Followers

Thursday, November 27, 2014

[NADIANA] 17 & 18



::17::
 “Seumur hidup aku, aku dah pergi interview lebih kurang berbelas kali jugaklah tapi ini kali pertama aku pergi interview ayat aku cakap boleh kira dengan jari.” Semangat Diana bercerita kepada Nadia. Nadia tertawa mendengar cerita Diana datang temuduga hari ini. Tangannya yang memegang sudu sedari tadi hanya menguis-nguis sahaja nasi di dalam pinggannya, tak boleh nak makan sebab terlalu asyik ketawa dengan cerita temuduga si Diana ni. 


Diana menyudu nasi ayam di pinggannya lalu dia suap ke mulutnya. Sedapnya… nanti bolehlah dia makan di sini selalu setelah mula bekerja, syarikat besar, kafe pun tiptop. 

“Lepas tu?” Tanya Nadia teruja, dia kemudian mengacau air di dalam gelasnya. Biar ais yang sudah mencair sebati dengan air teh dengan straw, lantas dia menyedutnya. Diana mengunyah perlahan makanan di dalam mulutnya.

“Lepas tu, dia ada bisik-bisik dengan Puan Hafisah tu, apa dia bisik aku tak tahulah aku tak dengar tapi lepas tu Puan Hafisah tanya aku bila boleh start kerja.” Diana membalas sebaik sahaja makanan dikunyah tadi habis ditelan. Nadia yang sedang mengunyah terangguk-angguk, tangannya kemudian terangkat dan bergerak-gerak seolah-olah bertanya apa jadi seterusnya. Diana yang bijak membaca bahasa tubuh Nadia itu teruskan menyambung.

“Lepas tu apa lagi, bincang fasal gajilah.” 

“Bolehlah lepas ni kita pergi kerja sama-sama, makan sama-sama. Balik sama-sama.” Nadia membalas. Teruja betul bila dia mendapat mesej di whatapps dari Diana yang menyatakan dia berjaya temuduga itu. Terus dia ajak Diana makan tengah hari bersama, Diana yang dah rasa keenakkan nasi lemak di kafe ini pagi tadi terus rasa ketagih untuk makan di sini saja. Kafe BKP yang menyajikan pelbagai makanan enak-enak, tak perlu cari makan jauh-jauh sini pun dah sodap

“Terima kasih tau Nadia, sebab tolong aku. Kalau tak menggelupur aku kat rumah bosan sebab tak ada kerja lepas tu menggigil risau duit simpanan habis kena korek.” Diana yang sudah makan menghirup air sirap perlahan-lahan. 

“Tolong apanya, aku tolong hantar resume kau aje. Lepas tu aku tolong doa je.” Nadia membalas. 

“Sekurang-kurang kau ada tolong aku, terima kasih banyak. Syukur Alhamdulillah, aku tak payah nak risau-risau pasal tanam anggur ke, menganggur ke apa.” 

“Rezeki tu rezeki..” tambah Nadia. Nadia menghabiskan makanan di pinggannya, kemudian dia meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan lalu dia tolak ke tengah pinggan yang sudah licin itu. 

“Kau balik macam mana lepas ni? Nak aku hantar? Aku ada masa lagi ni.” Nadia menawarkan diri untuk menghantar Diana pulang ke rumah. 

“Jangan mengarut, buatnya jalan jam lambat pulak kau masuk, mana sempat. Balik rumah pun dah dekat setengah jam, sekarang dah pukul satu setengah, kau nak patah balik lagi.” Diana tidak setuju. Dia tak kisah kalau dia kenal menaiki kenderaan awam sekali pun asalkan tidak menyusahkan orang lain. Bukannya susah, bukannya dia hendak mengejar-ngejar masa, kalau balik hendak singgah mana-mana dulu pun sempat lagi. 

“Alah bukan selalu, lagipun bos aku tak ada hari ni.” Selamba sahaja Nadia berkata begitu, tak sedar diri yang masih banyak lagi ilmu dia perlu tuntut dari Ema. 

“Jangan mengarutlah, pandai-pandailah aku naik teksi. Kau pergi masuk kerja, lambat pulak nanti nak panjat tangga bagai, kalau lambat nanti jadi tak berkat pulak rezeki tu, curi tulang masa kerja.” Bebel Diana. Dia menghabiskan air di dalam cawannya, sementara Nadia juga berbuat begitu.

