Followers

Thursday, July 14, 2016

*Cairkan Hati Beku Dia** 07


**07**

~Thank you sweetheart for your cooperation~



Suasana di stesen komuter Serdang kelihatan sesak dengan pelbagai jenis manusia. Hari Sabtu, memang biasalah permandangan ini. Memang hari Sabtu biasanya lebih sibuk dari hari-hari yang lain. Subhan berjalan bersama-sama dengan kumpulan rakan-rakannya mendaki anak tangga untuk menuju ke platform dua. Entah apa mimpi kawan-kawannya hari ini tiba-tiba sahaja mahu ke Midvalley menaiki komuter. Selalu boleh aje naik kereta. Ini tidak lain tidak bukan mesti sebab Mus mahu usyar awek baru. Itu yang dari tadi dok menempel sahaja dengan kumpulan wanita di hadapan mereka itu. Subhan tergelak sendiri. Kawan mereka yang seorang itu memang terlebih nakal sedikit.

Hingar bingar suara mereka bergelak ketawa. Sampai sahaja di anak tangga terakhir, matanya menangkap kelibat seseorang yang dia kenal. Andrea Hanna! Sudah lama mereka tidak bersua muka sejak dari hari mereka pulang bersama-sama dulu. Maklumlah dia dan Hanna bukanlah dari fakulti dan kolej yang sama, jadi peluang mereka terserempak amat jarang-jarang sekali.

Pernah jugalah beberapa kali dia ternampak kelibat Hanna di kawasan akedemik universiti, tetapi mereka tidak pernah bertegur sapa. Selalunya Hanna akan berjalan sekali dengan teman-temannya, dan Hanna seperti tidak berminat langsung untuk menegur Subhan, jadi Subhan pun malaslah mahu menegur juga. Nanti nampak seperti dia sahaja yang beria-ia, padahal Hanna langsung tidak ada niat untuk bertegur sapa dengannya. Paling hebat pun, jika Hanna ternampak dia juga, Hanna akan memberikan senyuman sahaja. Itupun nampak seperti dibuat-buat sahaja, tidak ikhlas langsung!

Mereka berdiri di suatu sudut untuk menunggu ketibaan komuter yang akan sampai dalam masa setengah jam lagi. Mereka semua memilih untuk berdiri sahaja memandangkan semua kerusi di situ sudah dipenuhi lagipun bilangan kerusi di situ memang terhad pun. Biarlah orang yang betul-betul memerlukan sahaja duduk, mereka yang sihat dan gagah ini berdiri pun tidak mengapa. Mata Subhan masih lagi tidak lepas daripada memandang Hanna. Kelihatan dia sedang khusyuk benar dengan novel di tangannya. Langsung tidak sedar dengan keadaan di sekelilingnya.

“Han, nanti kita pergi makan dulu tau! Aku dah kebulur dah ni.” Ammar bersuara.

Tiada apa-apa reaksi yang Subhan berikan kepada Ammar. Matanya masih tertumpu kepada Hanna. Di dalam otaknya sedang memikirkan ke mana kah destinasi Hanna kali ini, berseorangan pula tu. Subhan tidak pula perasan ada mana-mana teman Hanna yang selalu kelihatan bersama-samanya selama ini di situ.

“Oiii... Kau dengar tak apa aku cakap ni? Kau pandang apa je ni?” Ammar menepuk bahu Subhan.

Seraya itu serentak kepala mereka semua tertoleh ke arah sorotan mata Subhan itu. Masing-masing sudah tersenyum-senyum sendiri. Patut lah mata tidak lepas-lepas memandang, tengah pandang awek rupanya rakan mereka ini.

Awek cun rupanya, patutlah mata tak lepas pandang.” Mus berseloroh menyakat Subhan.

Selalunya di antara mereka, Subhan lah yang paling baik sekali. Jarang lah dapat melihat Subhan bermain-main mata dengan mana-mana gadis. Setakat kawan itu memang ramai, tapi layan pun ala kadar sahaja lah, tak ada lebih-lebih. Kalau perempuan-perempuan itu semua yang syok sendiri, itu lain ceita lah.

