Followers

Saturday, October 11, 2014

[NADIANA] 10



::10::

Nadia melangkah keluar dari surau kecil pejabat, sekarang Nadia cuba membiasakan diri untuk kembali ke rutin wajib setiap umat islam. Kaki baru sahaja hendak melangkah, terasa lengannya direntap kasar oleh seseorang.

Ouch… sakitlah.” Marah Nadia kasar, hilang rasa tenang yang dia rasakan sebentar tadi. Tak payah pandang pun dia tahu siapa yang merentap lengannya, dah buat hobi baharu agaknya, ‘rentap lengan orang dengan kasar’.


“Lepaslah, sakit tau tak? Dah lah sakit semalam tak hilang lagi, tak takut ke orang nampak?” marah Nadia lagi. Matanya tajam menikam Ezuan yang buat muka tak bersalah seperti biasa. 

Kesan lebam akibat Ezuan yang suka-suka hati rentap lengan Nadia semalam pun masih biru, hari ini Ezuan merentap lengannya lagi di tempat yang sama. Memang terasa sakitnya. 

“You jangan ingat I tak nampak you lepak kat salun seberang tu.” 

So?” 

“You tahu kan I tak suka you bergaul dengan orang luar.” Ezuan mengingatkan Nadia berkenaan pesanannya dahulu. Nadia ingat lagi bila dia mula bekerja di sini, rakan-rakan satu tempat kerja mengajak dia keluar menonton wayang bersama, tetapi kerana Ezuan tidak membenarkan dia pergi terpaksa Nadia batalkan temu janjinya di saat akhir. Ezuan memang diktator, dia kata tak boleh, tak boleh. 

“Kalau you tak suka pun apa masalahnya. I bukan milik you lagi.” Nadia berbicara sambil mengetap gigi, dia menarik lengannya dari cengkaman Ezuan. Nadia baru hendak berlalu ke tempat duduknya tetapi Ezuan menghalang, Nadia merengus geram. 

“I tak habis cakap lagi.”

“Apa lagi ha?” Nadia cukup malas hendak melayan karenah Ezuan yang tak faham-faham.  

‘Nak kata bodoh tak faham bahasa tapi belajar sampai universiti. Tapi cakap aku pun tak reti-reti nak faham.’ Nadia maki hamun Ezuan cukup-cukup, ayat-ayat marah Nadia makin sebati sebab selalu sangat terlintas dalam hati Nadia. ‘Ezuan, tolonglah elak dari buat aku terpaksa buat dosa mengutuk kau dalam hati.’ 

“Lelaki petang semalam tu siapa?” Soal Ezuan dalam nada marah, kalau ikutkan hati yang panas mahu sahaja dia menengking Nadia tetapi memandangkan pekerja-pekerja lain sudah mulai masuk pejabat Ezuan menjaga nada agar tidak ada yang perasan situasi tegang yang berlaku sekarang. 

“You sibuk sangat nak tahu kenapa? Bukan ada kena mengena dengan you pun. Please lah, jangan ganggu I.” 

“Kalau aku tanya tu jawablah. Sejak bila jadi degil sangat ni?” Makin mengeras nada suara Ezuan, sudah lama dia tak marah-marah sampai begini. Dadanya terasa seperti hendak meletup dek rasa marah yang membuak-buak. 

“Dia tauke salun depan tu, ha.. itu dia jawapannya. Sekarang dah puas hati?” Kalau ikutkan hati Nadia malas hendak melayan marah Ezuan, tetapi mengalah dan berdiam diri adalah perkara yang selalu dia buat selama enam tahun ini, jadi hari adalah hari dia mahu bertikam lidah sungguh-sungguh sampai Ezuan terdiam. Dulu Nadia hanya berani berperang dingin, dan setiap kali pun Nadia yang akan mengangkat bendera putih dahulu. 

“Itu bukan yang aku nak tahu, dia tu siapa dengan kau? Jangan nak buat-buat tak faham. Mamat cina tu boyfriend kau ke kawan kau?” 

Ai… dah tukar title nampak, jadi aku kau pula. Laki ni nak kena ni. Ingat aku nak diam.’ Nadia mengepal kegeraman.

“Dua-dua pun boleh, iyalah sekarang I dah bebas nak kawan dengan siapa pun.” Nadia membalas dalam nada bangga, dia menukar strategi perang mulut. Semua kemarahan dia telan, dengan meninggikan suara mungkin dapat buat dia makin marah tetapi dengan sindiran dan buat bolayan pada Ezuan akan buat Ezuan terasa egonya tercabar. Sejak berpisah dengan Ezuan, ego Nadia juga semakin mencanak naik, dia tidak akan sesekali kembali kepada dirinya yang dahulu yang mudah mengaku kalah. 

“Dasar perempuan tak tahu dek untung, aku bela kau enam tahun berani kau cari jantan lain eh.” Mata Ezuan menikam tepat ke anak mata Nadia yang tidak ambil port dengan apa yang diujar Ezuan. Ezuan jadi semakin membahang. Jangankan bercinta, kalau Nadia dan lelaki cina semalam itu hanya sekadar kawan sekalipun buat hatinya bagai hendak meletup. Selama ini hanya dia lelaki di dalam hidup Nadia, tiada ruang untuk orang lain menapak. Tetapi tiba-tiba sahaja, dalam beberapa hari sahaja Nadia sudah rapat dengan lelaki lain. Semakin bertambah jaringan rakannya, bukan dia tak nampak betapa suka Nadia ketawa dan berbual di salun kecantikan berhadapan dengan pejabat mereka. Tadi Ezuan mengintai kelibat Nadia di salun itu yang berdinding kaca, jadi memang dia dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku di salun SPESHOW itu dari ruang pejabatnya. 

“Encik Ezuan Rizal, kalaulah you lupalah, biar I ingatkan you. You tu akan bertunang dengan perempuan lain tak lama lagi. You yang ada perempuan lain dulu, buat apa I nak setia dengan you tapi tak dapat apa-apa? Hey, kemewahan tak akan dapat beli sekeping hati. Kalau you betul-betul mahukan I lagi, kalau you betul-betul anak jantan, I cabar you beritahu Tuan Khalid yang you tak nak bertunang dengan Iryana, beritahu ayah you yang kita dah bercinta enam tahun. I cabar you!” 

‘Humph, mampus kau nak bagitau bapak kau. Jantan pengecut.’ 

“I nak ingatkan you sekali lagi, I nak kebebasan. I nak I bebas pergi mana I nak pergi, dengan siapa I nak berkawan, kat mana I tinggal, jangan masuk campur urusan I lagi. Kita dah putus.” Tegas Nadia, hari ini dia puas kerana sudah luahkan segala-galanya. Dia tahu Ezuan tidak akan berani berterus terang kepada Tuan Khalid, sekali pun keajaiban berlaku dan Ezuan mendapat keberanian entah dari mana untuk berterus terang, Nadia tidak akan sesekali kembali kepada Ezuan sama ada Tuan Khalid merestui atau tidak. Selama ini Nadia sangkakan yang dia betul-betul cintakan Ezuan tetapi ternyata dia silap, dia cuma takut kehilangan tempat bergantung. Kalau tidak masakan dia boleh lupakan semua perasaannya kepada Ezuan begitu cepat, rasa cinta dan sayang yang disangkakan terpahat kuat di hati amat mudah dibuang. Jantung Nadia sedikit pun tidak berdegup pantas untuk Ezuan lagi, entah sejak bila rasa itu hilang dia pun tidak tahu. Cuma dia pasti, pintu hatinya sudah tertutup buat Ezuan Rizal. 

Nadia lebih puas bila Ezuan mati kata-kata tertampar dek kata-kata Nadia yang tidak pernah dia bayangkan akan meluncur keluar dari bibir gadis itu. 

:::

“Alan Alan Alan.” Nadia memanggil Alan dengan penuh teruja, dia masuk ke dalam salun Alan itu bagaikan itu adalah rumahnya sendiri. 

“You kena dengar cerita ni, you kena dengar cerita ni.” Nadia teruja sangat-sangat untuk bercerita mengenai apa yang jadi antara dia dan Ezuan selepas dia balik dari rehat tengah hari tadi. Sebaik sahaja habis waktu pejabat, Nadia terus berlari ke sini. Tangannya menarik Alan dengan teruja, tambah pula Alan baru sahaja selesai tugasannya, dia tengah tak ada kerja, apa lagi terjahlah. Nadia menarik tangan Alan untuk duduk di atas sofa yang tersedia, mereka sama-sama duduk mengiring dan memandang ke arah satu sama lain. Nadia tak peduli walaupun banyak pasang mata pekerja-pekerja Alan yang memandang ke arahnya. 

“Apa?” 

“Hari ni, hari kemenangan. I tak sangka I boleh lawan cakap ex I, hahahaim so happy.” Nadia tertawa bangga, baginya dapat membuatkan Ezuan terdiam dan kegeraman bagai satu kemenangan besar buatnya. 

“Oh… selama ni aku diam kau buat aku macam barang, sekarang jangan harap aku nak dengar kau cakap apa pun. Hahahaha.” Nadia tertawa lagi selepas memarahi Ezuan sendiri, lagi kuat tawa sinisnya seperti watak jahat dalam drama. Alan hanya memerhati Nadia yang senang hati dengan senyuman di bibirnya. Ini ke Nadia yang dia jumpa jumaat lalu, yang wajahnya sentiasa berkerut pada hari itu, yang jatuh tetapi tidak bangun dari kejatuhan itu. Sekarang Nadia sudah berubah seratus lapan puluh darjah.

“Tau tadi dia cakap apa? Dia tanya kita ada hubungan ke? Itu pun nak cemburu, selama ni I tak pernah ada kawan rapat selain dia so bila I ada rapat dengan orang lain mulalah dia menggelabah.” Nadia bersemangat bercerita, Alan menongkat kepalanya dengan tangan di sofa sambil merenung wajah Nadia.

Then, what did you say?” 

Haha, bila dia tanya you ni kawan ke boyfriend, I cakap ‘dua-dua pun boleh’. I geram sangat tadi sampai I cabar dia beritahu bapak dia yang kita orang bercinta dah bertahun-tahun.”

“Kalau dia beritahu macam mana? Dia tak jadi bertunanglah?”

“Alah, dia tak kan berani punya. Kalau dia betul-betul nak cakap, awal-awal lagi dia dah beritahu yang dia tak mahu kenal dengan perempuan tu sebab dah ada pilihan lain. Terdiam dia tadi, padan dengan muka. Lepas tu I warning dia jangan ambil tahu pasal I lagi, suka hati I lah nak kawan dengan siapa, nak bercinta dengan siapa pun, or mana I nak pergi pun, buat apa dia nak ambil tahu. Yang pasti sekarang, I rasa seratus peratus bebas, I dah boleh buat apa yang I nak buat tanpa sekatan.” Ujar Nadia dengan nada puas, Nadia sangat puas dan senang hati. Walaupun dia tahu besar kemudian Ezuan akan tidak mengendahkan amarannya tetapi dapat mengeluarkan kata-kata keras buat Ezuan sudah satu kejayaan yang patut diraikan, akhirnya dia merdeka dari jajahan Ezuan, fizikal dan mental. Tahniah Nadia, satu pencapaian yang sangat hebat. Nadia meletakkan tangannya ke dadanya, terpejam sambil tersenyum dan terangguk-angguk ketika dirinya sedang memuji diri sendiri di dalam hati.

“Selama ni memang dia suka control you ke?” Soalan Alan menghentikan aktiviti memuji diri sendiri di dalam minda Nadia.

“Memang, betapa teruknya dia sampai kat mana I ada, I buat apa semua dia ambil tahu. I pakai baju apa, pun dia nak control. I tak ada kawan selama enam tahun ni sebab I spent masa I dengan dia sentiasa, sebab tu bila I rapat dengan orang lain dia tak suka. Mungkin sebab I terlalu bergantung pada dia, dia buat I macam barang milik dia seorang. Dia sampai pasang GPS tracker kat kereta.” Mengenangkan apa yang pernah Ezuan buat padanya buat hatinya berasa kesal untuk kesekelian kali, bodohnya.. lemahnya.. pengecutnya dia kerana terlalu takut akan ditinggalkan Ezuan dan dia akan hilang segala-galanya. Mujur Nadia sudah tersedar, dia sudah mendapat semangat baharu. 

“Dulu I takut sangat dia akan tinggalkan I, tapi tengok sekarang I yang tinggalkan dia. Betul cakap you, I tak rugi apa-apa pun tinggalkan dia. Lagi happy adalah.” Sambung Nadia lagi. 

“I dah bebas, yes!! Harap-harap lepas ni I tak kan jumpa lelaki macam dia, suka control tu control ni. Lelaki semua macam tu ke?” Nadia bertanya dengan kerutan di dahi, kerutan hairan. 

Yes and no. I pernah juga jadi macam tu.”

Queen control?? Eh silap, King control?” 

We were LDR (long distance relationship), I was studying in Penang, she was in university in Taipei. I kinda worried about her so i asked her lah, where was she, with who. Hari-hari pun tanya, kontrol ke tu? 

“Eh you ni, kesian dia. Macam you tak percaya kat dia pula.”

Can’t blame me, I was worried, I can’t see her, I boleh buat apa lagi?” Alan sungguh-sungguh pertahankan diri sendiri. Kalau dah sayang memanglah nak ambil tahu semua perkara, tetapi berpada-padalah.

“Dia pun tak boleh tengok you, apa you buat, dengan siapa you jumpa.” Balas Nadia. 

Then why don’t she ask me? Maybe she don’t love me enough, sebab tu lah putus. I mengaku I tak akan suka kalau dia selalu sangat tanya, tapi bila dia tak tanya langsung sometimes thats makes me feel like unworthy and insecure you know, that’s why I asked her a lot.” Alan diam seketika mengenangkan hubungannya yang lalu, Nadia juga terdiam tidak tahu hendak memberi komen apa.

But of course I was not as extreme as your ex. GPS tracker is just too much.” Alan menyambung lagi. 

“Kan?” Nadia menyokong kata-kata Alan, tidak mahu suasana kekok berpanjangan. Memang melampau pun kalau sampai letak GPS. Agaknya kalau Ezuan boleh letak GPS tracker pada badan Nadia, mesti dia tanam juga GPS tu. Ngeri. 

“Cakap pasal kereta. Alan, bila you free? Teman I beli kereta, I tak retilah, dulu dia yang tolong sekarang I nak beli kereta baharu. Er… bukan baharu la, second hand pun jadilah sebab I nak cepat lagipun bukan gaji besar. Boleh tak?” Nadia tayang muka kesian demi meraih simpati Alan. Dalam hati ada juga rasa bersalah dan segan, iyalah dia baru kenal Alan beberapa hari tapi sudah minta tolong macam-macam. Tapi sekarang dia sudah terdesak, dia tak reti urusan beli kereta ni takut juga kena tipu. 

“Dah banyak hari I naik bas, bukanlah banyak hari baru dua tiga hari. Sebenarnya I tak kisah pun naik bas tapi minggu depan kami kena pindah HQ baharu, pejabat kat sini tutup. Kat bangunan pejabat baharu tu bas tak lalu, busstop pun jauh sangat sebab tu ingat I nak beli kereta, tak kisahlah kereta macam mana pun kancil pun tak apa asalkan I ada kereta. Kalau hujan ke ribut ke senanglah I tak payah nak berpayung-payung bagai. Kalau tak habis I basah lenjun kena hujan, macam mana I nak kerja. Kalau sampai lambat nanti kena marah, I tak nak nanti timbul konflik pula susah nak datang tempat kerja. Boleh la eh, temankan I?” Pujuk Nadia lagi, matanya terkedip-kedip sambil wajahnya cuba buat mimik muka kucing Shrek, wajah Alan sudah berubah seolah-olah sedang menahan tawa. Wajah Nadia berkerut kehairanan.

“You kenapa? Boleh ke tidak? Yes or no?”  

“You cuma mahu I teman you pergi beli kereta, tapi you punya ayat sangat panjang. My brain almost explode trying to understand what did you trying to tell me. Hahaha.. explain me in short and easy sentence.” Alan dah mula nak pening. Memanglah dia boleh faham bahasa melayu, dia selalu gunakan bahasa kebangsaan itu kerana ramai juga pelanggannya yang berketurunan melayu tetapi kalau kata-kata yang keluar dari bibir Nadia bak bertih jagung yang meletup-letup, tak sempat otaknya hendak hadam. 

Nadia menghela nafas panjang sebelum menghembusnya. 

“Alan, you temankan I pergi beli kereta boleh?” Tanya Nadia dalam nada manja. Siap dengan riak wajah comel lagi. 

That's better." Komen Alan sebelum menyambung, "boleh. I free hari jumaat sahaja, hari sabtu ahad I tak boleh tinggal salun.” 

“Okey, nanti I adjust masa I, ambil cuti ke, half day ke tak kisahlah, janji I dapat kereta baharu.”

Nadia senyum saja membayangkan diri sedang memandu kereta baharu. Minta-minta Ezuan tidak pasang lagi GPS tracker di kereta baharunya nanti.

What are you guys talking about?” Clara datang menyapa mereka. Leka sangat berbual Nadia dan Alan tidak perasan langsung bunyi detak kasut tinggi Clara yang menghampiri mereka. Dia yang baru sahaja turun dari tingkat atas terus bergerak ke arah sofa tempat Nadia dan Alan duduk. Dengan selamba dia duduk di tengah-tengah antara Nadia dan Alan yang sedang mengadap antara satu sama lain. 

“Pasal…” 

This is p and c between me and her.” Belum sempat Nadia bercerita Alan sudah memotong katanya. 

Tell me, tell me. I want to know too…” 

Noooo…. I don’t want tell you. Nadia jangan beritahu dia, you cuma boleh beritahu I.” Alan memberi amaran kepada Nadia, dia memang suka mengusik adik bongsunya yang manja tu. Alan kemudian berdiri dari tempat duduknya sofa itu sudah terasa sempit bila Clara duduk di situ juga. 

Not fair.” Clara merengek geram. Alan hanya berlalu meninggalkan dua orang gadis itu sendiri.

Ge, you are so mean!!!!” Clara menjerit kegeraman bila Alan tidak melayannya, Nadia pula tergelak-gelak melihat gelagat mereka. 

::::
~bersambung~

an: target view baru tercapai... so.. ini dia update minggu ini. next update bila sampai target view lagi. :) saya cuma edit skit2 je bab ni, maaf kalau still ada silap sana sini. thanks kerana membaca :D


No comments:

Post a Comment