihan jelas tertulis diwajah sahabatnya itu. Hati Aisyah dipagut rasa sedih yang teramat.

“Salah aku ke Aisyah? Salah aku ke? Apa kurangnya aku?” Tanya Danisa dengan suaranya yang sudah serak kepada Aisyah. Dia memandang ke dalam diri sendiri, apa kekurangan dirinya yang membuatkan Ameer memilih yang lain?

Aisyah menggeleng-geleng, air matanya juga sudah mengalir ke pipi. Hatinya bagai dihiris belati bila Danisa mencurigai dirinya sendiri, menyalahkan dirinya sendiri. Hatinya rasa terhiris, bagaimanalah agaknya hati Danisa? Hancur berkecai agaknya.

“Bukan, bukan salah kau Danisa. Kau sempurna di mata aku, mana mungkin salah kau Danisa, sikit pun kau tak salah.” Aisyah cuba membangkitkan semangat Danisa yang sudah pun jatuh serendah-rendahnya. Bagaimana Danisa hendak bangkit kalau dia berfikiran begini, lemah.

“Mesti mak ayah dia yang suruh dia kahwinkan Aisyah? Sebenarnya bukan salah Ameer pun, kan? Dia sayang aku Aisyah, tak mungkin dia buat aku macam ni. Mesti itu pilihan mak ayah dia.” Danisa membela Ameer, dia belum tahu lagi Ameer yang sememangnya curang dengannya. Danisa sudah berkeadaan begini, Aisyah tidak sampai hati hendak memberitahu yang Ameer punca segala-galanya, lagi kuatlah Danisa meraung kalau dia tahu hal sebenarnya.

Aisyah mengesat air matanya, lalu tangannya menyeka air mata di pipi Danisa. Sungguh mulia hati Danisa, innocent sungguh. Dalam keadaan begini pun dia boleh bersangka baik kepada Ameer yang durjana itu. Tak pernahkah Danisa terfikir kenapa Ameer berkahwin dengan keadaan tergesa-gesa? Kenapa Ameer yang semakin rancak bercinta dengan Danisa dan mula menjauhkan diri dengan bakal isterinya kembali ke sisi gadis itu dan kemudian meninggalkan Danisa terkapai-kapai secara tiba-tiba? Semuanya bersebab.

“Kalau aku tunggu dia mesti aku ada peluang lagi kan Aisyah? Aku percaya kat dia, dia sayang aku. Ameer cintakan aku bukan budak tu. Dia mesti datang cari aku balik.” Danisa bersuara penuh pengharapan, tangannya kuat mencengkam lengan Aisyah. Aisyah tersentak mendengar kenyataan itu, Danisa masih boleh maafkan Ameer? Masih nak bersama dengan Ameer? Sungguh kuat cinta Danisa buat lelaki itu, tetapi cukup kuat kah cinta itu untuk mendengar kenyataan yang sebenar?

“Tak boleh, kau tak boleh balik dengan dia. Aku takkan benarkan, dia tak jujur.” Kata Aisyah keras, dia takkan sesekali memaafkan Ameer kerana memperlakukan Danisa yang setia dengannya begini. Bedebah punya jantan, aku takkan biarkan Danisa balik kepada kau.

“Kenapa?” kata Danisa lemah, dia tak sangka sahabat yang paling rapat dengannya tidak menyebelahi keputusannya.

“Tak boleh, jangan Danisa. Aku tak suka dia dengan kau.” Ulang Aisyah sekali lagi.

“Kenapa? Dia kan kawan kau juga. Percayalah kat aku Aisyah, dia mesti balik cari aku. Paling lama, tiga bulan. Lepas tu mesti dia datang cari aku.” Bersungguh-sungguh Danisa meyakinkan Aisyah. Kuat betul kepercayaan Danisa buat Ameer, sedangkan lelaki itulah tidak menghargainya.

“Danisa!! sedarlah Ameer dah pergi dari hidup kau.” Tinggi suara Aisyah marahkan Danisa. Membulat mata Danisa yang basah mendengar suara Aisyah yang memarahinya. Salahkah dia berharap untuk bersatu kembali dengan kekasih hatinya, dia sedia memaafkan Ameer kerana cintanya yang suci.