“Iyalah, iyalah, aku tak ponteng kerja. Aku nak naiklah ni, kau balik sorang-sorang hati-hati sikit. Jangan kena langgar lagi.” Pesan Nadia sambil bangun dari tempatnya.  

“Aku tahulah.” Suara Diana sambil dia juga bangun dari kerusi dan mencapai beg tangan untuk balik ke rumah. 

:::

“Kak Ema…” Mendayu-dayu Rizman memanggil Ema yang baru hendak melabuhkan punggungnya ke kerusi. 

“Kak Ema.. Kak Ema…Kak Ema… Kak Ema..” Bernyanyi pula Rizman menyeru Ema, siap berdansa ala-ala menari cha-cha pula. Ema pula melayan, dia turun berdansa bersama Rizman dengan rentak cha-chanya tersendiri. Tertawa-tawa Ema melihat gelagat Rizman, dan dia sendiri suka nak melayan. 

Bunyi sesuatu jatuh membuatkan mereka pegun, kedua-dua mereka menoleh perlahan ke arah dari mana datangnya bunyi itu. Terlihat Nadia yang kaku ternganga, terkejut melihat gelagat dua manusia tadi. Ema dan Rizman terus berdiri tegak, membetulkan postur mereka. Masing-masing memandang ke tempat lain menyorokkan malu. Nadia mengutip semula beg telekungnya yang jatuh ke lantai, dan berjalan perlahan-lahan ke arah mejanya lalu dia duduk diam-diam di atas kerusinya itu. Dalam hati dia ketawa berdekah-dekah, mana taknya ini pertama kali dia melihat orang menari di dalam pejabat, sudahlah Kak Ema tu berbadan dua. Kelakar jadinya. Buatnya terberanak kat sini naya je… 

Auuww..aduh.” 

Tiba-tiba Ema yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di atas kerusi terasa sakit. Nadia menelan liur, baru sahaja tadi terdetik dihatinya pasal Kak Ema terberanak, takkan dah nak beranak kut? Masin betul ‘hati’ kau Nadia. 

“Eh.. kenapa ni kak?” Rizman bertanya, wajah Ema berkerut-kerut menahan sakit yang semakin mencucuk. Peluh-peluh mula terbentuk di dahinya walaupun baru beberapa saat dia terasa sakit, Ema memegang perutnya yang sakit, hanya Allah yang tahu. 

“Rizman…. Akak rasa…akak dah.. nak bersalin.” 

HAHHH?” Terjerit Rizman dan Nadia terjerit serentak. Nadia yang tadi duduk terus tegak berdiri. Rizman dan Nadia panik, tidak tahu hendak berbuat apa.

“Kita…kita..call ambulans.” Kata Rizman sambil mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluarnya. Nadia cepat-cepat menghampiri Ema dan Rizman.

“Kau gila nak bagi aku terberanak sementara tunggu ambulans?” Balas Ema. 

“Tapi ambulans ada siren...” Rizman balas, fikir logiknya ambulans tentu laju sebab ada siren.

“Akak tak nak tunggu.” Cantas Ema, ya.. mungkin ambulans lagi laju tapi dia tak akan tenang sementara tunggu ambulans sampai.
 

“Aku tak nak tunggu ambulans.” Ulang Ema, menunggu itu sangat menyeksakan. Dia tak sanggup menanggung rasa cemas sementara menunggu ambulans, baiklah dia pergi mencari hospital bukan tunggu pihak hospital jemput dia. 

“Awak, cepat jom kita bawa Kak Ema pergi hospital.” Nadia cepat-cepat memberi cadangan, dia tak ada fikir lain selain Kak Ema perlu segera dihantar ke hospital. 

“Ok…okey..” Gagap Rizman membalas.

“Akak, handbag akak dalam laci mana?” Nadia bertanya.

“Dalam laci nombor tiga.” 

“Apa lagi nak bawa?”

“Tak ada, semua ada dalam handbag tu. Nanti…suami akak bawa, Nadia nanti tolong telefon suami akak.. handphone akak atas meja.” Nadia mengangguk faham. Selepas itu Ema diam sahaja, dia mula berzikir perlahan-lahan dengan harapan dapat mengurangkan rasa sakit itu. 

