Followers

Thursday, July 14, 2016

**Cairkan Hati Beku Dia** 08


**08**

~Subhan si pakej lengkap~

Sudah masuk hari ketiga Hanna langsung tidak jawab panggilan telefon yang dibuat oleh Subhan. Bengang Subhan dengan sikap Hanna yang asyik buat tidak peduli sahaja. Semua panggilan, mesej, Whatsapp yang Subhan hantar, semua Hanna tak layan.

Semalam dia ada terserempak dengan Hanna, tapi boleh Hanna buat tidak tahu sahaja, seolah-olah mereka langsung tidak pernah kenal antara satu sama lain. Ikutkan hati mahu sahaja dia tarik Hanna dan meminta penjelasan, tapi disebabkan dia juga sudah lambat untuk ke kelas, niat itu dibatalkan sahaja.

Hari ini Subhan tahu dia pasti akan berjumpa dengan Hanna lagi kerana setiap minggu dia pasti akan berjumpa Hanna di situ kerana kebetulan mereka ada kelas di bangunan yang sama. Hanya di situ sahaja lah tempat yang berpotensi untuk Subhan terserempak dengan Hanna pun… Mereka berdua mengambil kursus yang berbeza, dan fakulti mereka juga berbeza. Untuk mereka berjumpa di tempat lain amatlah tipis kemungkinannya. Nama sahaja satu universiti, tapi kadang-kadang selama empat tahun belajar di tempat yang sama, ada setengah tu langsung tak pernah bertembung tau! Nak tahu kenapa? Sebab universiti ini terlampau luas! Satu fakulti ini dekat barat, fakulti lagi satu dekat timur kut!

Sampai sahaja, Subhan terus melangkah ke kafe. Dia tahu Hanna dan rakan-rakannya selalu melepak disitu sebelum masuk ke kelas. Dan tepat seperti jangkaan Subhan. Kelihatan Hanna dan rakan-rakannya duduk makan di salah sebuah meja sambil bergelak ketawa.

Kaki Subhan terus melangkah ke meja di belakang meja Hanna dan melabuhkan punggungnya di situ. Dia tidak terus menyerbu ke meja Hanna kerana dia tahu pasti nanti Hanna akan bertambah marah dengannya. Biarlah dia tunggu sehingga mereka semua habis makan dahulu.

Sepuluh minit berlalu, Hanna dan rakan-rakannya juga sudah menghabiskan makanan di pinggan masing-masing. Lantas Subhan ingin bangun dan mendekati Hanna. Dia juga tidak boleh berlama-lama di situ kerana kelasnya juga bakal bermula sebentar sahaja lagi.

Tetapi belum pun Subhan bangun daripada duduknya, matanya menangkap kelibat seorang lelaki menghampiri meja Hanna. Lelaki itu terus mengambil tempat di sebelah Hanna. Subhan yang tadinya sudah mahu bangun terus terkaku di situ dan tidak jadi untuk bangun. Dia hanya terduduk kembali dan melihat sahaja apa yang berlaku di hadapannya saat ini.

Hanna nampaknya begitu mesra dengan lelaki di sebelahnya itu. Siap bertepuk tampar lagi. Hati Subhan tertanya-tanya sendiri, siapakah lelaki itu? Membara hati Subhan melihat kemesraan antara mereka. Lama dia merenung ke arah mereka berdua.

Tanpa sedar, Hanna dan rakan-rakannya sudah bangun dan mahu meninggalkan meja mereka. Tersentap jantung Hanna apabila dia berpaling ke belakang, wajah Subhan yang muncul. Garang riaknya dan matanya tajam memandang Hanna tanpa berkelip.

‘Mamat ni lagi. Annoying gila!’ Hanna mengutuk Subhan di dalam hati.

Subhan dan Hanna berbalas pandangan, tetapi kedua-dua mereka langsung tidak berkata apa-apa. Subhan mahupun Hanna, kedua-dua mereka memberikan pandangan tajam, seolah-olah sedang berdepan dengan musuh sahaja lagak mereka. Lama mereka dalam keadaan begitu. Hanna hanya tersedar apabila bahunya dicuit oleh rakannya, Aliff.

“Hanna, kenapa tercegat dekat sini. Jom lah, kelas dah nak start dah ni.”

