Followers

Thursday, July 14, 2016

**Cairkan Hati Beku Dia** 06

    
   
   **06**

~Hanna yang sombong~

Hanna berjalan lemah masuk ke dalam terminal Amanjaya. Hari ini dia perlu pulang ke universiti semula kerana cuti semester akan tamat dan semester baru bakal bermula dua hari lagi. Saat begini lah yang paling dibencinya kerana perlu pulang semula ke universiti dan perlu berpisah dengan keluarganya. Hanna mengeluh di dalam hatinya, cuti semesternya selalu sahaja berlalu dengan cepat sekali. Terasa tidak puas sahaja mahu menghabiskan masa di rumah.

Lebih menambahkan kemalasannya hari ini, nampaknya dia memang tidak dapat mengelak, mama sudah lebih awal bertindak dan dia terpaksa mengikut juga cadangan mamanya untuk pulang bersama entah siapa-siapa itu! Huh, sungguh lah dia tidak suka!

 “Han… Sorry lah auntie lambat sikit. Lama dah tunggu? Ibu Han mana?” Puan Anida memulakan bicara. Tangannya pula sudah dihulurkan untuk bersalaman dengan Subhan.

Manakala Hanna pula sejak tadi hanya diam tidak berkutik, dia hanya mendengar sahaja mama dan Arissa bersembang-sembang dengan lelaki yang bernama Subhan itu. Tidak ada ura-ura mahu beramah mesra dengan lelaki itu. Nak pandang pun dia tidak mahu apatah lagi nak beramah-mesra! Tak teringin!

“Ibu pergi tandas kejap. Eh, tak apa lah. Bas pun tak sampai lagi.”

Apabila mendengar lelaki itu bersuara, baru lah Hanna memanggung sedikit kepalanya dan alangkah terkejutnya dia apabila matanya menangkap kelibat lelaki yang berdiri di sebelah mamanya itu. Spontan mulutnya melopong dan anak matanya membesar!

‘Mamat mulut jamban tak flush tu rupanya!’ Hanna sudah terjerit di dalam hati. Sekadar di dalam hati sahaja lah yang mampu, tidak mahu lah dia buat kecoh pasal yang dia memang sudah pernah terjumpa dengan mamat itu sebelum ini. Nanti tidak pasal-pasal jadi isu sahaja!

Tetapi lain pula pada lelaki itu, dia sedikit pun tidak terkejut apabila bertentangan mata dengan Hanna. Siap boleh layangkan senyum seksi lagi. Hanna tahan sahaja perasaannya sekarang, kalau lah ahli keluarganya tiada di sini memang sudah lama dia semburkan api naganya pada lelaki itu!
Tidak lama kemudian, Tengku Sarimah yang pergi ke tandas tadi kembali semula dan menghampiri mereka. Hanna lihat mamanya begitu teruja apabila berjumpa dengan Tengku Sarimah itu, iyalah dengar katanya kawan dah lama kan? Mesti lah excited!

Arissa juga begitu sopan bersalaman dengan Tengku Sarimah, tidak ketinggalan juga Hanna. Dia mencapai tangan Tengku Sarimah dan menciumnya hormat, senyuman di bibirnya dilebarkan sehabis mungkin, tidak mahu digelar budak tidak beradab.

Mama mereka dan Tengku Sarimah begitu meriah berbual sementara menunggu ketibaan bas mereka. Hanna hanya berdiri kaku di sebelah Arissa, Subhan pula hanya menjawab apabila ditanya. Manakala Arissa pula kadang-kala turut menyertai perbualan ibu dan mama mereka. Adik dia yang seorang itu memang terlebih ramah dan mesra alam. Dengan siapa pun dia boleh ‘ngam’. Lagipun menurut Arissa, Auntie Sarimah dia tu memang sporting. Hanna pula tidak berminat nak ambil tahu sangat, setakat layar senyum sekali sekala tu boleh lagi lah. Hanna memang tak berapa reti nak bersembang dengan orang pun, berlainan dengan Arissa.