“Wani tu dah mengandung Danisa, mereka kahwin tergesa-gesa macam ni sebab dia dah pregnant. Mungkin dia akan kembali kepada kau Danisa tetapi buat apa nak berharap pada lelaki yang tak jujur macam tu, cinta dia pada kau tak suci. Awal-awal lagi dia dah curang!!” Sambung Aisyah dengan suara yang kuat. Dia perlu menyedarkan Danisa yang Ameer bukan lelaki yang baik untuk dibuat suami.

Serentak terhenti nafas Danisa seketika. Siapa yang tak terkejut mendengar berita begini? Danisa sudah seperti manusia kehilangan roh, pandangan matanya kosong. Danisa sudah hilang rasa seluruh tubuhnya, kosong.

“Danisa, maafkan aku kalau aku terlalu menyibuk tapi aku terlalu sayangkan kau untuk lepaskan kau untuk Ameer. Aku percaya kau boleh dapat lelaki lebih baik dari dia, aku sentiasa berdoa yang terbaik untuk kau.” Pujuk Aisyah dengan bersuara lembut. Dia kemudian merangkul Danisa sekemas-kemasnya, kepala Danisa jatuh pada bahunya. Sebaik sahaja kehangatan tubuh Aisyah meresap ke tubuh Danisa baru dia kembali merasa, serta merta air matanya tumpah lagi.

Tanpa mereka sedari, disebalik pintu bilik Danisa yang renggang sedikit, berdiri di situ seorang adik yang amat bersimpati dengan nasib kakaknya itu. Danish yang menjadi pemerhati sedari tadi turut mengalirkan air matanya.

Kuatlah kakak, Danish ada di sini dan akan sentiasa menjaga kakak dan takkan biarkan sesiapa melukakan kakak lagi.
*~*~*
~bersambung~

an: ok...dah explain kenapa perangai Danish ni pelik sangat (>_<) .... Sorry kalau bab update ni boring, sbb banyak explanation pnjg2..huhu. Wah...lepas ni tinggal lagi 10 update sahaja...(-___-) cepatnya masa berlalu~~~ huhu...manuskrip byk lagi tak siap ni.. (ToT)

ps: Happy Mothers Day!! 

Thursday, May 9, 2013

[Sampai Bila pun Sayang] 22

Sampai bila pun sayang




22
“Danish, tadi masa aku keluar wayang aku nampak ada sorang awek ni sebijik macam kakak kau.” Fadil memberitahu Danish yang sedang menunggunya di bangku berhampiran dengan tangga escalator. Fadil duduk di sebelah Danish, Danish buat-buat tak dengar apa yang Fadil memberitahunya tadi.

“Yang kau suruh aku datang ambik kau ni kenapa?” Danish buat tak tahu sahaja mengenai kenyataan Fadil tadi, dia menghirup air chocolate milk tea Coolblog sebaik sahaja bertanyakan soalan itu. Fadil mengeluh.

“Kau tak kesian ke kat aku ni? Dah la baru break, tengok wayang pun sorang-sorang. Kalau kau bagi can kat aku dengan kakak kau dulu mesti aku tak jadi macam ni..” Fadil mengadu. Mengada-ngada pulak dia, yelah dah putus dengan kekasih Danish ni lah tempat dia ‘bermanja’, Danish dah kenal sangat perangai Fadil ni. Ada awek tak pernah lekat, paling lama enam bulan je lepas tu cari Danishlah nak mengadu. Sebab itu Danish awal-awal lagi menghalang niat Fadil. Macam manalah Danish nak benarkan dia mengayat kakaknya yang dikawal ketat tu.

“Lelaki macam kau, no way. Kau carilah awek lain jangan nak kacau kakak aku.” Pesan Danish kepada Fadil. Fadil berlakon seperti kanak-kanak yang dimarahi, mencebik merajuk.