“Hesy... Awek apanya? Kawan aku tu. Korang tunggu sini kejap.” Subhan meminta diri. Ingin berlalu dan menegur Hanna. Dia bimbang melihat Hanna hanya berseorangan dan tiada sesiapa menemaninya. Jika dia tahu destinasi Hanna, sekurang-kurangnya lega sedikit perasaan bimbangnya.

Subhan tidak terus menegur Hanna. Diam-diam sahaja dia mengambil tempat yang baru dikosongkan di sebelah Hanna. Manakala Hanna pula langsung tidak mengangkat mukanya daripada novel di tangannya. Dia perasan tempat kosong di sebelahnya sudah diisi tetapi dia hanya membiarkannya sahaja. Di sini pun tempat awam, rasanya bukan hak dia seorang untuk duduk di kerusi ini dan dia juga tidak berminat untuk melihat siapakah gerangan yang telah duduk di sebelahnya itu.

Sesekali Subhan terdengar Hanna ketawa kecil sambil dia membaca novel di tangannya. Tersenyum Subhan melihat telatah Hanna itu. Dia sudah perasankan perangai Hanna yang satu ini sejak dari hari itu lagi. Dia sendiri juga pelik apa lah yang kelakar dengan novel cinta itu.

“Ehemmm…Sawan ke apa gelak sorang-sorang?” Subhan menegur dengan suara yang dingin.
Terasa seperti terkena kejutan elektrik sahaja apabila Hanna terdengar suara garau yang menerpa halwa telinganya itu. Dia kenal dengan suara itu. Itu suara… Subhan! Pantas kepalanya dipalingkan ke tepi untuk melihat gerangan yang duduk di sebelahnya tadi. Sah, memang lelaki itu.

“Bila masa pula you ada dekat sini?” Sedikit terjerit Hanna bertanya dek terkejut dengan kemunculan tiba-tiba Subhan. Seingatnya memang sudah lama dia tidak bersua muka dengan lelaki ini. Hari ini entah ribut apa pula yang meniup lelaki ini ke sini.

“Tu lah, baca novel sampai tak pandang kiri kanan.” Subhan tidak berminat untuk menjawab pertanyaan Hanna tadi. Dia lebih berminat untuk mengenakan Hanna. Di depan Hanna, mulutnya tidak pernah mahu berkelakuan baik. Ada sahaja perkataan-perkataan yang keluar untuk menyakiti hati Hanna.

“Urghhh… Suka hati I lah!” Hanna tidak suka dengan perangai Subhan yang suka sangat mahu memerli dia. Dia kembali menumpukan perhatiannya kepada novelnya tadi. Malas mahu melayan Subhan, menyakitkan hatinya sahaja. Baik baca novel, lagi seronok!

“Ni nak pergi mana ni? Sorang aje?” Subhan bertanya seorang-olah sangat prihatin, tetapi suaranya dingin sahaja. Seperti orang tidak berpuas hati dan ingin mencari gaduh pun ada juga.

Why do you want to know?” Hanna sengaja tidak mahu menjawab.

Baginya Subhan tidak ada hak pun untuk bertanya ke mana dia pergi. Suka hati dia lah mahu ke mana-mana pun! Dari awal memang patut pun dia ada firasat yang tak baik bila mama mahu kenalkan dia dengan lelaki ini. Entah-entah sengaja mama mahu jadikan Subhan sebagai spy untuk mengelakkan dia melakukan apa-apa yang nakal lagi? Ahhh, sejak dia buat perangai, mama memang sudah tidak percaya padanya! Walaupun sekarang Hanna sudah bertekad untuk kembali menjadi budak baik, tetapi memang sukar untuk mengembalikan kepercayaan mama terhadapnya.

“Orang tanya pun salah ke? Ni keluar sorang-sorang aje, nak pergi jumpa boyfriend ke?” Akhirnya keluar juga soalan yang sejak tadi bermain-main di kepala Subhan. Jenuh dia membuang egonya yang melangit untuk bertanya soalan itu.

If yes, then why?” Sengaja Hanna ingin mempermain-mainkan perasaan Subhan. Suka apabila Subhan kelihatan geram dengan apa yang keluar daripada mulutnya itu.

“Jawab macam tu maknanya yes lah… Did your mom know that you are going out, alone?” Subhan saja mengeluarkan nama mama Hanna.

Dia bukan apa, sibuk-sibuk mahu tahu tentang ke manakah destinasi yang ingin Hanna tuju pun adalah kerana rasa tanggungjawab yang telah digalaskan oleh mama Hanna di bahunya. Hari itu semasa mereka pulang bersama-sama, mama Hanna ada berpesan kepadanya supaya tolong tengok-tengokkan Hanna. Malah mamanya sendiri juga ada berpesan perkara yang sama. Jadi dia tidak boleh lah hanya buat tidak tahu sahaja apabila sudah nampak Hanna di hadapan matanya sendiri.

Belum sempat Hanna ingin menjawab soalan Subhan itu, telefon bimbitnya terlebih dahulu berdering minta diangkat. Tanpa memperdulikan Subhan, Hanna terus menjawab panggilan tersebut.

“Helo sayang. Yaaa... I’m still at the KTM station, ya… waiting for the train.” Suara Hanna tetap menerpa ke telinga Subhan walaupun dia hanya bersuara perlahan sahaja.

“You dah sampai ke?”

“Ooo... Wait for a while eh sayang.

“Eh... Eh... Speaks of the devil, tu dah sampai dah. Okay I’ll be there in 15 minutes. Yaa… Yaa… Okay, love you. Bye.” Hanna mematikan panggilan dan mencampakkan telefon bimbitnya ke dalam beg sandangnya. Kalut dia bangun untuk mengejar tren yang sudah mahu sampai ke platform itu. Dia terlupa langsung dengan kewujudan Subhan di sebelahnya.

Mendengus Subhan dengan kelakuan Hanna itu. Soalan orang bukannya dia nak jawab. Selamba sahaja dia bangun tanpa berkata apa-apa. Subhan juga turut bangun dan melangkah ke arah Hanna, ingin mengejar dan mendapatkan jawapan daripada Hanna sebelum Hanna terlepas ke mana-mana.

Sampai sahaja di belakang Hanna, Subhan ingin membuka mulut lagi untuk bertanya lanjut. Tetapi oleh kerana tren yang sudah sampai di platform itu, orang ramai berpusu-pusu untuk masuk ke dalam perut tren. Keadaan itu menyukarkan Subhan untuk bertanya kepada Hanna yang sudah jauh di hadapan.

Subhan ingin turut masuk ke dalam koc yang sama, tetapi tiba-tiba dia terperasan kan satu perkara. Di sekelilingnya semuanya wanita dan mereka memandangnya semacam sahaja. Baru dia tersedar yang koc ini adalah koc wanita! Mana boleh dia masuk ke sini. Pantas dia berundur dan melangkah ke arah rakan-rakannya yang berada di koc sebelah. Merah mukanya menahan malu.

Subhan hanya mampu menahan geram di dalam hatinya dengan sikap Hanna itu. Tidak dapatlah dia maklumat tentang Hanna. Walaupun mereka berada di dalam tren yang sama tetapi dipisahkan oleh koc yang berlainan. Jadi agak susahlah Subhan mahu melihat di stesen manakah Hanna akan turun nanti. Tambah pula dengan orang yang begitu ramai di dalam tren ini. Lagilah payah. Baik dia lupakan sahaja tentang perkara itu.

*~*~*~*~*~*

Subhan dan rakan-rakannya berlegar-legar di dalam pusat membeli belah Midvalley. Mereka baru sahaja menjejakkan kaki di pusat membeli belah ini. Masing-masing masih tidak dapat membuat keputusan di manakah mereka akan menjamu selera untuk hari ini. Jadi mereka berlegar-legar tanpa arah tuju dahulu sambil melihat-lihat restoran yang boleh menambat hati dan selera mereka. Mata Subhan meliar-liar ke sekeliling pusat membeli-belah itu, entah apa yang dicarinya, dia sendiri juga tidak tahu.

Tiba-tiba matanya tertancap kepada seorang gadis yang sedang berdiri sendirian. Subhan tidak nampak mukanya kerana gadis itu membelakangi dia, tetapi dia seperti kenal sahaja baju yang dipakai oleh gadis itu.

Seketika kemudian, gadis itu disapa oleh dua orang lagi gadis yang sebaya dengannya. Gadis itu memusingkan badannya dan memeluk rakan-rakannya yang baru tiba itu. Barulah Subhan nampak dengan jelas rupa gadis itu. Patutlah Subhan terasa seperti pernah ternampak sahaja baju yang dipakai gadis itu, rupa-rupa gadis itu adalah Andrea Hanna.

Subhan tersenyum sendiri. Mereka menuju ke tempat yang sama rupanya. Buat penat otaknya sahaja berfikir ke manalah arah tuju Hanna sebentar tadi. Beransur kurang sedikit rasa bimbang yang beraja di hati Subhan apabila sudah ternampak sendiri yang Hanna keluar seorang diri adalah kerana ingin berjumpa dengan rakan-rakannya. Senang hati Subhan melihat rakan-rakan Hanna itu kedua-duanya adalah perempuan. Sekurang-kurangnya Hanna tidak keluar dengan orang yang bukan-bukan.

Tetapi perasaan senangnya tadi cepat sahaja berlalu apabila ada dua orang lagi yang menghampiri Hanna dan kawan-kawannya. Kali ini dua orang lelaki pula yang menghampiri mereka. Kelihatan Hanna seperti sangat rapat dengan kedua-dua lelaki itu. Mereka bergelak ketawa bersama dan berlalu pergi dari tempat itu.

Mata Subhan sempat menangkap salah seorang daripada rakan lelaki Hanna itu selamba meletakkan tangannya di bahu Hanna. Dan Hanna seperti tidak kisah pun dengan kelakuan lelaki itu. Pandangan Subhan masih melekat pada mereka sehinggalah mereka semua hilang daripada pandangan matanya. Subhan tiba-tiba berasa seperti ada satu perasaan aneh yang menjalar di dalam hatinya di kala ini. Sakit!

*~*~*~*~*~*

Mata Subhan masih lagi tertumpu kepada sekumpulan remaja yang baru mengambil tempat di salah sebuah meja di restoran makanan segera McDonald itu. Seketika kemudian kesemua mereka bangun dan melangkah ke kaunter untuk membuat pesanan, meninggalkan seorang sahaja di antara mereka di meja itu.

Bagus! Ini lah yang saat yang ditunggu-tunggu oleh Subhan. Kakinya pantas di hayunkan menuju ke meja itu. Selamba Subhan duduk di hadapan gadis yang sedang khusyuk membelek telefon bimbit di tangannya itu. Terus melopong mulut gadis itu melihat kehadiran Subhan di situ.

“You! Buat apa dekat sini? You ikut I ke?” Marah Hanna dengan nada yang tertahan-tahan. Tidak mahu menjerit-jerit kerana ramai yang berada di dalam restoran itu.

Subhan hanya tersengih apabila mendengar kemarahan Hanna itu.

“Buat apa I nak ikut you. Tak ada kerja I nak mengikut you.” Subhan mencebik.

Then just go ahead. Pergi lah buat kerja you. Kenapa datang sini pula?” Tanya Hanna kurang berpuas hati.

Okay, let’s make it quick. Cepat bagi no phone you.” Subhan mengeluarkan permintaan yang lebih berupa perintah itu.

Terbeliak luas mata Hanna mendengar ‘perintah’ Subhan itu. Angin tidak ada, ribut tidak ada, tiba-tiba mahu meminta nombor telefonnya. Sudah lah datang macam gangster. Tiada adab!

Why should I give it to you??” Terangkat kening Hanna bertanya. Sengaja mahu mencabar ego Subhan.

Fine, kalau you tak nak bagi, biar I aje yang bagi nombor I.” Subhan sudah mengeluarkan sebatang pen dan tangannya menarik novel Hanna yang berada di depannya itu.

Melihat Subhan sudah membuka ke muka surat pertama novel miliknya itu, Hanna sudah gelisah. Kalut sahaja tangannya ingin menarik kembali novel itu dari pegangan Subhan. Tetapi tindakan Subhan lebih pantas. Dia sudah melarikan novel itu jauh daripada gapaian Hanna. Tidak sempat Hanna mahu merampas kembali novel miliknya itu dari tangan Subhan.

“Subhan! Don’t you dare!” Hanna sudah separuh menjerit. Rupanya bengis semacam.

Sedingin-dingin Hanna, tapi dia merupakan seorang yang sangat menyayangi bahan bacaannya. Tidak kiralah novel, buku rujukan ataupun majalah sekalipun, dia pasti tidak akan membacanya sebelum buku itu dibalut. Jika buku itu sudah terkepak sedikit pun dia sudah berasa sedih, inikan pula Subhan mahu menconteng novel yang baru dibelinya itu. Dan yang paling penting, novel ini limited edition kut! Ingat senang nak dapat? Berani lah sentuh novel dia kalau nak tengok dia naik hantu!

Subhan sudah tersengih jahat melihat muka keruh Hanna itu. Senang sahaja dia mahu mencari kelemahan gadis di depannya ini.

Fine! Just give me the phone.” Hanna akhirnya mengalah. Dia tidak sanggup novelnya dicemari dengan nombor telefon Subhan di situ.

Subhan menghulurkan telefon bimbit Iphone 5 miliknya ke tangan Hanna. Novel tadi masih dalam pegangannya. Tidak dipulangkan kepada Hanna lagi.

Setelah telefon bimbit itu kembali bertukar tangan, Subhan mendail nombor tersebut, untuk memastikan Hanna tidak menipunya. Apabila nampak telefon bimbit Hanna di atas meja itu berdering, barulah Subhan berpuas hati. Subhan tersenyum kemenangan, lantas novel di tangannya dihulurkan kembali kepada Hanna.

Okay, thank you so much sweetheart for your kind cooperation.”

“Ini bukan apa, senang nak contact you kalau ada apa-apa hal nanti.”

“Okey lah, I pergi dulu. Kirim salam dekat semua kawan-kawan you tadi tu ye.” Kata-kata akhir itu meluncur daripada bibir Subhan dan dia pantas berlalu pergi dari tempat itu sebelum semua rakan-rakan Hanna kembali ke meja itu. Subhan tersenyum puas.

           Hanna menjeling Subhan yang sudah bangun dan melambai-lambai padanya sambil tersenyum itu. Sumpah dia sakit hati sekarang ni! Kalau tak difikirkan mereka sekarang ni berada di tengah-tengah lautan manusia, memang habis Subhan dia nak smackdown! Tanpa Hanna sedar, novel di tangannya dihempuk kuat ke atas meja. Apabila dia tersedar yang dia sedang menghempuk novel kesayangannya, barulah dia melopong dan cepat-cepat membawa novel itu dekat dengan dada dan memeluknya erat. 
           Hanna mengeluh berat, dia memang geram dengan dirinya yang selalu sahaja lemah di hadapan Subhan. Kalau dengan Subhan, bermacam-macam perangainya keluar. Dengan orang lain boleh aje dia kebalkan diri dan kekalkan sikap dingin dia tu tapi dengan Subhan tu... Entah lah... Tanpa dia sedar Subhan dah berjaya kacau emosi dia dan dia dah tunjukkan perangai sebenarnya dia. Kuasa apa yang ada pada lelaki itu? Hanna sendiri tidak tahu.

*~*~*~*~*~*

No comments:

Post a Comment