Followers

Tuesday, September 23, 2014

[NADIANA] 07


::07::

Hari isnin yang mendebarkan menjelma, buat pertama kalinya Nadia datang ke tempat kerja menaiki kenderaan awam. Dia bangun lebih awal semata-mata untuk menunggu bas, maklumlah ini kali pertama buat Nadia, dia masih belum kenal bas yang mana lalu di kawasan tempat kerjanya dan berapa minit perjalanan ke sana. Mujur Diana sudi menemaninya di hentian bas sambil memberi tahu nombor-nombor bas dan ke mana bas-bas itu menuuju. Di mana lagi dia boleh bertemu manusia sebaik Diana? Nadia bersyukur dia ditakdirkan bertemu dengan Diana, walaupun segalanya bermula dengan satu kemalangan yang tidak disengajakan. 



Nadia mengambil tempat di kerusinya, dia mengeluh kecil. Akhirnya sampai juga.


“Nasib baik cuaca baik, baru-baru ni selalu sangat hujan. Kalau hujan macam mana aku nak datang kerja.” Rungut Nadia sendiri, kalau hujan pasti boleh basah Nadia sementara dia hendak sampai ke pejabat. Mana nak kejar bas lagi, nak berpayung lagi. Kalau terus begini alamatnya hari-hari Nadia akan berdoa agar tidak hujan di waktu pagi dan petang. Duduk sahaja di tempatnya Nadia sudah melepaskan keluhan, kalau ikutkan hati mahu sahaja berhenti tapi memandangkan dia belum tentu boleh dapat kerja lain, berhenti kerja bukan satu pilihan yang bijak. Setidak-tidaknya Nadia perlu mencari kerja lain sebelum menaip surat berhentinya. 


Lama Nadia berteleku, termenung sendiri memikirkan apa patut dia buat sekarang. Lamunan terhenti bila ada bunyi ketukan pada mejanya. Pantas Nadia menoleh, terlihat dia wajah kekasih… bukan, bekas kekasihnya, Ezuan Rizal. Nadia memandangnya dengan mata kosong, lelaki itu memberi isyarat memanggil Nadia masuk ke biliknya.


‘Awal pula mamat ni datang kerja, tak senang duduklah tu aku tak ada kat rumah dia.’ Sempat lagi Nadia mengutuk Ezuan di dalam hati sebelum bangun dari tempat duduknya. Dengan berat hati Nadia mengikut juga Ezuan ke biliknya. 


Nadia diam tidak bersuara, wajahnya tidak ada ekspresi, kosong sahaja memandang ke wajah Ezuan. Nadia tidak mahu membuka mulut, biarlah Ezuan yang mulakan dahulu.


“You pergi mana?” Ezuan kalah dengan Nadia yang tidak mahu bersuara dahulu.


“Pergi mana apa bos?” Nadia buat-buat tak faham. Wajahnya kemudian memandang ke arah lain, malas hendak menatap wajah Ezuan yang semakin lama semakin tegang, marahkan Nadia. 


“Jangan buat-buat tak faham, I balik rumah you tak ada, dua hari you tak balik, you pergi mana?” 


“I pindah.” 


“I tak suruh you pindah pun, I tak benarkan you pindah keluar.” Tegas Ezuan, Nadia menarik muka menyampah. Hati Ezuan mula diasak marah yang semakin membara.


“Kita dah berpisah Ezuan, tak kan I nak tinggal kat rumah tu lagi. Fikir logiklah.” Nadia pun mula melenting. Jangan ingat Ezuan saja pandai marah, selama ini dia pendamkan sahaja marahnya. Hmmmm.. entah jampi apalah Alan pakai sampai cara pemikiran Nadia boleh berubah sebegini rupa.


“I tak pernah setuju pun nak berpisah dengan you.” 


“You lupa agaknya apa I cakap jumaat hari tu, you setuju atau tidak I tetap nak tamatkan hubungan kita. Cukuplah enam tahun…”


“Kalau bercakap tu pandang muka I ni.” Marah Ezuan separuh menjerit. Nadia yang tidak sempat menghabisi ayatnya tadi terus tertoleh ke wajah Ezuan yang jelas sedang sakit hati dengan sikap Nadia yang sengaja tidak memandang ke wajah Ezuan. Sebaik sahaja mereka sama-sama berbicara tadi terus Nadia memandang ke tempat lain, ke dinding, siling, bukan ke wajah Ezuan yang sedang bercakap dengannya. 


“Ezuan, I rasa dah tak ada benda kita nak cakap rasanya. Orang bijak pandai macam you mesti cukup faham bila I cakap I nak berpisah dengan you.” Luah Nadia setenang mungkin. Minda Ezuan masih tidak dapat menerima kenyataan yang Nadia mahu berpisah dengannya, dia kenal hati Nadia. Nadia sangat cintakan dirinya, tak mungkin Nadia hendak berpisah. 