Tidak sampai sepuluh minit, bas mereka sudah tiba. Hanna setia berdiri di sisi mama dan adik bongsunya sementara Subhan menolongnya mengangkut beg-begnya ke dalam bas. Huh, Hanna sudah mencebik sendiri. Eleh, depan ahli keluarga mereka boleh lah konon-konon nak tunjuk dia tu gentleman kan?!! Hanna mengutuk Subhan di dalam hati.

Setelah bersalaman dengan mama dan ibu mereka, Subhan dan Hanna terus memboloskan diri ke dalam perut bas. Hanna mengambil tempat di sebelah tingkap manakala Subhan pula duduk di sebelah Hanna. Memang berubah terus muka Hanna apabila lelaki itu selamat duduk di sebelahnya. Kalau ikut hati mahu sahaja dia hambat lelaki ini supaya duduk di kerusi lain!

Hanna mendengus sendiri, laju-laju dia menyumbat fon telinga dan duduk membelakangi Subhan. Apabila bas sudah mula bergerak, Hanna mencapai novel di dalam beg sandangnya untuk dibaca.

Subhan di sebelah juga tidak kurang bezanya. Telinganya awal-awal lagi sudah disumbat dengan earphone, tangannya pula bermain-main dengan permainan di dalam smartphonenya. Kedua-duanya membuat aktiviti masing-masing tanpa langsung bertegur sapa.

*~*~*~*~*~*

“Hanna, bangun.” Perlahan Subhan mengoyangkan bahu Hanna untuk mengejutkannya yang sedang dibuai mimpi itu.

Sebentar tadi sedang enak Subhan ber-Whatsapp dengan rakannya, tiba-tiba bahunya terasa berat dihempap sesuatu. Apabila dia berpaling, rupanya kepala Hanna sudah selamat mendarat di bahunya. Pada mulanya Subhan ingin terus mengejutkan Hanna, tetapi apabila melihat dia sudah lena, Subhan membatalkan niatnya dan hanya membiarkan bahunya dipinjam oleh Hanna. Alih-alih sehingga sampai ke destinasi, Hanna masih sedap bersandar di bahunya.

“Hanna, bangun! Dah sampai ni.” Subhan mencuba sekali lagi. Kali ini lebih kuat sedikit suaranya mengejutkan Hanna.

Terasa seperti bahunya digoyang-goyang, Hanna perlahan-lahan membukakan matanya yang terpejam. Hanna memisat-misatkan matanya yang terasa pedih apabila cahaya menerobos masuk ke dalam penglihatannya. Sebaik sahaja mata Hanna terbuka, dia melihat muka Subhan yang begitu hampir dengan mukanya. Dia dapat merasa deru nafas Subhan menerpa lembut ke wajahnya.

Terlopong luas mulut Hanna dengan keadaan itu, jantungnya berdegup kencang. Secara spontan tubuh Subhan ditolaknya kuat dan Hanna mengangkat kepalanya menjauhi bahu Subhan. Memerah mukanya akibat malu dengan kejadian itu.

“Errr… Kita dah sampai ni. Jom lah turun.” Subhan bersuara perlahan dan terus bangun dari tempat duduknya tanpa menunggu Hanna.

Sebetulnya Subhan juga terasa malu dan kekok dengan  keadaan mereka sebentar tadi. Dia langsung tidak perasan yang mukanya begitu hampir dengan Hanna. Subhan hanya tersedar apabila terasa Hanna menolak tubuhnya. Dia sebenarnya terpaku dengan wajah Hanna yang polos dan begitu dekat dengannya. Jantungnya juga berdegup kencang tanpa amaran.

Hanna bangun setelah kelibat Subhan sudah hilang dari pandangan matanya. Dia masih malu dengan kejadian sebentar tadi, tidak sanggup matanya memandang Subhan di hadapannya.

Setelah turun daripada bas, Hanna pergi ke bahagian menyimpan beg di tengah bas untuk mengambil begnya. Kepala Hanna menjengah ke sekeliling untuk mencari Subhan.

Mana lelaki yang bajet gentleman sangat tadi? Kalau bagus sangat mesti dia tolong juga aku keluarkan beg ni kan? Hanna sudah mengomel sendiri di dalam hati.