“Ha....a… haa… Jom.” Hanna agak tersentak namun laju dia menutup kegugupannya itu. Rupanya Neesa dan rakan-rakannya yang lain semua sudah mara ke hadapan, hanya tinggal Aliff sahaja di sebelahnya. Mungkin sedang menunggunya yang terkaku di situ.

Tanpa senyuman mahupun sapaan, Hanna terus berlalu bersama Aliff untuk ke kelas. Menganggap seperti dia langsung tidak nampak kelibat Subhan di situ. Hatinya masih geram dengan Subhan yang suka mencampuri urusannya. Hanna meninggalkan Subhan di situ dengan hati yang makin membengkak.

*~*~*~*~*~*

Hanna menghempaskan tubuhnya yang lelah di atas tilam bujang miliknya. Badannya terasa amat penat sekali hari ini kerana kelasnya penuh dan kelas terakhir tamat pada pukul 7 tadi.  Hanna paling tidak gemar kelas yang bermula pada pukul 5 dan tamat pada pukul 7. Walaupun sebelum itu dia tidak punyai apa-apa kelas, tetapi entah kenapa badannya pasti akan terlebih letih. Nasib baik dalam seminggu hanya satu hari sahaja kelasnya tamat pada pukul 7. Kalau seminggu dua tiga kali, boleh pengsan dia macam itu.

Sedang matanya terpejam ingin menghilangkan lelah di badan, Hanna teringat kembali pertemuan dia dan Subhan siang tadi. Sejak pagi tadi rasanya Subhan sudah berhenti daripada menghubunginya, Hanna lega. Dalam tempoh tiga hari ini dia terasa seperti mahu gila sahaja apabila Subhan tidak henti-henti menghubunginya. Dia benar-benar rimas. Entah apa lah yang lelaki itu mahu daripada Hanna, padahal mereka bukannya rapat mana pun. Hanna sungguh menyesal dengan tindakannya memberikan nombor telefonnya kepada Subhan.

Jangan cakap yang Subhan juga menaruh minat padanya kut? Namun begitu, cepat-cepat telahan itu disangkal oleh akal waras Hanna. Tak mungkin lah. Kalau minat mesti dia keluar skill memikat, bukan bermulut longkang dua puluh empat jam!

Dengar kata Subhan itu budak hot di fakultinya, ramai gadis yang tergila-gilakannya. Iyalah, siapa tak minat dengan lelaki yang dianggap mempunyai pakej lengkap seperti Subhan. Budak pandai, ada rupa dan paling penting Subhan juga adalah pemain bola sepak bagi kelab yang tidak kurang juga popularnya!

Sememangnya atlet ni tinggi sedikit sahamnya di mata perempuan, macho lah katakan. Ah, tapi yang penting dia tak tertawan langsung! Yang lebih hot daripada Subhan pun pernah datang menyerah padanya okey! Alah, setakat Subhan tu… Tanpa sedar, Hanna sudah mencebik jengkel.

 ‘Dia tu suka menyibuk dalam hidup aku! Dia tu mesti spy mama tu.’ Hanna berbicara di dalam hatinya, tidak langsung terdetik di hatinya rasa suka kepada lelaki itu. Menyampah lagi adalah.

Kalau macam tu macam mana Cik Hanna boleh tahu semua details pasal Subhan? Lengkap pula tu! Tiba-tiba satu suara berbisik di dalam otak Hanna.

‘Tu semua aku tahu daripada Syafiq lah!’ Lantang suara Hanna menjerit di dalam hati. Lantas dia teringat kembali perbualan dia, Neesa dan Syafiq minggu lepas. Waktu itu mereka berada di kafe tempat mereka selalu melepak sebelum kelas bermula.

“Weh... Kau tengok tu, handsome doh  mamat tu!”

Hanna yang sedang menyuap makanan ke dalam mulut tersedak apabila disiku oleh Neesa. Terbatuk-batuk Hanna dibuatnya. Neesa pantas mencapai air dan menghulurkannya kepada Hanna. Tangannya pula mengusap-usap belakang Hanna. Terbit rasa bersalah di dalam hatinya kerana telah menyebabkan rakannya itu tersedak.

Menyirap darahnya dengan perlakuan Neesa itu. Semata-mata teruja melihat lelaki kacak sampai tersedak dia dibuatnya. Mahu membunuh agaknya Neesa ini.

“Kau ni agak-agak lah, aku kan tengah makan ni!” Marah Hanna kepada Neesa. Hanna memang agak terkenal dengan sikap garangnya.

Neesa hanya mampu tersenyum kambing sahaja apabila dimarahi oleh Hanna. Memang patut pun dia dimarahi, kalut sahaja apabila melihat lelaki kacak. Sampai tak menyempat-nyempat. Syafiq yang duduk di hadapan mereka pun hanya ketawa melihat telatah dua gadis itu.

Sorry lah. Aku tak sengaja. Tapi ni memang handsome weh… Kalau kau tengok gerenti marah kau hilang.” Pujuk Neesa.

“Yelah tu, tiap kali pun kau cakap handsome. Tapi semua hampeh! Mana dia? Kalau tak handsome siap kau!” Hanna memberi amaran kepada Neesa.

“Eh, yang ni betul-betul handsome! Kau ni, tak percaya kat taste aku ke? Ni Neesa okey.” Ujar Neesa sambil mendabik dadanya. Kononnya hebat sangat lah taste dia. Hanna hanya mencebik dengan tingkah rakan baiknya itu.

“Sudah lah kau! Bukannya boleh percaya sangat kau ni. Mana dia yang handsome sangat tu?” Hanna dan Neesa bersikap selamba sahaja walaupun Syafiq berada di hadapan mereka.

“Tu... tu… Yang tengah bayar dekat kaunter tu.” Lurus telunjuk Neesa menunjuk ke arah lelaki yang memakai t-shirt hitam di kaunter pembayaran.

Terus mata Hanna melekap kepada sang jejaka. Diam diam, Hanna membuat penilaian di dalam hati.

‘Hmmm… Badan tegap. Tinggi melangit pula tu! Mesti handsome….’ Nakal suara hati Hanna memberi komen. Dia tersenyum sendiri.

Namun begitu, serta-merta mati terus senyumannya apabila lelaki itu berpusing setelah selesai membuat pembayaran. Subhan rupanya!

‘Cehh, mamat tu! Aku tarik balik pujian tadi.’

“Kau tengok tu, tengok tu… Handsomenyaaa!!!” Neesa sudah mula menggedik.

Hanna pula tidak memberikan apa-apa respon. Selalunya dia akan turut menggedik sama dengan Neesa, tetapi hari ini dia hanya buat tidak tahu sahaja. Syafiq disebelah mereka turut memandang ke arah lelaki yang disebut Neesa itu. Dia juga ingin lihat, kacak sangat kah lelaki itu.

“Oh... Subhan ke? Patut lah Neesa ni gedik semacam.” Selamba Syafiq mengutuk Neesa tanpa rasa bersalah. Mereka memang suka bercakap lepas, tetapi itu bukanlah maksud sebenar mereka. Sekadar mahu bergurau sahaja.

“Eh, kau kenal ke mamat handsome tu Syafiq?” Neesa bertanya dengan nada teruja.

“Kenal. Siapa tak kenal Muhammad Subhan! Excellent student dekat fakulti aku tu!”

 “Oh… So dia budak  sains komputer sama dengan kau lah Syafiq?” Bertambah teruja suara Neesa.

“Ha’ah, dia tu senior aku. Second year, software engineering. Lelaki paling hot dekat fakulti kami!” Lancar Syafiq memperkenalkan Subhan.

Syafiq sebenarnya adalah pelajar pengkhususan kejuruteraan perisian juga. Tapi Neesa dan Syafiq dulu menuntut di Kolej Matrikulasi yang sama, jadinya mereka kenal. Dan kebetulan pula untuk subjek Hubungan Etnik, mereka sekelas. Jadi selalulah mereka melepak sekali.

“Wow! What a great profile!!! Wow… Wow... Wow...” Sampai begitu sekali reaksi Neesa dek perasaan terkejut.

Hanna juga agak terkejut dengan maklumat yang baru diterimanya daripada Syafiq sebentar tadi. Tidak sangka pula Subhan itu memang hebat. Sebelum ini dia tidak pernah ambil tahu langsung perihal Subhan. Yang dia tahu pun, Subhan adalah penuntut tahun dua dalam bidang sains komputer. Tetapi secara terperincinya tidak pernah pula dia ambil tahu. Sekarang sedikit sebanyak terbit rasa kagumnya pada lelaki itu. Bidang sains komputer tu boleh tahan lah juga payahnya!

“Kalau kau nak tahu Neesa, dia tu pun pemain bola sepak untuk satu kelab yang terkenal tau! Hebat kan... Kita orang yang lelaki ni pun kagum dengan dia, kau orang yang perempuan ni apatah lagi...” Syafiq menambah.

Memang itulah kebenarannya. Subhan bukan sahaja terkenal dalam kalangan perempuan tetapi juga dalam kalangan lelaki juga. Mereka semua kagum dengan kebolehan Subhan. Entah macam mana lah lelaki itu boleh membahagikan masanya.

Makin besar mulut Neesa ternganga. Kagum dan rasa tidak percaya bercampur menjadi satu. Beruntunglah siapa yang dapat memiliki lelaki sehebat Subhan. Tebaknya di dalam hati.

Sedikit sebanyak, wujud lah juga rasa kagum dengan Subhan di hati Hanna. Tetapi dia langsung tidak memberikan apa-apa reaksi. Kagumnya hanya dilahirkan di dalam hati sahaja. Nampaknya dia perlu menyorokkan kenyataan yang dia dan Subhan sebenarnya kenal antara satu sama lain. Kalau tidak mesti dia akan sentiasa diganggu oleh Neesa yang sekarang ini seolah-olah sudah angau dengan Subhan.

“Dah lah Neesa, tutup mulut kau tu! Nanti lalat masuk, baru padan muka kau.” Hanna menegur Neesa.

“Gila… Macam mana lah dia boleh excellent sampai macam tu sekali? Dia tu manusia ke alien?”

Soalan Neesa itu hanya disambut oleh ketawa Syafiq sahaja. Pada mulanya dia juga beranggapan yang sama. Tetapi segalanya tidak mustahil dengan minat yang mendalam bagi sesuatu bidang itu. Syafiq dapat lihat betapa mendalamnya minat Subhan dalam bidang ini. Jadi mungkin disebabkan itu lah senang sahaja ilmu itu masuk ke dalam otak Subhan.

You got the basic, you got the brain, nothing is impossible Neesa. Tapi aku rasa dia tu memang genius lah. Dengar kata dia masuk belajar ni bukan sebab dia yang nak tapi ayah dia yang suruh.” Ujar Syafiq lagi.

“Wow! He’s brilliant! Dalam tak nak, tak nak tu pun boleh excellent macam tu…” Neesa memuji lagi.

“Eh, jom lah masuk kelas. Dah lambat sangat ni, nak kena bebel dengan doktor ke?” Hanna mengingatkan mereka berdua. Khusyuk sangat bersembang pasal Subhan sampai tidak sedar masa berlalu.

“Hmmm... Kalau dapat Subhan tu… Perghhh, bahagia hidup!!!” Neesa sudah berangan sehingga terpejam-pejam matanya.

Masih tidak habis lagi rupanya topik pasal Subhan. Hanna menggeleng. Bab berangan  memang serah dekat kawannya yang seorang ni. Memang nombor satu!

“Kalau kau nak hidup bahagia lepas ni baik kau jalan cepat sikit. Nanti tak pasal-pasal Dr. marah nanti.” Hanna menggertak Neesa. Dr. Aini memang tegas dan tidak suka pelajarnya masuk lewat ke kelas.

“Eh... Betul juga, kita kelas Dr. Aini kan... Jom... Jom… Seram aku.” Baru Neesa tersedar.
Hanna dan Syafiq sudah ketawa dengan tingkah kalut Neesa itu.

 “Hanna, bangun! Dah tujuh empat puluh dah tu... Pergi mandi, solat.” Suara Sarah bergema mengejutkan Hanna.

“Hmmm… Dah bangun dah...” Hanna bangun daripada pembaringan dan mencapai tualanya. Sebentar tadi bukannya dia tidur pun, dia cuma memejamkan matanya sahaja sambil merehatkan badan.

Sambil Hanna berjalan ke bilik air, fikirannya masih menerawang memikirkan tentang Subhan. Memang dia akui Subhan itu mempunyai ciri-ciri lelaki idaman semua gadis. Tetapi mungkin tidak buat Hanna! Kerana sikap Subhan yang Hanna tidak suka lebih banyak daripada kelebihannya di mata Hanna. Di dalam hatinya berharap agar Subhan tidak lagi mengganggunya. Masa tiga hari ini memang membuatkan Hanna benar-benar rimas!


*~*~*~*~*~*

No comments:

Post a Comment