Rizman baru hendak membantu Ema bangun dari kerusi tetapi lengannya ditampar kuat oleh Nadia yang baru lepas mengambil tas tangan Ema dan juga telefon bimbitnya. 

“Yang awak nak angkat Kak Ema tu kenapa? Tolak sajalah kerusi tu, ada roda kan.” 

Rizman terangguk-angguk faham, dia terus menurut perintah dan menolak kerusi Ema. Nadia terlalu fokus pada telefon bimbit Ema di tangan, mencari nombor telefon suami Ema sampai dia tidak perasan yang dia berada di perut lif ‘kaca’ yang dia tidak berani dekat pun pagi tadi. Sebaik sahaja lif itu bergerak barulah dia perasan, terus sahaja jantung yang sedang berdegup kencang menjadi lebih kencang degupannya. Menggigil kepala lutut Nadia dibuatnya, ketakutan. Lantas tangan Nadia memegang objek paling dekat denganya, lengan Rizman dan Nadia katup mata rapat-rapat. Rizman yang terasa lengannya dipegang memandang pelik ke arah Nadia, tetapi dibiarkan sahaja gadis itu ‘bergantung’ kepadanya. Sampai sahaja  ke tingkat bawah Rizman menolak Ema keluar, Nadia yang tidak perasan mereka sudah sampai turut tertarik keluar sekali. 

“Awak tunggu sini, saya pergi ambil kereta.” Ujar Rizman sebaik sahaja mereka sampai ke hadapan bangunan pejabat. Nadia mengangguk dan Rizman terus berlari meninggalkan mereka. Ema sekali sekala mengerang perlahan kesakitan, sambil diselang-seli dengan zikirnya. Suasana di ruang lobi menjadi kecoh, dua tiga orang pekerja yang bangun dan menghampiri Nadia dan Ema. Ada yang tolong mengipas, ada yang tolong mengelap peluh, ada yang memberi semangat buat Ema sementara hendak menunggu kenderaan sampai, mujurlah tidak lama kemudian sebuah Mazda 3 sampai tepat di hadapan mereka semua. Mereka sama-sama membantu Ema masuk ke dalam kereta Rizman. Selamat sahaja Nadia dan Ema masuk ke dalam kereta dan menutup pintu, Rizman terus memijak pedal minyak memecut laju ke hospital. 

:::

‘Baru sekarang boleh bernafas..’ Nadia bercakap dalam mindanya. Dia menyandar kepalanya ke dinding, lega rasanya bila Kak Ema sudah selamat masuk ke dewan bersalin. Walaupun bukan Nadia sendiri yang nak bersalin tetapi dia pula yang terlebih-lebih cemas, Ema semakin dekat dengan hospital semakin tenang dia, walaupun selang masa rasa sakit datang semakin lama semakin rapat.

“Penat?” Rizman bertanya, dia menghulurkan air tin yang baru dia beli tadi. Kesian dia melihat Nadia yang berpeluh-peluh. Nadia mengambil air tin itu lalu dia membalas dengan senyuman.

“Terima kasih.” 

Rizman duduk di sebelah Nadia, dia juga hendak melepaskan lelah. Dia pun sama cemas, malah lebih cemas dari Nadia dan Ema. Syukur dia masih boleh memandu dengan baik walaupun jiwanya galau tadi. 

“Cik…. Nadia kan?” Rizman bertanya, kalau tak silap itulah nama gadis yang berada di sebelah kanannya ini. Dia teringat surat lantikan Nadia yang jabatannya siapkan minggu lepas, surat untuk kenaikan pangkat Nadia sebagai pembantu peribadi abang sulungnya, Tuan Khalid. 

“Ya.” Jawab Nadia kekok. Segan pun ada. Bukan dia biasa beramah-mesra dengan orang yang tak berapa kenal ni.

‘Nadia… bukan ke kau dah janji dengan diri kau nak berubah, nak cari banyak kawan baru kan?’ Hati Nadia menegur diri sendiri. Terus dia menoleh ke arah Rizman dan menayangkan wajah mesra dengan senyuman.

“Macam mana awak tahu nama saya?” Nadia cuba berbual. Dari diam dan terasa janggal baik dia berbual, mana nak tahu boleh hilang rasa kekok. 