“Biadab punya mamat, boleh dia tinggalkan aku dekat sini. Tadi depan family bukan main lagi dia berlagak gentle.” Hanna menggumam sendiri.

Tangannya terkial-kial mengangkat beg berodanya yang tidak kurang juga beratnya untuk mendaki tangga ke tingkat atas. Walaupun berat dan sukar diangkat tetapi Hanna tetap mengagahkan diri untuk melajukan langkahnya. Di belakangnya ramai lagi orang yang ingin turut ke tingkat atas. Kalut kakinya melangkah.

Nafas Hanna tercungap-cungap kerana penat mendaki tangga dengan mengangkat bebanan yang berat di tangannya. Akhirnya sampai juga dia ke tingkat atas. Hanna berlalu ke tepi dan ingin berehat sebentar. Tidak mahu pula berhenti di tengah-tengah jalan, nanti menghalang laluan orang lain. Sudahlah suasana di stesen bas puduraya ini sememangnya sesak dengan orang ramai. Di tangan masing-masing pula membawa beg-beg besar. Nanti tidak pasal-pasal dia dimaki pula kerana berdiri di tengah-tengah jalan.

Setelah dia melepaskan lelah, Hanna terus bergerak. Dia memang terniat nak pergi ke kedai buku di tingkat atas, tetapi memikirkan begnya yang berat itu dia jadi teragak-agak.

Setelah berfikir sejenak, Hanna memutuskan untuk pergi juga ke tingkat atas. Bukannya selalu dia datang ke puduraya ini, jadi peluang ini tidak harus disia-siakan. Bila lagi kan nak pergi melawat kawasan? Walaupun di bawah pun ada kedai buku tapi dia tetap nak pergi juga kedai yang di tingkat atas itu. Nanti sebelum pulang dia akan singgah juga di kedai di tingkat bawah. Kalau sesiapa yang hantu novel ataupun buku seperti dia, mesti faham apa yang dia sedang fikir tu. Berapa kedai buku yang ada, semua pun dia nak jejak!

Tanpa berlegah, Hanna menarik begnya untuk menuju ke tempat yang ingin ditujuinya itu.Belum sempat Hanna melangkah jauh, dia terasa seperti tangannya ditarik oleh seseorang. Tidak jadi Hanna untuk meneruskan langkahnya, kepalanya dipalingkan kebelakang.

Menyirap dia dibuatnya, entah siapa-siapa yang sesuka hati merentap tangannya. Sungguh biadab! Anak matanya mencerlung memandang manusia yang tidak sopan itu,

Oh… Subhan rupanya. Hanna menjeling tanda tidak suka. Bertambah bengkak hatinya dengan lelaki seorang ini.

“Nak pergi mana pula ni? Jom lah balik.” Dingin sahaja bunyi suara Subhan.

Sebentar tadi Subhan bukannya pergi ke mana-mana pun, dia ada di suatu sudut menunggu Hanna sampai ke tingkat atas. Subhan geram sebenarnya dengan Hanna, dia langsung tidak menegur Subhan sepanjang perjalanan mereka tadi. Sombong sangat! Hanna hanya leka dengan novel di tangannya dan muzik di telinganya.

Separuh perjalanan mereka, Hanna tertidur pula. Siap sedap merebahkan kepalanya di bahu Subhan pula tu! Bangun-bangun sahaja, Hanna menolaknya dan Subhan agak terasa dengan perlakuan Hanna itu. Bukan sahaja Hanna tidak mengucapkan terima kasih kepadanya malah Hanna bersikap sombong sekali. Sebab itu lah Subhan sengaja meninggalkan Hanna sendiri tadi, biar dia mengangkat begnya sendiri.

“I nak pergi kedai buku dekat tingkat atas kejap. Kalau you nak balik dulu, balik lah.” Selamba sahaja Hanna menjawab. Seraya itu, dia melepaskan lengannya daripada pegangan Subhan dan terus melangkah tanpa langsung memperdulikan Subhan.

Hanna sudah malas mahu melayan Subhan, jika Subhan mahu meninggalkannya sendiri pun dia tidak kisah. Bukannya Hanna tidak biasa balik ke kolej seorang dirinya. Selama ini pun dia pulang ke Kuala Lumpur dari Ipoh pun seorang diri sahaja, baru kali ini pulangnya berteman. Itu pun di atas desakan mamanya. Kalau tidak jangan harap dia ingin pulang bersama-sama Subhan. Dia dan Subhan pun bukannya rapat mana!

Sampai di anak tangga, Hanna menarik nafasnya dalam-dalam. Ingin mengumpulkan kekuatan untuk mengangkat begnya yang berat itu. Salahnya juga, kalau sekali balik itu tidak pernah lagi dia hanya membawa sedikit sahaja barang. Pasti paling kurang pun satu beg beroda dan satu beg galas. Sendiri yang suka bawa beban banyak-banyak, sendiri tanggunglah.

Baru sahaja Hanna mendaki satu anak tangga, begnya dirampas oleh seseorang dan cepat sahaja begnya itu sampai ke tingkat atas. Kalut Hanna berjalan ke tingkat atas untuk mengejar begnya itu.

“I tunggu you dekat MarryBrown tu, jangan lama-lama sangat.” Subhan bersuara apabila Hanna sudah sampai di sebelahnya. Tanpa menunggu jawapan Hanna, Subhan terus berlalu bersama beg Hanna di tangannya. Dia menuju ke arah restoran MarryBrown yang terletak di sebelah kiri itu.
Hanna tidak mampu berkata apa-apa lagi apabila Subhan sudah berlalu. Dia mengetapkan bibirnya, geram dengan tingkah Subhan itu. Datangnya seperti samseng sahaja. Suka buat keputusan sendiri. Dengan perasaan mendongkol geram, Hanna melangkah jua ke kedai buku yang terletak di sebelah kanan itu.

*~*~*~*~*~*

Subhan sudah tidak senang duduk, sudah lebih setengah jam dia berada di restoran MarryBrown untuk menunggu Hanna. Makanan yang dipesannya pun sudah selamat masuk ke dalam perut, tetapi kelibat Hanna tetap juga tidak kelihatan.

Subhan mengerling lagi pada jam tangan yang berlingkar di pergelangan tangannya, masuk kali ini entah sudah kali yang ke berapa dia melihat jam tangannya. Subhan sudah resah sendiri, sudah lah nombor telefon Hanna pun dia tidak ada. Kalau perempuan tu buat gila tinggal dia dekat sini dengan beg-beg ni macam mana? Bukan boleh pakai sangat otak budak tu.

Sudahnya Subhan terus bangun dan menuju ke arah kedai buku yang ditunjuk oleh Hanna tadi. Biar dia sendiri mencari Hanna di situ, tak payah nak berteka-teki bagai.

Subhan melangkah ke satu rak ke satu rak yang lain untuk mencari Hanna, tetapi dia tetap juga tidak ketemu. Puas Subhan meliar-liar di kawasan hadapan kedai buku itu. Kelibat Hanna langsung tidak dia nampak. Kaki Subhan melangkah pula ke bahagian belakang kedai tersebut apabila bahagian depan kedai sudah habis dijelajahinya. Matanya tajam memerhati di sekeliling kedai untuk mencari Hanna.

Nampak sahaja Hanna yang sedang memegang sebuah novel di tangannya dan membaca sinopsis novel tesebut, laju sahaja kakinya melangkah ke arah Hanna. Tanpa mukadimah, novel di tangan Hanna terus ditarik kasar oleh Subhan. Mana dia tak geram, punya lama dia menunggu di MarryBrown tadi, rupanya Hanna masih tidak selesai dengan novel-novelnya. Angin lah Subhan melihatnya!

Dengan perasaan terkejut bercampur marah, Hanna berpaling ke arah manusia yang dianggap tidak bertamadun di sebelahnya itu. Sudahlah datang seperti ribut, suka-suka hati dia bersikap biadab begitu.

“You ni kenapa? Suka tak puas hati dengan I!” Separuh menjerit Hanna melempiaskan kemarahannya.

Terjengil mata Subhan apabila Hanna memarahinya begitu. Patutnya dia yang marah, bukan Hanna! Perempuan di hadapannya yang bernama Andrea Hanna ini memang benar-benar mencabar kesabarannya betul!

“Oiii... I yang patut marah okey! You tahu tak dah berapa lama I tunggu you dekat sana?” Suara Subhan sudah naik satu oktaf. Garang bunyinya.

“I tak suruh pun you tunggu I!” Selamba Hanna berkata tanpa ada langsung perasaan bersalah. Subhan yang mendengarnya sudah makin berapi dibuatnya. Terasa kecil sahaja Hanna yang berada di hadapannya itu.

“Habis tu beg you ni? Nak I campak macam tu aje?” Subhan menolak beg beroda milik Hanna dengan kasar. Habis terkena kaki Hanna beg yang berat itu.

“Hesy… Sakit lah!” Menjerit Hanna apabila beg itu terkena kakinya. Seraya itu tangannya laju naik menampar lengan Subhan sekuat hati. Geram dengan tingkah Subhan yang biadab itu.

“Oiii, sakit lah!!!” Suara Subhan naik lebih kuat daripada Hanna. Berbisa sungguh tamparan Hanna di lengannya.

Pada waktu yang sama, pekerja kedai yang berada di rak sebelah dan beberapa orang pelanggan yang lain sudah memandang-mandang ke arah mereka. Subhan hanya mampu tersenyum malu seorang diri apabila Hanna tanpa memperdulikannya terus berlalu ke arah kaunter untuk membuat bayaran. Subhan pantas membuntuti langkah Hanna, mukanya sudah tebal menahan malu.

Selesai membuat pembayaran, Hanna terus berlalu. Dia langsung tidak mahu melayan Subhan di belakangnya. Sakit hatinya masih berbekas. Subhan pula hanya mengikut Hanna daripada belakang tanpa langsung mengeluarkan suara. Dia juga malas menegur  Hanna yang tampak begitu menggunung amarahnya. Sarang tebuan jangan sesekali dijolok, nanti diri sendiri yang merana. Baik dia kekal diam kalau tidak mahu dibaham oleh Hanna.

Tetapi apabila difikirkan kembali, bukankah sepatutnya dia yang patut marahkan Hanna? Ini terbalik pulak. Subhan keliru sendiri.

Kebisuan Hanna berlanjutan sehingga di dalam tren LRT, dia langsung tidak mahu menegur Subhan yang setia berada di sampingnya itu. Novel yang baru dibelinya itu lebih menarik perhatian Hanna. Dia terus membuka salah satu novel yang diborongnya tadi dan membacanya dengan khusyuk sekali. Walaupun dengan keadaan berdiri, Hanna tetap boleh membaca tanpa sebarang gangguan.

Subhan yang berdiri di sebelah Hanna cuba menstabilkan dirinya, nanti kalau jatuh tergolek boleh malu satu dekad! Di dalam tren begini, memang jarang lah dapat tempat duduk. Kalau ada pun baik Subhan memberikan tempat itu kepada yang lebih memerlukan.

Sebelah tangan Subhan memegang tiang besi yang terdapat di dalam tren manakala sebelah tangan lagi memegang beg Hanna. Takut pula nanti beg itu bergerak ke mana-mana dek inertia kerana beg itu beroda. Hanna yang bersandar selesa di sebelah pintu tren langsung tidak ingat dengan begnya yang berada di tangan Subhan itu. Selamba sahaja dia membaca novel di tangannya.

Subhan memandang sekilas Hanna yang disebelahnya itu, lalu matanya diliarkan ke sekeliling isi tren. Subhan mengeluh perlahan di dalam hati, Hanna nampaknya seperti amat tidak menyenangi kehadirannya. Dari tadi pun mereka asyik bertelagah sahaja. Jauh di sudut hatinya bukan ini yang dia mahukan.

Subhan mengeluh lagi untuk kesekian kalinya. Mungkin ini juga adalah salahnya, salahnya kerana terlalu ego dengan seorang perempuan yang tidak kurang hebat juga egonya. Hanna adalah seorang perempuan yang berdikari, dia tahu tanpanya juga Hanna masih boleh berdiri di atas kakinya sendiri.

Subhan memandang ke tempat lain pula, tidak mahu terus memandang perempuan di depannya yang nampaknya begitu khusyuk dengan novel di tangannya. Orang semakin ramai masuk ke dalam perut tren dan mereka terpaksa berhimpit-himpit.

Tiba-tiba seorang lelaki merapatkan dirinya dengan Hanna, matanya liar memandang ke arah Hanna. Subhan yang perasan keadaan itu berasa kurang senang, dia marah dengan perlakuan lelaki itu. Perasaan amarahnya semakin membuak-buak, dan dia makin geram dengan sikap Hanna yang hanya buat tidak tahu sahaja dengan perlakuan lelaki itu. Ataupun mungkin Hanna tidak sedar kerana dia masih di dalam dunianya sendiri.

Tanpa melengahkan masa, Subhan terus mengubah kedudukannya. Dia sengaja menyelit di tengah-tengah antara lelaki itu dan Hanna. Tangannya pula memerangkap Hanna di pintu tren.

Hanna yang perasan Subhan tiba-tiba begitu hampir dengannya mendongak memandang Subhan. Kedudukan mereka memang amat hampir, sehinggakan badan Subhan seolah-olah melekat dengannya. Hanna sungguh tidak selesa dengan keadaan itu, novel di tangannya ditutup dan diletakkan di tengah-tengah antara badannya dan Subhan.

“You, kenapa dekat sangat ni? I tak selesa lah, you pergi lah jauh sikit.” Ucap Hanna perlahan, cukup untuk hanya didengari oleh dia dan Subhan. Tidak mahu lah dia membuat drama di dalam tren yang penuh dengan manusia ini. Tangannya pula menolak badan Subhan dengan novel tadi.

Subhan hanya mencebik mendengar permintaan Hanna itu. Sebentar tadi lelaki di sebelahnya itu dekat dengan Hanna tidak pula Hanna memberi respon. Sungguh, dia tidak berpuas hati.

Tajam mata Subhan memandang Hanna, dia mendekatkan lagi wajahnya kepada Hanna. Hanna yang melihat Subhan semakin mendekat, sudah berasa cuak. Apa lagi yang Subhan nak buat ni?

Spontan kepalanya dijarakkan, diundur ke belakang. Tetapi malang, dia yang memang sudah melekat di pintu tren memang tiada ruang melepaskan diri. Tambahan pula dengan lautan manusia di dalam tren itu, tidak mudah untuk Hanna bergerak. Jantungnya sudah berdegup kencang bagai kompang dipalu. Tiba-tiba dia menangkap suara halus namun tegas Subhan di telinganya.

“Lelaki sebelah ni asyik pandang you macam nak makan. So you stay diam-diam kat sini.”

Membuntang mata Hanna mendengar bisikan Subhan di telinganya. Matanya laju ingin memandang ke arah lelaki yang disebut Subhan tadi. Melalui bahu Subhan, dia ternampak seorang lelaki, dan tiba-tiba ‘zupp...’. Tersentap hatinya apabila lelaki itu juga memandang ke arahnya dengan pandangan mata dan senyuman yang sukar ditafsirkan.

Tidak semena-mena hatinya dipagut rasa takut, matanya ditundukkan kembali dan menyorok di sebalik bahu Subhan. Secara spontan tangannya memegang kejap baju Subhan.

Perasan keadaan Hanna yang tiba-tiba berubah itu, Subhan melabuhkan tangannya di bahu Hanna. Perlahan dia berbisik kepada Hanna.

“Hey… Janganlah takut. I kan ada.” Lembut suara Subhan menerpa telinga Hanna, habis hilang semua nada garangnya tadi.

Hanna tanpa sedar memberikan sebuah senyuman manis kepada Subhan dan keresahan hatinya hilang bertebaran ke mana-mana. Sekarang yang tinggal hanyalah rasa selamat berada di sisi seorang lelaki yang bernama Subhan.


*~*~*~*~*~*

No comments:

Post a Comment