Followers

Tuesday, October 28, 2014

[NADIANA] 13

::13::

“Ha…. Penat.” Keluh Nadia, masa tengah membeli-belah tidak terasa penat, tapi bila dapat bangku duduk berehat barulah terasa semua sendi-sendi badan sudah terasa lenguh. Tangannya sudah penuh dengan pelbagai beg plastik dan beg kertas berisi pakaian dan kasut dari yang berjenama sehingga yang tak ada jenama. Berat sampai rasa tangan macam nak tercabut. Kaki pun sudah lembik untuk berjalan lagi. Seronok sangat membeli-belah sampai makan pun lupa, mujur solat tak lupa, sempatlah Nadia solat magrib dulu tadi di surau sebelum mereka mula menjelajah pusat membeli-belah ini. Nasib baik Clara mahu tunggu Nadia solat sebentar, memahami orangnya Clara ni. 


“Nah, air you.” Clara menghulur secawan Lemon Green Tea kepada Nadia. Dia mengambil tempat di hadapan Nadia. Mereka sama-sama perlu merehatkan kaki sementara sebelum menyambung sesi membeli-belah mereka. 

“Terima kasih.” 

Clara senyum saja. 

“Terima kasih tau Clara teman I shopping ni. Kalau tak ada you, tak tahu macam mana nak bawak semua ni.” Nadia memang nak putus tangan angkat semua barang-barang ni, itu pun separuh dari hasil ‘tangkapannya’ tadi Clara tolong angkatkan. Clara senyum, dia tak kisah pun sebab biasalah perempuan kan suka membeli-belah. 

“Banyak betul you beli. I pun terkejut.” Clara tak sangka Nadia akan ‘naik hantu’ bershopping, berpuluh pasang baju Nadia beli. Mujurlah semuanya berpatutan, Nadia awal-awal lagi sudah beritahu hendak pergi membeli-belah di tempat yang cantik-cantik bajunya tetapi harga berpatutan. Jadi Clara bawa Nadia ke Times Square ini, barang-barangnya murah dan banyak pilihan. Nadia tak kisahlah tidak berjenama ke made in China ke, janji dapat menambah koleksi sementara almarinya masih kosong.

“I lepas geram, hari ni I kena siram dengan kopi, I nak hilangkan stres I dengan shopping.” 

Clara ketawa, tadi di dalam kereta Nadia sudah bercerita tentang apa yang sudah terjadi. Kenapa dia disiram kopi, semuanya sudah Clara tahu. Bila Alan tak ada, tiada lagi penghalang untuk Nadia berkongsi kisahnya. Kalau bercerita pada Alan, dia lelaki, perasaan bercerita dengan lelaki dan perempuan tak sama. Asalkan Clara berjanji tidak akan beritahu Alan yang luahan rasa Nadia bukan lagi eksklusif untuk diri dia, Nadia tidak kisah bercerita kepada Clara yang sudah rapat seperti adik sendiri.  

“Tapi seronok juga keluar shopping dengan you. I jarang keluar dengan kawan-kawan I, sebab Alan tak bagi sangat. Dia tak percaya dengan kawan-kawan I, dia cakap kawan-kawan I beri pengaruh buruk pada I. Nak keluar dengan kawan I yang lain susah sikitlah, dia tanya keluar dengan siapa? mau pergi mana? bila mau balik? Baru dia bagi. Tapi dia percaya sama you, sekali saja minta keluar dengan you dia sudah bagi.” Clara bercerita, mata Nadia bersinar, tertarik dengan apa yang dikatakan Clara. 

“I pun seronok keluar dengan you. Sebelum ni I keluar dengan ex I je, ini kali pertama I boleh buat pilihan sendiri nak beli apa, boleh jelajah seluruh mall ni untuk shopping. Sebelum ni keluar dengan lelaki, mana dia nak jalan mall besar-besar ni. Masuk dua tiga kedai, beli-beli then terus balik.” Nadia teringatkan kisah hidupnya yang membosankan tu. Macam orang tak ada ‘life’, tempat kerja dan rumah sahaja dunianya. Kawan pun tak ada yang rapat, cuma ada Ezuan Rizal seorang sahaja. Sekarang baru dia dapat menikmati kehidupan sebenar. Rasa macam baru dapat keluar dari gua. 

“Samalah….. since Alan tak berapa suka kawan-kawan I, kalau nak shopping mesti pergi dengan dia atau Brian. Or… Anna, Ah Ming, yang temankan. Tapi jarang dapat keluar sebab mereka semua busy, dan kalau keluar sama Brian macam you keluar dengan ex-boyfriend you lah, semua mau cepat. Jalan dua tingkat sudah mau balik. But Alan kinda okaylah, because he appreciates beauty very much, so he can stay to choose the best items.”

“Ohhhh…” Mulut Nadia membentuk huruf O. Seronok dia mendengar celoteh Clara walaupun menggunakan bahasa campur, tetapi mereka tidak kekok berbual. 

“Nasib baik I ajak you, boleh juga jadi adviser I bila beli baju. You bagi I pinjam baju you lagi, nanti I pulangkan balik baju you ni ye, dengan yang hari tu sekali.” Nadia teringat baju Clara yang masih tersimpan cantik di dalam almari di rumah. Bikini miliknya pun masih ada, kasut Clara pun masih Nadia pakai kerana tak ada kasut lain yang sesuai untuk dia pakai untuk pergi ke pejabat. 

“Ah, just keep it. I mean that dress, shoe, and bikini. Alan asked me to give it to you, nanti dia belikan yang baru.” Clara tak kisah pun pasal baju, bikini dan kasut tu lagi. Hari tu kan Alan sudah janji nak belikan yang baharu. Dia sudah pun membelek-belek Taobao, laman web ala-ala Ebay China, mencari barang yang hendak dibeli. Bukan setakat Taobao aje, Clara juga dengan beraninya mengunjungi laman web rasmi jenama-jenama terkenal seperti Christian Louboutin dan Prada, maklumlah abang yang bayar. 

“Tapi…” 

“Baju, kasut macam ni I sudah ada banyak, kasut ini made in China, Alan janji mau beli yang original tapak merah untuk I. You jangan risau, kira itu Alan kasi hadiah pada you lah.” Clara memangkas kata-kata Nadia. Nadia sungguh tersentuh.

“Clara, you dengan abang-abang you baik sangat.” Nadia berterus terang, hatinya terasa sungguh terharu dengan layanan baik Clara dan Alan buatnya. Tidak lupa juga Brian dan pekerja-pekerja Alan yang lain yang semakin hari semakin rapat dan mesra dengannya. Tidak pernah dia termimpi untuk dapat kawan-kawan sebaik ini walaupun berlainan bangsa dan agama. Clara hanya tersenyum mendengar pujian itu. 

So, lepas ni you mahu shopping apa pula?” 

“Kosmetik, I nak beli barang kosmetik aje lagi. Lepas tu kita boleh balik. Bolehlah I minta pendapat you, yang mana lebih elok. Nanti I nak belajar mekap dengan you tau, sejak Alan bagi tahu I mekap tak cantik, I terus tak mekap. Lepas ni I nak belajar dari yang pro, barulah cantik kan?” Nadia tak mahu lagi dikatakan perempuan kampung tak reti bersolek, walaupun Nadia pernah berias tapi hasil mekapnya hanya biasa-biasa aja, tidaklah secantik seperti wajah Clara. Jadi dia hendak belajar dari asas hingga dia pandai mekap pelbagai style, barulah orang sekeliling tak berani nak mengata dia perempuan kampung lagi.  

“Okey, nanti you cakap saja you mahu style macam mana. Kpop style, Japanese style, Hollywood actress style, sexy, smokey, you cakap je, I akan ajar you semua.” Clara berjanji, Nadia tersenyum senang. Perkenalannya dengan Alan dan adik beradiknya banyak membantu Nadia menjadi lebih cantik dan jelita serta merubah diri Nadia supaya lebih berkeyakinan tinggi.

:::

Diana menyimpan dokumen resumenya yang baru sahaja dia kemas kini, yang tinggal cuma perlu mencetak resume dan beri kepada Nadia, dan hantar softcopy melalui emel. Diana menutup komputer ribanya setelah kerjanya selesai, meletakkannya di atas meja kopi di hadapannya. Tubuhnya menggeliat menghilangkan lesu di badan, matanya dikedip-kedip melawan rasa mengantuk. Lama benar dia duduk di sofa ini, melayari internet mencari pekerjaan baharu. Diana memandang jam di dinding, sudah hampir pukul dua belas tetapi bayangan Nadia masih belum muncul. Walaupun Nadia sudah memberitahu yang dia akan pulang lewat, tetapi Diana tetap berasa bimbang, kerana dia sendiri tidak pernah pulang rumah selewat begini. Diana seorang yang berdisplin terhadap jadual diri sendiri, memang sudah dilatih sejak kecil lagi, sebelum pukul sepuluh dia akan pastikan dirinya sudah berada di rumah.

Diana mengeluh, tiba-tiba telinganya menangkap bunyi dari luar. Diana menarik nafas lega, Nadia sudah pulang. 

“Lambatnya kau balik….” Tegur Diana sebaik sahaja Nadia melangkah masuk ke dalam rumah. Barang-barang yang dibelinya tadi Nadia campakkan sahaja dahulu di hadapan sofa di ruang tamu itu lalu dia menghempas diri di atas sofa panjang itu. Lenguh seluruh badan rasanya, aduh… tak pernah dia berasa sungguh letih kerana menjelajah seluruh pusat membeli-belah Berjaya Times Square. 

“Aku shopping sikit.” Nadia bersuara lemah. Tadi memang dia ada telefon Diana beritahu yang dia balik lambat, tetapi dia tidak memberi tahu ke mana dia hendak pergi.

“Sikit???” Diana terjerit. Punya banyak Nadia bawa balik boleh pula dia kata sedikit. Diana menggeleng-geleng kepalanya tidak percaya. 

‘Sikit apanya kalau plastik beg boleh penuh satu ruang tamu.’ Omel Diana dalam hati. 

“Maksud aku banyak. Shopping banyak.” Nadia membetulkan ayatnya. 

“Kau beli apa ni Nadia, punya banyak sampai macam ni? Nak kata baru masuk gaji, orang dapat gaji pun tak gila macam kau shopping. Nak kata bonus, hujung tahun lambat lagi, raya dah lepas. Mana kau dapat duit banyak sampai boleh beli selori ni?” Soal Diana kehairanan, seumur hidupnya dia tidak pernah berbelanja sebanyak ini. Diana lebih selesa hidup ala kadar, malahan kalau hari raya sekalipun dia tidak akan sekali-kali membazir, dia berbelanja berpada-pada. 

“Ish, tak adalah sampai selori. Kau ada nampak aku balik naik lori ke tadi? Aku balik naik kereta Audi TT yang kecik molek tu je tau.” Nadia membalas, Diana mencebik. Ada saja jawapannya, susah betul berkawan dengan orang pandai melawan cakap ni. 

“Oh… Audi TT, kekasih kau ke?” Diana mengorek rahsia. Mereka baru sangat lagi berkenalan, masih banyak yang mereka belum tahu mengenai antara satu sama lain. 

“Eh, tak adalah. Itu kawan aku lah, perempuan, nama dia Clara. Aku ni mana ada kekasih.” 

‘Ada pun dah putus.’ Sambung Nadia di dalam hati. Dengan Diana dia belum bercerita apa-apa pun tentang kisah cintanya, dia belum bersedia bercerita kepada Diana. Kalau Diana tahu kisah itu, bagaimana dia boleh hidup dengan ditaja oleh orang lain Nadia bimbang Diana akan berubah tidak suka akan dirinya. Diana ni walaupun nampak biasa tetapi sebenarnya agak alim orangnya.  

“Kenapa kau beli banyak sangat sampai macam ni? Membazirlah, membazir tu amalan syaitan tau. Kalau nak berbelanja pun berpada-padalah. Aku rasa macam tak patut je beli selori macam ni.” Diana sudah mula berhujah, ayat ‘selori’ pun sudah diulang dua kali. Nadia hanya tersengih mendengar nasihat Diana. 

“Aku beli barang keperluan akulah Diana. Kau pun nampak masa aku pindah masuk sini beg kecik aje aku bawak, baju-baju semua mana aku ada. Jadi tadi aku belilah beg, baju, pakaian dalam, kasut, barang mekap, macam-macamlah.” Nadia menerangkan. Diana terangguk-angguk teringatkan hari Nadia datang ke sini memujuk Diana menerima dirinya sebagai penyewa. Memang Nadia tidak membawa apa-apa barang selain beg pakaian yang sederhana besar. Tak nampak macam orang pindah rumah, tapi nampak seperti orang yang baru lari dari rumah. 

“Aku tertanya-tanya kenapa kau pindah bawa sikit sangat barang? Hmm.. yalah kau cakap kau dah enam tahun kerja dekat company kau kerja sekarang bermakna paling tidak dah enam tahun kau tinggal kat sini, tapi tak kan sikit sangat barang kau bila nak pindah masuk rumah aku ni.” Diana mula mengorek rahsia lagi. Tetapi Diana bukan berniat tidak baik, bukan suka-suka mengorek cerita atau menjaga tepi kain orang tetapi dia hanya mahu mengenali lebih dekat mengenai Nadia. Mereka tinggal serumah, sekarang sudah tiba masanya untuk mereka mengenali antara satu sama lain, kenal hati budi masing-masing. 

“Er…” Nadia mencari-cari jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada Diana. 

“Aku bagi pada housemate lama dan jiran aku. Lecehlah nak bawa, aku datang pindah sini pun naik teksi je, lagipun aku memang dah tak nak barang-barang lama aku jadi aku sedekah je kat kawan-kawan dengan jiran-jiran aku.” Bohong Nadia, jantungnya boleh tahan berdebar bila berbohong begitu. 

“Oh, macam tu.” Walaupun berbunyi tidak logik tetapi Diana memilih untuk percaya sahaja.

‘Kau percaya ke aku cakap macam tu?’ Gumam Nadia dalam hati. Tak sangka Diana akan percaya bohongnya itu dengan mudah, memang karut cerita yang direkanya. 

“Ah, aku dah beli telefon baharu, jom tukar nombor.” Nadia menukar topik. Tadi sempat dia mengajak Clara singgah membeli telefon bimbit baharu, sekarang ini cuma nombor telefon Clara, Alan dan Brian sahaja yang ada di dalam Samsung Note III itu. Diana menarik telefon bimbitnya yang terletak di atas meja kopi disebelah sofa mereka duduki. Nadia dan Diana saling bertukar nombor telefon, selepas ini lebih mudahlah mereka hendak berhubung antara satu sama lain. Tak perlu lagi Nadia mengeluarkan kertas kecil tertulis nombor telefon Diana untuk mendail telefon rakan serumahnya itu. 

Nadia mengangkat telefon bimbitnya lalu menangkap gambar Diana. 

“Diana, satu dua senyum.” Nadia mengambil gambar Diana sebaik sahaja gadis itu mengangkat kepalanya dan memandang ke arahnya. Tak sempat Diana hendak berbuat apa-apa Nadia sudah menangkap gambarnya.

“Eh, kenapa kau snap gambar aku?” Diana bertanya lantang. 

“Untuk cantact number punya gambarlah.” Nadia menjawab sambil tangannya menyimpan gambar tadi. 

“Hei, aku tak pakai tudung ni. Padam balik gambar tu.” Diana memberi amaran, Nadia pula buat tak endah sahaja.

“Ala, bukan aku nak bagi sesiapa tengok. Aku yang nak guna telefon ni.” Nadia membalas. Selesai menyimpan gambar itu baru Nadia memandang Diana yang sudah berkerut-kerut wajahnya.

“Memanglah, tapi buatnya aku telefon ada orang ternampak macam mana? Tak eloklah. Mana tahu ada orang guna telefon kau nampak gambar aku. Bab aurat ni mana boleh buat main. Tolong padam eh? Please…” Diana memujuk Nadia baik-baik. 

“Okey, okey. Aku padam. Dengan syarat, nanti kau pakai tudung lawa-lawa, kemas-kemas lepas tu bagi aku tangkap gambar kau.” Pinta Nadia, Diana terus mengangguk bersetuju. Diana lega Nadia bersetuju untuk memadam kembali gambar tadi. Nasib baik Nadia tidak tersinggung bila Diana meminta dia memadam gambar itu, iyalah isu aurat kadang-kala boleh jadi isu sensitif kepada mereka yang tidak bertudung seperti Nadia. Mujur Nadia jenis yang menghormati pendirian orang lain dan tidak mudah tersinggung. 

“Okey dah padam. Sorry tau Diana, aku ambil gambar kau tak minta izin lepas tu tak terfikir pula aku pasal kemungkinan orang nampak gambar kau tak bertudung ni.” Nadia rasa bersalah. Betullah seperti Diana katakan, bab aurat mana boleh buat main. Walaupun dia tidak bertudung tetapi setidak-tidaknya dia mesti menghormati dan memelihara aurat Diana yang sememangnya bertudung litup. 

“Aku nak masuk tidurlah, dah lewat. Kau jangan tidur lambat sangat, esok nak kerja. Lagi satu solat isyak jangan lupa kalau belum solat.” Pesan Diana sebelum dia bangkit untuk memanjat tangga naik ke tingkat atas. Dia sudah tidak sabar untuk ke biliknya, matanya sudah kuyu kerana kantuk. Sebaik Diana menghilang ke tingkat atas, Nadia pula mengutip semua barang-barangnya untuk dibawa naik. Dia pun hendak cepat-cepat beradu, hari ini memang hari yang memenatkan mental dan fikizal. Dia perlu rehat!

::::
 ~bersambung~
an: Salam semua, apa khabar???
Sebenarnya dari petang tadi saya nak update dah tapi line internet slow tak boleh nak load dashboard blogger. Apa-apa pun saya dah update, finally. Kali ini tak ada Alan, bukan Alan seorang penggerak cerita ni tau, jadi marilah kita kenal-kenal dengan watak-watak lain jugak. Hehehehe.. 
Watak saya nak kenalkan kali ini adalah Diana, actually Diana ni pakai tudung, saya malas nak cari model tudung, or photoshopkan gambar 'pelakon' yang saya pilih, so saya letak aje gambar ni, bukan penting sangat pun kan? 



ps: saya sedih, saya ada jual novel kepada seorang akak ni... tapi.. novel tu tak sampai kepada dia. saya sangat2 sedih sebab risau kalau-kalau orang hilang kepercayaan kepada saya. aneh betul, saya dah pos, pos malaysia dah siasat bila saya adukan kepada dia orang dan dia orang cakap memang barang dah sampai tapi penerima tak terima lagi.. :(( sedihnya.

6 comments:

  1. best best best xD
    tassabar nak tengok rupa Alan nanti. hehe

    ReplyDelete
  2. terima kasih @munirah
    eh?? poster alan saya belum post ke? rasa macam sudah.

    ReplyDelete
  3. Best.... Nak lgi blh...hehhee

    ReplyDelete
  4. terima kasih :)
    nak lagi.. tunggu minggu depan.. insya-Allah

    ReplyDelete
  5. Best2! Selalu tertunggu update baru!

    ReplyDelete
  6. terima kasih hanis... sabar ya tunggu update. :)

    ReplyDelete