“Jangan nak buat perangai manja, aku datang sini ambik kau pun dah cukup baik. Kalau orang lain tak adanya nak layan perangai manja kau ni, mengada-ngada macam perempuan. Siapa hantar kau tadi?” Tak putus-putus kritikan Danish kepada Fadil. Sebenarnya bukan sekali dia mengulang ayat ini, dah banyak kali. Tetapi Fadil tetap begitu dan dia sendiri pun tetap melayan, dah kawan baik…layan jelah, tak jadi kudis pun melayan bromance Fadil ni.

“Kalau aku cakap mesti kau gelak..actually mak aku. Dia kata dia rimas tengok aku berkurung dalam bilik sebab putus cinta, dia paksa aku datang sini tengok wayang.” Cerita Fadil kepada Danish, apa lagi ketawalah Danish sekuat-kuatnya. Lawak sungguh, umur dah dua puluh lima tapi mak hantar tengok wayang sebab putus cinta? Ape kes tu? Danish memegang perutnya yang senak kerana terlebih ketawa.

“Mak memang cool.” Puji Danish dalam tawanya. Dia memang sudah biasa memanggil mak Fadil dengan panggilan itu. Selalu sangat dia bertandang ke rumah Fadil untuk menyiapkan assignment mereka, keluarga Fadil sudah melayan Danish seperti ahli keluarga mereka juga. Bolehlah juga Danish menumpang kasih sayang sebuah keluarga yang lengkap, ada ibu bapa, ada abang adik.

“Sampai hati kau gelakkan aku, kau memang tak kesian kat aku kan.” Fadil memeluk bahu Danish sambil menyangkut dagunya pada bahu kanan Danish. Danish terus berhenti gelak dan cuba menolak Fadil yang memeluknya erat.

“Woi..janganlah peluk aku nanti orang ingat aku gay jatuhlah saham aku.” Kata Danish dengan geram, makin kuat Danish menolak makin erat Fadil memeluknya. Mujurlah tempat itu agak tersorok, kalau tempat ramai orang lalu lalang tak tahulah mana Danish hendak menyorokkan mukanya, Fadil ni manja sangat, ge-geh.

“Tu..tu..tu..awek yang aku cakap muka sebijik kakak kau.” Fadil tiba-tiba mengangkat kepalanya bila terpandang gadis yang dia nampak tadi sedang menuruni tangga escalator. Mereka berdua perhatikan gadis itu turun, Danish yang tadi sibuk menolak badan Fadil terus berhenti menolak, kaku tubuhnya hanya matanya sahaja yang menyoroti langkah gadis itu. 

“Tapi sayang…dah ada orang punya.” Sambung Fadil lagi bila ternampak lelaki yang berdiri rapat dengan gadis itu.

“Itu memang kakak aku.” Kata Danish tiba-tiba, dia bangun dari bangku itu. Fadil terpinga-pinga melihat Danish, lain macam je sahabatnya itu. Danish memberi cawan air yang dipegangnya tadi kepada Fadil, Fadil cuma menyambutnya dengan wajah penuh tanda tanya. Danish terus melangkah meninggalkan Fadil, biarkan dia tertanya-tanya apa yang sudah terjadi pada Danish, serius sahaja wajah Danish itu.

Danish mempercepatkan langkah bagi mengejar Danisa. Danish kenal Danisa, dia tidak mungkin tersilap, orang yang dikejarnya memang Danisa. Memang itu kakaknya, bau Danisa itu pun dia kenal. Danish terus mengekori dari belakang, matanya terpaku pada Danisa dan lelaki di sebelahnya. Danish tidak kenal lelaki itu, setakat ini Danish kenal semua kawan lelaki Danisa, rakan sekolahnya mahupun rakan-rakan yang sama-sama belajar di UK, kebanyakannya Danish kenal tetapi yang ini dia tidak pernah tahu siapakah yang sedang bersama Danisa ini.

Danish terus perhatikan Danisa berbual dengan lelaki itu, satu sahaja perkataan yang muncul di minda Danish, ‘mesra’. Danisa bukan seorang yang akan berbual dengan lelaki sambil menunjukkan emosinya di wajahnya, dalam masa tiga minit Danish perhatikan Danisa sudah banyak emosi ditunjukkan Danisa buat lelaki yang tidak dikenali itu. Senyum, cebik, geram…siapa lelaki ini yang boleh buat Danisa berlagak seperti itu?

