Followers

Friday, May 27, 2016

**Cairkan Hati Beku Dia** 03

   

**03**

~Good Girl Bad Girl~

“Andrea… Ann, bangun!”

Hanna tersedar apabila sayup-sayup terdengar seperti suara mamanya menjerit memanggilnya bangun. Hanna terkebil-kebil sebentar, kemudian dia kembali menyambung tidurnya. Mungkin dia bermimpi kut sebab sekarang kan dia dah ada dekat kolej, mananya nak datang suara mama pula?

Sedang dia sedap nak menyambung lena, tiba-tiba terasa punggungnya ditampar, kuat lah juga sampai dia terkejut dan bangun terduduk di atas katil. Terpinga-pinga dia dibuatnya. Setelah seketika mengerdip-ngerdipkan matanya, baru dia nampak dengan jelas gerangan yang sudah berdiri di hadapannya itu. Melopong luas mulutnya.

“Eh mama! Macam mana mama ada dekat sini?” Tergagap-gagap suara Hanna bertanya, rasa terkejutnya masih menebal sebab tu jadi gagap pagi-pagi macam ni.

Hanna tidak mendapat jawapan yang dikehendakinya, sebaliknya dia mendapat sebuah tamparan di lengannya. Terus dia mengaduh.

“Apa ni mama? Sakit lah.” Rungut Hanna tidak berpuas hati.

“Memang patut pun kena. Apa yang kamu merepek pagi-pagi ni Andrea oi?”

“Iye lah, macam mana pula mama boleh ada dekat kolej Ann ni?” Hanna masih mamai dan tidak sedar apa yang sedang berlaku sekarang ini.

“Ya Allah… Tidur dah nak sampai tengahari dah, boleh dia mamai lagi? Ann, Ann…” Puan Anida sudah menggeleng-gelengkan kepalanya dengan kerenah anak perempuan dia yang seorang ini. Pening kepalanya!

Setelah seketika, baru lah Hanna betul-betul tersedar. Dia berada di rumah rupanya! Cis, buat lawak pula pagi-pagi ni. Boleh dia mamai sampai tak ingat yang dia dah balik ke rumah dan bukan berada di kolej.

“Dah sedar dah?” Soal Puan Anida penuh sarkastik. Hanna hanya mengangguk-angguk perlahan sambil tayang sengih kambing.

 “Pergi mandi sekarang. Anak dara apa tidur sampai nak ke tengahari ni?” Puan Anida sudah mula membebel. Hanna pula sudah melangkah ke penyidai untuk mengambil tuala. Kalau ikutkan hati memang nak aje dia sambung tidur, matanya masih berat. Semalam dia bantai baca novel entah sampai pukul berapa pagi. Tapi kalau nak dengar mama dia membebel tak berhenti-henti, cuba lah buat tengok.

“Lepas mandi, turun bawah makan.” Hanna terdengar suara Puan Anida lagi sebelum pintu bilik air habis ditutupnya.

“Baik mama…”

Pintu bilik air ditutup sepenuhnya dan Hanna mula membersihkan diri.

*~*~*~*

“Mama masak apa pagi ni?” Ceria suara Hanna menyoal mamanya sambil tangan menarik kerusi meja makan kemudian punggung dilabuhkan di situ.

“Nak makan pagi ke? Dah masuk pukul 12 dah ni, Ann makan tengahari terus lah kut?” Tutur Puan Anida sambil mengerling jam yang tergantung di dinding.

“Mama dah siap masak tengahari ke?” Hanna memandang Puan Anida yang ligat mengemas meja makan itu.

“Hmmm, kalau dah nak makan tu boleh lah. Semua dah siap dah tu.” 

Hanna hanya mengangguk-angguk perlahan. Puan Anida kalau bab memasak memang laju!

“Rissa mana ma?” Hanna tiba-tiba teringat dengan adik bongsu dia tu. Sunyi semacam aje rumah, dah sah-sah dia tak ada.

“Dia pergi tuisyen, kejap lagi balik lah tu. Ann nak makan sekarang ke? Pergi ambil dekat dapur. Mama tak hidang pun lagi.”

Terus mulut Hanna membentuk huruf ‘O’. Lupa pula yang adik bongsu dia bakal mengambil peperiksaan SPM beberapa bulan dari sekarang. Memang lah tak lekat dekat rumah masa hari minggu sebab sibuk dengan tuisyen sana-sini.

“Tak apa lah, Ann tunggu Rissa dengan papa balik.”

“Ann nak ikut mama pergi butik tak petang ni?”

“Errr, macam malas aje… Hehe…” Hanna tayang gigi. Bukan buat apa pun kalau ikut mama dia, baik dia duduk rehat dekat rumah aje.

“Hmmm, iyelah. Ikut suka kamu lah.”

Malas Puan Anida mahu memaksa Hanna, bukan dia tidak tahu yang anaknya yang seorang ini memang liat kalau nak diajak ke butik.

*~*~*~*

“Andrea tengok apa tu?”

Hanna mengalihkan tumpuannya daripada kaca televisyen apabila terdengar suara mamanya. Dia lihat kelibat Puan Anida perlahan-lahan menghampirinya.