“Tadi kan Kak Ema ada panggil nama awak. Lagi pun saya kerja di department HR, saya ada nampak surat lantikan awak.” 

Mulut Nadia membentuk O tanda faham. Jarinya cuba untuk membuka tin minuman yang di tangannya namun gagal, jarinya tidak dapat menarik pin pada permukaan tin itu. Rizman dengan spontan mengambil tin air itu dan dia terus sahaja tolong bukakan untuk Nadia. Nadia mengucapkan terima kasih bila Rizman menyua semula tin yang sudah dibuka itu. Rizman hanya mengangguk. 

“Awak yang terlanggar saya pagi tadi kan?”

“Langgar?” Nadia terpinga-pinga, dia langsung tak ingat yang dia ada langgar seseorang pagi tadi.

“Dekat tingkat tiga tadi. Kalut sangat sampai tak sempat berkenalan tadi.” 

“Oooo.. terlupa pula saya, tadi saya ajak kawan saya sarapan sebelum dia temuduga.”

“Kawan awak tu siapa?”

“Nama dia Diana, dia interview untuk jawatan junior account exercutive hari ni.”

‘Ooo.. padanlah budak tu jawab car pool bila tanya macam mana datang ofis tadi, ada kawan kerja BKP rupanya.’ Rizman berkata dalam hati. Mereka berdua meneguk minuman masing-masing.

Sedang enak mereka berdua membasahkan tekak, Nadia ternampak dari ekor matanya seorang lelaki sedang melangkah ke arah mereka di koridor itu. Terus dia meletak tepi tin minuman yang separuh kosong itu dan dia bangun untuk menegur lelaki itu. 

“Suami Kak Ema ke?” Nadia meminta kepastian, dia sendiri tak tahu nama suami Ema siapa. Bukan dia pernah jumpa pun, Ema sendiri pun Nadia baru berjumpa buat kali pertama hari ni. 

“Ya saya. Isteri saya kat mana?” 

“Dah masuk dewan bersalin dah, kat hujung sana tu.” Nadia menunjukkan hujung koridor itu. 

“Ini barang Kak Ema, dompet dia, IC, telefon semua saya dah simpan balik dalam beg dia ni.” Kata Nadia sambil menghulurkan beg tangan Ema kepada suaminya. 

“Terima kasih banyak-banyak sebab tolong isteri saya. Terima kasih banyak, maaf kalau menyusahkan kamu berdua. Kalau lepas ni kau orang dua sibuk ke, nak masuk kerja balik pun tak apa, saya boleh handle dari sini. Terima kasih banyak-banyak ya, saya pergi jenguk isteri saya..” Ucap suami Ema sebelum bersalaman dengan Rizman lalu dia bergegas ke dewan bersalin. 

“Kerja kita dah selesai.” Kata-kata itu terluah di bibir Nadia. 

Nadia dan Rizman saling berpandangan dan tersenyum. Rasa ringan beban dibahu bila tanggungjawab dah selesai. 

“Awak nak balik ofis ke?” Rizman bertanya.

“Baliklah kut, kalau ada panggilan penting kat pejabat susah pulak. Nanti petang lepas kerja pun boleh datang lawat Kak Ema, boleh tengok baby sekali.” 

“Jom.” 

Rizman mengajak Nadia balik ke pejabat. Mereka sama-sama beriringan berjalan meninggalkan perkarangan hospital dan menuju ke tempat parkir kereta. 

“Tadi macam mana awak kenal muka suami Kak Ema tu? Bukan awak baru masuk kerja ke?” Rizman musykil sebenarnya, macam mana dia boleh kenal muka orang yang dia tak pernah jumpa. Kalau artis tu tak hairanlah. Ini orang biasa je. Kut Nadia ni ada ilmu ke, atau dah memang kenal Ema ke atau jiran ke. Macam-macam kemungkinan boleh jadi, tapi.. Rizman saja nak tahu, bukan sebab nak menyibuk tapi sebab nak buat topik berbual. Dia kan terlebih ramah bila dengan perempuan, dengan perempuan memang macam ulat bulu naik daun. 

“Oh, saya ternampak gambar atas meja Kak Ema tadi.”

“Wooo.. tajam mata awak kan.”

“Tak adalah, kebetulan je tadi ternampak dan teringat.” 

Balas Nadia lalu mereka tertawa kecil.