Panas hati Danish, sudah banyak kali dia berpesan pun Danisa tetap merahsiakan hal sebegini darinya, dia cuma bimbangkan Danisa. Tanpa membuang masa Danish terus menghampiri Danisa, dia berdiri betul-betul di hadapan Danisa cuma rak majalah sahaja yang menjadi penghalang di antara mereka berdua namun Danisa langsung tidak perasan adiknya berada di situ.

“Wah…mesra nampak. Sharifah Danisa Syed Iskandar, awak buat apa kat sini?” Tanya Danish dengan suara yang tajam. Danisa terpegun, senyap tidak berkata apa. Wajahnya mulai pucat dan majalah di tangannya terlepas lalu jatuh ke lantai. Danish memandang Danisa dengan geram, sebentar kemudian dia menjeling tajam ke arah Faez. Memang dia langsung tidak pernah kenal siapa lelaki ini, Danisa belum pernah perkenalkan Faez kepadanya.

Faez juga tersenyap, dia kenal Danish. Dia pernah mengintai Danish sewaktu Danish bermain bola keranjang tetapi Danish tak pernah perasan kewujudan Faez. Faez tidak tahu apa yang perlu dia lakukan, perlukah dia perkenalkan dirinya kepada Danish sekarang? Perkenalkan dirinya sebagai apa? Teman lelaki, atau kawan? Dia tahu Danisa merahsiakan hubungan mereka dari pengetahuan Danish, adakah Danisa masih nak berselindung atau mahu berterus terang sekarang, yang manakah lebih baik? Dia buntu, dia sendiri terkejut dengan kehadiran Danish yang tiba-tiba, resah mula menyerbu ke dalam hatinya. Kalau ikutkan hati dia mahu perkenalkan diri sebagai teman lelaki Danisa, tetapi sekarang pendirian Danisa adalah menjadi keutamaan. 

Danisa sedari tadi tak berani hendak menatap wajah adiknya sendiri. Rasa nak luruh jantung bila terdengar suara Danish yang serius sahaja.

“Tipu. Penipu.” Dengan selamba Danish melemparkan kata-kata itu kepada Danisa. Marah rasanya bila ditipu kakak sendiri, dia mahukan penjelasan, Danisa perlu jelaskan semuanya.

“Aku nak ambik balik dia ni boleh? Tak..kalau tak bagi pun aku ambik jugak.” Danish bersuara begitu kepada Faez sambil menudingkan jarinya pada Danisa. Faez tidak menunjukkan riak terkejut, dia tahu Danish pasti akan buat begitu. Berdasarkan apa yang Danisa pernah ceritakan, Danish memang seorang yang sangat protective jadi tak mustahil kalau dia mengheret Danisa pergi bersamanya sekarang.

Tanpa menunggu jawapan dari Danisa mahupun Faez, Danish terus merentap lengan Danisa dan menarik kakaknya keluar dari situ. Danisa memandang Faez dengan sayu, dia rasa bersalah sangat kepada lelaki itu bila Danish berkelakuan begitu, bersikap biadap terhadap Faez. Dalam masa yang sama dia rasa bersalah kepada Danish, otaknya ligat memikirkan bagaimana hendak memohon maaf daripada Danish, sudah tiga bulan dia peram maaf yang sering kali hanya dikatakan di dalam hatinya, tetapi sudah sampai masanya dia meluahkannya. Apa-apa pun dia perlu memohon maaf, walaupun dia perlu mengulangi perkataan itu buat beribu kali demi satu kemaafan Danish. Danish segalanya yang dia ada sekarang.

“Kunci kereta.” Danish meminta kunci kereta Danisa, Danisa kaku tidak memberi respons akhirnya Danish sendiri menarik beg tangan Danisa lalu menyelongkarnya untuk mengambil kunci kereta milik Danisa.

“Hai Kak Danisa,” tegur Fadil yang langsung tidak tahu menahu apa yang sudah terjadi antara Danish dan Danisa. Seram sejuk melihat wajah Danish yang serius dan tegang, nak tanya takut, jadi dia tegur sahaja Danisa di hadapannya itu. Danisa hanya menelan liur tanpa memberi jawapan kepada Fadil, dia perhatikan Danish yang kalut menarik kunci kereta Honda Accord dari beg tangannya itu. 

“Fadil, kau tolong bawak balik kereta kakak aku. Pandai-pandailah kau cari kat parking lot, aku bawa balik kakak aku. Esok lusa kau hantar kereta tu kat rumah.” Arah Danish kepada Fadil sambil menyerahkan kunci kereta itu kepada Fadil. Tercengang-cengang Fadil memproses arahan Danish itu di dalam mindanya. Gila…macam mana nak cari kereta itu dalam parking lot? Banyak kot…!! Namun belum sempat Fadil bertanya di mana Danisa memakirkan keretanya, Danish dan Danisa sudah lenyap hilang entah ke mana.

*~*
“Siapa laki tadi?”

Akhirnya Danish bersuara setelah sepuluh minit dia diam di sini, dia cuba bertenang dan tidak memarahi kakaknya. Danisa dan Danish bersandar pada Satria Neo Danish sambil melihat pemandangan Bandar Kuala Lumpur.

Danisa diam sahaja tidak menjawab.

Boyfriend?” Tanya Danish lagi, mendatar sahaja suaranya. Setidak-tidaknya Danish tidak menengkingnya, itu sudah cukup baik buat Danisa. Danisa memberi respons, dia mengangguk.

“Bila kenal? Kenapa tak kenalkan kat Danish?” Danish terus bertanya, tiada emosi dalam kata-katanya, mendatar sahaja suara Danish.

Plus minus empat bulan lepas. Kakak mintak maaf sebab tak kenalkan Danish dengan dia awal-awal. Masa kami kenal, kami ada konflik sikit, kalau Danish tahu mesti Danish tak bagi akak kawan dengan dia.” Kata Danisa akhirnya, dia perhatikan Danish yang asyik memandang pemandangan suasana malam Kuala Lumpur. Riak di wajah Danish tidak berubah, masih seperti tadi, tak ada perasaan, marah sangatlah tu.

Tetapi Danish sendiri tak sangka dia masih boleh bercakap baik-baik dengan kakaknya, sangkanya dia akan memekik menengking kakaknya. Sudah berjela-jela ayat tersusun di dalam otaknya disediakan sepanjang perjalanan tadi untuk dihamburkan kepada Danisa sebaik sahaja sampai ke sini, memang sengaja dia membawa Danisa ke sini, atas bukit yang tak ada sesiapa. Senang nak marah, senang nak tengking, tak ada siapa dengar atau ambil peduli.

“Wow…cepatnya kakak dah boleh rapat dengan dia. Empat bulan kenal dah boleh couple, apa yang dia janji dengan kakak? Patutlah kakak dah lain sekarang.” Laju sahaja lidah Danish memperli Danisa tanpa sedikit pun rasa bersalah.

“Kakak dah kenal dia cukup ke nak bercinta dengan dia?” Soalan Danish itu menembak tepat hati Danisa, dia berfikir sejenak. Kenapa Danish bertanyakan begitu?

“Orang yang dah kenal kakak bertahun-tahun pun sanggup mengkhianati kakak, ini kan pulak lelaki yang kenal kakak empat bulan.” Sambung Danish lagi. Dia tidak mungkin akan lupa bagaimana kesakitan yang Danisa rasakan setahun setengah yang lalu, kalau kuasa menghukum ada padanya mahu sahaja dia membunuh manusia bernama Ameer Hafiz bin Mohd. Nor.

Mata Danish menyepet mengingati peristiwa itu.

*~*~*
~bersambung~

an: Hai....sapa yang rindu abang faez?? hehehe..tp update kali ni banyak danish la~~~~ weeeee... ^^ i love them both!!! 
Anyway, maaf sebab tak update ahad tadi, mood pilihan raya buat mood saya kacau...urg...dunia politik mmg tak sesuai dengan saya..*sigh* 

ps: btw, nak cakap tahniah kepada yang teka tepat (siapa yang sebenarnya muncul) minggu lepas yer ^^ hehehehehe...