“Tak ada apa pun, bosan je ni…” Sejak tadi dia hanya sekadar menonton begitu-begitu sahaja pun,tiada apa yang menarik perhatiannya.

“Ann balik ahad ni kan?” Puan Anida tiba-tiba menyoal lagi setelah dia melabuhkan punggung di sebelah anak gadisnya itu.

“Hmmm… Yup.” Laju Hanna menjawab tetapi mata masih setia di kaca televisyen.

“Kejap aje kan, dah separuh semester Ann belajar dekat situ…”

Hanna kembali menoleh pada mamanya apabila dia terdengar lagi Puan Anida bersuara.

“Itu lah, rasa macam baru semalam aje Ann daftar.” Hanna mengiyakan sambil tertawa kecil. Tidak sangka, dalam antara rela tidak rela sahaja waktu dia mahu mendaftar dulu, sekarang sudah masuk separuh semester pengajiannya di situ.

So far Ann okey belajar situ?” Puan Anida mengambil peluang untuk mengorek cerita daripada anak gadisnya itu. Baru malam ini dia sempat berbual panjang dengan anak gadisnya ini, sepanjang minggu dia sibuk dengan kerja di butik miliknya sampaikan masanya benar-benar terhad.

Sebenarnya dia selalu risaukan anaknya yang seorang ini, dia takut anaknya kembali kepada perangai lama, itu yang paling dia risau. Walaupun Hanna sudah berjanji tidak akan mengulanginya tetapi benda begitu bukan boleh dijangka, tambahan pula anaknya seorang diri di bandar besar begitu, macam-macam pula godaan yang boleh menarik dia ke jalan yang tidak betul.

“Hmmm… Boleh laa…” Hanna hanya menjawab acuh tidak acuh sahaja. Pasal kehidupannya di universiti itu sebenarnya tidak ada apa yang menarik sangat pun untuk diceritakan. Pergi kuliah, balik bilik, esok pergi kuliah balik. Setakat ini memang agak membosankan juga.

You are doing good right? All these while…?” Puan Anida berkias dengan maksud yang sangat mendalam.

Hanna menghela nafas berat dengan pertanyaan mamanya itu.

Ma… I’ve promised you right? I will keep my promise.”

“Mama bukan apa, Ann dekat sana seorang diri. Dengan macam-macam godaan lagi. Mama tak nak Ann jadi macam masa dekat Asasi dulu ya…” Tegas Puan Anida memberikan kata amaran.

Spontan Puan Anida teringatkan perangai Hanna yang tiba-tiba berubah liar semasa dia belajar di Asasi dulu. Hanna yang selama ini anak yang baik dan mendengar kata, tiba-tiba berubah menjadi kasar dan liar, dia selalu memberontak. Alangkah luluhnya hatinya apabila mendapat tahu yang Hanna selalu menyelinap keluar pada waktu malam dan berlibur di kelab-kelab malam di sekitar Kuala Lumpur, malah di Ipoh ini juga dia liar dan ligat. Berbuih mulutnya membebel dan marahkan perangai Hanna tetapi Hanna hanya buat tidak tahu sahaja.

Akhirnya dia dan suami mengambil keputusan supaya Hanna meneruskan pengajiannya di universiti tempatan sahaja kerana mereka takut jika dihantar budak itu ke luar negara, makin menjadi-jadi perangainya nanti. Dan Puan Anida bersyukur apabila ketika Hanna mahu mula melangkah ke menara gading, hatinya kembali lembut. Dia mahu mendengar kata dan kembali berubah. Dia berjanji yang dia tidak akan lagi leka dengan dunia malamnya.

“Setakat ni Ann tak ada masuk club lagi ma… Jangan risau.” Hanna memberikan kepastian.

Hanna ingat lagi…

Sebelum dia melangkah ke universiti, mama ada datang dan bercakap dengannya, lama mereka bersembang. Malam itu, hatinya begitu tersentuh apabila mama meluahkan rasa kecewanya dengan perangai liarnya sebelum ini. Sejujurnya Hanna sungguh menyesal. Sedikit pun tidak terdetik di hatinya untuk mengecewakan ibu bapanya tetapi hatinya yang terluka itu selalu mahu memberontak. Dia tidak mahu lagi menjadi girl next door yang akhirnya hanya ditipu dan ditindas, jadi dia mengambil keputusan untuk berubah se-drastik itu.

“I’m glad that my sweet and lovely daughter is back…” Suara Puan Anida yang tiba-tiba bergema mengembalikan Hanna ke alam nyata. Hatinya cukup tersentuh apabila melihat senyuman di wajah mamanya. Perlahan-lahan Hanna turut tersenyum.

“Insya- Allah ma, I will keep what I’ve promised to you and papa.” Hanna cuba meyakinkan mamanya, tangannya sudah memaut lengan Puan Anida dan spontan kepalanya dilentokkan di bahu mamanya itu.

“Good girl…” Tangan Puan Anida sudah naik dan mengusap-usap lembut rambut lurus milik anak gadisnya itu. Besar harapannya untuk melihat ketiga-tiga anak gadisnya berjaya dan menjadi orang yang membanggakan mereka sekeluarga. Doanya tidak pernah putus untuk anak-anaknya.

*~*~*~*~*~*

No comments:

Post a Comment