::::



::18::

“Akak… habislah saya. Akak dah kat sini, saya belum habis menuntut ilmu. Habislah saya esok, menggelabah.” Nadia komplin. Kejadian hari ini benar-benar menjadi pemangkin hubungan Nadia dan Ema, walaupun baru kenal beberapa jam tetapi sudah menjadi sangat rapat. Ema sangat-sangat terhutang budi pada Nadia dan Rizman, bagai terhutang nyawa pula dengan mereka berdua, kerana adanya mereka berdua dia selamat sampai ke hospital dengan cepat. Nadia kemudian mendekati bayi baru lahir beberapa jam lalu, Nadia terus mencucuk lembut pada pipi si comel itu.

“Ini semua si cantik ni punya pasal. Tak sabar sangat nak tengok dunia ye..” Sambung Nadia. Seronok dia bermain dengan pipi si bayi yang lembut bak puding.  

“Alah… nak risau apa. Bukan susah pun Nadia, selama ni Nadia buat kerja-kerja admin kan? Lebih kurang aje tu, sama je. Tak payah nak menggelabah bagai, lagi pun Tuan Khalid tu baik, tambah pulak dia bukan main lagi sayang kau Nadia, tak adanya dia nak marah-marah.” Kata Ema sambil matanya merenung ke arah anaknya yang diletakkan di sebelahnya. Ema juga mencucuk lembut pipi kanan si bayi seperti Nadia yang seronok bermain dengan pipi kiri bayi itu. Hilang semua sakit dan letih bila memandang wajah bayinya itu.

“Yeke bos sayang saya? Saya rasa Tuan Khalid sayang semua pekerja dia, semua orang dia layan baik.” Nadia membalas sebelum dia mencium pipi kiri anak Ema dan kemudian berdiri tegak di tepi katil Ema, tidak mahu lagi mengganggu lena si kecil. 

“Iye, dia selalu bercerita tentang kamu sebelum kamu masuk kerja hari tu.”

“Alah, itu dia nak kenalkan saya pada akak aje. Bukan ada apa-apa maksud. Hmmm… nasib baiklah bos tu baik orangnya, kalau tak masaklah saya esok. Bos tak apa lagi, saya risaukan client-client, mana saya kenal semua.” Luah Nadia, semakin dipikirkan semakin menggunung pula risaunya. 

“Alah, itu kau jangan risau sangatlah. Esok, kau pergi meja akak dalam laci nombor dua ada organizer, dalam tu ada semua nombor kenalan bos semua dengan client-client penting, semua cacatan penting ada dalam tu. Kau baca semua tu, kalau bos suruh call sesiapa just rujuk dalam tu ada. Ada benda tu selamatlah nyawa kau.” Ema menenangkan Nadia. Nadia hanya tersenyum nipis. 

“Nasib baik ada Kak Ema, terima kasih banyak-banyak.”

“Akak kerja dengan BKP dah banyak tahun, tak kanlah akak nak biar bos kita tu jadi susah kalau pembantu dia kerja ala-ala patah tangan. Jangan risau, kalau ada apa-apa masalah, nak tanya apa-apa ke, telefon aje akak.” 

Senyuman nipis Nadia tadi semakin melebar. Ema pun membalas senyuman itu, dia percaya Nadia boleh membuat kerjanya dengan bagus. Sepanjang pagi tadi apa yang dia ajar kepada Nadia cepat dia tangkap dan faham, jadi dia pasti Nadia dapat cepat serasi dengan kerja baharunya itu. Lagipun Nadia sendiri pun sudah lama bekerja dengan BKP, dan sudah lama kenal Tuan Khalid, jadi Ema memang tak risau. 

Nadia menoleh bila mendengar bunyi tapak kaki, suami Ema datang menghampiri mereka. Signal dia sudah boleh pulang, sudah lama setengah jam dia di sini. Tadi dia sudah hendak pulang sebenarnya tetapi Ema meminta Nadia menemaninya sementara suaminya pergi solat kerana dia tidak mahu bersendirian. 

“Akak, Nadia balik dulu lah. Dah lewat ni, masa melawat pun dah nak habis, akak pun perlu rehat banyak-banyak. Nanti bila akak dah balik rumah saya lawat akak kat rumah pulak.” Kata Nadia sebelum dia menghampiri Ema dan bersalaman, Nadia kemudian mencium bayi Ema di pipi kiri dan kanan sebelum meninggalkan mereka dan bergegas pulang.


:::

“Lewatnya kau balik hari ni.” Tegur Diana. Diana tahu Nadia akan pulang lewat sedikit kerana Nadia sudah memaklumkan kepadanya, Nadia juga berpesan yang dia akan beli makanan di luar jadi Diana hanya perlu masak untuk diri sendiri sahaja.

Nadia yang baru hendak masuk ke bilik terus menoleh.

“Aku pergi melawat kawan satu tempat kerja aku bersalin. Baby dia, MashaAllah… comelnya.” Balas Nadia. 

“Patutlah lambat. Pergi mandi cepat, karang habis waktu magrib.” Kata Diana sebelum dia turun ke bawah. Nadia pun cepat-cepat masuk ke biliknya, dia segera ke bilik air membersihkan diri dan mengambil wuduk untuk menunaikan kewajibannya sebagai seorang muslim. Sesudah solat magrib, Nadia merehatkan tubuhnya di atas katil. Terasa hari ini sangat panjang, dengan insiden menyorok dari Ezuan, makan dengan Diana semata-mata nak mengelak dari Ezuan, hampir-hampir jadi bidan terjun (betul-betul) sampaikan melawat Ema, banyak kejadian terjadi hari ini. 

Setelah beberapa ketika Nadia bergolek di atas tilam empuk, telefon bimbit Nadia berdering. Nadia terus mengangkat tanpa membaca siapa nama si pemanggil.

“Helo.” Suara si panggil dihujung talian.

“Hai… Alan. Ada apa you telefon I?” Tanya Nadia dalam nada teruja, dia memang rindu hendak mendengar suara Alan. Sepanjang hari ini tak sempat pun dia hendak terfikirkan Alan, tak syok juga bila pindah ofis baharu ni, tak dapat nak curi-curi intai kelibat Alan dan adik-beradik dia. Nak duduk berbual macam dulu memang tak lah, tempat kerja dah jauh-jauh, nasib baik Alan telefon dapat jugak dengar suara walaupun cuma melalui telefon. Memang Nadia kenal sangat suara Alan. Luar atau dalam telefon sama saja suaranya. 

Nadia terdengar desah Alan dihujung talian. Terdetik risau di hati Nadia, kenapa dengan Alan ni?

“Alan? You okey tak ni? You ada benda nak cakap dengan I ke?” Nadia bertanya. Alan tidak menjawab, dia berfikir sejenak sebelum menyambung perbualan. 

Ermmm… Tak ada apalah. I bosan sikit kat sini, jadi teringat nak sembang dengan you. I remember today is your first day at new company building. So how?” Kata Alan, entah kenapa memang dia teringatkan Nadia. Dulu mereka berdekatan, walaupun Nadia tidak mengunjungi salunnya tetapi dia tetap dapat melihat kelibat Nadia sekali sekala bila Nadia keluar makan tengah hari atau pulang kerja. Tetapi sekarang tempat kerja Nadia sudah jauh dari salunnya, dia tidak akan dapat melihat kelibat Nadia sekerap dulu. 

Dengar Alan berkata begitu, Nadia terus terasa ‘kembang’ sahaja, seronok yang Alan menelefonnya agaknya. Iyalah, Alan telefon tanpa sebab, dia telefon Nadia sebab dia bosan dan teringat kat Nadia. Gembira Nadia bila ada seseorang yang sudi teringatkan dirinya. 

“Tak ada apa yang spesial sangat pun. Tapi ada benda yang lawak hari ni.” Kata Nadia lalu dia tertawa. Bukan tertawa sebab perkara yang hendak dikatakan itu lucu, tetapi sebenarnya itu gelak teruja sebenarnya. Excited dapat berbual dengan Alan tak habis lagi, iyalah dia dah biasa luahkan perasaan perasaan kepada Alan, layan Alan macam doktor kaunserling personal sendiri. 

What?” Alan tertanya-tanya, tak sabar mendengar cerita Nadia. Di mindanya dia terbayangkan wajah Nadia yang tertawa itu. Senyuman nipis terbentuk di bibir Alan, tangannya mengelus dan menarik perlahan rambut sendiri. Tidak faham dengan apa yang sedang terjadi sekarang, angaukah dia?

“I hampir-hampir jadi bidan terjun.” 

“Hah?”

“Bidan terjun betul-betul bidan. Tadi officemate I dia tiba-tiba nak terberanak. I apa lagi, paniklah. Kami cepat-cepat hantar dia ke hospital, nasib baik sempat sampai kalau dia terberanak dalam kereta tadi I ni jadi doktorlah tadi. Hehehehe…” Nadia bercerita pengalamannya diselang-seli dengan gelak tawa. Alan dihujung talian hanya mendengar sahaja, tubuh yang sedang berbaring di atas katil bulatnya kaku tidak bergerak, cuma tangannya sekala mengelus rambutnya. Nadia juga begitu, cuma dia yang tadi berbaring terlentang sekarang sudah berbaring mengiring di atas rusuk kanannya dengan telefon bimbit dilekapkan pada telinga kirinya. Tangannya kadang-kala memintal hujung rambutnya, melayan perasaan sendiri sambil menyambung cerita penuh tentang apa yang terjadi siang tadi. Berbual bersama Alan seolah-olah terapi terbaik Nadia. Tak kira dikala dia sedih, gembira, atau waktu dia keletihan. 

“Alan you tak kerja ke?” Nadia bertanya setelah habis kisah dia menyelamatkan Ema yang hendak bersalin tu. Bosan pula asyik bercakap pasal diri sendiri, sekali-sekala nak juga mendengar Alan yang bercerita. Alan mengajar dia supaya mendengar orang lain barcakap juga, jangan asyik bercakap dengan diri sendiri sahaja, atau bercakap seorang diri macam orang gila. Dia perlahan-lahan sudah dapat mengubati penyakitnya yang satu itu. 

“Tak ada customerlah.” 

“Tipulah, selalunya time time you dah nak tutup pintu salun pun masih ada orang yang datang masuk.” Sangkal Nadia, dia tidak percaya. Memang selalu begitu, pernah juga kadang-kadang Nadia membatalkan niat dia hendak bertandang ke salun Alan bila melihat betapa sibuk Alan dan pekerja-pekerjanya yang lain dari luar salun. Nadia balik begitu sahaja kerana tak mahu menganggu Alan membuat kerja. 

Alan hanya tertawa, tidak menjawab soalan Nadia.

What’s so funny?” Tanya Nadia berang. Alan terus diam, marah pula si Nadia ni.

Okay, got a couple of customers. Tapi dia orang settle kan.” Alan menjawab. 

“Amboi, mentang-mentang dia bos, curi tulang. Kesian Eddie, Ming dengan Anna kena buli dengan bos macam you.” Nadia mengata Alan. Sedap mulut dia aje nak mengkritik Alan, siang tadi dia sendiri pun ada pasang niat nak curi tulang, nasib Diana tak bagi aje. Tapi bukan nak kutuk sangat pun, saja nak gaduh-gaduh manja dengan Alan. Eh..?

Not everyone come here for my touch. Eddie and Ming both have their own regular customers.” 

“Tapi I pergi salun you sebab you.” Laju sahaja bibir Nadia berkata-kata. Tersedar yang dia terlepas cakap, terus dia terdiam. Alan yang mendengar juga terdiam.

‘Eh, rasanya itu bukan ayat meluahkan perasaan kan? Betullah aku selalu pergi salun tu cari Alan, even kalau aku pergi Clara pun aku tetap akan cari muka Alan juga. Eh? Apa ni.’ Nadia menekup muka sendiri dengan bantal dek malu. Takut pula kalau Alan perasan, sangkakan Nadia tengah syok dengan dia tapi… kalau bukan syok kat Alan, apa sebenarnya ‘perasaan’ ni? Nadia sendiri tak dapat mentafsir perasaan sendiri. 

So… bila you nak datang?” Alan bertanya setelah beberapa ketika mereka sama-sama diam tidak bercakap, cuma mendengar bunyi nafas masing-masing sahaja. 

“Er… emm… besok?” Nadia membalas dengan suara yang tersekat-sekat. Gugup pulak dah…

So… see you tomorrow.” 

“O..oo..okey.” 

Bye.” 

“Babai.” Balas Nadia sebelum dia mendengar talian dihujung sana di matikan. Nadia memejam mata rapat-rapat sebelum mengetuk kepala sendiri. 

‘Ya Allah, janganlah si Alan tu salah faham.’ Bisik hati Nadia. 

  :::

Bye.

Alan mematikan talian selepas mendengar balasan dari Nadia. Dia mencampakkan telefon bimbit di sebelahnya. Tangannya meraup wajah sendiri, kepalanya terasa seperti dihempap batu, pening dan berputar. Tiba-tiba dia terasa tilamnya dihenyak, seseorang turut berbaring di sebelahnya. Alan menoleh melihat siapakah gerangan yang berani berbaring di atas katilnya ini, kalau bukan Brian pasti Clara. 

Ge.. are you in love?” Clara bertanya. Dia memandang siling putih, merenung kosong pada siling itu sambil berfikir sama ada Alan ada perasaan terhadap Nadia. Sedari tadi dia mendengar butir perbualan Alan dengan seseorang di talian telefon. Tak perlu ditanya pun dia tahu siapa, pasti Nadia yang bercakap dengan Alan di hujung talian. Siapa lagi yang akan buat abangnya berbual panjang dengan bahasa rojak melayu dan inggeris. Nadia seorang sahaja kerana Nadia satu-satunya gadis melayu yang paling rapat dengan abangnya buat masa sekarang. Selain Nadia, Alan hanya ada beberapa rakan melayu lain tetapi tidak begitu akrab. Kebanyakan rakan Alan semuanya sebangsa dengannya dan bercakap bahasa mandarin atau kantonis dan kadang-kala bahasa inggeris bila bercakap dengan Alan.

I don’t think so.” Alan membalas persoalan Clara tanpa banyak pertimbangan.  

Are you sure?” Clara bertanya lagi. Dia dapat rasakan yang layanan Alan terhadap Nadia lain dari lain, lebih dari biasa. Sudah lama Clara tidak melihat abangnya melayan mana-mana perempuan sebegini, caring, baik, mesra. Dan itu bukan atas dasar simpati semata-mata, Nadia sudah pun melalui dan meninggalkan era sedih yang memerlukan simpati orang. Nadia sudah pun bangkit dari kekecewaannya, dan Alan masih melayan Nadia dengan baik. 

Ye..yeah.” Alan sedikit gagap menjawab soalan itu, kerana dia sendiri tak dapat menetapkan hatinya. 

Okay then.” Clara memilih untuk berpuas hati untuk jawapan itu buat sekarang. Rasanya keadaan abang sulungnya ini belum masuk ke tahap ‘membimbangkan’, mungkin Alan ada perasaan terhadap Nadia tetapi perasaan itu belum berkembang. Secara jujurnya bukan Clara tidak suka pada Nadia, dia sangat suka Nadia, sangat selesa berkawan dengan Nadia apatah lagi kalau Alan suka akan Nadia dan bercinta dengan Nadia pasti mereka akan lebih rapat. Clara suka kalau itu berlaku, dia cuma bimbang kalau benar Alan jatuh cinta dengan Nadia, Clara bimbang cinta Alan dan Nadia tidak ada masa depan mahupun penghujung. 

::::
~bersambung~
an: pukul 3 pagi, saya kat sini update dua chapters untuk anda. Assalamualaikum, apa habaq hangpa semuaaaaaaaaaaaaaaa????? miss me?? hahaha... maaf minggu lepas menghilang so adik saya kena take over tolong update, harap berpuas hati dengan update kali ini.. dua bab tau..hehehe.. 
kalau ada salah silap harap dimaafkan, its 3am babe.. 
jangan lupa like g+ reaction clicks okey :D sayang anda semua. 

btw, announcement sikit. Himpunan mini novel terbitan October Love yang ada dua mini novel dari saya, Blind Item - qeuu, dan adik saya, Miracles In December - MinZhee (sebab tu mini novel ni dah tak ada di blog, cuma ada bannernya saja), sudahpun dibuka ordernya. 


Boleh mula order dari page October Love. Kalau nak beli dari saya, saya cuma ada 2 copy sahaja (tapi tak sampai lagi), siapa cepat dia dapat. Kalau ramai yang nak beli dari kami juga, mungkin lambat sikit.. sebab nak ambil stok masa pesta buku 1Malaysia (kalau ada lagilah, sebab ini limited edition) disember ni. 

4 comments: