Followers

Wednesday, November 19, 2014

[NADIANA] 16


::16::

Pagi Isnin yang nyaman, Nadia membawa Diana bersamanya untuk sesi temuduga di tempat dia bekerja, Brilliance K Properties (BKP) Sdn. Bhd. 

Si Diana senyap sejak dari rumah lagi, sewaktu Nadia tolong mengenakan mekap pada wajah Diana untuk menaikkan seri wajah lagi. Mujur sempat dia berguru dengan Clara secara virtual melalui channel youtube Clara, banyak tutorial solekan yang Clara sudah muat naik Nadia hanya memilih yang mana sesuai untuk Diana. 

Mujurlah Nadia sudah mulai mengenali diri Diana, dia mengenakan mekap nipis tetapi cukup untuk menonjolkan keayuan semula jadi wajah Diana. Kalau ditanya pendapat Diana dia mahu yang macam mana sampai esok pun belum tentu dapat jawapan, dia langsung tidak bercakap, bila ditanya kenapa dia hanya menjawab dengan gerakan bibir sahaja ‘nervous’.



Otak Diana ligat berputar merangka ayat untuk dia mempromosikan diri untuk sesi temuduga nanti. Nadia pula tersenyum ceria sahaja, bukan sahaja kerana hendak bersedekah tetapi juga untuk menceriakan suasana dengan harapan dapat mengurangkan rasa gemuruh Diana dan membangkitkan semangat Diana.

Selain itu, kereta kelisa merah berbumbung hitam yang menjadi kebanggannya ini juga menjadi pemangkin untuk dia tersenyum terlebih lebar. Bukan main bangga lagi dia dapat memandu kereta yang dia beli dengan duitnya sendiri, hasil titik peluhnya sendiri bekerja di sini selama lebih kurang tujuh tahun. Nadia memandu ke basement parking lot khas untuk kakitangan, dia mencari-cari kotak pakir yang sudah di khaskan untuknya. Dia sudahpun mendaftarkan keretanya pada laman sesawang untuk pekerja-pekerja BKP, dan mereka sudah pun mengemelkan nombor kotak pakirnya semalam. Sebaik sahaja menjumpai kotak pakir yang dicari-cari Nadia terus memakir kemas kereta baharunya itu ke dalam kotak pakir.

Nadia membawa Diana ke kaunter penyambut tetamu di ground floor untuk mendapatkan pas pelawat. Nadia sudah pun menerima kad pekerjanya yang baharu sejak minggu lalu semasahuman resource department memberikan surat lantikannya yang baharu. Mereka berdua sama-sama scan kad mereka untuk masuk, teruja Nadia bila dia pertama kali scan kad pekerjanya.

“Canggih ofis kau, dah macam dalam cerita Korea pula ada mesin ni, terasa macam kat stesen lrt pun ada.” Kata Diana selepas dia scan kad pelawatnya. Dia tertawa kecil.

“Dah banyak dah syarikat guna benda alah ni. Tak ada punch cardlagi dah. Nasib baik BKP ni makin maju, merasa jugak aku pergi kerja ala-ala orang korea gitu.” Seloroh Nadia lalu dia turut sama tertawa.

Bangunan syarikat yang baharu gah berdiri dengan rekabentuk moden, kaca kelilingnya, memang menjadi kebanggaan pekerja-pekerja BKP. Ini salah satu lambat titik peluh mereka, syarikat semakin maju dengan hasil kerja mereka bersama, bangunan gah ini juga menaikkan motivasi mereka untuk terus kuat bekerja.Di ground floor ada menempatkan banyak model projek-projek mereka yang terdahulu dan yang masih dalam proses pembinaan. Sebahagian besar dari tingkat G ini telah dijadikan pejabat jualan, dan ada banyak ruang legar yang diletakkan kerusi meja untuk memudahkan mereka berbincang dengan pelanggan dan membuat sales, ada kaunter pelanggan dan sebagainya. Bau bangunan baharu dimesrakan dengan bau air freshner yang enak dan tidak menyakitkan kepala.

Sebaik menghampiri lif senyuman Nadia semakin pudar, dia menelan liur. Mana tidaknya, keempat-empat lif bangunan ini lif kaca semuanya. Satu penyakit Nadia yang Diana belum tahu, dia seorang yang gayat, tak mungkin dia boleh naik lif kaca begini, walaupun dengan menutup mata pun dia akan rasa berdebar-debar seolah-olah dia terpaksa melompat ke dalam gaung.

“Ah… Diana kau tahu tak tempat temuduga kau?” Nadia bertanya, dia mahu mengelak dari menaiki lif ini, dia rela memanjat tangga walaupun pejabat Tuan Khalid di tingkat lima. Nasib baik lima tingkat sahaja bangunan ini, buatnya sampai berbelas tingkat bermandi peluhlah Nadia setiap pagi.

“Dalam emel panggilan ada tulis dekat bilik mesyuarat tingkat tiga.”

“Kau boleh pergi sendiri kan?”

“Boleh, kenapa?”

“Aku nak pergi kafe sekejap.” Nadia memberi alasan, tanpa banyak soal Diana pun membalas sambil melangkah masuk ke dalam lif kaca yang sudah tiba. “Okey, nanti pandai-pandailah aku tanya orang kat atas tu.”

“Jumpa nanti ya.”

Nadia membalas sebelum pintu lif tersebut tertutup. Nadia bergerak ke tangga kecemasan, nasib baik tangga kecemasan ni batu, kalau tidak tak tahulah macam mana Nadia hendak naik ke tingkat atas. Nanti tak pasal-pasal dia minta ditukarkan kerja ke kaunter penyambut tetamu atau kaunter pelanggan, senang di tingkat bawah sahaja. Gaji sikit pun tak apa, janji dia tak perlu menghadapi fobianya tiap-tiap hari. Nadia memanjat sehingga ke tingkat 5, dia menuju ke bilik Tuan Khalid berpandukan pelan lantai yang ada di dinding berdekatan dengan lif kaca yang menakutkan tu. Sebaik sahaja sampai di hadapan bilik Tuan Khalid dia terus ternampak meja yang sudah tertera namanya, terasa bangga sekejap. Dulu di ofis lama tak ada nama-nama bagai di meja, tetapi sekarang sudah ada, lalu Nadia menghampiri meja itu. Lebih luas dan selesa dari kubikelnya di ofis lama dulu, cuma yang merisaukan Nadia kedudukannya yang membelakangi dinding kaca. Pastinya Nadia akan terasa bagai ada yang hendak menariknya jatuh dari bangunan itu dari belakang. Nadia kuatkan semangat berjalan mendekati kerusinya, dia menarik kerusi dan duduk dengan berhati-hati. Rasa bagai nak gugur jantungnya bila terlihat keluar kaca, walaupun hanya tingkat lima tetapi terasa bagai berada di puncak KLCC. Nadia menarik nafas dalam-dalam bagi meredakan debar di dada, agak-agaknya debarnya yang mengalami acrophobia lagi dasyat dari debar Diana yang hendak ditemuduga nanti.

“Assalamualaikum..”

Nadia menjawab salam sambil mengangkat wajah melihat seorang wanita yang menonjol perutnya melangkah masuk ke situ. Agaknya inilah Puan Ema, pembantu peribadi Tuan Khalid sekarang yang hendak berhenti tu. Memang nampak sudah sarat, sempat Nadia berdoa dalam hati, ‘Ya Allah, bagilah aku sempat menuntut ilmu dengan Puan Ema ni, nanti kalau tak terkial-kial aku dibuatnya.’

“Puan Ema kan? Saya Nadia.” Nadia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan ibu mengandung yang comel tu.

“Tak perlulah berpuan-puan, panggil Kak Ema je.” Ema menyambut salam Nadia, dia kemudian bergerak ke tempatnya berhadapan dengan Nadia.

“Dah sarapan?” Ema dengan ramahnya bertanya, bagi dia ibu mengandung sarapan tu wajib, bukan sarapan je, asyik rasa nak makan aje.

“Belum.”

“Memang dah biasa tak sarapan ke apa?”

“Taklah, biasanya pergi sarapan. Tapi hari ni tak sarapan lagi.” Selalunya dia dimanjakan Diana, Diana tu kaki rajin masuk dapur, ada aja sarapan pagi yang dia sedia, nasi gorenglah, mee gorenglah, bihun gorenglah, cuma hari ni Diana tidak menyediakan sarapan kerana Nadia sibuk menempel mekap ke wajahnya yang bak kata Nadia memerlukan mekap yang lebih menarik untuk boost up penampilannya.

“Kalau macam tu Nadia pergilah sarapan dulu. Kafe ada kat tingkat satu, sedap tau.” Ema membuat promosi percuma untuk kafe syarikat.

“Tak payahlah kut, dah nak dekat pukul sembilan ni.”

“Tak apa, hari ni Tuan Khalid tak masuk ofis. Dia ada urusan peribadi, hari ni kerja kita cuma jawab panggilan telefon dan akak nak beri Nadia one on one class macam mana nak jadi p.a bos kita tu.” Ema duduk di tempatnya, Nadia yang teragak-agak untuk pergi bersarapan terus menukar fikiran untuk terjah sahaja kafe di bawah setelah terasa getaran panas di dalam perutnya, laparlah tu…

“Saya turun kafe sekejap ye Kak Ema.” Suara Nadia, perlahan-lahan dia bangun dari kerusi kerana bimbang ‘terjatuh’. Nadia mengambil telefon bimbit dan dompet duitnya dari beg tangan yang diletakkan di dalam laci meja lalu dia meninggalkan meja dan terus menuju ke tangga kecemasan. Matanya tertancap pada salah satu lif yang baru sahaja berhenti, Nadia mempercepatkan langkah sebaik sahaja ternampak Ezuan di dalam lif tersebut yang baru hendak keluar dari lif tersebut. Nadia berlari dan menyorok di balik pintu tangga kecemasan, dia mengintai Ezuan yang berlalu ke bilik Tuan Khalid. Entah siapa yang Ezuan cari, tak kan dia tak tahu ayahnya tidak masuk pejabat hari ini? Nadia rasa tidak selesa bila terfikir yang ada kemungkinan yang Ezuan sebenarnya sedang mencari dirinya.

‘Ish, dia ni datang cari aku lagi ke? Aku dah tak kerja dengan dia kut, dah duduk lain-lain level pun sanggup naik cari aku. Gila punya jantan.’ Nadia mengomel sendiri dalam hati, makin hari makin geram pulak rasanya dengan sikap Ezuan ni. Tak faham bahasa, orang dah tak sudi tu sudah-sudahlah, ini persistent gaya apa lagi. Rimas Nadia dibuatnya.

‘Buatnya dia cari aku? Kalau Kak Ema beritahu dia aku turun makan, confirm dia cari aku kat kafe. Ini tak boleh jadi, aku kena cari backup.’

Nadia segera menaip sesuatu buat Diana,

            Diana, kau punya interview pukul berapa?

Sambil menunggu balasan Diana, Nadia menuruni tangga itu.

                                                            Tak tahulah, aku dapat nombor giliran aku nombor 5.
                                                                                    Lambat lagi lah kut.

            Kalau lambat lagi, teman aku makan jom.

Makan?

Jomlah teman aku, makan kat kafe. Lapar ni.

            Nadia melangkah keluar dari pintu kecemasan itu bila dia sudah tiba ditingkat tiga, laju sahaja dia melangkah menuju ke bilik mesyuarat. Tiba-tiba Nadia merempuh sesuatu, bukan sesuatu tetapi sesorang, bau minyak wangi yang kuat telah menunjukkan yang Nadia telah merempuh seorang lelaki. Kerana dek asyik sangat tertumput pada skrin telefon bimbitnya sahaja tidak sedar pula ada seseorang di hadapan.

           “Sorry sorry, saya tak sengaja.” Ucap Nadia pantas sambil tangannya menggosok dahinya, boleh tahan sakitnya. Nasib baik tak jatuh terduduk tadi, kalau tidak dahi sakit punggung pun sakit, tambah bonus malu tak tahu nak sorok muka kat mana lagi dah.

            “It’s okay.” Balas lelaki itu dengan suara mesra. Nadia panggung kepalanya memandang lelaki itu sekilas lantas dia berlalu selepas mengucapkan maaf sekali lagi. Terpinga-pinga lelaki itu melihat Nadia yang ‘blah’ begitu pantas, tak sempat pun dia nak berkenalan mahupun memberi nasihat.

            ‘Jalan tu tengok-tengok depan adik oiii, jangan sampai tersadung sendiri pulak nanti.’ Kata nasihat itu hanya disimpan di dalam hati sambil memerhatikan Nadia pergi.

            Nadia mendapatkan Diana yang sedang duduk di luar bilik mesyuarat, sebaik sahaja kelibat Diana Nadia percepatkan langkahnya.

            “Jom, teman aku makan.” Nadia menarik lembut tangan Diana. Terkedip-kedip mata Diana melihat Nadia yang sudah pun berada di depannya sedangkan baru seminit tadi dia menghantar mesej di whatsapp.

            “Tapi aku…” Diana teragak-agak.

            “Ala… lambat lagilah. Jomlah.” Nadia memujuk, Diana kaku tidak bergerak.

            “Kau takut, biar aku beritahu dia orang, aku kenal dia orang tu.” Ucap Nadia. Nadia bergerak ke arah staf wanita yang mengendalikan nombor giliran para calon temuduga.

            “Kak, saya bawa kawan saya pergi makan kat kafe bawah sekejap boleh? Kawan saya tu nombor lima, lambat lagi kut. Kesian dia lapar nanti, kalau berbunyi perut masa interview malu besar dia nanti.” Sungguh-sungguh Nadia memujuk, muncung-muncung habis bibirnya dicebik meraih simpati.

            “Pergilah, nombor lima lambat lagi kut dia nak kena tunggu, selalunya interview dia paling sekejap pun dua puluh minit sorang. Pergilah bawa kawan kamu tu makan dulu.” Balas wanita awal tiga puluhan itu. Terus tersengih Nadia dibuatnya, dengan ceria dia menarik tangan Diana untuk serta dia ke kafe.

            “Turun tangga?” Tanya Diana bila Nadia menariknya ke tangga kecemasan.

            “Alah, dua tingkat je.. aku sebenarnya gayatlah nak naik lif kaca tu.” Jawab Nadia sambil menyilang tangan kirinya dengan Diana.

            “La.. yeke, apalah, lif tu pun takut.” Diana mengejek, Nadia gelak sahaja. Mereka sama-sama beriringan ke kafe dan menjamah sarapan pagi mereka.

:::

Diana menarik nafas dalam-dalam sambil dia berzikir di dalam hati, menghilangkan rasa gemuruh. Ini yang dia tak suka ni, menunggu giliran untuk ditemuduga. Masa terasa seolah-olah berjalan terlalu lambat, padahal tadi dia sudah menghabiskan masanya dengan turun bersarapan di kafe, kalau tidak lagi lama dia tunggu. Diana tak habis-habis merenung jam di dinding, menilai berapa lama sudah calon temuduga ditemuduga di dalam bilik mesyuarat itu.

‘Ya Allah nervousnya.’ Diana mengelap tangannya pada sapu tangan yang dibawa di dalam beg tangannya. Dia tahu pasti tapak tangannya akan basah dek peluh gemuruh tu, dah biasa dah dari dulu.Mujur tangan sahaja yang berpeluh, kalau tidak cair habis mekap nipis yang sempat Nadia tolong tempek ke wajahnya tadi buat menaikkan seri wajah.

Pintu bilik mesyuarat terbuka dari dalam, nampaknya calon keempat sudah pun tamat sesi temuduganya. Sekarang giliran Diana pula,tetapi lima minit berlalu namun namanya masih belum dipanggil. Makin berdebar jantungnya menunggu namanya dilaungkan.

Diana bangun dari kerusi sebaik sahaja mendengar namanya dipanggil, dengan hati-hati dia masuk ke dalam bilik menyuarat itu. Mata Diana terus sahaja tertancap pada barisan panel penemuduganya itu. Ada tiga orang kesemuanya, seorang wanita yang kelihatan seperti berusia awal lima puluhan yang duduk di sebelah kanan, kad pekerjanya tertera nama Hafisah. Seorang lelaki berbangsa cina yang tiga puluhan di sebelah kiri, bernama Stanley Ong, dan yang paling menarik perhatian adalah Rizman, lelaki kacak di antara Puan Hafisah dan Stanley Ong, yang asyik tersenyum sejak Diana melangkah masuk ke dalam bilik menyuarat ini.

Diana memberi salam dan mengucapkan selamat pagi kepada semua panel, Puan Hafisah menjawab salam lalu dia menjemput Diana duduk dengan isyarat tangan, Diana memberikan failnya kepada wanita tersebut sebelum dia melabuhkan punggung dengan tertib di hadapan dengan para panel. Senyuman pada bibir panel yang di tengah-tengah itu membuatkan Diana menelan liur cuak, senyumannya nampak manis tetapi seakan-akan ada maksud tersirat disebalik senyuman itu. Dalam cuak itu Diana cuba untuk mengekalkan senyumannya, dia berharap senyuman di bibirnya tidak kelihatan janggal. Nafas ditarik dan dihembus perlahan, mengurangkan perasaan berdebar Diana.

“Cik Diana, memohon jawatan sebagai junior eksekutif akaun kan?Boleh perkenalkan diri.” Panel berbangsa cina itu bersuara dengan pelat. Diana agak terkejut kerana temuduga ini dijalankan dalam bahasa melayu, selalunya susahlah nak dapat syarikat yang menggunakan bahasa melayu semasa temuduga, semua pun mahu menguji kemampuan berbahasa inggeris calon. Mungkin agaknya kerana ini syarikat milik bumiputra yang rata-rata pekerjanya berbangsa melayu, oleh itu mereka tidak kisah mengenai bab ini.

‘Bismillahhirahmanirahim..’

“Nama saya Diana binti Nazri, berusia 25 tahun, saya…” Diana baru sahaja memulakan mukadimah tiba-tiba penemuduga yang ditengah-tengah mengangkat tangannya. Diana terdiam, ‘alamak…aku belum mula dia dah suruh berhenti ke?’

Rizman scroll resume Diana pada ipad yang tersedia di hadapannya. Diana teragak-agak hendak menyambung atau terus mendiamkan diri kerana Encik Rizman masih belum bersuara. Diana buntu tak tahu kenapa Rizman mencantas kata-katanya. Stanley Ong menoleh kearah Rizman, dia memandang pelik ke wajah lelaki itu. Puan Hafisah juga terkejut dengan tindakan Rizman, kerana sedari awal sesi temuduga tadi dia langsung tidak berkata-kata.

“Hmmm.. tak apa, itu kita boleh baca dalam resume awak.” Rizman akhirnya bersuara, memang dari calon yang pertama tadi dia langsung tidak bertanya apa-apa, cuma dia memberi komennya selepas calon temuduga keluar dari bilik temuduga.

‘Aduhai inilah Diana rupanya… dah lama aku tunggu kau, nak lah jugak aku tengok muka gadis yang mencuit hati si Nashrul hati batu tu.’ Rizman mengomel dalam hati. Rizman rasa hendak tertawa melihat wajah Diana yang kekeliruan, panel temuduga disebelah kanan dan kirinya juga tidak kurang kelirunya. Tiba-tiba sahaja Rizman yang tidak berminat untuk menemu duga tiba-tiba jadi berminat pula. Mereka tak tahu Rizman ada udang disebalik batu. Diana ada kabel yang dia sendiri tak tahu.

“Cik Diana awak dah kahwin?” Tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul dari bibir Rizman, Stanley Ong tergelak kecil, Puan Hafisah pula kelihatan seolah-olah dia sedang menahan tawa.

‘hah????’ Diana sudah pastinya terkejut. Tak pernah dibuat orang bila soal status menjadi soalan pertama semasa temuduga. Lagipun sudah tercatat dalam resume yang dia masih lagi bujang, single. Tadi kata boleh baca dalam resume, tapi tanya juga soalan yang boleh dapat jawapan dalam resume.

“Be..belum.” Gugup jadinya Diana bila menjawab pertanyaan yang mengejut itu.

“Ada boyfriend?” Rizman terus menyoal, Stanley dan Puan Hafisah diam sahaja mendengar Rizman menemuduga.

“Tak ada.”

So… tak ada rancangan nak berkahwin dalam masa terdekat nilah?”

“Tak ada.”

“Okey..”

Sesi soal jawab tadi terhenti seketika. Sunyi bilik mesyuarat itu tanpa sebarang bunyi untuk beberapa ketika sebelum Rizman menyambung.

“Awak ada lesen?”

“Ada.”

“Ada kereta?”

“Tak ada.”

“Awak datang kerja dengan apa?”

Car pool atau public transport.”

“Hmmm… okey.”

Sudah dua kali Rizman menyebut perkataan ‘okey’, tetapi ‘okey’ yang kedua buat Diana tak senang duduk, lain macam aje nadanya tadi. Diana menghembus nafas lembut, memujuk hati supaya bertenang, tangan yang basah kembali dek peluh diletakkan pada pahanya, Diana cuba untuk mengesat peluh itu pada kain bajunya tanpa membuat pergerakan yang besar supaya para panel temuduga tidak perasan dia berbuat begitu. Mata Diana hanya terpaku pada Rizman, sekali sekala dia menjeling melihat riaksi Stanley Ong dan Puan Hafisah. Rizman memandang Puan Hafisah, dia kemudian berbisik kepada Puan Hafisah.

“Puan Hafisah, saya ambil budak ni tak apa kan? Lagipun kita bukan ada calon lain untuk jawatan ni.”  Puan Hafisah tidak memberi respon serta merta, matanya masih membaca transkrip Diana yang ada padanya.

“Kak… bolehlah.” Pujuk Rizman, manja semacam gayanya. Tersengih Puan Hafisah, ada-ada saja Rizman ni, kalau budak ni tak bagus department dia juga yang susah. Tapi ada betulnya juga kata Rizman, tak ada calon lain kerana seorang lagi calon tidak hadir temuduga kerana sudah mendapat tawaran kerja di syarikat lain. Lagipun keputusan Diana sangat bagus, kalau dilatih pasti dia akan jadi seorang pekerja yang cekap dan mahir. Nak cari lain memang tak sempatlah, Suria (pekerja bawahan dia) makin hari makin stress sebab tak cukup kaki tangan.

“Bila awak boleh mula kerja ya Diana?” Tanya Puan Hafisah, Diana tercengang, dan Rizman pula bersorak dalam hati.


::::

Okey itu sahaja untuk kali ini. So macam mana? 
Kalau suka tinggalkan komen anda di bawah yaa... ^^
Like pun jangan lupa dong! Kekeke....
P/S: Sounded macam kak Qeuu ke? Hahaha bukan dia sebenarnya! 
Ini Zhee wahai kalian. Dia tak boleh nak online buat masa terdekat ni, 
so Zhee updatekan Nadiana kali ni. 
Maaf lah kalau ada salah mana-mana sbb tak tau nak edit apa kan. 
N sorry jugak kat sapa yg kak Qeuu selalu tag tiap minggu tu, 
minggu ni tak dapat tag kalian lah nampaknya. 
Saya pun tak sure selalu dia tag siapa. Hehehe
Btw, kalau ada apa-apa komen or pesan nak sampaikan kat dia boleh je tinggal kat bawah, 
nanti Zhee sampaikan ya! ^^
....Happy Reading....

1 comment: