Followers

Friday, May 27, 2016

**Cairkan Hati Beku Dia** 04


**04**

~Kawan Rare~


“Hey, Hanna…”

Hanna yang sedang leka dengan Ipadnya mengangkat kepala apabila terdengar ada suara yang menegur. Tetapi apabila terpandangkan kelibat yang menghampiri, cepat sahaja wajahnya berubah riak, bosan!

“Hai…” Hendak tidak hendak sahaja Hanna membalas sapaan lelaki itu.

“Tak sangka jumpa you dekat sini. Baru balik dari rumah ke?” Ceria suara Hakim bertanya pada Hanna. Selamba dia melabuhkan punggung di tempat kosong sebelah Hanna. Sumpah dia langsung tidak sangka yang mereka akan berjumpa di Stesen LRT Plaza Rakyat ini (masa ni Stesen Bas di Pudu masih wujud lagi). Kuat juga jodoh mereka. Ahaks!

“Hmmm… Ha’ah, baru sampai.”

“Bagus lah, kalau macam tu boleh balik sekali dengan I…”

“Errr…”

Hah, ini yang Hanna malas ni. Ada sahaja yang nak menempek, sumpah dia tak selesa! Lama dia berdiam, kemudian baru lah dia bersuara.

“Hmmm… Ye lah.” Akhirnya dia bersetuju sahaja. Lagipun sudah memang mereka berdua menuju ke destinasi yang sama. Macam tak patut lah pula kalau dia menolak.

“Lama I tak nampak you, rindu…” Perlahan sahaja Hakim berbisik dekat dengan Hanna membuatkan Hanna bergerak ke belakang sedikit.

Hesy, memang lah dia alergi dengan Hakim yang suka keluar ayat romeo dia tu. Nasib baik Hanna tak ada terfikir nak buat balik perangai lama dia, kalau tidak dah lama dia buat-buat layan si Hakim ni, lepas tu selamat dia buat lelaki ni jadi ‘kuli’ dia.

Lambat-lambat, Hanna melepaskan keluhan. Diri sendiri terasa macam nak kutuk perangai tak berapa nak bermoral dia dulu. Selamba sahaja dia ‘mengkulikan’ lelaki-lelaki yang berminat padanya padahal dalam hati sedikit pun tak pernah terdetik nak terima siapa-siapa. Seronok dia dilayan bagai permaisuri tanpa ada sedikit pun rasa bersalah dalam hati.

“Look, Hakim right?” Soal Hanna kemudian jeda sebentar, sengaja dia bertanya menginginkan kepastian, dia pun ingat-ingat lupa sahaja nama lelaki ini.

Wow, you remember my name… Terharunya…” Ujar Hakim ceria seraya mengenyitkan matanya tanda suka.

Urgh, whatever. Ni, boleh tak you duduk jauh sikit? I rimas lah you asyik nak menempel aje.” Tanpa memperdulikan perasaan Hakim, selamba sahaja Hanna menyemburnya tanpa belas kasihan membuatkan wajah Hakim berubah riak.

Akur dengan permintaan Hanna, Hakim menjarakkan kedudukan mereka. Walaupun sedikit terasa hati tetapi dia tetap menghormati permintaan Hanna. Nampaknya strategi memikat cara romeo dia tidak berjaya menarik minat Hanna dan mungkin dia perlu mengubah strategi memikat yang lain pula. Hanna memang kebal!

I’m sorry okay.” Dengan rendah diri Hakim memohon maaf. Dia sedar silapnya.

Hanna hanya mengangguk sahaja. Kadang-kala memang perlu berterus-terang sahaja daripada diri sendiri rasa tidak selesa, kan?

By the way Hanna, you told me to find all your social media site and everything... I did it, tapi you tak pegang janji you. You tak approve request I pun?” Setelah seketika berdiam diri, Hakim membuka mulut lagi. Dirinya memang bukan jenis lelaki yang cepat berputus asa, memang bukan gayanya lah jika mengalah begitu sahaja.

Hanna yang baru sahaja ingin menenangkan diri tadi kembali panas hati, tidak nampak kah lelaki itu dengan petunjuk-petunjuk yang diberinya? Rasanya dia tidak ada kias-kias, terus dia jalan straight sahaja tanpa belok-belok! Hanna sekali lagi menghela nafas berat sebelum bersuara.

Okay look, I tak nak cakap benda ni tapi since you yang mulakan so I rasa tak perlu lah I nak teragak-agak. You ni memang tak faham ke saja buat-buat tak faham kenapa I tak approve you? It’s kinda obvious right?” Hanna jeda sebentar sebelum kembali bersuara.

“I malas nak sakitkan hati you, tapi biar I cakap straight je dengan you, okey? For now, I memang tak berminat nak berkawan dengan you kalau you keep chasing me like this. Please lah, I geli okey.” Suara Hanna lembut sahaja tetapi kejengkelannya sangat terserlah. Kemudian dia kembali menyambung kata.

  “Tapi kalau you nak jadi kawan I macam orang lain… I mean just kawan biasa macam orang lain, sekarang juga I boleh approve you dekat semua tempat tu.” Hanna mengangkat kening sambil membuka Ipadnya dan ditayangkan di hadapan Hakim. Manakala Hakim pula tidak beriaksi, terkaku sahaja dia di situ.

Hanna mengerling sekilas, dia nampak wajah Hakim yang berubah. Dia tersengih senget, sinis. Ya, dia tahu kata-katanya agak kejam. Tapi Hanna adalah Hanna, mana dia pernah nak fikir pasal perasaan orang lain. Dan bila dah kata nak pikat dia, kalau yang ni pun tak boleh terima, memang satu percen pun Hakim tak layak untuk dia!

“You fikir-fikirkan lah ye Hakim… I ni sentiasa terbuka nak berkawan dengan sesiapa saja, including you. Hah, by the way… I tahu you ni pun saja nak test market dengan I. Bukan nak serius pun! So why don’t we just proceed as normal friend? And you boleh try test market you dengan orang lain, okey?” Hanna bersuara selamba sebelum menutup Ipad dan mengangkat begnya lalu terus berdiri untuk menunggu di hadapan, membiarkan Hakim yang masih terkedu itu di situ.

Hanna yang sudah berdiri di hadapan untuk menunggu tren yang masih tidak kunjung tiba itu masih lagi tersenyum senget. Permainan lelaki yang suka ‘test market’ macam Hakim ni macam lah Hanna tidak tahu. Dia memang sudah arif lah! Tapi apa yang dia tak boleh tahan sangat adalah cara Hakim yang terlebih ‘romeo bergula’ sampai buat dia rasa mual! Sebab itu dia cepat-cepat ‘caras’ langkah Hakim, sebelum dia betul-betul termuntah nanti!

Bunyi tawa kecil membuatkan Hanna kalih muka dan pandang tepi. Hakim sudah berdiri di sebelahnya. Hanna tidak beriak, dia masih bersikap selamba.

“You ni terlalu kebal lah Hanna. Cool sangat! I surrender. So, friend?” Hakim sudah menghulurkan tangan kanannya untuk berjabat tangan. Senyuman di bibirnya tersungging cantik.

Awalnya memang dia terkesima, pertama kali dia bertemu dengan gadis yang begitu lantang bersuara dan menolaknya mentah-mentah begini. Tetapi dia terlalu kagum dengan keselambaan Hanna sampai dah tak boleh nak terus-terusan rasa terkejut lama-lama. Rugi rasanya kalau dia melepaskan peluang untuk berkawan dengan gadis se-cool Hanna, dalam 10 mungkin hanya ada 1!

Hanna juga tersenyum. Nampaknya Hakim ni pun boleh tahan cool. Tak ada lah nak sentap lama-lama lepas kena sound tadi. Boleh jugak buat jadi geng!

Pada waktu yang sama, LRT yang ditunggu sejak tadi sudah mula kelihatan dan datang mendekat. Hanna sudah berpusing untuk mengadap Hakim. Senyuman di bibirnya masih melebar.

“Sure… Of course no problem… Friend!”

Hanna selamba menyerahkan beg di tangannya ke tangan Hakim yang masih tergantung di hadapannya untuk bersalaman tadi apabila dia menyebut perkataan ‘friend’. Kemudian dia terus melangkah masuk ke dalam LRT dengan senyuman yang masih melebar. Sengaja dia mengenakan Hakim lagi.

Hakim yang sudah tercengang apabila beg Hanna berada di tangannya hanya mampu tertawa selepas itu. Dia menggeleng-geleng perlahan sebelum turut melangkah masuk ke dalam LRT mengikut langkah Hanna. Selamba sangat ‘kawan’ baru dia tu!

*~*~*~*~*~*

Hanna yang sedang sibuk membelek buku rujukannya mengalihkan pandangan sebentar apabila telefon bimbitnya bergetar.

Kat mana?

Mesej Whatsapp daripada Hakim rupanya. Dengan laju jari Hanna bergerak dan membalas mesej tersebut. Malas nak layan Hakim lama-lama.

Library.

Lepas itu terus Hanna simpan semula telefon bimbitnya ke dalam Tote Guess miliknya. Mesej balasan yang diterimanya daripada Hakim selepas itu semuanya dia tidak layan. Hanna hanya menumpukan perhatiannya pada buku di tangan sahaja.

“Auch! Damn… it…” Sepantas kilat Hanna pusing kepalanya, ingin mencari gerangan yang telah membuatkan dia mengaduh dan terkeluar ayat kurang sopan itu tadi.

Hakim sedikit pun tidak gerun dengan renungan tajam Hanna, selamba dia menarik kerusi di sebelah Hanna dan meletakkan buku yang digunakan untuk mengetuk kepala gadis itu tadi di atas meja.

“Padan muka! Whatsapp bukan reti nak balas.” Hakim menyembur Hanna, membuatkan gadis itu menjulingkan mata ke atas.

Hey Mister, I’m in the library okay! Berlambak kerja berfaedah I boleh buat daripada layan Whatsapp you!”

“Sejak bila jadi nerdy boleh lepak dalam library ni?” Sengaja Hakim memulangkan paku buah keras pada Hanna. Sebelum ini kalau dia ajak Hanna duduk dalam perpustakaan mesti dengan nada dingin dan tanpa kompromi akan ditolak oleh gadis itu. Tak kuasa nak jadi budak nerd katanya. Ceh!

“I jejak kaki masuk library ni untuk cari material untuk assignment I lah bro, bukannya ada niat lain macam you…” Balas Hanna selamba sambil mata tidak lepas membaca butiran di dalam buku dihadapannya itu.

Hakim hanya mampu tersenyum kambing apabila diperli begitu. Iyalah, dia terima. Sebab kalau kena mood gila dia tiba-tiba nak masuk perpustakaan tu, alamatnya bukan sebab niat yang betul tapi hanya sekadar nak cuci mata! Dia ni macam dah lutsinar bila depan Hanna, semua pun Hanna boleh baca!

“Dah sampai dah Abang Hakim? Lama dah sampai?” Suara Neesa yang menegur membuatkan Hanna dan Hakim serentak mengangkat kepala dan menumpukan perhatian pada gadis itu.

Owh. Patut lah senang sahaja Hakim mencari mereka di sini. Pastinya dia bertanya pada Neesa pula setelah Hanna tidak melayan semua pertanyaan Hakim di perbualan Whatsapp mereka sebentar tadi. Ingat senang nak pakai cari sahaja dalam perpustakaan ni, sudah lah ada dua bangunan, A dan B, bukan setakat setingkat pula tu.

“Baru je.” Jawab Hakim pendek. Tangannya laju mengambil buku-buku yang agak banyak di tangan Neesa dan terus letak di atas meja.

Thank you Abang Hakim…

Hakim hanya membalas dengan senyuman kecil.

“Hmmm… Sejuk telinga ni dengar Neesa panggil I macam tu. You ni Hanna, bila lagi nak panggil I macam tu?” Kini tumpuan Hakim beralih semula pada Hanna yang sejak tadi tidak berminat mencampuri perbualannya dengan Neesa.

“Eh dia ni…” Buntang sedikit mata Hakim apabila melihat gadis itu sudah mencebik dan menayangkan wajah jelik, sejeliknya. Nak kata geli sangat lah tu! Manakala Neesa pula sudah tertawa.

“Memang patut pun you panggil I abang. I tua banyak daripada you kut…” Hakim masih tidak mahu mengalah.

No doubt. Memang you tua pun…” Balasan Hanna kali memang sengaja nak menambahkan rasa bengang Hakim.

Akibatnya, Hanna menerima jentikan halus di telinganya. Mencerlung terus matanya, Hakim pula buat muka tidak bersalah, manakala Neesa sudah tergelak tapi dia cuba mengawal suaranya kerana mereka masih berada di dalam perpustakaan.

“Brutal sangat lah you ni…” Akhirnya Hakim mengalah dengan perangai hati kering Hanna, main paksa pun bukannya memberi kesan pada gadis itu.

“Entah kau ni Hanna. Abang Hakim ni kan senior kita. Tak manis lah panggil nama je.” Kali ini Neesa pula bersuara.

Namun, Hanna tetap buat-buat tak layan. Dia bukan macam Neesa yang sopan dan manis. Neesa ni semua senior lelaki dia boleh panggil ‘abang’. Kalau Hanna… Tolong lah… Belum nak sebut dia sudah nak termuntah. Dengan kawan lelaki dia lebih selesa ber ‘kau’, ber ‘aku’ sahaja. Tidak pun, nak lebih sopan dia ber ‘I’ dan ber ‘you’.

Hakim sudah buat muka teruja dengan jari telunjuknya naik ke atas dan ke bawah laju-laju apabila Neesa mengeluarkan ayat yang menyokong dia.

“Betul tu… Ini lah yang kita mahu. Adik-adik junior yang berhemah dan sopan santun. Bagus Neesa ni, ni yang abang sayang lebih ni.” Hakim menyegih lebar dan mengenyit mata pada Neesa yang duduk bertentangan itu.

Hanna yang melihat, sekali lagi juling mata ke atas. Lama-lama mahu juling terus mata dia sebab selalunya buat aksi juling mata ke atas tu!

“Senior beza setahun je pun… Over! Kau pun aku tak panggil kakak, kejadah aku nak panggil mamat ni abang? Tak kuasa aku! Geli okey!” Rungut Hanna lagi.

“Ewah-ewah dia ni… Ada yang nak kena ketuk kepala lagi sekali nampaknya ni.” Hakim sudah bersuara tidak puas hati. Alah acah-acah aje pun!

“Dah lah tak payah nak berdrama sangat dekat sini. Jom lah balik. Kita pinjam aje lah buku-buku ni Neesa. Naik lemau dah aku duduk lama-lama dalam library ni.” Usul Hanna. Tangannya yang tadi laju mencatat sesuatu pada buku nota terus berhenti dan dia menutup pennya kemas. Kemudian ligat pula dia mengemas buku-buku yang agak berselerak di atas meja itu.

“Aik, I baru sampai ni kut. Dah nak balik dah?”

“Alah you tu bukan nak study pun, setakat nak bersembang merepek rasanya dekat sini memang tak sesuai langsung. Better kita keluar.” Selamba Hanna menembak Hakim sedas.

“Oloo… Tak sempat nak cuci mata.” Hakim merungut-rungut manja, tapi tangan rajin aje tolong kemas barang junior-junior kesayangannya dia tu.

“Tengok, dah tahu dah you datang sini nak menggedik. Dah, jom balik.” Laju kaki Hanna melangkah ke arah mesin peminjam buku automatik untuk meminjam buku sebelum ketiga-tiga mereka melangkah keluar daripada perpustakaan.

“Korang dah free kan sekarang? Jom lepak malam ni…” Hakim mengajak. Akhirnya baru Hakim teringat tujuan utama dia mencari Hanna dan Neesa di sini. Banyak sangat mengarut sampai terlupa motif utama.

“Lepak kat mana?” Tanya Neesa.

“Jom pergi Alamanda. Kita tengok wayang.”

“Kita aje ke?”

“Macam biasa lah… Geng abang dengan geng korang lah.” Sejak Hanna dan Hakim sudah berdamai dan mengambil keputusan untuk berkawan, mereka memang ‘kamceng’! Geng Hakim dan geng Hanna memang satu kepala, selalu aje mereka lepak sama-sama.

“Yang berdua tu kena seru dulu lah, tanya macam mana. Hanna kau on ke tak?” Neesa mengubah tumpuan pada Hanna yang sejak tadi tidak memberi sebarang respon. 

Belum sempat Hanna memberi jawapan, namanya dipanggil-panggil dari belakang. Serentak ketiga-tiga mereka kalih mencari suara yang memanggil. Ternampak seorang lelaki sedang melambai-lambai pada Hanna dan dia berjalan ingin menghampiri mereka bertiga.

“Errr, kejap eh… Aku jumpa kawan kejap.” Hanna cepat-cepat meminta diri dan terus meninggalkan Neesa dan Hakim di situ. Sebelum lelaki itu sampai ke tempat mereka, Hanna terlebih dulu melangkah laju menghampiri lelaki itu.

“Siapa tu?” Hakim bertanya pada Neesa. Mereka berdua masih memerhati Hanna yang sedang membuat sesi jejak kasih dengan lelaki itu. Mesra sahaja cara Hanna melayannya.

“Entah lah bang. Neesa tak pernah nampak pulak. Kawan lama dia agaknya.” Neesa sendiri pun tidak pasti.

“Kalut semacam aje abang tengok Hanna tu. Macam saja tak nak kenalkan kat kita je.” Komen Hakim tiba-tiba.

“Hmmm… Macam abang tak tahu Hanna tu, dia tu misteri. Banyak rahsia.” Neesa kenal kawannya yang seorang itu. Walaupun Neesa boleh dikatakan adalah rakan Hanna yang paling rapat tetapi Neesa tahu, masih banyak rahsia yang Hanna simpan sendiri. Mungkin bagi Hanna, semua itu terlalu peribadi yang tidak mahu dikongsinya. Dan jika sudah Hanna tidak mahu bercerita, Neesa pun tidak kisah, dia pun rasa tidak perlu untuk dia tahu. Sebab itu lah mereka boleh melekat berdua. Kedua-duanya, masing-masing boleh menerima perangai dan fi’il masing-masing.

Sorry lambat sikit. Jom lah…” Hanna yang sudah kembali mengajak mereka untuk meneruskan perjalanan. Ketiga-tiga mereka kembali bergerak untuk menuju ke kereta Hakim.

“Siapa tu Hanna?” Sengaja Hakim bertanya, cuba melepaskan umpan untuk memancing Hanna bercerita. Alah, bukan selalu nak jadi busy body kan!

“Oh tu, kawan biasa je. Kawan atas kawan. Tak sangka pulak dia pun belajar sini.” Hanna hanya memberitahu maklumat ringkas, tidak bercadang mahu cerita lebih-lebih.

Fuhh, nasib baik tadi dia terlebih dahulu melangkah menghampiri Izz sebelum sempat lelaki itu datang pada mereka. Izz itu memang dia kenal atas kawan, di kelab malam pula tu. Dulu pernah lah bertegur sapa dua tiga kali. Tidak sangka langsung dia boleh terjumpa lelaki itu di sini. Kalau dah nama pun berkenalan di kelab malam dulu, memang bila jumpa balik pun topiknya nak ajak pergi lepak kelab malam jugak lah! Hanna tahu sangat, sebab tu dia lari dulu tadi.

Hanna buat semua ini bukan lah sebab dia ingin tampil baik dan berlagak suci di hadapan kawan-kawan barunya. Tapi perangai tidak semurni mana yang dia pernah ada dulu rasanya tak perlu lah kut dia hebah-hebahkan pada kawan-kawannya sekarang. Bukannya membanggakan pun!

Lagipun kalau boleh memang Hanna nak pisahkan kawan-kawannya yang stok kelab malam dan kawan-kawannya yang stok jenis baik-baik ni. Tak elok kut rasanya kalau dia nak campur aduk kan mereka semua, nanti tak pasal-pasal yang baik-baik ni terpengaruh jadi tak baik, naya pula nanti!

Hakim pun tidak terkecuali sebab dia tahu perangai Hakim macam mana, walaupun Hakim ni agak ‘gatal’ dan ‘nakal’ tapi perangai dia macam tu ajelah. Dia tetap baik dan tak pernah lah pula Hanna tengok Hakim ni buat perangai lebih-lebih. Kalau ada pun, itu masalah dia lah kan, yang penting Hanna tak pernah tahu dan tak pernah lihat depan mata.

“Weh, kau melayang pergi mana tu? On ke tidak? Budak berdua tu dah on.” Suara Neesa yang tiba-tiba bergema kembali menyedarkan Hanna. Dia yang tadinya mengelamun sedikit tersentak.

“Apa yang on tak on ni?” Soal Hanna terpinga-pinga.

“Lah, tengok wayang tadi tu lah…”

“Ooo… Emmm, tak kut. Aku penat lah. Nak balik rehat. Lagipun aku nak habiskan novel yang aku baru beli ni.” Hanna menolak seraya menunjukkan novel di tangannya yang dikeluarkannya daripada beg sejak mereka masuk ke dalam kereta tadi. Kononnya nak baca, tapi sebenarnya mengelamun sahaja lebih!

 “Loh, rela terperuk dalam bilik baca novel daripada pergi tengok wayang?” Hakim pula bersuara. Pelik dengan perangai Hanna yang satu itu, yang mana kadang-kadang dia rasa langsung tak sesuai dengan personaliti Hanna.

“Tak ada mood lah nak keluar. ”

“Abang tak payah lah pelik sangat dengan dia ni. Kalau mood pemalas nak keluar dia tu tengah on, pujuk lah macam mana pun, tak kan jalan punya.” Neesa menambah lagi.

“Tu lah, abang pelik dengan kawan Neesa yang seorang ni. Rasa-rasa Neesa lah kan, sesuai ke novel cinta yang sweet mweet tu dengan Hanna yang dingin macam kutub utara tu? Macam tak match kan?” Soal Hakim sambil tertawa.

Neesa turut sama ketawa dengan usikan Hakim itu. Hakim memang sejak dulu suka mengusik Hanna yang gemar membaca novel-novel cinta. Ada sahaja yang nak dibahannya.

Hanna pula hanya diam, tidak kuasa mahu membalas usikan Hakim itu. Kalau kena usik dengan Hakim tu tak payah nak layan sangat, nanti pandai lah dia bosan sendiri. Lagipun macam yang mereka cakap tadi, Hanna ni kan dingin macam ais kutub utara! Mana dia nak terkesan dengan usikan begitu. Tak goyah langsung lah!

*~*~*~*~*~*

      

P/S: Jangan lupa hit the like button and give the reaction box below a click okay... 

And.... And... And... Leave me your comment too... :)

Luv,

Zhee

No comments:

Post a Comment