“I keluar dulu, dah masuk waktu kerja, nanti ada kata I makan gaji buta pula.” Sambung Nadia sebelum berlalu keluar dari bilik Ezuan. 


Sepanjang pagi Nadia buat kerja tidak fokus, fikirannya mudah sahaja melayang memikirkan perkara bukan-bukan. Waktu makan tengah hari juga dia tidak turun makan, hilang selera rasanya, sudahnya dia habiskan masa mencari kerja kosong di internet. 


“Nadia tak turun makan ke?” 


Mata Nadia yang tadi tertumpu pada skrin beralih ke arah seorang lelaki tua namun masih segak dan cergas. Nadia terus berdiri, bos besar datang. Tuan Khalid datang.


“Diet.” Bohong Nadia.


“Saya masuk jumpa Ezuan, dia ada?” 


“Ada kut.” Nadia pakai jawab sahaja, dia sendiri tak perasan Ezuan ada atau tidak. Dia sudah  tidak ambil tahu fasal Ezuan lagi. Hmmmm.. seronok juga jadi single ni, tak perlu nak ambil kisah fasal orang lain. 


Tuan Khalid terus bergerak ke bilik anak lelakinya. Tanpa ketukan dia masuk ke bilik itu, Ezuan terkejut dengan kehadiran ayahnya. 


“Ayah, tak cakap pun nak datang.” Ezuan bersuara. Tuan Khalid datang duduk di hadapannya, 


“datang tengok anak pun kena beritahu ke?” Tuan Khalid membalas, serba salah Ezuan jadinya.


“Ada hal penting ke ayah datang, selalunya ayah telefon je, tak pun cakap kat rumah.” Ezuan bersuara lagi, aneh rasanya bila ayahnya ada di sini. Selama ini ayahnya berada di pejabat mereka yang lagi satu, jarang sekali datang ke sini. Mungkin sebab hujung minggu tadi dia langsung tak balik rumah jadi ayahnya datang ‘melawat’.


“Oh, bila ada hal penting baru ayah boleh datang?”


“Bukan macam tulah maksud Ez ayah..” Ezuan serba salah lagi, ayahnya hanya gelakkannya Ezuan. 


“Ayah lalu dekat-dekat sini, jadi singgahlah. Lagi satu nak ingatkan Ez, minggu depan mesti pindah HQ mulalah kemas-kemas dan pindah.” Tuan Khalid terangkan. Mulai minggu hadapan syarikat mereka akan beroperasi di dalam bangunan sendiri, tak perlu lagi pecah dua pejabat, semua satu tempat. Jadi mereka semua sama-sama bekerja satu tempat.


“Ez tak lupalah ayah.” Balas Ezuan. Tuan Khalid tersenyum sahaja. 


Pintu bilik di ketuk dari luar lalu dikuak dari luar setelah Ezuan memanggil masuk. Rupa-rupanya Nadia datang membawa air untuk Tuan Khalid dan Ezuan. Dengan berhati-hati dia meletakkan cawan di hadapan Tuan Khalid dan Ezuan. 


“Nadia, rasanya ini kali pertama saya nampak awak pakai baju kurung. Tadi saya tak perasan awak pakai baju kurung, nampak manis.” Puji Tuan Khalid kepada Nadia. Nadia tersengih, Tuan Khalid dengan pekerja-pekerjanya memang baik, tak sombong. Kadang-kadang yang muda-muda baya anak lelakinya ini dia layan macam anak sendiri saja.


“Ish… Tuan Khalid ni, malulah saya. Ini bukan kali pertamalah Tuan Khalid, dulu masa saya mula kerja saya pakai baju kurung juga.” Balas Nadia dengan senyuman manis. Tuan Khalid terangguk-angguk, iyalah, bila Nadia sebut fasal itu baru dia teringat. Dulu Nadia sangat muda lagi, datang dari kampung untuk bekerja, rezeki dia, terus sahaja Tuan Khalid ambil dia bekerja. Tambahan pula Ezuan yang bawa Nadia temuduga dahulu, katanya Nadia adalah sepupu sahabatnya yang sangat-sangat memerlukan pekerjaan. Tapi Tuan Khalid tak tahu itu cuma helah Ezuan untuk mendapatkan kerja untuk Nadia. 


“Rambut pun dah potong, nampak lagi comel dari dulu.” Puji Tuan Khalid lagi. 


“Terima kasih sebab cakap saya comel.” Suka Nadia bila bos besar puji. Senyumnya makin lebar. Kembang je rasa.


Ezuan yang menjadi pemerhati menjadi geram, ‘bila dengan bapak aku boleh pula kau cakap elok-elok siap senyum lebar dengan aku siap naik suara.’ 


Nadia menjeling tajam ke arah Ezuan, macam tahu-tahu sahaja Ezuan sedang mengutuknya di dalam hati. Ah, kenal sangat Ezuan, enam tahun bercinta tak kanlah tak boleh baca riak Ezuan, tahu sangat muka itu muka tengah kutuk orang dalam hati. 


“Sedap teh Nadia buat ni, boleh minta buatkan selalu bila pindah HQ.” Pinta Tuan Khalid, Nadia terus mengangguk.


“Boleh saja, ring ring saja saya.” Kata Nadia sambil tangan membuat isyarat telefon dekat dengan telinganya, lalu tertawa kecil.


P.A. ayah kan ada, kenapa Nadia kena buat air pulak, bukan dia tea lady pun.” Mulut Ezuan bertutur tanpa dia sedar. Bila mendengar kata-kata Ezuan, Tuan Khalid terus mengeluh, perasan saja mood sudah berubah Nadia terus cepat-cepat minta diri untuk keluar. 


“Saya keluar dulu lah.” 


Tiba-tiba sahaja ada idea datang di minda Tuan Khalid. Idea spontan untuk menyelesaikan masalah yang menyebabkan dia mengeluh tadi. 


“Nadia nanti dulu. Kalau saya tawar awak jadi P.A. saya, mahu tak?”


“Hah?” suara Nadia dan Ezuan serentak. Tercengang.


:::


“Eh, Tuan Khalid kenapa tiba-tiba tawar saya kerja P.A. pula ni?” Tanya Nadia sebaik sahaja dia kembali menghampiri meja Ezuan. Dalam hati teruja, macam tahu-tahu je Tuan Khalid ni yang Nadia cuba nak cari kerja lain, tadi dia nampak ke yang Nadia melayari laman web jobstreet? Ezuan pula memerhatikan langkah Nadia dengan renungan tajam, dia mahu Nadia menolak tawaran ini. Untuk apa Nadia bekerja sebagai pembantu peribadi ayahnya, jika mereka berpindah ke pejabat baharu nanti makin jauhlah Nadia darinya. Walaupun satu bumbung, Nadia pasti akan bekerja di tingkat yang berlainan jika Nadia bekerja sebagai pembantu peribadi Tuan Khalid.


“P.A. saya, Ema dia dah sarat dan lepas dia bersalin dia nak berhenti, kena cari penggantilah. Saya dah biasa tengok Nadia dari kecik sampai sekarang dah besar, senang sikit nak kerja.” 


“Tuan Khalid cakap macam masa saya datang sini kerja tujuh tahun, saya dah habis sekolah dah masa tu. Layak ke saya jadi P.A. bos besar ni? Macam tak layak je, maklumlah saya ni kerani cabuk yang ada SPM je.” Balas Nadia serba salah, dia lupa terus kehadiran Ezuan di hadapannya. Tawaran kerja Tuan Khalid memang menarik minatnya, memandangkan dia memang sedang mencari pekerja baharu. Memang pucuk dicita ulang mendatang, walaupun tak boleh lari jauh dari Ezuan setidak-tidaknya dia boleh duduk di tingkat yang berbeza di bangunan baharu nanti. Lagipun dia sayang hendak meninggalkan Brilliance K Properties (BKP) ini, dia sudah selesa dengan kerjanya dan rakan sekerja yang lain. 


“Saya yakin awak boleh buat, bukan susah pun. Nanti Nadia belajarlah dengan Ema sebelum dia berhenti. Saya naikkan gaji awak. Saya tak mahu cari pekerja baharu, nanti saya susah sebab tak biasa, Nadia setidak-tidaknya saya dah kenal lama.” Pujuk Tuan Khalid.  


“Hmmmm…” Nadia berfikir, ah… tak rugi pun terima. Gaji naik, itu yang paling untung tu. 


“Okey, bila saya boleh mula?” Tanya Nadia dengan teruja. Ezuan yang dari tadi menahan diri dari meletus kemarahannya mengepal tangan geram. Cepat sahaja dia menerima tawaran itu, langsung tidak berfikir panjang. Kalau ikutkan hati Ezuan mahu sahaja bangun membantah, tetapi Ezuan tidak berani untuk membuka mulutnya. Dia tidak ada hujah yang baik dari menghalang Nadia menerima tawaran itu.


“Masuk pejabat baharu nanti Nadia mula kerja dengan saya.”


“Baik bos.”

::::
~bersambung~

an: ingin saya ingatkan, ini adalah versi belum diedit dan mungkin akan ada salah (atau perubahan nanti) sana sini :) 

No comments:

Post a Comment